Saturday, December 29, 2012

Realiti Islam di Filipina..

Ketakutan Filipina: ISLAMISASI SEMAKIN MENULAR


Ketakutan kerajaan Filipina semakin menjadi-jadi terutama ketakutan terhadap Islamisasi yang melanda umat Kristian Visaya dan Tagalog di Manila hari ini. Ribuan penganut Kristian yang terdiri dari kalangan bawahan sehinggalah kepada golongan kaya termasuk golongan artis atau selebriti telah mula menganut Islam.

Di Filipina, sesiapa yang menganut Kristian sebelum ini kemudian menganut Islam, mereka dipanggil sebagai "Balik Islam". Bermaksud "Telah kembali kepada agama asal iaitu Islam". Hal ini adalah hakikat dari kewujudan kekuasaan Sulu-Brunei ketika dulu ke atas semua wilayah kepulauan yang bermula dari Suluwesi (Sulawesi) sehingga ke Luzon sebelum kedatangan Spanyol.

Seorang artis terkenal Filipina bernama Robin Padilla sangat gembira dan bertuah setelah kembali kepada Islam. Menurut beliau, nenek moyang mereka sebelum kedatangan Spanyol adalah beragama Islam. Sekiranya kita menulusuri sejarah kita akan dapat mengesahkan hakikat ini, Tausug Taguimah dari Basilan sehingga ke Jolo telah pun menerima Islam seawal kurun ke-7 (lebih awal dari Brunei) yang dibawa dari China era pemerintahan Dinasti Tang (650-700 Masihi).

Tausug Taguimah adalah bangsa pedagang & pelayar yang dibantu oleh saudara mereka Tausug Sama-Bajau yang menjelajah memasarkan emas dan mutiara dari Jolo ke Cebu sehingga ke Manila seterusnya ke Champa (Vietnam hari ini). Setelah kedatangan para pedagang arab dan Habaib Hadramaut, Islamisasi semakin mengukuh dan tersusun. Maka muncullah Kesultanan Sulu pada awal abad 15, hampir seratus tahun sebelum penaklukan Spanyol keatas Cebu dan Manila.

Hari ini, para Jesuit masih meneruskan program "mengkristiankan" umat Islam Sulu dan Mindanao. Sebahagian kecil dari Tausug telah berjaya mereka kristiankan tetapi muslimin tidak berdiam diri. Malah hari ini berlaku sebaliknya, umat Kristian Filipina berduyun-duyun menganut Islam. Mereka bangga menjadi Islam kerana sudah jadi "saudara" Tausug di Jolo. Sebab itu Robin Padilla datang ke Jolo dan beliau disambut dengan meriah oleh Tausug disana sebagai Saudara Seaqidah dengan Tausug.

Beberapa orang pemimpin Kristian termasuk Madre (Nun) dan Padre (Priest) Katolik Filipina memeluk Islam.


Kebanyakan Madre dan Padre kembali kepada Islam adalah kerana peranan Tausug di Jolo. Video di atas salah satu buktinya.

Antara kaedah muslimin melawan kristianisasi dan berjaya menarik umat Kristian Filipina masuk Islam ialah dengan mengekalkan budaya nenek moyang iaitu "Bangga menjadi Tausug" dan "Bangga menjadi Ummat Muhammad SAW". Kebangsaan dan Agama tidak boleh dipisahkan oleh Tausug.

Bangga Menjadi Tausug, adalah satu slogan bukannya di mulut tetapi perlakuan. Di Manila sehingga ke Cebu dan Visaya, Tausug dipanggil Joloano bermaksud "Orang Jolo". Kebanggan sebagai Tausug adalah kerana keberanian "mempertahankan Aqidah dan hak" sehingga ketitisan darah yang terakhir. Bangga Menjadi Tausug bermakna bangga terhadap sifat dan sikap yang menjadi budaya.

Sebagao contoh, apabila ada orang Islam dianiaya oleh umat Kristian di Filipina, adalah dayus sekiranya Tausug tidak membelanya. Sebab itu peperangan di Jolo hari ini, Tausug bangkit bersama-sama bela-membela sesama mereka. Meminta sedekah, Mencuri, Memeras ugut dan menipu dalam perjanjian bukanlah sikap Tausug. Kerana kalau berlaku maka jelas telah mencalar maruah, ia perlu dibayar dengan darah dan perang saudara atau selama-lamanya menjadi buah mulut yang memalukan.

Bangga Menjadi Ummat Muhammad SAW, iaitu Tausug meneggakkan maksud dua kalimah syahadat dalam dirinya. Mengasihi Muhammad SAW dan para keluarganya serta mengasihi sekelian sahabatnya. Anak-anak wajib mengaji sekurang-kurangnya boleh membaca Al-Quran. Mencintai Muhammad SAW dizahirkan dengan mengadakan Maulidurrasul di sepanjang bulan Maulid setiap tahun. Mereka mengadakan pembacaan Kitab Al-Barzanji dan menjamu fakir miskin bermula dari selepas Isyak sehingga menjelang solat Subuh. Kemeriahan malam-malam Maulid begitu menggembirakan. Kemeriahan yang lebih meriah berbanding Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Budaya ini masih berlangsung sejak abad ke-15 lagi sehingga hari ini. Ini adalah SIMBOL Tausug yang menjadi kekuatan mereka bertahan berabad-abad diasak oleh Spanyol tetapi masih melawan sehingga tidak terkalah.

Kalau pun mereka secara majoriti begitu jahil Syariat, tetapi dengan mengamalkan budaya seperti di atas bagi mereka sudah mencukupi menjadi seorang Islam. Hal ini terjadi adalah peperangan yang panjang lantaran pengajian Fiqh begitu jarang dipelajari secara menyeluruh. Apa yang diperlukan oleh generasi muslim Tausug hari ini ialah menggiatkan pengajian Islam dengan menghantar anak-anak mereka ke Mesir, Yaman, Aceh-Indonesia, bila kembali ilmu Islam akan mereka kembangkan di sana.

10 Kata Laluan (Password) Yang Tidak Selamat Digunakan


Artikel kali ini adalah berkaitan kata lauan yang tidak selamat digunakan atas talian (online) memandangkan ianya amat mudah diteka dan cukup popular.
Semakin hari nampaknya semakin ramai rakyat Malaysia yang menggunakan internet..tidaklah kiralah samada ianya ‘mobile broadband’ dari Maxis, Digi, Celcom, Yes 4G, P1 Wimax ataupun ‘wired broadband’ seperti TMNet dan Jaring.
Ramai daripada rakyat Malaysia memiliki akaun atas talian seperti Facebook, Gmail, Twitter , perbankan internet seperti Maybank2U, RHBNow, CIMB Click dan sebagainya.
Dan akaun-akaun tersebut memerlukan anda sebagai penggunanya mendaftarkan ‘username’ dan meletakkan kata laluan atau password sebelum dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.
Tanpa disedari..musuh utama kita adalah kesilapan diri kita sendiri…
Baiklah..berbalik kepada 10 password tadi, di bawah ini disenaraikan 10 kata laluan yang tidak selamat itu:
1. password
2. 123456
3. 12345678
4. qwerty
5. abc123
6. monkey
7. 1234567
8. letmein
9. trustno1
10. dragon
Senarai di atas merupakan password yang paling kerap digunakan di seluruh dunia seperti yang dilaporkan oleh laman web SplashData.com.

Penggunaan password seperti diatas membolehkan penggodam membongkarnya dalam masa 10 minit secara puratanya. Para penggodam tidak perlu bersusah payah mencari akaun-akaun online yang menggunakan password ini memandangkan mereka mempunyai tool atau perisian yang membantu proses memecahkan kod dengan cepat.
Harap anda tidak memandang remeh perkara ini walaupun akaun anda dilindungi oleh ciri-ciri keselamatan seperti SSL

Ciri-ciri password yang bagus

Bagi membolehkan anda mencipta kata laluan yang baik dan lebih selamat..berikut ada sedikit petua mengenainya..password yang selamat mempunyai sekurang-kurangnya 8 aksara dengan kombinasi huruf dan nombor. Password tersebut sebaik-baiknya mempunyai simbol-simbol seperti !@#$%^&*()_+?>< untuk menambahkan tahap kesukaran menekanya.
Selain itu..komputer anda seharusnya dilengkapi dengan perisian anti-spyware seperti yang ditawarkan oleh Kaspersky sekiranya anda menggunakan Windows.
Bagi anda yang menggunakan Ubuntu..pastinya lebih selamat walaupun bukan 100% namun harus diingat sistem operasi berasaslan Linux semakin popular seperti Ubuntu dan Android malah bilangan pengguna kedua-dua sistem operasi tersebut bertambah dengan pesat.
Hal ini pastinya menjadi perhatian para penggodam untuk mencipta tool yang boleh digunakan untuk menyerang perkakasan online anda tidak kira samada ianya komputer peribadi ataupun telefon bimbit.
Itu saja pos ringkas mengenai password..semoga anda tidak menjadi mangsa seterusnya kepada penggodam-penggodam ini.

Adakah Pulau Labuan Terletak Di Negeri Sabah?


Mungkin ramai yang keliru terutamanya orang luar Sabah  tentang status Labuan samada ia terletak di Sabah atau tidak? Pulau Labuan bolehlah diibaratkan seperti Kuala Lumpur…kenapa?
Kuala Lumpur dari segi geografi memang terletak di dalam negeri Selangor (malah Kuala Lumpur asalnya adalah wilayah selangor sehingga bulan Januari 1974).
Bermula 1 Februari 1974, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan dan tidak lagi dianggap sebagai milik Selangor.
Berbalik kepada Labuan, kita telusuri sedikit sahaja sejarahnya seperti berikut:
Nama Labuan berasal daripada perkataan labuhan dan pulau ini terletak tidak jauh daripada pantai negeri Sabah.
Sekitar tahun 1840an, Labuan dilaporkan sebagai sebuah pulau yang tidak berpenghuni dan ianya merupakan wilayah Negara Brunei.
Menurut sejarah, pada tahun 1846, Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II menyerahkan Pulau Labuan dan pulau-pulau kecil di sekitarnya kepada pihak British.
Jumlah luas Pulau Labuan dan pulau-pulau sekitarnya adalah 91.64 km persegi
Tujuan penyerahan ini dikatakan untuk menjadikan Labuan sebagai pangkalan British menentang lanun. Selepas penyerahan kepada British, Labuan mengalami banyak pertukaran pentadbiran.
Labuan pernah ditadbir oleh Raja Putih yang pertama, James Brooke dari Sarawak, pada tahun 1890 ianya dibawah pentadbiran Kompeni Berpiagam Borneo Utara dan kembali kepada pihak British pada tahun 1904.

Pada tahun 1906 pula, Labuan diletakkan di bawah Negeri-Negeri Selat dan dikawal dari Singapura. Pulau ini juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa penaklukan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945.
Akhirnya pada 15 Julai 1946, Labuan menjadi sebahagian daripada Borneo Utara yang akhirnya dikenali sebagai Sabah.
Semasa Sabah menjadi sebahagian Malaysia pada tahun 1963, Labuan adalah milik negeri Sabah sehinggalah pada tahun 1984 apabila satu perjanjian dibuat antara Kerajaan Negeri Sabah (Ketua Menteri Sabah ketika itu adalah Harris Salleh) dan kerajaan pusat.
Perjanjian yang kontroversi itu menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan yang kedua pada 16 April 1984 hinggalah sekarang ini.
Jadi..jawapan bagi tajuk artikel ini adalah…Labuan tidak terletak atau berada di dalam negeri Sabah TETAPI tidak jauh..cuma 8 km je jarak Labuan dan Sabah.
Peta Labuan dari Google Maps.

View Larger Map

Melayu Myanmar..Betul ke mereka ni wujud?

Tahukah anda bahawa yang dikatakan Semenanjung Tanah Melayu adalah kawasan yang merangkumi Semenanjung Malaysia, Selatan Thailand dan sebahagian Selatan Myanmar (Tenasserim atau Tanah Seri dalam Bahasa Melayunya)?

Di selatan Thailand, pengaruh budaya dan Bahasa Melayu masih dapat dilihat dengan jelas di Pattani, Yala, Narathiwat serta sebahagian Songkhla (Singgora).
Sementara di wilayah Satun (Setul) yang bersempadan dengan Perlis, pengaruh budaya Melayu masih jelas dari segi pakaian walaupun kebanyakan generasi muda Melayu sudah tidak tahu berbahasa Melayu lagi.
Bagaimana pula dengan Burma atau nama sekarangnya Myanmar? Dari segi sejarah, kawasan Semenanjung Tanah Melayu adalah di bawah kedaulatan Kerajaan Langkasuka yang merupakan antara kerajaan besar Melayu terawal di Tanah Semenanjung ini.
Kisah Kerajaan Langkasuka ini tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan asal-usul negeri Kedah.
Sesetengah ahli sejarah berpendapat Kerajaan Langkasuka ini kemudiannya berpecah kepada dua dan mewujudkan Negeri Kedah dan Negeri Patani.
Untuk menceritakan sepenuhnya sejarah Langkasuka tentulah ianya agak kompleks tetapi wilayah kedaulatan Kerajaan Kedah Lama menjangkau Wilayah Tanah Seri (Tenasserim) di Myanmar sekarang…

Jika anda lihat peta selatan Myanmar anda akan dapati beberapa nama tempat adalah dalam Bahasa Melayu seperti Kampong Ulu, Kampong Mah Puteh, Kampong Tengah, Pase Panjang, Telok Babai serta Kampong Pulo Chili.
Cuba tengok peta ni..dan cari nama-nama tempat tersebut..
Map DataMap data ©2012 Google, Tele Atlas - Terms of Use
Map Data
Map data ©2012 Google, Tele Atlas
Map data ©2012 Google, Tele Atlas
Powered by MapPress
Map
Satellite
Orang-orang Melayu di sini masih bertutur menggunakan Bahasa Melayu loghat Kedah sekaligus membuktikan Melayu Myanmar itu memang wujud dari segi budaya dan bahasanya.
Bagaimanapun jumlah mereka dikatakan berkurangan kerana berhijrah ke luar terutamanya ke Malaysia.
Abang BoyC  yang merupakan seorang Blogger pernah pergi ke Kawthaung, selatan Burma dan beliau ada sedikit catatan mengenai Melayu Myanmar ini dalam artikelnya.. Menarik Selatan Thailand-Myanmar

Wednesday, December 26, 2012

Kemalangan kereta api di Permatang Tinggi 1981



Kren terpaksa digunakan untuk mengalih kepala kereta api yang tergelincir dan berpusing.
Kemalangan pada 27 November 1981 di Permatang Tinggi ini telah meragut 17 nyawa.

Ketika penduduk sekitar lintasan kereta api Permatang Tinggi, kira-kira 10 kilometer dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang lena diulit mimpi, kira-kira jam 1 pagi mereka dikejutkan dengan dentuman kuat kereta api merempuh sebuah bas sewa khas yang melintas landasan.

Suasana kemudian berubah menjadi hiruk pikuk dan orang ramai mula mengerumuni kawasan kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan ngeri yang meragut 17 nyawa pada 27 November 1981. Selepas 27 tahun berlalu, pastinya penduduk sekitar dan mangsa kemalangan yang terselamat tidak dapat melupakan tragedi itu.

Bas rombongan membawa sebahagian besar gadis belasan tahun dikatakan menuju ke Pulau Pangkor, Perak untuk berkelah. Bagaimanapun, impian mereka datang jauh dari Kedah menjadi mimpi ngeri apabila bas yang dinaiki dirempuh kereta api seberat 700 tan.

Ketika kejadian, pemandu kereta api, Mohamad Saman Hussein, 49, bersama pembantunya, Rosdi Jalil, 32, dan seorang pengawal Abdullah Saiby, 42, dikatakan sudah membunyikan hon amaran beberapa kali ketika menghampiri kawasan lintasan berkenaan.

Bagaimanapun, amaran awal itu mungkin tidak disedari pemandu bas yang dikatakan meneruskan perjalanan sedangkan amaran hon itu sudah dibunyikan ketika kereta api membawa 25 gerabak barang berada kira-kira setengah batu (800 meter) sebelum kawasan lintasan.

Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sebaik saja melihat bas itu meneruskan perjalanan, pemandu kereta api dikatakan cuba membrek tetapi gagal kerana gerabak tidak mampu dihentikan serta merta dan terus meluru merempuh bas sarat dengan penumpang itu.

Kebiasaannya, sebuah kereta api yang bergerak laju hanya akan berhenti selepas jarak kira-kira suku batu selepas ditekan brek.

Akibat rempuhan itu, bas rombongan hancur, mayat bergelimpangan di kiri kanan landasan sejauh 150 meter. Suasana digambarkan hiruk pikuk dengan jeritan mangsa yang masih hidup dan kesakitan akibat tersepit.

Enjin dan enam gerabak kereta api itu tergelincir akibat rempuhan kuat hinggakan kepalanya berpusing ke arah bertentangan, seolah-seolah ke Pulau Pinang, sedangkan ia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Petugas membawa gergaji besi untuk memotong rel landasan yang rosak.
Bahagian depan bas tersangkut pada enjin depan kereta api manakala bahagian lain berkecai dan pecah. Ratusan penduduk, polis dan pasukan bomba dan penyelamat bertungkus lumus hingga ke pagi membantu mengeluarkan mayat serta mencari mangsa terselamat.

Empat belas penumpang mati di tempat kejadian, dua mati di Hospital Besar Pulau Pinang (HBPP) dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke hospital. Penumpang yang parah dihantar ke hospital sama manakala yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital daerah berdekatan.

Kemalangan itu dikatakan antara paling dahsyat membabitkan kereta api merempuh bas di lintasan kereta api selepas kejadian di Sungai Lemal, Pasir Puteh, Kelantan pada Mac 1972 yang mengorbankan 14 nyawa penumpang bas.

Bas rombongan itu dikatakan bertolak dari Alor Setar, Kedah pada petang sebelum kejadian dan merancang ke Pulau Pangkor untuk berkelah.

Namun, malang menimpa rombongan itu apabila pemandu bas, Lim Kooi Min, 28, dari Gua Chempedak, Kedah dikatakan tidak berhenti di perhentian sebelum lintasan kerana lintasan itu tidak berpagar.

Sebelum itu, Keretapi Tanah Melayu (KTM) dikatakan sudah mengesyorkan kepada kerajaan Pulau Pinang supaya lintasan berkenaan dipasang pagar sejak Mei tahun yang sama.

Mungkin juga pemandu bas itu tidak dapat melihat papan tanda amaran berhampiran lintasan kerana keadaan gelap. Kira-kira 60 ela (55 meter) dari tempat kejadian, terdapat sebuah papan tanda amaran dalam empat bahasa yang ditulis '- 'lintasan kereta api, melintasinya adalah tanggungjawab sendiri'.

Ketika rempuhan berlaku, terdapat sebuah lagi bas sekolah sewa khas di belakang bas yang dilanggar kereta api, dipercayai rombongan yang sama dalam perjalanan ke Pulau Pangkor.


INFO : Nahas kereta api langgar bas.

Pasukan penyelamat menggunakan lampu suluh mencari mayat, ada tanpa kaki, kepala dan tangan

Kereta api barang seberat 700 tan itu membawa 25 gerabak.

Pemeriksaan pakar mendapati lampu kereta api memang dipasang ketika kejadian.

Pemasang alat laju juga diperiksa dan mendapati ia merekodkan kelajuan antara 28 hingga 29 batu sejam ketika rempuhan berlaku.

Nilai kerosakan akibat kemalangan dianggarkan RM120,000.

Perjalanan kereta api tergendala sementara dan hanya penumpang dari Butterworth dibenarkan bergerak menaiki bas melalui Jalan Nibong Tebal sebelum menaiki kereta api di situ untuk ke destinasi ke Selatan.

Kira-kira 100 pekerja bertungkus lumus membaiki landasan yang rosak.

Sayyid Hussein Jamadil Kubro – Bapa Pembangun Ulama & Kesultanan Nusantara


Pedang: Kaedah terakhir apabila seruan Islam ditentang dengan kekerasan


Telah banyak catatan dibuat yang mengisahkan riwayat hidup nenek moyang ulama dan Kesultanan Nusantara ini. Walaupun terdapat banyak versi penceritaannya, tetapi pokok atau peranan utama beliau serta keturunannya di Nusantara adalah sama. Misi penting kedatangan Sayyid Hussein Jamadil Kubro bersama enam lagi saudaranya ke Nusantara ialah untuk menyebarkan ajaran Islam serta berdakwah.



Sayyid Hussein Jamadil Kubro dilahirkan kira-kira tahun 1310 Masehi di Malabar, India. Beliau adalah keturunan Rasulullah SAW dari generasi ke 21. Bapa serta datuknya ialah Sultan Negeri Malabar yang di bawah pemerintahan Kesultanan Delhi, India. Moyang beliau, Sayyid Abdul Malik Azhamatkhan bin Alwi Ammu Faqih, dilahirkan di Kota Qasam di negeri Yaman, telah berhijrah ke India dan bermukin di Nasherabad. Kesultanan Delhi telah melantik keturunan mulia ini sebagai pembesar seperti Amir (Gabenor), Penasihat serta Panglima Perang dalam Kerajaan Delhi lalu memberi gelaran “Azhamatkhan” kepada keturunan mereka. Gelaran tersebut membawa maksud ‘keluarga bangsawan’ Kesultanan Delhi. Azhamat di dalam bahasa Urdu bermaksud ‘Yang Mulia’ kerana mereka adalah berketurunan Rasulullah SAW. Khan pula gelaran bangsawan Kesultanan Moghul.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga terhormat dan dikelilingi kemewahan, Sayyid Hussein Jamadil Kubro tidak pernah lalai bahkan beliau sentiasa beristiqamah pada landasan yang lurus. Beliau tidak berminat dengan pangkat darjat keduniaan kerana pernah menolak jawatan Amir / Gabenor negeri Deccan semasa dilantik oleh Sultan Delhi pada tahun 1335. Demi menghormati sultan sebagai pemimpin dan juga keperluan semasa, beliau menjawat jawatan tersebut selama 5 tahun sahaja sebelum meletakkan jawatan.

Semasa berusia belasan tahun, beliau banyak mengembara ke seluruh pelusuk India untuk mendalami ilmu khususnya ilmu agama, disamping ilmu keduniaan. Beliau banyak menghalusi Ilmu Hadis dan Tasauf di Syahanfur, Karachi serta Nizamuddin.

Setelah meletakkan jawatan Amir Deccan pada usia 30 tahun, Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah ke Mekah menunaikan fardu haji. Di sana beliau telah mendapat petunjuk supaya membawa misi dakwah ke timur. Setelah pulang semula ke India, beliau telah mempelawa saudara-saudaranya serta merancang perjalanan ke Nusantara. Kira-kira dalam tahun 1349 Masehi (751 Hijrah), beliau bersama adik bongsunya, Sayyid Thanauddin, telah tiba di negeri Chermin. Kapal yang dinaiki telah karam menyebabkan mereka terdampar di Kampung Laut, Tumpat.

[Nota: Terdapat banyak catatan dan cerita lisan bahawa kapal yang dinaiki oleh Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah belayar ke Nusantara bersama 6 orang lagi saudaranya. Mereka terkenal dengan jolokan “Wali Tujuh Berdakwah Di Nusantara”.  Semasa tiba di perairan negeri Chermin, hanya beliau dan adik bongsunya sahaja yang berada di dalam kapal. Ini kerana 5 orang lagi saudaranya telah turun berdakwah dibeberapa tempat persinggahan di Nusantara sebelumnya. Dianggarkan bahawa misi dakwah mereka ialah ke negeri Champa. Bagaimana pun, dengan takdir Allah SWT kapal mereka telah karam di perairan negeri Chermin sebelum sempat tiba di negeri Champa.]


Di Chermin, Sayyid Hussein Jamadil Kubra dan Sayyid Thanauddin mendapati bahawa Islam telah pun dianuti oleh sebilangan kecil sahaja rakyatnya. Amalan mereka masih lagi bercampur aduk dengan kepercayaan Hindu-Ramayana, iaitu agama asal mereka sebelumnya. Manakala sebahagian besar rakyat Chermin masih lagi menyembah dewa dan patung berhala sebagai amalan seharian mereka.



Sebelum meneruskan perjalanan mereka ke negeri Champa, Sayyid Hussein Jamadil Kubro tinggal di Bukit Panau dan mengIslamkan Raja Bharubhasa (1339 – 1362) di Kota Jiddah serta menukarkan nama baginda kepada Sultan Mahmud Syah. Semenjak itu hampir seluruh rakyat Chermin telah memeluk agama Islam. Sultan Mahmud Syah juga telah mengahwinkan adinda baginda, Puteri Linang Cahaya dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubra. Puteri Linang Cahaya juga telah ditukarkan nama sebagai Puteri Mariam.

Setelah berada kira-kira 8 bulan di negeri Chermin, Sayyid Hussein Jamadil Kubro bersama isterinya, Puteri Mariam dan adiknya Sayyid Thanauddin kemudian berangkat ke negeri Champa untuk meneruskan misi dakwah di sana.

Di negeri Champa, Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah mengadap Raja Champa bernama Che Bo Nga (1360 – 1390). Che Bo Nga adalah seorang raja yang tegas dan sangat digeruni oleh musuh dan raja-raja kecil yang memerintah wilayah-wilayah kecil Champa. Ini kerana Che Bo Nga sangat handal dalam ilmu perang dan dapat menumbangkan lawannya dengan mudah. Namun begitu, baginda sangat tertarik dengan tutur kata dan budi pekerti Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Baginda banyak mendapatkan nasihat daripadanya, kerana Sayyid Hussein Jamadil Kubra semasa di India berpengalaman sebagai Panglima Perang Kerajaan Kesultanan Islam Delhi. Kejayaan menghapuskan pemberontakan besar-besaran Kerajaan Hindu semasa dalam usia 25 tahun, menyebabkan Sultan Delhi telah melantik beliau sebagai Amir atau Gabenor negeri Deccan. Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah berjaya menjadikan Deccan sebagai negeri yang makmur di bawah pemerintahan Islam, disamping memajukan Deccan sebagai kota perdagangan terkemuka dalam tempoh 5 tahun sahaja. Dalam usia 30 tahun, beliau telah meminta keizinan Sultan Delhi untuk meletakkan jawatan Amir Deccan dengan alasan kerana ingin menunaikan ibadah Haji di Makkah.

Che Bo Nga dengan suci hati telah menerima hidayah dan memeluk Islam di tangan Sayyid Hussein Jamadil Kubro dan menggunakan nama Sultan Zainal Abidin. Manakala permaisuri baginda, Puteri Nareswari ditukarkan nama dengan Siti Zubaidah binti Sultan Mahmud Syah Raja Chermin. Raja-Raja kecil serta ramai rakyat Champa turut memeluk agama Islam yang menyebabkan Champa menjadi bersatu padu di bawah panji Islam. Agama Islam telah menyatukan rakyat Champa yang menyebabkan musuh utama mereka iaitu Vietnam berjaya dikalahkan sehingga dua kali ibu kota mereka, Hanoi telah dimusnahkan oleh tentera Champa di bawah pimpinan Sultan Zainal Abidin.

Di Champa, isteri Sayyid Hussein Jamadil Kubro, Puteri Mariam (Puteri Linang Cahaya) telah melahirkan seorang putera bernama Maulana Malik Ibrahim dan kemudiannya pula Puteri Siti Aisyah. Maulana Malik Ibrahim diberikan didikan agama sendiri oleh ayahandanya, kemudian dihantar belajar pula kepada bapa saudaranya, Syeikh Muhammad Ariffin Syah di Kerisek, Patani. Maulana Malik Ibrahim telah dihantar bersama beberapa orang saudaranya yang lain ke Tanah Jawa dalam misi menyebarkan Islam di sana. Di Tanah Jawa, Maulana Malik Ibrahim lebih terkenal dengan jolokan Sunan Gresik iaitu pelopor atau ketua Wali Sembilan (Wali Songo).

Puteri tunggal Sayyid Hussein Jamadil Kubro, Siti Aisyah pula kemudiannya dikahwinkan dengan Syeikh Khaliq Al-Idrus (Adipati Jepara). Keturunannya kemudian bercantum kembali dengan keluarga besar Sayyid Hussein Jamadil Kubro, menjadi pemerintah serta ulama-ulama di Tanah Jawa.

Setelah Puteri Mariam (isteri Sayyid Hussein Jamadil Kubro) mangkat, Sultan Zainal Abidin (Raja Champa) mengahwinkan pula puteri baginda, Puteri Ramawati dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubro, pada tahun 1355. Perkahwinan tersebut telah melahirkan Ibrahim Asmaro atau Ibrahim al-Hadhrami. Dari zuriat Ibrahim Asmaro lahirlah beberapa orang lagi Wali Songo seperti Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Giri dan Sunan Drajat.

Sayyid Hussein Jamadil Kubro ke Patani dan tinggal di Kampung Sena, setelah kemangkatan Puteri Ramawati. Berita kepulangan beliau ke Patani telah sampai ke pengetahuan Raja Chermin, Sultan Baki Syah (1362 – 1418). Baginda menjemput Sayyid Hussein Jamadil Kubro ke Kota Jiddah serta melantik beliau sebagai Penasihat Kerajaan Chermin-Langkasuka. Pada tahun 1390, Sultan Baki Syah telah mengahwinkan puteri bongsu baginda, Puteri Selindung Bulan (Puteri Syahirah) dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Ketika itu usia Sayyid Hussein dalam lingkungan 80 tahun.

Perkahwinan Sayyid Hussein Jamadil Kubro dan Puteri Syahirah telah melahirkan Sayyid Ali Nurul Alam yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Qunbul. Dari keturunan Sayyid Ali Nurul Alam lahirlah ulama-ulama seluruh nusantara, panglima dan hulubalang serta Kesultanan Nusantara seperti Champa, Patani, Kelantan, Terengganu, Cirebon, Ternate, Bintoro Demak, Pagar Ruyung, Palembang dan Banten.

Melalui perkawinan Sayyid Hussein Jamadil Kubro dengan Puteri Jauhar binti Tun Hamzah (Seri Bija DiRaja) dari Kesultanan Johor pula melahirkan dua orang putera. Muhammad Berkat Zainol Alam (Muhammad Berkat Nurul Alam) adalah merupakan putera sulung yang keturunannya kemudian menjadi Kesultanan Johor, Riau dan Pahang. Putera bongsu, Muhammad Kebungsuan pula berdakwah di Sulu dan Mindanao.

Peringkat awal kedatangan Sayyid Hussein Jamadil Kubro ke Tanah Melayu, beliau sendiri telah menyampaikan dakwah kepada semua lapisan masyarakat tanpa memilih darjat. Daripada raja-raja sehinggalah rakyat jelata. Peringkat kedua pula menerusi putera-putera beliau. Putera sulung beliau Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) telah diamanahkan untuk mengetuai rombongan dakwah ke Tanah Jawa pada tahun 1397. Diikuti pula oleh puteranya yang lain menyusur ke kepulauan Indonesia, seperti Ibrahim Asmaro dan Muhammad Berkat Zainol Alam. Hampir kesemua anak cucu Sayyid Hussein Jamadil Kubro turun berdakwah ke Indonesia, kecuali Sayyid Ali Nurul Alam yang berdakwah di rantau Champa, Patani dan Kelantan. Bagaimana pun, sebahagian anak cucu beliau telah diamanahkan juga untuk berdakwah di Indonesia, seperti Wan Abdullah dan Wan Demali yang akhirnya bergabung dengan keluarga besar Sayyid Hussein Jamadil Kubro yang berada di sana. Gabungan keluarga besar inilah yang menumbangkan Kerajaan Majapahit serta lain-lain kerajaan Hindu di Indonesia dan membentuk kerajaan dan Kesultanan Islam di seluruh Nusantara.

Apabila tiba misi penjajahan Kristian seperti Portugis, Belanda, Sepanyol dan Inggeris, keluarga besar ini juga telah bersama-sama rakyat tempatan serta dibantu oleh Sayyid Alawiyah yang lain, bangkit bersama-sama dalam perang salib tersebut. Takdir Allah SWT mengatasi segalanya, seluruh Nusantara telah dijajah oleh tentera salib. Sehinggalah banyak yang terjajah pemikiran dan cara hidup dengan materialistik adalah nombor wahid sehingga pegangan agama sebenar telah terkesamping.

Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah menjalankan amanah dari Allah SWT dengan berdakwah pada seluruh hayatnya. Beliau telah dijemput mengadap Ilahi (wafat pada tahun 1453 di Wajo, Sulawesi dalam usia 143 tahun. Anak-anak serta cucu cicit beliau juga meneruskan misi dakwah tersebut seperti datuk mereka. Kini generasi keturunan  Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah berkembang biak di seluruh pelusuk Nusantara. Ada di antara mereka yang masih meneruskan dakwah dengan berbagai cara masing-masing. Ada pula yang telah berjaya dengan kerjaya dan tidak kurang juga yang menjalani kehidupan rakyat biasa. Tetapi paling mendukacitakan jika terdapat dari kalangan mereka yang menjadi pemimpin, bagaimana pun mereka tidak mempedulikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka oleh Allah SWT….. dengan meletakkan semula Islam sebagai nombor wahid sebagai panduan untuk semua urusan keduniaan dalam menuju ke perjalanan ke alam baqa’….

Tokku Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu




Salah seorang ulamak silam Terengganu yang masih segar namanya meniti dari mulut ke mult sehingga generasi sekarang ialah Tokku Pulau Manis atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik bin Abdullah. Selain daripada kemasyhurannya dalam usaha dakwah, Tokku Pulau Manis juga memainkan peranan dalam melantik Tun Zainal Abidin I, sebagai salah seorang pemerintah di Terengganu.
Salasilah keturunan Tokku Pulau Manis ini sangatlah rumit untuk diteliti kerana ramai yang mendakwa keturunan beliau, tetapi mempunyai salinan salisah yang berbeza. Namun semua perbezaan tersebut mempunyai sebab-sebabnya tersendiri. Daripada penemuan penulis sendiri, telah menemui dua catatan salasilah dengan hanya sedikit sahaja perbezaan. Iaitulah bahawa Tokku Pulau Manis adalah berketurunan Sultan Wan Abdullah Umdatuddin (Raja Champa, 1471 – 1478). Cuma perbezaan yang dimaksudkan ialah jaluran yang menurunkan zuriat sehingga Tokku Pulau Manis dikatakan dari dari Syarif Muhammad bin Syarif Nurullah bin Sultan Wan Abdullah Umdatuddin. Sedangkan salasilah lainnya menerangkan bahawa Syarif Muhammad bin Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) bin Sultan Wan Abdullah Umdatuddin.
Penulis lebih meyakini bahawa Tokku Pulau Manis adalah jaluran Sunan Gunung Jati, namun begitu Syarif Nurullah adalah adik kandung kepada Sunan Gunung Jati. Hal demikian adalah bersandarkan kepada beberapa catatan sejarah beserta tahunnya dan atas beberapa faktor lain lagi. Namun dapat disimpulkan bahawa Tokku Pulau Manis atau Syeikh Abdul Malik ini adalah dari marga Sayyid Hussein Jamadil Kubro menerusi cicitnya Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati). Syarif Hidayatullah itu juga cucu kepada Sayyid Ali Nurul Alam atau Sultan Qunbul.
Sunan Gunung Jati mempunyai beberapa orang saudara melalui 3 orang ibu. Perkahwinan pertama bapanya, Wan Abdullah Umdatuddin dengan Nyai Rara Santang @ Syarifah Mudaim telah melahirkan Syarif Hidayatullah  dan Syarif Nurullah. Perkahwinan kedua bapanya dengan Syarifah Zainab binti Sayyid Ibrahim al-Hadhrami telah melahirkan Sultan Alam Akbar al-Fattah @ Raden Fatah (Sultan Demak). Terdapat juga dakwaan bahawa Sultan Babullah (Sultan Ternate) juga bersaudara dengan Sunan Gunung Jati. Perkahwinan ketiga Wan Abdullah Umdatuddin dengan puteri Raja Chandranekalawa (Raja Champa) telah melahirkan Wan Abul Muzaffar Waliyullah.
Timbul pula persoalan kenapa Syarif Muhammad al-Baghdadi dikatakan berasal dari Baghdad. Soalan yang sama juga akan timbul jika kita menyelerusi keturunan Sunan Gunung Jati. Bapanya Wan Abdullah dikatakan berasal dari Mesir. Catatan di Indonesia banyak sekali berlawanan dengan sumber dari Kelantan dan Patani. Umpamanya, semua Wali Songo berasal dari Arab. Ada dari Hadramaut, Baghdad dan Mekah. Juga terdapat dakwaan keturunan Wali Songo itu dari China (Tiongkok). Ulama-ulama yang datang dari Patani serta Champa semuanya dikatakan dari Arab. Contonya, Syeikh Wan Hussein as-Senawi dari Patani berdakwah di Madura dikatakan orang Arab dari Hadramaut. Sedangkan Syeikh Wan Hussein itu adalah bapa saudara Sunan Gunung Jati, iaitulah adik kepada Sultan wan Abdullah Umdatuddin. Menurut cerita yang sampai ke telinga penulis, keturunan Tokku Pulau Manis pada zaman dahulu begitu merahsiakan asal usul mereka, sehingga cerita yang sampai ke telinga generasi kemudian hanya mengetahui  keturunan mereka adalah dari Wali Songo. Apabila usaha menjejak tiba ke Tanah Jawa, maka muncullah berbagai dakwaan seperti yang dinyatakan di atas.
Berikut ialah catatan yang penulis salin semula dari Pengkaji Ulama Nusantara termasyhur.
(Petikan Tulisan Almarhum Haji Wan Mohd Saghir – Khazanah Fathaniyah)
TOKOH yang acap kali memperkenalkan pelbagai aspek ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik Terengganu yang digelar dengan Tok Pulau Manis ini ialah Shafie Abu Bakar.

Namun, tulisan ini penulis mulai dari penemuan sebuah salasilah yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan adik-beradik Syeikh Abdul Malik Terengganu.

Tertulis pada bahagian atas salasilah, “Bismillahir Rahmanir Rahim Syarif Muhammad, satu raja yang memerintah akan negeri Baghdad kerana mengambil ... (tak dapat dibaca) lalu pergi ke Mekah. Kemudian diturut orang akan dia. Maka lari ke Terengganu, lalu duduk di Ulu Pauh. Dan wafatlah ia di Pauh. Maka meninggalkan anak dua orang, satu Abdullah dan kedua Abdul Malik. Maka Abdul Malik itulah Datuk Pulau Manis yang keramat itu”.
Daripada salasilah di atas, ternyata terdapat kelainan dengan tulisan-tulisan sebelum ini, iaitu semua penulis termasuk penulis sendiri, menyebut bahawa nama ayah Syeikh Abdul Malik Terengganu ialah Abdullah. Ada pun dalam salasilah di atas, ayahnya ditulis Syarif Muhammad yang berasal dari Baghdad.

Nama Abdullah itu adalah adik-beradik Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis). Adik-beradiknya yang seorang lagi bernama Abdul Qahhar. Tetapi sebelum ini ada salah seorang keturunan ulama ini meriwayatkan kepada penulis bahawa datuk dan nenek kepada Syeikh Abdul Malik ialah Syarif Abdul Qahhar. Anak lelaki Syarif Abdul Qahhar itu bernama Abdullah, iaitulah ayah bagi Syeikh Abdul Malik.

Salasilah versi yang lain memberikan maklumat bahawa Syeikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Saiyid Muhammad. Sangat sukar untuk mentahqiqkan riwayat yang bersimpang-siur seperti ini, tulisan-tulisan yang terdahulu masih belum dapat dimansuhkan sedang salasilah yang bertulis, yang baru diperoleh juga sukar ditolak.

Berdasarkan salasilah yang baru diperoleh, bahawa dari tiga orang adik beradik ulama yang berasal dari Baghdad itu, hanya Abdul Qahhar saja yang tidak tercatat meninggalkan anak dan zuriat. Abdullah iaitu adik beradik yang kedua, memperoleh seorang anak bernama Sulaih.

Sulaih menurunkan zuriat hingga kepada pemilik salasilah, iaitu Jamaluddin bin Yusuf Terengganu. Dicatat pada sudut kanan, “Pada tiap-tiap satu daripada keturunan Abdullah ini banyak lagi pecahan saudara dan anak-anaknya”.

Catatan dalam salasilah bahawa yang ramai meninggalkan zuriat ialah Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis), yang berpunca dari tiga orang anaknya.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang paling banyak memperkenalkan Syeikh Abdul Malik ialah Shafie Abu Bakar, oleh itu dapat dirujuk tulisan-tulisannya. Dalam Pesaka II dengan judul Syeikh Abdul Malik Bin Abdullah dan Karangan-karangannya.

Dalam Pesaka IV, dengan judul Hikam Melayu (HM) di Dalam Perkembangan Tasawuf Kedudukan dan Penetapan Pengarangnya. Juga tulisan Shafie bin Abu Bakar dimuat dalam buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan, dengan judul Tok Pulau Manis Dan Pengasasan Pendidikan Islam.

Penulis sendiri telah memperkenalkan ulama tersebut dalam Katalog Pameran Manuskrip Melayu terbitan Perpustakaan Negara Malaysia dalam rangka Sempena Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu kedua 15-20 Ogos 1989. Tulisan penulis pula dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990.

Ismail Che Daud pula dalam majalah Pengasuh bilangan 509, Februari 1991 memunculkan judul Tok Pulau Manis (1650an - 1736 M) Penulis Syarah Hikam. Pengakuan Kitab Syarah Hikam Melayu sebagai karya Tok Pulau Manis Terengganu mulai diragukan pertama sekali dikemukakan oleh Abdur Razak Mahmud ditulis dalam majalah Pengasuh bilangan 511, April 1991 sebagai tanggapan terhadap tulisan lsmail Che Daud. Ia sekali gus menyentuh tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar yang tersebut.

Dalam Seminar Warisan Kitab-Kitab Melayu Lama pada 28 Safar 1412/7 September 1991, anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pembentang kertas kerja Abdul Aziz bin Ismail sangat banyak menyebut nama Tok Pulau Manis dan Kitab Hikam Melayu, dan lain-lain sangat banyak untuk disebutkan. Oleh itu, beberapa perkara yang telah banyak dibicarakan, penulis sentuh serba ringkas saja. Bagaimanapun, beberapa penemuan baru dirasakan perlu diulas agak panjang terutama mengenai keturunannya yang menjadi ulama atau tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

PENDIDIKAN

Tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu tercatat antara tahun 1089 H/1676 M-1149 H/1736 M, demikian tersurat di atas kubur beliau, yang menurut salah satu tulisan Misbaha. Tetapi penyelidikan terakhir memberikan maklumat bahawa beliau lahir lebih awal dari tahun yang tersebut itu, iaitu kira-kira 1650 M.

Setelah mendapat pendidikan di kampung sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu, beliau meneruskan pelajarannya ke Aceh. Di antara gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.

Mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal itu. Mereka melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah. Sewaktu di Mekah bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

KARYA-KARYA

Mengenai karya beliau semuanya dapat dirujuk kepada tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar, kecuali kitab Syarah Hikam Melayu dalam penyelidikan terkini dimunculkan sebagai bukan karya Tok Pulau Manis oleh Abdur Razak Mahmud yang beliau tulis dalam majalah Pengasuh yang telah disebutkan.

Dalam tulisan terdahulu, penulis menyatakan kitab yang dipertikaikan itu termasuk dalam senarai. Ada dua kitab yang penulis bicarakan dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990, yang sebuah lagi ialah Kitab Kifayah manuskrip salinan Tok Kelaba yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu dengan nombor kelas MS 517. Tok Kelaba cukup jelas menyebut kitab tersebut adalah karya Tok Pulau Manis. Akan tetapi ada sebuah manuskrip koleksi penulis yang ditemui di Kampung Kepala Bukit Senggora (Mei 1993) dengan judul Al-Kitabul Kifayah, selain judulnya sama juga kandungannya adalah sama, bahawa dinyatakan sebagai karya Imam Syafie (maksudnya bukan Imam Syafie imam mazhab) yang diselesaikan penulisannya pada hari Khamis, 2 Safar 1180 H/1766 M.

Ada pun salinan Tok Kelaba tidak tersebut tahun selesai menulisnya, hanya disebutkan tahun selesai penyalinan saja iaitu pada 13 Zulkaedah 1297 H/1879 M (kira-kira 117 tahun kemudian).

