Andalusia: Sejarah Islam disembunyikan?
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
Mezquita-Katederal de Cordoba di Sepanyol sarat dengan sejarah tamadun Islam.
APABILA disebut Eropah, majoriti dalam fikiran menggambarkan ia
merupakan satu negara yang penghuninya cuma terdiri daripada warga
Barat.
Mungkin tidak terlintas langsung untuk menjengah secara lebih mendalam berhubung asal usulnya.
Tetapi ketahuilah, di sana ada fakta sejarah iaitu di Eropah pernah terbinanya negara Islam yang paling kuat di dunia.
Salah satu daripada negara di Eropah yang memiliki khazanah Islam
yang terkaya adalah di Andalusia atau nama sekarangnya Sepanyol.
Nama Andalusia diambil sempena istilah bahasa Arab, Al Andalus,
merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya berada di bawah
pemerintahan Muslim.
Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di bawah Majlis
Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengadakan lawatan
kerja ke Andalusia.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan memimpin lawatan tersebut.
Ketika menuju Andalusia baru-baru ini, teringat kepada lirik lagu
nasyid kumpulan Far East berjudul �Ma Assalam Ya Andalus� dan
�Alhambra�, tetapi lirik sependek itu tidak dapat memberikan gambaran
secara yang lebih jelas berhubung Andalusia.
Sebenarnya, ada kisah amat menarik, tetapi terlalu pahit untuk ditelan buat umat Islam.
Mungkin ramai yang tidak menyedari atau mengetahui sejarah hitam itu, tetapi sedikit info kali ini mungkin boleh dikongsi.
�Menangislah anakku, bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang
hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki".
Begitulah ucapan seorang bonda raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol.
Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya, Abu Abdullah daripada puak
Bani al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharam 897
Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja
Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella.
Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah setelah berkuasa 800 tahun.
Bani al-Ahmar merupakan puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di
Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah hingga 897 Hijrah iaitu pada
tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian
Sepanyol, Ferdinand dan Isabella dimeterai.
Perjanjian yang melibatkan 67 perkara itu, termasuklah jaminan
keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi pada akhirnya ia tidak
pernah direalisasikan.
Malah, 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya semakin terhakis
di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di
negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya 800 tahun.
Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan
daripada orang Kristian Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan
dalam sejarah Islam pada 892 Hijrah.
Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji boleh menyelamatkan
diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam atau
tanpa perikemanusiaan.
Dalam tragedi tersebut, umat Islam mati bermandikan darah angkara
tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka bersembunyi di rumah
masing-masing.
Jambatan Roman digunakan oleh pelawat untuk ke Mezquita-Katederal de Cordoba, Sepanyol.
Bagi membunuh penganut Islam, tentera Kristian menggunakan satu penipuan besar.
Tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh
meninggalkan rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar
meninggalkan Sepanyol sambil membawa barangan keperluan masing-masing.
Tentera yang sama juga memaklumkan jaminan keselamatan bagi mereka
yang ingin meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih ramai yang meragui
tawaran tersebut.
Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan
telah disediakan untuk membawa mereka belayar, barulah mereka menerima
tawaran berkenaan.
Keesokan harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar membawa
barang keperluan menuju pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak
mempercayai tawaran tentera Salib itu, mereka terus bertahan dan
bersembunyi di rumah masing-masing.
Sesudah umat Islam berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang ditinggalkan, kemudian membakarnya.
Umat Islam yang ada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera
Kristian membakar kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari
Sepanyol.
Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa
kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita dan kanak-kanak,
sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus.
Setelah menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu
dibunuh kejam tanpa secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus
terdengar, tetapi secara buas tentera Kristian semakin ganas membunuh
warga awam yang sama sekali tidak berdaya.
Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir
dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan
bertukar menjadi merah kehitamhitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam
sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan.
Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, apa
yang pasti, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara
tersebut.
Umat Islam diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan
pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan
serta tidak ada langsung belas kasihan.
Mereka (penganut Kristian di Sepanyol ketika itu) tidak mahu Islam
wujud langsung. Ekoran itu, umat Islam amat tersepit, sehingga ada yang
mengaku Kristian, padahal mereka masih Muslim. Ia terpaksa dibuat kerana
terlalu perit ancaman yang terlalu sukar untuk diceritakan secara
lisan.
Sebenarnya, Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 Hijrah di bawah
kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz
bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada
tahun itu, Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri paling makmur.
Pasukan Islam tidak hanya berhenti di Sepanyol, malah terus
memperbesarkan empayar ke negara sekitar seperti Perancis. Kota
Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan Tours.
Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas,
tetapi mereka tetap mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro
di daerah sebelah barat yang juga kawasan pergunungan.
Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam
begitu baik dan rendah diri, ia terus mendorong warga Sepanyol yang
tulus dan ikhlas memeluk Islam.
Mereka bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan
secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah
laku berdasarkan al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam
abad.
Pemimpin Islam ketika itu cukup berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman
al-Dakhil sebagai contoh, adalah individu yang menyambung Kerajaan Bani
Umayyah di Andalus setelah Umayyah di pusat iaitu di Damsyik telah
jatuh.
Abdul Rahman al-Dakhil pernah dijemput oleh pemimpin Kristian yang
dibantunya ketika memerangi musuh. Beliau turut dipelawa minum arak,
tetapi ditolak secara diplomasi dengan berkata: �Aku memerlukan tambahan
untuk otakku bukan untuk mengurangkannya".
Pun begitu, ketika Islam kian kukuh di Andalus berabad-abad lamanya,
ia tetap dikeliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk
menghapuskan Islam, tetapi selalu gagal.
Beberapa kali dicuba, namun tidak berhasil. Mereka kemudian
menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol.
Akhirnya perisik menemui cara bagi menakluki Islam di Sepanyol, iaitu
melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya.
Musuh kemudian secara senyap menghantar arak secara percuma ke
wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan muda agar
lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran.
Punca lain adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga
mewujudkan 20 puak yang mempunyai negeri masing-masing. Antaranya Bani
Jahur, Bani �Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun.
Ekoran wujudnya pelbagai puak, mudahlah musuh Islam di Andalus
merebut kembali tanah. Apa yang menyedihkan, ada umat Islam yang
�menjual� agama dan negara demi kepentingan peribadi.
Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika berdepan dengan
rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan Raja
Kristian Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut.
Habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi
dan membayar �jizyah� tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti
dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang
dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik, apabila
berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.
Sebenarnya, 800 tahun bukan singkat. Selepas umat Islam
�menghidupkan� Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding
bangsa lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak
pernah wujud.
Apa yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu.