Assalamualaikum dan selamat sejahtera, berikut disenaraikan 9 kes
pembunuhan kejam yang berlaku di Malaysia.. Ada di antara pembunuhnya
sudah ditangkap, sudah menerima hukuman dan ada yang masih bebas..
1. PEMBUNUHAN DATUK MAZLAN IDRIS – 23 Julai 1993
Penjenayah yang terkenal dengan senyuman yang ‘mengerikan’ telah
membunuh dengan kejam ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk
Mazlan Idris dengan mengerat Datuk Mazlan sebanyak 18 kerat. Mona
bersama suaminya Nor Affandi Abdul Rahman dan pembantunya Juraimi Hassan
telah disabitkan bersalah atas pembunuhan yang dilakukan.
Allahyarham Datuk Mazlan Idris (Baju Biru)
Mona terkenal sebagai bomoh kepada beberapa ahli politik tanahair
telah menawarkan Datuk Mazlan tongkat dan azimat yang menurutnya milik
bekas Presiden Indonesia, Sukarno dengan harga 2.5juta ringgit. Datuk
Mazlan yang menganggap Mona sebagai bomoh peribadinya bersetuju namun
beliau membayar terlebih dahulu wang pendahuluan sebanyak RM500,000.
Episod ngeri bermula apabila Datuk Mazlan disuruh berbaring dan
mengadap ke siling. Mona dan Affendi menyakinkan Datuk Mazlan bahawa
‘duit akan turun daripada langit’. Namun, ia hanya helah Mona dan
Affendi. Juraimi yang telah menerima arahan daripada Mona dan Affendi
telah menetak leher Datuk Mazlan. Selepas itu, Juraimi secara
berseorangan mengerat 18 anggota badan Datuk Mazlan.!
Mona dan Juraimi akhirnya tertangkap apabila dilihat membeli-belah
secara rakus hasil wang daripada Datuk Mazlan yang telah dibunuhnya.
Tersebarnya kisah pembunuhan Datuk Mazlan yang dikerat 18 telah
menggerunkan seluruh rakyat Malaysia tambah-tambah dengan dakwaan bahawa
Mona adalah seorang bomoh.
Mona, Affendi dan Juraimi akhirnya telah dihukum gantung sampai mati
pada 2hb November 2001 bersamaan hari Jumaat. Mayat Mona dikebumikan di
kampung halamannya di Pahang. Paling diingati adalah Mona sempat
tersenyum sambil berteriak ‘aku takkan mati’ sebelum beliau dihukum
gantung. Ya, beliau sehingga hari ini ‘tidak pernah mati’ dalam kamus
jenayah di Malaysia. Jenayah yang beliau lakukan bagaikan penanda aras
jenayah kejam di Malaysia.
2. PEMBUNUHAN NORITTA SAMSUDDIN -25 Disember 2003
Kes pembunuhan Eksekutif Akaun sebuah syarikat dan model sambilan
sehingga ke hari ini masih lagi diselubungi misteri. Pembunuh sebenar
Noritta Samsuddin masih belum terjawab. Miskipun Jurutera awan di sebuah
badan kerajaan, Hanif Basree Abdul Rahman, 36, yang dituduh membunuh
Noritta, 22, di Unit D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria di Jalan
17, Sri Hartamas, antara 1.30 pagi dan 4 pagi pada 25 Disember 2003.
ditahan dan dibicara, ternyata bukan Hanif yang membunuhnya. Hanif
diistisyharkan mahkamah sebagai tidak bersalah dan terlepas hukuman
gantung sampai mati akibat kekurangan bukti.
Mayat Noritta ditemui dalam keadaan menyayatkan hati di mana mayatnya
dalam keadaaan bogel diikatkan tangannya di belakang dengan wayar
dijerutkan ke leher dan mulut disumbat kain. Kaki Noritta juga diikat.
Dipercayai, Noritta telah dirogol terlebih dahulu sebelum dibunuh.
Pembunuhan Noritta diselubungi kisah-kisah yang mengaibkan
terutamanya kisah peribadinya. Hasil autopsi pihak forensik ternyata
terdapat takungan air mani yang banyak. Ini memungkinkan bahawa mangsa
telah dibunuh bukan hanya seorang tetapi beramai-ramai. Namun, ia masih
menjadi misteri kerana sehingga hari ini, pembunuh sebenar Noritta gagal
dikenalpasti.
