PEMBIAKAN DAN KONSERVASI EX-SITU DI PUSAT-PUSAT KONSERVASI HIDUPAN LIAR
Bahagian Konservasi Ex-situ juga bekerjasama dengan Jabatan PERHILITAN negeri di dalam program pembiakan dan konservasi yang melibatkan Pusat-pusat Konservasi Hidupan Liar yang disenaraikan seperti di bawah. Ia bertujuan untuk menambahkan bilangan spesies hidupan liar di dalam kurungan. Selain daripada program pembiakan, program-program kesihatan juga dikoordinasi dan dilaksanakan oleh bahagian ini di dalam membantu pengurusan hidupan liar di dalam kurungan.
Senarai Pusat-Pusat Konservasi Hidupan Liar:
1.Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Batu Pahat, Perlis
Selain daripada Napuh (Tragulus napu), Pelanduk (Tragulus javanicus) dan Kijang (Muntiacus muntjac) juga dipelihara di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Batu Pahat ini. Semua Pelanduk dan Napuh dipelihara dan dibiakkan di dalam sangkar pembiakan. Manakala Kijang pula ditempatkan di dalam sangkar pembiakan yang berasingan. Keluasan keseluruhan kawasan untuk projek ini adalah 27 hektar tetapi hanya 3 hektar atau 9 % sahaja dari keseluruhan kawasan dibangunkan untuk program pembiakan hidupan liar di kawasan tersebut.
Sehingga kini, bilangan hidupan liar yang terdapat di PKHL ini adalah sebanyak 42 ekor Pelanduk, 37 ekor Napuh dan 10 ekor Kijang.
2.Pusat Konservasi Hidupan Liar Bukit Pinang, Kedah
Selain daripada PKHL Bota Kanan, Perak, sebuah lagi Pusat Konservasi Hidupan Liar bagi spesies Tuntung terdapat di Bukit Pinang, Kota Setar, Kedah. Pusat ini ditubuhkan dalam tahun 1981 dan memelihara dua spesies Tuntung iaitu Tuntung Sungai (Batagur baska) dan Tuntung Laut (Callagur borneoensis). Tidak banyak perbezaan yang terdapat di antara kedua-dua spesies ini kecuali pada cengkerang dan bahagian kepalanya. Walau bagaimanapun, bilangan Tuntung Sungai adalah lebih banyak terdapat di dalam peliharaan pusat ini.
Sehingga kini, bilangan Tuntung yang terdapat di pusat ini adalah sebanyak 302 ekor. Sebagai menyokong usaha konservasi, Tuntung ini dilepaskan semula ke sungai secara berperingkat.
Sebagaimana pembiakan Tuntung di Bota Kanan, telur-telur Tuntung diperolehi dari peraih-peraih berlesen pada setiap kali musim bertelur. Semua telur ini akan dieram di dalam pasir secara semula jadi sepanjang tempoh 75 hingga 100 hari sebelum ianya menetas. Anak-anak yang baru menetas akan dikutip dan dipelihara di dalam kolam khas yang telah ditetapkan, berasingan daripada Tuntung dewasa
3.Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak
Terletak di dalam Rezab Hidupan Liar Sungai dengan keluasan 2468 hektar, Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai adalah salah satu pusat konservasi yang diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan PERHILITAN. Tujuan Pusat Konservasi Ex-situ ini ditubuhkan adalah sebagai salah satu usaha konservasi Jabatan untuk spesies Burung Kuang, Seladang dan Rusa. Kemudahan yang terdapat di pusat ini termasuklah sangkar pembiakan spesies Burung Kuang, padok Rusa dan padok Seladang. Selain itu, terdapat juga makmal yang menyediakan kemudahan bilik yang dilengkapi dengan peralatan seperti inkubator untuk membantu pengeraman dan penetasan telur.
Di sini, terdapat 77 ekor Rusa Sambar (Cervus unicolor) iaitu 15 ekor Rusa Sambar Semenanjung dan 62 ekor Rusa Sambar Borneo serta terdapat juga 20 ekor Seladang (Bos gaurus hubbacki). Terdapat enam spesies Burung Kuang iaitu Merak Pongsu (Polyplectron malacense), Merak Hijau (Pavo muticus), Merah Mata (Lophura erythropthalma), Kuang Raya (Argusianus argus), Kuang Cermin (Polyplectron inopinatum) dan Ayam Pegar (Lophura ignita).
4.Pusat Konservasi Hidupan Liar Bota Kanan, Perak
Tuntung Sungai (Batagur baska) dan Tuntung Laut (Callagur borneoensis) merupakan spesies Reptilia yang di pelihara dalam kolam-kolam pembiakan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Bota Kanan. Spesies Tuntung ini dipelihara dan dibiakkan bagi mengelak kepupusan akibat aktiviti-aktiviti pengambilan pasir-pasir sungai yang tidak terkawal. Pasir sungai merupakan komponen utama di dalam habitat semula jadi spesies ini.
Pusat Konservasi Hidupan Liar Bota Kanan merupakan pusat Tuntung yang terbesar dengan bilangan yang mencapai 463 ekor. Selain daripada menjadi kawasan bagi pemuliharaan spesies Tuntung, ia juga merupakan pusat penyelidikan bagi penyelidik dari dalam dan luar negara terutamanya bagi pelajar-pelajar yang meminati spesies hidupan liar ini.
Telur-telur Tuntung yang diperolehi pada setiap musim bertelur akan dieramkan secara semula jadi di dalam kawasan berpasir yang terdapat di sekitar kawasan pusat. Tempoh masa pengeraman telur-telur Tuntung ini adalah di antara 75 hingga 100 hari. Terdapat sepuluh buah kolam pembiakan Tuntung, di mana setiap kolam pembiakan ini memelihara Tuntung mengikut peringkat umur masing-masing bermula daripada umur sehari penetasan sehingga umur dewasa. Tuntung tertua yang terdapat di sini berusia 37 tahun
.
5.Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor
Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun ini siap sepenuhnya pembinaan pada bulan April 2000 dengan kos pembinaan sebanyak RM3,600,000.00. Tujuan asal pembinaan ialah bagi projek konservasi Badak Sumatera yang merupakan antara spesies yang diancam kepupusan di negara ini
Pada tahun 2004, pusat konservasi ini tidak lagi menjalankan pemuliharaan Badak Sumatera tetapi tumpuan dijalankan terhadap projek konservasi Badak Cipan (Tapirus indicus). Sebagai permulaan tiga ekor Badak Cipan telah ditempatkan dalam kandang-kandang yang sedia ada. Dalam bulan Mac 2005, seekor anak Badak Cipan jantan telah dilahirkan. Pada Mei dan Jun 2007, sepasang anak kembar Badak Cipan telah dilahirkan dalam bulan yang berasingan, daripada ibu yang sama di pusat ini. Ia merupakan rekod pertama dunia yang bersejarah di PKHL Sungai Dusun. Ini kerana ia adalah anak kembar pertama spesies ini yang dilahirkan di dalam kurungan
Sehingga kini, selain daripada Badak Cipan, spesies hidupan lain seperti Buaya Julung-julung (Tomistoma schlegeliidan) juga dipelihara dan terlibat dalam program konservasi ex-situ di sini. Program Konservasi Hidupan Liar Landak Raya (Hystrix brachyura) juga dijalankan di sini bagi menyokong program Pembiakan Komersial Landak Raya oleh penternak. Sehingga kini, bilangan Landak Raya yang terdapat di pusat ini telah mencapai 150 ekor
.
6.Pusat Konservasi Hidupan Liar Bangas, Johor
Pusat ini ditubuhkan pada tahun 2000 dan menjalankan program konservasi terhadap spesies Kijang. Dua spesies Kijang yang terdapat di pusat ini adalah Kijang Semenanjung (Muntiacus muntjac) dan Kijang dari Borneo (Muntiacus atherodes).
