Wednesday, December 26, 2012

Champa: Tumbangnya Kerajaan Melayu Terawal


Bendera Champa

Champa adalah tempat paling awal yang di diami oleh orang Melayu (kaum tertua yang wujud di Indo-China) di nusantara ini. Catatan sejarah China menyebut bahawa telah wujud sebuah negeri yang ditulis sebagai Lin Yi (Champa) pada tahun 192 Masehi. Bagaimana pun ahli sejarah sedang berusaha untuk mendapatkan petunjuk bagi membuktikan sejarah Champa telah bermula (semenjak tahun 137 Masehi) lebih awal dari tarikh yang nyatakan tersebut.
Negara Champa (Berwarna Hijau)


Negara Champa yang  telah diwujudkan oleh bangsa Melayu tersebut merupakan negara berasaskan negara kota perdagangan dan pelabuhan. Masyarakat Melayu Champa adalah golongan ahli perniagaan yang diwarisi dari datuk nenek mereka semenjak ribuan tahun lampau. Selain dari penganut agama yang taat, mereka juga adalah pelaut yang paling mahir di dunia. Kemahiran mereka menguasai dunia lautan menyebabkan masyarakat antarabangsa pada zaman dahulu menamakan Laut Champa, yang ratusan tahun kemudian ditukar menjadi Laut China Selatan.
Ilustrasi Perang Champa


Kestabilan Champa mula tergugat apabila Dai Viet (Annam atau Vietnam) telah mendapat pembebasan dari negeri China pada tahun 938 Masehi. Sebaik sahaja mengisytiharkan kemerdekaan, beserta dengan alasan bahawa penduduknya semakin ramai, maka kerajaan Vietnam memulakan kempen memperluaskan kawasan jajahan dengan menakluk negara jiran seperti Kemboja dan Champa. Serangan pertama yang dilancarkan oleh Vietnam pada tahun 982 Masehi. Semenjak itu bermulalah episod perang antara Champa dan Vietnam yang akhirnya membawa kehancuran Champa dan lenyap dari peta dunia.
Senjata Champa: Double Bow (Panah Berkembar)


Peperangan di antara Champa dan Vietnam telah memakan masa ratusan tahun, dengan diselangi pelbagai rencah politik dari negara tetangganya seperti China, Khemer (Angkor atau Kemboja) serta Ayuthia (Siam). Letusan perang tersebut berlanjutan sehinggalah kejatuhan Vijaya, ibu negari Champa pada tahun 1471. Serangan yang disertai seramai 250,000 orang tentera Vietnam telah mengakibat kemusnahan besar terhadap orang Melayu Champa. Selain ibu kota mereka dijajah, berpuluh ribu rakyat Champa telah terkorban dan menjadi tawanan perang. Raja Champa yang bernama Ban La Tra Toan (Raja Chanranekalawa) serta kaum kerabat baginda juga turut terkorban dalam serangan tersebut.
Pedang Champa: Sebelum Kedatangan Islam


Kejatuhan Kota Vijaya ke tangan Vietnam tersebut menyebabkan menantu Raja Chanranekalawa, Wan Bo Tri Tri memindahkan ibukota Champa ke Panduranga. Wan Bo Tri Tri kemudian ditabalkan menjadi Raja Champa yang juga dikenali sebagai Sultan Wan Abu Abdullah (Raja Champa 1471 – 1478).
Pedang Champa: Selepas Kedatangan Islam, Pengaruh Budaya Islam Telah Diserap Pada Reka Bentuk Pedang


Era pemerintahan Wan Bo Tri Tri, Champa mula berubah corak. Agama Islam telah berkembang pesat. Bahasa Melayu Sanskrit tidak lagi digunakan dan kebudayaan Hindu-Budha telah dicampur dengan kebudayaan Islam yang dibawa dari Patani dan India. Pelabuhan Panduranga dibina dan kemudahan diperluaskan. Raja-raja daerah atau raja adat dari pelbagai kaum mula bersatu dan boleh bekerja sama di bawah panji Islam. Kekuatan tentera mulai tersusun  dan Champa mula kembali membangun dan bertambah maju sehinggakan negeri-negeri yang bersempadan mula teragak-agak untuk memulakan serangan.
Antara Senjata Tentera Champa
Bagaimana pun, selepas era Wan Bo Tri Tri, Champa mulai diganggu gugat semula oleh musuh tradisi iaitu Vietnam. Sehinggalah pada tahun 1577, Champa dibawah pemerintahan Po Rome atau Sultan Abdul Hamid Syah (Raja Champa 1577 – 1657). Po Rome telah cuba mengumpul kekuatan dan mempertahankan bumi Champa namun pada tahun 1832, Champa telah dihapuskan namanya dari peta dunia oleh Vietnam. Maka berakhirlah Kerajaan Melayu Champa yang telah terdiri di muka bumi ini lebih dari 1,000 tahun (192 – 1832 Masehi).
Bangsa Melayu Champa adalah sebuah bangsa yang taat dalam beragama, ahli perniagaan serta pelayar samudera yang hebat. Akhirnya terperangkap dalam kemelut politik dan perang negeri jirannya Vietnam. Champa adalah bukan sebuah negara yang lemah dari segi pertahanannya, tetapi banyak faktor dalaman  dan luaran yang menyebabkan kejatuhan kerajaannya.
Jika diamati dengan cermat, Sejarah Patani adalah seakan atau bayangan kepada Sejarah Champa. Kedua-dua sejarahnya telah dikaburkan oleh pihak-pihak pernah datang untuk melemahkan bangsa Melayu suatu masa dahulu.
Anak-anak Melayu haruslah mengkaji kedua-dua sejarah Champa dan Patani itu. Champa adalah tempat mula berkembangnya bangsa Melayu di nusantara, manakala Patani pula adalah pusat dakwah untuk menyebarkan Islam di juga nusantara suatu masa dahulu. Tetapi kebangkitan Islam juga adalah bermula dari Champa seterusnya ke seluruh pelusuk nusantara!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...