Walaubagaimanapun, pihak polis telah menahan beberapa individu:
1. Bekas kekasih Noritta – Hanif Basree Abdul Rahman, 36. (sumber: The Star, 8 December)
2. Shahfrul Azrin Azman, seorang broker saham mata wang asing (sumber: The Star, 9 December & Harian Metro)
3.Rakan serumah Noritta. (The Star, 9 December)
4. Lim Sean Kea, 38 iaitu teman lelaki Noritta: dilaporkan beliau akan berkahwin dengan Noritta.(The Star, 9 December)
5. Kenneth Michael Yap Teik Huat dan Nor Azora Abdul Hamid, teman serumah Noritta.
6. Mikko Kouko Johannes Jarva, seorang rakyat Finland direman 10 hari
oleh Mahkamah Majistret di sini semalam berhubung kes pembunuhan
eksekutif pemasaran, Noritta Samsudin di kondominium Puncak Prima
Galleria, Sri Hartamas, 5 Disember lalu. (Berita Harian, 13 December)
7. Turut dibawa ke mahkamah untuk direman bersama-sama Mikko ialah dua lelaki, Suhaimi Sanusi, 37
8. Khairul Anuar Kamaruddin, 22, yang diperintah ditahan reman selama 10 hari oleh Majistret Arleen Ramly.
Dalam kes Noritta Samsuddin timbul desas-desus bahawa terdapat orang
kenamaan yang terlibat sebagai perancang pembunuhan ini namun ia dinafi
sekeras-kerasnya oleh pihak berkuasa.
3. PEMBUNUHAN CANNY ONG -18 Jun 2003
Penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Li Kian diculik di pusat
beli-belah di Bangsar pada 13 Jun 2003 sebelum mayatnya yang rentung
ditemui dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru,
Petaling Jaya pada 17 Jun 2003.
Pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris dijatuhkan hukuman
gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas
tuduhan membunuh dan merogol penganalisis teknologi maklumat (IT), Canny
Ong Lay Kian. Beliau yang belajar setakat tingkatan tiga bergenang air
mata apabila hukuman mati dijatuhkan ke atasnya. Difahamkan bahawa,
Ahmad Najib membunuh mangsa hanya kerana melihat Canny Ong yang cantik
dan ramping.
Plot tragis itu bermula apabila Canny yang ditemani ibunya, Pearly
Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis makan malam di
Restoran Monte di Pusat Beli-belah Bangsar (BSC), tempat di mana Ahmad
Najib melihat beliau. Dia kemudiannya hilang dipercayai diculik bersama
kereta Proton Tiara bernombor pendaftaran WFN 6871.
Mayat Canny kemudiannya dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah
lubang pembetungan seluas 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya
bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu.
Mayatnya dijumpai tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam
lubang pembetungan itu empat hari selepas dia diculik dari tempat
meletak kereta BSC. Kisah pembunuhan Canny Ong telah mengempar seluruh
rakyat Malaysia.
4. PEMBUNUHAN ALTANTUYAA SHARIIBU -27 November 2006
Wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibu, 28, dibunuh menggunakan bahan
letupan di Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober
dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Penganalisis Politik, Abdul Razak Baginda,Cif Inspektor Azilah Hadri
dan Koperal Sirul Azhar Umar ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.
Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar adalah daripada Unit Tindakan Khas.
Mayat Altantuyaa ditemui dalam keadaan mengerikan di mana cebisan
daging-daging mayat ditemui bertebaran di Hutan Simpan Puncak Alam,Shah
Alam, Selangor berhampiran dengan Empangan Tasik Subang. Manakala kesan
bakar akibat letupan C4 ditemui di Mukim Bukit Raja. Diakui oleh pihak
forensik, bahan letupan C4 digunakan bagi menghapuskan mayat.
Azilah(baju putih) dan Sirul(baju kuning) kelihatan berlegar-legar di Hotel Malaya di mana Altantuya menginap.
Pada 9 April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zaki Md Yasin
memutuskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar
dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh
Altantuyaa Shaariibu, 28 manakala Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan
Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48 dibebaskan
tanpa perlu membela diri selepas mahkamah gagal menyabitkan beliau
dengan elemen bersubahat.
Pembebasan Abdul Razak Baginda memberi 1001 persoalan bahawa siapakah
dalang utama dalam pembunuhan Altantuyaa Shariibu kerana pada logik
akalnya Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar daripada Unit Tindakan Khas
adalah anggota beruniform yang mengikut setiap arahan daripada ‘ketua’
nya. Jadi, apabila Abdul Razak Baginda dibebaskan, siapakah ketua mereka
yang sebenarnya?
Apa yang penting dalam kes ini, setiap satu perkara diselesaikan, ia menimbulkan persoalan daripada memberikan jawapan.
5. PEMBUNUHAN NURIN JAZLIN JAZIMIN-30 Ogos 2007
Nurin Jazlin Jazimin, 8, dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas
keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1,
Wangsa Maju. Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan
yang ditinggalkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya.
Hasil bedah siasat mendapati dia mati akibat didera secara seksual yang
melampau.
Setakat hari ini, masih belum berlaku tangkapan berkaitan dengan
pembunuhan Nurin Jazlin Jaziman. Walaubagaimanapun, dipercayai bahawa
lelaki misteri yang digelar lelaki kucing adalah dalang utama pembunuhan
Nurin Jazlin dan beberapa kanak-kanak yang dilaporkan mengalami modus
operandi yang hampir sama.
Pembunuhan Nurin Jazlin menimbulkan fenomena di kalangan masyarakat
Malaysia di mana kaum ibu merasakan tidak lagi selamat membiarkan
anak-anak mereka bermain di kawasan permainan tanpa seliaan mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil telah tampil memberi beberapa saranan bagi
menghindari kejadian penderaan dan pembunuhan kanak-kanak bawah umur
daripada terus berleluasa.
Akibat daripada liputan meluas media massa, media cetak dan media
elektronik, semasa majlis perkebumiaan Nurin Jazlin Jazimin beribu-ribu
orang termasuk ahli keluarga, rakan sekolah Nurin, guru-guru sekolah
Nurin, petugas media, dan orang ramai bersesak-sesak untuk menyaksikan
sendiri buat kali terakhir kanak-kanak malang tersebut disemadikan.
Malah semasa sembahyang jenazah adik Nurin, Abdul Aziz Elias Zahari
yang mengetuai sembahyang jenazah tersebut menangis bersama-sama ratusan
makmum ketika membaca doa kepada adik Nurin. Bergitulah kesannya
pembunuhan tragis Nurin Jazlin Jazimin pada kaca mata rakyat Malaysia.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada pihak berkuasa bagi menangkap pembunuh sebenar adik Nurin. InsyaAllah.
6. PEMBUNUHAN DI GEMENCHEH
TAMPIN: Empat beranak ditemui mati dalam keadaan ngeri termasuk
seorang tanpa kepala dipercayai dibunuh di dua rumah berasingan yang
terletak berdekatan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh dekat sini,
semalam.
Mangsa dikenali Atan Daud, 90, yang juga bekas imam masjid kampung
berkenaan serta isterinya, Sofiah Keatas, 80, menantu pasangan warga
emas itu, Ismail Awang, 76, dan anak Ismail, Siti Khadijah Ismail, 22.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata empat
beranak itu dipercayai dibunuh kira-kira jam 10 pagi, tetapi kejadian
berkenaan hanya disedari selepas seorang lagi anak Ismail, Siti Mariam,
18, pulang dari sekolah pada jam 3.30 petang.
Katanya, terdapat kesan tetakan dan tikaman pada semua mangsa dengan
pisau tercacak pada dada Siti Khadijah, manakala Atan putus tangan kiri,
Sofiah putus tangan kanan dan Ismail pula putus kepala.
“Polis menolak motif samun dan sedang menyiasat semua kemungkinan,
termasuk perselisihan faham. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Gemencheh dekat
sini, malam tadi.
Osman berkata, polis turut menemui sebilah pisau dan parang yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.
Sehubungan itu, katanya, polis sedang mencari cucu bekas imam itu, Rashidi Ismail, 34, bagi membantu siasatan.
Katanya, Rashidi menunggang motosikal Suzuki biru dengan nombor
pendaftaran BAY 2805 dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat
mengenainya supaya menghubungi mana-mana balai polis dengan segera.
Mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali
memberitahu dia antara terawal tiba di tempat kejadian selepas
dimaklumkan Siti Mariam.
Rashidi Ismail
Katanya, Ismail sepatutnya mengambil Siti Mariam di sekolah, tetapi
sehingga kira-kira jam 2 petang, Allahyarham tidak tiba seperti biasa.
“Siti Mariam kemudian menelefon bapanya dan kakaknya, Siti Khadijah, tetapi kedua-dua panggilan itu tidak dijawab.
“Dia kemudian pulang sendiri dengan menaiki bas dan apabila tiba di
rumah, Siti Mariam mendapati kakaknya sudah tidak bernyawa dengan pisau
tercacak di dada,” katanya.
Berikutan itu, Siti Mariam meluru ke rumah datuknya yang terletak
hanya kira-kira 20 meter dari rumahnya, tetapi terkejut apabila menemui
pasangan warga emas itu turut mati bergelimpangan.
“Pembunuhan Ismail pula disedari selepas penduduk menemui mayat tanpa kepala di rumah pasangan warga emas itu,” katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati kedua-dua rumah berkenaan terletak dalam satu kawasan berpagar dengan jarak kira-kira 20 meter.
Kedua-dua rumah itu juga terletak dalam kebun getah dan terpencil dari rumah lain dengan rumah terdekat kira-kira dua kilometer.
Kepala di Shah Alam
SHAH ALAM: Misteri kehilangan kepala seorang daripada mangsa
pembunuhan kejam membabitkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan,
Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, kelmarin, terjawab apabila polis
menemui anggota badan manusia itu yang ditanam di sebuah tanah
perkuburan dekat sini, tengah malam tadi.
Kerja penggalian sebuah lubang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21
di sini, dilakukan sepasukan anggota Unit Forensik, Polis Diraja
Malaysia (PDRM) bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir 20 minit
kemudian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan M Chandra, yang
menyelia operasi penggalian itu, mengesahkan penemuan kepala seorang
daripada mangsa pembunuhan kejam berkenaan.
“Ketika kerja penggalian, anggota forensik menemui satu plastik
mengandungi kepala seorang lelaki dalam lubang yang digali kira-kira 2
kaki (0.6 meter) dalam kawasan tanah perkuburan ini,” katanya kepada
pemberita sejurus operasi berakhir pada jam 12.50 tengah malam tadi.
Menurutnya, anggota badan manusia itu kemudian dihantar ke Gemencheh untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek yang berusia 34 tahun turut dihantar ke Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan sejurus kerja penggalian itu
selesai dengan dipakaikan baju pasung.
Terdahulu, suspek membawa sepasukan polis ke satu lokasi sebelum
menunjukkan tempat kepala mangsa yang juga bapa kandungnya, ditanam di
Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 kira-kira jam 9.45 malam.
Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dari Ibu
Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, kira-kira jam 9.20 malam,
sebelum bertolak ke tanah perkuburan berkenaan.
Anggota Unit Forensik yang tiba di lokasi sama kira-kira jam 11.40
malam, kemudian memulakan kerja menggali di lokasi yang ditunjukkan
suspek.
Berdasarkan pemerhatian wartawan, jarak lokasi penggalian dari pintu masuk utama tanah perkuburan kira-kira 200 meter.
Suspek yang dilaporkan berperwatakan pendiam, ditahan ketika cuba
menyerang seorang anggota polis bantuan berhampiran jejantas di Jalan
Masjid India, Kuala Lumpur, pada jam 4.05 petang semalam.
Dia didakwa bertindak liar dengan mengeluarkan sebilah pisau lalu
menyerang anggota polis berkenaan, sejurus menyedari anggota keselamatan
itu mengawasi gerak-gerinya dengan membandingkan gambar yang diedarkan
pihak berkuasa sebelum ini.
Ketika cuba diberkas, lelaki dikenali sebagai Rashidi mengamuk dan
menyerang seorang anggota polis bantuan menyebabkan berlaku pergelutan
antara kedua-dua mereka hampir 20 minit sebelum suspek berjaya
ditumpaskan dan diberkas anggota pasukan keselamatan itu.
Suspek kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut dan
akhirnya bersetuju membawa polis ke satu lokasi di Shah Alam untuk
menunjukkan tempat dia menanam kepala bapa kandungnya yang dipenggal
dalam kejadian pembunuhan kejam di Gemencheh, kira-kira 24 jam sebelum
itu.
Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, mangsa Atan Daud, 90, yang
juga bekas imam masjid kampung berkenaan, isterinya Sutiah Katas, 80,
menantu pasangan itu, Ismail Awang, 76, dan cucu mereka, Siti Khadijah
Ismail, 22, dibunuh dengan kejam dan mayat mereka ditemui berlumuran
darah di dua rumah yang bersebelahan.
Mayat Atan, Sutiah dan Ismail ditemui adik Siti Khadijah yang baru
pulang dari sekolah dalam keadaan terbaring di ruang tamu dalam rumah
bekas imam berkenaan, manakala mayat Siti Khadijah ditemui di ruang tamu
rumah bersebelahan.
TAMPIN: Polis menemui motosikal yang dinaiki cucu bekas imam yang
mati dibunuh bersama tiga ahli keluarga lain, ditinggalkan berhampiran
Perhentian Bas Tampin pada jam 3 pagi tadi.
Cucu bekas imam itu, Rashidi Ismail, 34, dicari polis bagi membantu
siasatan pembunuhan datuk, nenek, bapa dan adiknya di dua rumah di
Kampung Batang Rokan, Gemencheh dekat sini, semalam.
Mayat mangsa, Atan Daud, 90, yang juga bekas imam masjid kampung
berkenaan serta isterinya, Sofiah Keatas, 80, menantu pasangan warga
emas itu, Ismail Awang, 76, dan anak Ismail, Siti Khadijah Ismail, 22,
ditemui mati dalam keadaan negeri.
Terdapat kesan tetakan dan tikaman pada semua mangsa dengan pisau
tercacak pada dada Siti Khadijah, manakala Atan putus tangan kiri,
Sofiah putus tangan kanan dan Ismail pula putus kepala.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata empat
beranak itu dipercayai dibunuh kira-kira jam 10 pagi, tetapi kejadian
berkenaan hanya disedari selepas seorang lagi anak Ismail, Siti Mariam,
18, pulang dari sekolah pada jam 3.30 petang.
* 5 Jan – Rasidi Ismail, 34, membunuh adik perempuan, bapa, datuk dan
neneknya di kediaman keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh,
Negeri Sembilan.
- Mayat Atan Daud, 90, dan isterinya Sutiah Katas, 80, Ismail Awang,
76, dan Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui sama ada dipenggal, ditikam
atau anggota mereka putus dalam serangan ganas menggunakan parang.
- Rasidi memenggal kepala Ismail sebelum menanamnya di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
* 7 Sept – Rasidi dibebaskan daripada pertuduhan membunuh empat
anggota keluarganya setelah didapati tidak waras semasa melakukan
perbuatan itu.
7. PEMBUNUHAN DATUK SOSILAWATI LAWIYA
6 September 2010
Media melaporkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hilang sejak 30 Ogos
lalu selepas urus niaga pembelian tanah di Banting bersama peguam, Ahmad
Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan
pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44. Sosilawati dikatakan membawa RM4
juta bersamanya.
7 September
Dua kereta BMW, masing-masing dengan nombor pendaftaran WTL 11 dan
AAJ 5, milik Sosilawati dan Ahmad Kamil ditemui. Kereta Sosilawati
ditemui di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah, Subang Jaya; manakala
kereta Ahmad Kamil ditemui di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang
Jaya.
Keluarga Sosilawati menafikan mangsa membawa wang RM4 juta.
8 September
Polis melaporkan Sosilawati dan tiga individu lain masih dalam negara.
Sosilawati mengunjungi kedai Fazz Enterprise Kerepek House di Kampung
Sungai Lang, Banting pada jam 4 petang, 30 Ogos lalu.
Noorhisham pula menghubungi isterinya untuk memaklumkan beliau tidak akan pulang tiga hari melalui telefon pada malam 30 Ogos.
9 September
Media melaporkan Sosilawati disembunyikan di lokasi rahsia oleh kumpulan tertentu kerana perselisihan perniagaan dan kewangan.
10 September
Kehilangan Sosilawati dilaporkan didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.
Polis menahan lima suspek berhubung kehilangan empat mangsa itu.
11 September
Polis menemui lokasi empat mangsa itu dibunuh dan mayat mereka
dibakar di sebuah ladang di Teluk Gadong berhampiran Tanjung Sepat,
Banting. Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya.