Ingin penulis sebutkan di sini bahawa penulis menemui sebuah manuskrip karya beliau di Patani (hadiah seorang Tuan Guru, Julai 1991). Manuskrip yang telah penulis miliki itu belum pernah disebut dalam semua tulisan sebelum ini. Risalah tersebut nipis saja, hanya enam halaman tetapi lengkap. Di akhir risalah tertulis, “Maka adalah yang memindahkan dan yang menjadikan segala perkataan ini semuanya fakir yang hina iaitu Haji Abdul Malik ibnu Abdullah al-Jawi ...”. Kandungan kitab ini ialah jawapan beliau atas beberapa pertanyaan yang bersangkutpaut dengan nikah kahwin.

Ada pun mengenai kitab Syarah Hikam Melayu, pada mulanya telah sepakat dikatakan sebagai karya Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis). Kemudian dibantah oleh Abdur Razak Mahmud, mengenai ini telah penulis bahas dengan agak panjang dimuat dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani (terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, September 1993).

Adapun penulis mempunyai pelbagai edisi cetakan Syarah Hikam Melayu, termasuk cetakan pertama yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di bawah perkataan dalam bahasa Arab cetakan pertama, dinyatakan, “Inilah terapan yang pertama daripada kitab ini”.

Di bawahnya lagi dijelaskan, “Diterapkan dia dengan peterapan Miri pada negeri Mekah al-Mukarramah”. Cetakan pertama yang tersebut adalah tahun 1302 H. Ukuran cetakan 28.8 x 20.8 cm, tebal 208 halaman.

Pada akhir cetakan Syeikh Ahmad al-Fathani, mencatatkan, “Dengan Tolong Al-Malikul Wahhab. Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustathab, iaitu Syarah Hikam Ibni ‘Athaullah dengan bahasa Melayu. Dan adalah pada tharah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaannya nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ulama Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani.

Dan selesai men(ge)capkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita ‘Alais Shalatu was Salam .... Oleh itu, pembahasan kitab Syarah Hikam Melayu dan lapan bait puisi Syeikh Ahmad al-Fathani yang terletak di bahagian depan semua cetakan kitab tersebut telah cukup jelas dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani, maka ditutup sampai di sini saja.

KETURUNAN

Syeikh Abdul Malik Terengganu memperoleh tiga orang anak iaitu: Imam Yusuf Kesuma, Badruddin dan Mik Tok Bungkuk. Ada pun Imam Yusuf Kesuma itu memperoleh anak dua orang, ialah: Abdur Rahman dan Ali. Sampai di sini salalsilah terputus, tidak terdapat sambungan keturunannya. Malahan salasilah Mik Tok Bungkuk terputus juga. Yang teramai memperoleh anak dan keturunan ialah anak Tok Pulau Manis yang kedua, iaitu Badruddin. Badruddin memperoleh lapan anak iaitu tujuh lelaki dan hanya seorang saja yang perempuan. Mereka ialah; Daud, Husein, Hasan, Muhammad, Musa, Isa, Maimunah dan Ya’qub.

Huraian ringkas salasilah sebagai yang berikut: Daud (No. 1) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak; Sulaiman, Fatimah, Usman, Badruddin, Husein, Umar, Abu Bakar, Idris dan Khatib Muhammad Shalih

Salasilah terputus kecuali Khatib Muhammad Shalih dikatakan memperoleh anak bernama Ali.

Husein (No. 2) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya dua orang, ialah Yusuf dan Aisyah. Salasilah juga terputus.

Hasan (No. 3) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya seorang, ialah Zainab. Salasilah juga terputus.

Muhammad (No. 4) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh dua anak orang, ialah Wan Abdul Qadir dan Wan Semik. Salasilah juga terputus.

Musa (No. 5) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, salasilah juga terputus.

Isa (No. 6) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Aminah, Aisyah, Habibah, Salamah dan Haji Abdul Malik.

Aminah (No. 1) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Muhammad, Imam, Usman, Aisyah dan Asiah.

Salasilah terputus dan nama suami Aminah tidak tercatat dalam salasilah.

Aisyah (No. 2) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik juga memperoleh lima anak iaitu; Syarifah, Haji Ahmad, Shafiyah, Sa’diyah dan Abdur Rahman.

Salasilah juga terputus dan nama suami Aisyah juga tidak tercatat dalam salasilah.

Habibah (No. 3) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik dan Salamah (No. 4) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, keturunannya tidak tercatat dalam salasilah. Yang ramai anak dan ramai keturunan yang tercatat dalam salasilah ialah Haji Abdul Malik (No. 5) bin Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik. Sebelum menyebut keturunan beliau, perlu dicatatkan di sini bahawa Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu ini adalah salah seorang murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Jadi Haji Abdul Malik bin Isa cucu Tok Ku Pulau Manis Terengganu tersebut adalah termasuk ulama besar Terengganu pada zamannya. Haji Abdul Malik (No. 5) memperoleh enam anak; Haji Muhammad al-Qadhi, Encik Ahmad, Haji Abdur Rahim, Abdur Rahman, Abdullah dan Maryam.

Haji Muhammad al-Qadhi (No. 1) memperoleh empat anak iaitu; Kaltsum, Abdullah, Abdul Malik dan Musa

Encik Ahmad (No. 2) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 2 orang, ialah: Muhammad dan Haji Abdullah.

Haji Abdur Rahim (No. 3) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 4 orang, ialah; Muhammad Encik Da, Ahmad Encik Hitam, Halimah Encik Wok dan Khadijah Encik Nik

Muhammad Encik Da (No. 1) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya seorang, ialah: Abdullah Encik Awang. Abdullah Encik Awang memperoleh anak 3 orang, ialah: Isa Encik Long, Khadijah Encik Wok dan Shafiyah Encik Nik. Salasilah terputus hingga sampai di sini.

Ahmad Encik Hitam (No. 2) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin 'lsa bin Syeikh Abdul Malik tidak tercatat nama anak dan keturunannya, yang tercatat hanya "Kubur keduanya (maksudnya Muhammad Encik Da dan Ahmad Encik Hitam) di maqam Tuan Syeikh Abdul Qadir".

Selanjutnya Halimah Encik Wok (No. 3) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik juga tidak tercatat nama anak dan keturunannya, sedang adiknya Khadijah Encik Nik (No. 4) anak-anaknya ialah: Ismail Encik Su, Maimunah Encik Wok, Aisyah Encik Tih dan Satidah Encik Hitam.

Selain itu, penulis masih meragui bahawa ditarik garis ke bawah sesudah Khadijah Encik Nik juga disebut nama Tuan Syeikh Abdul Qadir (maksudnya Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas). Mengenai ini tidak jelas, kerana menurut sejarah yang terkenal, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, ulama besar yang sangat terkenal itu adalah anak Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani. Mungkin saja Haji Abdur Rahim, ayah Khadijah Encik Nik adalah betul datuk/nenek Syeikh Abdul Qadir al-Fathani Bukit Bayas itu dari pihak sebelah ibunya, dan secara kebetulan serupa nama dengan ayah beliau iaitu Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani itu. Ini dapat diketahui dengan jelas kerana Haji Abdur Rahim (ayah Khadijah) nama ayahnya ialah Haji Abdul Malik bin Isa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu, sedang Syeikh Abdur Rahim al-Fathani (ayah Syeikh Abdul Qadir) nama ayahnya ialah Wan Deraman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail bin Faqih Ali.