Pusat ini bermula dan beroperasi sepenuhnya pada bulan Februari 2003 dengan lima ekor Kijang dari baka berlainan iaitu baka Semenanjung dan Borneo. Baka Semenanjung diperolehi dari Zoo Taiping, manakala baka Borneo diperolehi dari Jabatan PERHILITAN Perlis. Kelahiran pertama dua ekor anak Kijang di pusat konservasi ini ialah pada bulan April dan Mei 2004. Sehingga kini, terdapat 40 ekor Kijang kesemuanya
.
7.Pusat Konservasi Hidupan Liar Jemaluang, Johor
Tujuan penubuhan pusat ini ialah untuk menjadikan ia projek kedua pemuliharaan Burung Kuang selepas Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak. Bilangan spesies Kuang yang terdapat di pusat ini adalah sebanyak lima spesies yang terdiri dari Merak Pongsu (Polyplectron malacense), Merak Hijau (Pavo muticus), Merah Mata (Lophura erythropthalma), Kuang raya (Argusianus argus) dan Pegar (Lophura ignita).
Sehingga kini, terdapat 11 ekor Kuang Raya, 4 ekor Merah Mata, 28 ekor Merak Pongsu dan 4 ekor Merak Hijau. Kesemua Burung-burung Kuang ini ditempatkan di dalam sebuah sangkar besar di mana terdapat 22 sangkar kecil berasingan mengikut spesies di dalamnya. Setiap spesies dipelihara secara berpasangan bagi menjayakan program pembiakan
.
8.Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, Pahang
Pusat konservasi ini ditubuhkan dalam tahun 1976 dan menjalankan pembiakan spesies Seladang (Bos gaurus hubbacki) yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Dua buah lagi pusat konservasi spesies ini ialah di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak dan Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang, Kelantan. Kemusnahan habitat semula jadi akibat pembukaan beberapa kawasan hutan di Semenanjung Malaysia untuk pembangunan dan pertanian serta pemburuan haram merupakan antara faktor yang mengancam populasi.
Dari tahun 1982 hingga tahun 2004 Jabatan telah menangkap empat ekor Seladang jantan dan dua ekor Seladang betina dari habitat liar sebagai perintis program pembiakan spesies ini. Keenam-enam ekor Seladang ini diperolehi melalui operasi tangkapan baka Seladang yang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia bagi menangkap Seladang-seladang yang terancam akibat pembukaan kawasan hutan yang tidak terurus.
Kelahiran pertama anak Seladang dalam kurungan pada 12 April 1985 menandakan kejayaan bagi program konservasi spesies hidupan liar ini. Dari tahun ke setahun, bilangan ini bertambah dan pertambahan bilangan spesies ini menarik perhatian masyarakat untuk melihat hidupan liar ini dengan lebih dekat lagi. Sehingga kini, bilangan Seladang ialah 43 ekor kesemuanya. Seladang-seladang ini dipelihara secara berkumpulan termasuk ibu dan anak, berpasangan atau individu mengikut keperluan.
Selain itu, Jabatan PERHILITAN juga telah mengadakan program kerjasama dengan pihak MARDI dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (Aplikasi Bioteknologi di dalam Konservasi dan Pembiakan Hidupan Liar yang Bernilai Komersil) pada 3 Oktober 2005. Di mana, ia melibatkan program pembiakan spesies Seladang di Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, Pahang. Ini secara langsung akan menumpu kepada penambahan bilangan Seladang di dalam kurungan dengan kaedah-kaedah aplikasi pembiakan biotek terkini.
9.Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang, Kelantan
Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang ini terletak di sebuah kawasan dataran yang dikelilingi oleh hutan-hutan serta bukit-bukit batu kapur. Spesies yang diperkenalkan di kawasan projek ini ialah Rusa Sambar (Cervus unicolor).
Pusat ini merupakan Pusat Konservasi Hidupan Liar yang terdapat bilangan Rusa yang terbanyak disamping Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak. Sehingga kini, bilangan Rusa Sambar yang terdapat dalam pemuliharaan pusat ini ialah sebanyak 71 ekor
.
10.Pusat Konservasi Hidupan Liar Bukit Paloh, Terengganu
Pusat Konservasi Hidupan Liar Bukit Paloh, Terengganu juga merupakan pusat Tuntung di bawah Jabatan PERHILITAN. Tuntung Sungai (Batagur baska) merupakan spesies Tuntung yang di pelihara dalam kolam-kolam pembiakan di pusat ini.
Telur-telur Tuntung yang diperoleh daripada peraih-peraih berlesen pada setiap musim bertelur akan dieramkan secara semula jadi di dalam kawasan berpasir yang terdapat di sekitar kawasan pusat tersebut Tempoh masa pengeraman telur-telur Tuntung ini adalah di antara 75 hingga 100 hari. Terdapat lapan buah kolam pembiakan Tuntung, di mana setiap kolam pembiakan ini memelihara Tuntung mengikut peringkat umur masing-masing bermula daripada umur sehari penetasan sehingga umur dewasa. Tuntung induk dipelihara di kolam berasingan. Sehingga kini, terdapat 1456 ekor Tuntung Sungai yang dipelihara di pusat ini.
PEMBIAKAN KOMERSIL
Sehingga kini, dua spesies hidupan liar; Pelanduk dan Landak Raya telah mula dibiak di bawah program pembiakan komersil. Program pembiakan komersil secara sistem pawah telah bermula bagi spesies Pelanduk (Tragulus javanicus).
Pada tahun 2006, Jabatan PERHILITAN telah mengadakan satu lagi program kerjasama dengan pihak ABI ke atas spesies Landak Raya dengan waran (daripada ABI) berjumlah RM1.25 juta. Program–program penyelidikan bersama juga dijalankan dengan pihak universiti-universiti tempatan dan luar negara.
Bagi Landak Raya (Hystrix brachyura), dua projek telah dimulakan bersama orang awam. Projek ini telah dimulakan pada awal tahun 2005 di Negeri Sembilan dan sehingga kini terdapat 20 ekor Landak jantan dan 30 ekor Landak betina. Pada tahun 2006, sebuah lagi projek pembiakan Landak Raya dijalankan di Banting, Selangor. Sebanyak 32 ekor Landak yang dipelihara. Projek ini diteruskan dan sehingga kini, lebih daripada 10 projek Pembiakan Komersial Landak Raya telah dijalankan. Kesemua landak ini telah dipasang dengan mikrocip bagi tujuan pengesanan. Pegawai Veterinar dan Pegawai Hidupan Liar Jabatan akan memberi khidmat nasihat di samping memantau perlaksanaan projek tersebut. Status terkini Projek Pembiakan Komersil Landak Raya ialah pada peringkat pengurusan dalam kurungan dan pembiakan. Sebuah buku bertajuk Ternakan Komersil Hidupan Liar Malaysia Landak Raya (Hystrix brachyura) telah diterbitkan dan boleh dijadikan panduan kepada bakal-bakal penternak yang berminat.
Objektif utama program ini adalah untuk memastikan pertambahan yang tinggi bagi populasi hidupan liar di dalam kurungan yang boleh diperolehi melalui sistem pembiakan yang teratur dan aplikasi bioteknologi pembiakan terkini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa aspek aplikasi bioteknologi di dalam spesies ini yang perlu dikaji. Walaupun keutamaan diberikan kepada pembiakan, dan skop genetik molekul, nilai-nilai tambah yang lain juga perlu dibangunkan bagi memperkukuhkan keperluan penggunaan spesies ini secara lestari. Program pembiakan komersil ini juga telah mengambil kira kepentingan konservasi sesuatu spesies dan penggunaannya secara lestari.
No comments:
Post a Comment