Polis mengesahkan Sosilawati, Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin
dipukul sampai mati, mayat mereka dibakar di Ladang Gadong, sebelum
abunya dibuang ke dalam sungai. Polis menahan seorang remaja berusia 19
tahun.
BANTING: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu
lain dipukul sampai mati, sebelum mayat mereka dibakar dan abunya
dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Keempat-empat mereka dipercayai diculik pada 30 Ogos lalu, dibunuh
kemudian dibakar di kandang ternakan yang dikelilingi tembok di ladang
kelapa sawit itu, manakala abu mereka dibuang ke Sungai Panchau,
kira-kira dua kilometer dari tempat pembunuhan. Polis mengesyaki motif
pembunuhan ada kaitan dengan satu urus niaga tanah, selain hal kewangan.
Misteri kehilangan Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin
Shansuddin, 44; pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham
Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, sejak 30 Ogos
lalu terungkai selepas polis menahan lapan individu berusia 19 hingga 41
tahun, termasuk dua wanita sejak Jumaat lalu.
Mangsa dipukul hingga mati sebelum dibakar
Turut ditahan yang disyaki suspek utama, seorang peguam yang juga
ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya, juga seorang peguam serta
enam pekerja mereka. Semua mereka ditahan reman sehingga 18 September
ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri
Zinin, mengesahkan semua suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan empat
mangsa itu dan menegaskan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam
tempoh terdekat.
“Mereka mengaku melarikan, memukul hingga mati dan membakar
keempat-empat mangsa sebelum menabur abu mayat di sungai berhampiran
dengan tujuan menghapuskan bukti, termasuk barangan peribadi mangsa dan
senjata digunakan,” katanya.
Mohd Bakri berkata, walaupun tiada mayat ditemui, namun pengesahan dibuat berdasarkan pengakuan suspek yang ditahan.
Beliau berkata, selain pengakuan mereka, polis juga memperoleh
petunjuk kukuh jutawan itu dan tiga rakannya adalah mangsa pembunuhan
berdasarkan penemuan beberapa barangan peribadi milik mereka daripada
suspek dan di tempat kejadian.
Ia termasuk penemuan seutas jam tangan mewah yang dipakai pengasas
produk kecantikan Nouvelle Visages itu ketika dilaporkan hilang daripada
suspek utama.
“Hasil soal siasat suspek, mereka membawa polis ke pusat ternakan itu
yang dikelilingi tembok di ladang kelapa sawit milik suspek utama di
mana semua mangsa dibunuh.
“Pemeriksaan lanjut polis menemui tempat pembakaran, termasuk kesan
dan bau kuat petrol, selain sisa pembakaran dipercayai sisa mayat,”
katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mohd Bakri sebelum itu meninjau lokasi tempat pembunuhan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandar Banting.
Dua suspek yang berpakaian lokap polis turut dibawa ke tempat kejadian pagi semalam bagi membantu siasatan.
Ketika diminta menjelaskan keadaan di tempat pembunuhan, Mohd Bakri
berkata ia dikelilingi tembok, ada pokok kelapa sawit serta beberapa
kandang kambing dan bangsal lembu.
“Orang luar tidak akan dapat lihat sekiranya apa-apa berlaku di sebalik tembok itu,” katanya.
Mohd Bakri juga mengesahkan polis turut menyiasat ‘Datuk’ itu
mengikut Akta Pengubahan Wang Haram berikutan ada maklumat beliau
memiliki kekayaan luar biasa yang disyaki diperoleh secara tidak sah.
Beliau berkata, pengesahan rasmi identiti semua mangsa hanya akan
dibuat selepas mendapat laporan penuh pasukan forensik dan Jabatan Kimia
yang masih mengumpul bukti, termasuk sisa mayat, abu dan tulang di
tempat pembunuhan dan Sungai Panchau.
Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, masalah perniagaan
yang turut membabitkan soal kewangan menjadi motif pembunuhan
Sosilawati.
Sumber itu juga berkata, berlaku transaksi wang dari akaun Sosilawati
kepada akaun salah seorang suspek ditahan sepanjang tempoh Sosilawati
hilang.
“Suspek utama dipercayai bertindak sebagai broker dalam urus niaga
tanah dan diperkenalkan kepada Sosilawati oleh seseorang yang rapat
dengannya.