Champa: Tumbangnya Kerajaan Melayu Terawal


Bendera Champa

Champa adalah tempat paling awal yang di diami oleh orang Melayu (kaum tertua yang wujud di Indo-China) di nusantara ini. Catatan sejarah China menyebut bahawa telah wujud sebuah negeri yang ditulis sebagai Lin Yi (Champa) pada tahun 192 Masehi. Bagaimana pun ahli sejarah sedang berusaha untuk mendapatkan petunjuk bagi membuktikan sejarah Champa telah bermula (semenjak tahun 137 Masehi) lebih awal dari tarikh yang nyatakan tersebut.
Negara Champa (Berwarna Hijau)


Negara Champa yang  telah diwujudkan oleh bangsa Melayu tersebut merupakan negara berasaskan negara kota perdagangan dan pelabuhan. Masyarakat Melayu Champa adalah golongan ahli perniagaan yang diwarisi dari datuk nenek mereka semenjak ribuan tahun lampau. Selain dari penganut agama yang taat, mereka juga adalah pelaut yang paling mahir di dunia. Kemahiran mereka menguasai dunia lautan menyebabkan masyarakat antarabangsa pada zaman dahulu menamakan Laut Champa, yang ratusan tahun kemudian ditukar menjadi Laut China Selatan.
Ilustrasi Perang Champa


Kestabilan Champa mula tergugat apabila Dai Viet (Annam atau Vietnam) telah mendapat pembebasan dari negeri China pada tahun 938 Masehi. Sebaik sahaja mengisytiharkan kemerdekaan, beserta dengan alasan bahawa penduduknya semakin ramai, maka kerajaan Vietnam memulakan kempen memperluaskan kawasan jajahan dengan menakluk negara jiran seperti Kemboja dan Champa. Serangan pertama yang dilancarkan oleh Vietnam pada tahun 982 Masehi. Semenjak itu bermulalah episod perang antara Champa dan Vietnam yang akhirnya membawa kehancuran Champa dan lenyap dari peta dunia.
Senjata Champa: Double Bow (Panah Berkembar)


Peperangan di antara Champa dan Vietnam telah memakan masa ratusan tahun, dengan diselangi pelbagai rencah politik dari negara tetangganya seperti China, Khemer (Angkor atau Kemboja) serta Ayuthia (Siam). Letusan perang tersebut berlanjutan sehinggalah kejatuhan Vijaya, ibu negari Champa pada tahun 1471. Serangan yang disertai seramai 250,000 orang tentera Vietnam telah mengakibat kemusnahan besar terhadap orang Melayu Champa. Selain ibu kota mereka dijajah, berpuluh ribu rakyat Champa telah terkorban dan menjadi tawanan perang. Raja Champa yang bernama Ban La Tra Toan (Raja Chanranekalawa) serta kaum kerabat baginda juga turut terkorban dalam serangan tersebut.
Pedang Champa: Sebelum Kedatangan Islam


Kejatuhan Kota Vijaya ke tangan Vietnam tersebut menyebabkan menantu Raja Chanranekalawa, Wan Bo Tri Tri memindahkan ibukota Champa ke Panduranga. Wan Bo Tri Tri kemudian ditabalkan menjadi Raja Champa yang juga dikenali sebagai Sultan Wan Abu Abdullah (Raja Champa 1471 – 1478).
Pedang Champa: Selepas Kedatangan Islam, Pengaruh Budaya Islam Telah Diserap Pada Reka Bentuk Pedang


Era pemerintahan Wan Bo Tri Tri, Champa mula berubah corak. Agama Islam telah berkembang pesat. Bahasa Melayu Sanskrit tidak lagi digunakan dan kebudayaan Hindu-Budha telah dicampur dengan kebudayaan Islam yang dibawa dari Patani dan India. Pelabuhan Panduranga dibina dan kemudahan diperluaskan. Raja-raja daerah atau raja adat dari pelbagai kaum mula bersatu dan boleh bekerja sama di bawah panji Islam. Kekuatan tentera mulai tersusun  dan Champa mula kembali membangun dan bertambah maju sehinggakan negeri-negeri yang bersempadan mula teragak-agak untuk memulakan serangan.
Antara Senjata Tentera Champa
Bagaimana pun, selepas era Wan Bo Tri Tri, Champa mulai diganggu gugat semula oleh musuh tradisi iaitu Vietnam. Sehinggalah pada tahun 1577, Champa dibawah pemerintahan Po Rome atau Sultan Abdul Hamid Syah (Raja Champa 1577 – 1657). Po Rome telah cuba mengumpul kekuatan dan mempertahankan bumi Champa namun pada tahun 1832, Champa telah dihapuskan namanya dari peta dunia oleh Vietnam. Maka berakhirlah Kerajaan Melayu Champa yang telah terdiri di muka bumi ini lebih dari 1,000 tahun (192 – 1832 Masehi).
Bangsa Melayu Champa adalah sebuah bangsa yang taat dalam beragama, ahli perniagaan serta pelayar samudera yang hebat. Akhirnya terperangkap dalam kemelut politik dan perang negeri jirannya Vietnam. Champa adalah bukan sebuah negara yang lemah dari segi pertahanannya, tetapi banyak faktor dalaman  dan luaran yang menyebabkan kejatuhan kerajaannya.
Jika diamati dengan cermat, Sejarah Patani adalah seakan atau bayangan kepada Sejarah Champa. Kedua-dua sejarahnya telah dikaburkan oleh pihak-pihak pernah datang untuk melemahkan bangsa Melayu suatu masa dahulu.
Anak-anak Melayu haruslah mengkaji kedua-dua sejarah Champa dan Patani itu. Champa adalah tempat mula berkembangnya bangsa Melayu di nusantara, manakala Patani pula adalah pusat dakwah untuk menyebarkan Islam di juga nusantara suatu masa dahulu. Tetapi kebangkitan Islam juga adalah bermula dari Champa seterusnya ke seluruh pelusuk nusantara!

Bashar al Assad yang kejam

Presiden Bashar al Assad telah bertindak semakin kejam bagi mempastikan kekuasaan yang diwarisi oleh ayahnya Hafez al Asad sejak 11 tahun yang lalu terus berkekalan.

Sejak berlakunya kebangkitan rakyat Syria Mac 2011 yang lalu, Bashar al Assad telah membunuh lebih 8,500 orang rakyatnya sendiri (lebih 6,000 menurut PBB) dan mengakibatkan lebih 40,000 orang telah cedera. Itu tidak termasuk daripada lebih 180,000 orang rakyatnya yang dipenjarakan. Manakala lebih 20,000 orang lagi kini menjadi pelarian di Turki.

Beliau mewarisi kekejaman diktator seumpama ayahnya Hafez al Assad yang pernah memerintah Syria selama 32 tahun sehingga tahun 2001. Ayahandanya juga pernah membunuh hampir 46,000 ribu orang rakyatnya yang tinggal di Hama, Syria pada tahun 1982 dalam tempoh 27 hari sahaja. Keseluruhan penduduk yang terbunuh ini merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Masyarakat antarabangsa harus menginsafi isu ini dan mengutuk kekejaman Bashar al Assad yang terus mendapat sokongan padu daripada Iran dan juga Hizbullah, Lubnan selain daripada mendapat bekalan senjata daripada Russia dan Cina.


Kasih seorang ayah: Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun menemui ajal tanpa badan dan bapanya membawa kepala anaknya itu sambil meratap atas kezaliman rejim Basyar yang membunuh darah dagingnya


sumber:
http://www.facebook.com/maar.rahman?sk=wall
http://www.islamituindah.my/giliran-bashar-al-assad-semakin-hampir

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...