8. Kes Rogol dan Bunuh Noor Suzaily Mokhtar
Pada 7 Oktober 2000, Noor Suzaily Mokhtar, seorang jurutera komputer
telah menaiki sebuah bas awam ke tempat kerjanya. Namun sesuatu yang
tidak dijangkakan telah berlaku, di mana Suzaily telah dirogol, liwat
dan dibunuh oleh pemandu bas tersebut.
Pemandu bas dikatakan telah menurunkan kesemua penumpang bas kecuali
Suzaily, sebelum mengambil laluan jalan yang berbeza dan melakukan
jenayah tersebut di sebuah tempat. Pemandu bas kemudian bergerak semula
di atas jalan raya di mana Noor Suzaily dilihat mengetuk pintu bas dan
meminta tolong oleh seorang saksi utama yang merupakan seorang remaja
lelaki. Itulah kali terakhir dia dilihat masih hidup.
Pesalah, seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai anak,
Hanafi Mat Hassan didapati bersalah dan dihukum gantung oleh Mahkamah
Tinggi Shah Alam pada 25 April 2002 kerana membunuh Noor Suzaily, 24, di
antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan tapak pembinaan projek
perumahan di Taman Bukit Tinggi, Klang di antara jam 8.50 pagi hingga
9.15 pagi pada 7 Oktober 2000.
Tertuduh yang pernah berkahwin empat kali, juga dipenjara 20 tahun dan 12 sebatan atas tuduhan merogol mangsa.
Hukuman penjara yang dikenakan itu adalah maksimum mengikut Seksyen
376 Kanun Keseksaan. Hanafi telah menjalani hukuman gantung sampai mati
pada tahun 2008.
9. PERISTIWA MEMALI 1985
Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini
mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta
penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan
kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz
Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh.
Polis memanggil operasi ini sebagai ‘Operasi Angkara/Operasi Hapus’.
Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan
Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
LOKASI
Peristiwa berlaku di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong,
Baling, Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Penduduknya
keturunan Melayu. Sebahagian mempunyai kaitan dengan Siam/Patani.
Aktiviti ekonomi mereka ialah menoreh getah dan bersawah padi.
USTAZ IBRAHIM MAHMUD
18 November 1985
Jam 1935:
Bertempat di Kem Pasukan Polis Hutan ( PPH ) Sungai Petani, Kedah;
seramai 3600 kekuatan pasukan polis dari pelbagai bahagian termasuk Unit
Simpanan Persekutuan ( FRU ) Pulau Pinang, dari Senoi Prak dan Komando
69 telah bersiap sedia menurut arahan. Kebanyakan mereka bukan beragama
Islam.
Seorang Pegawai Tinggi dari Bukit Aman, Dato’ Yahya Yeop telah
mengetuai Ops Hapus ini dengan bantuan beberapa orang pegawai dari Pulau
Pinang, Kedah dan Perlis.
Jam 1945:
Dato’ Razali Yeop mengeluarkan arahan iaitu:- Menyerang hendap satu kem
komunis dalam daerah Baling yang terletak berhampiran sempadan Thailand.
Jam 2005:
Berlaku kekecohan di antara para pegawai di Kem Sungai Petani dengan
pegawai dari Bukit Aman di bilik operasi Sg. Petani. Kekecohan ini
disebabkan perasaan tidak puas hati para pegawai di Kem Sg. Petani
terhadap arahan tersebut kerana sepanjang pengetahuan mereka tidak wujud
sebarang kem komunis di daerah Baling. Jika benar kem itu wujud, sudah
tentu mereka, PPH akan lebih dahulu mengetahuinya.
Namun menurut mereka, arahan itu adalah palsu kerana tempat sasaran
mereka itu adalah kepada Ustaz Ibrahim Libya dan madrasahnya, tempat
beliau menyampaikan kuliyyah setiap malam. Malah Pegawai PPH Kem Sg.
Petani itu turut menjelaskan bahawa Ustaz Ibrahim Mahmud adalah seorang
tokoh ulamak yang disegani. Ramai di kalangan anggota PPH Sg. Petani
turut mengikuti pengajian agama bersama beliau.
Akibatnya, sedikit kekecohan telah berlaku di Bukit Aman kerana
beberapa kali Penolong Pesuruhjaya Polis Bukit Aman gagal dihubungi.
Beberapa panggilan lain dibuat. Akhirnya, pihak di Sg. Petani telah
berjaya disambungkan dengan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ketika itu,
Dato’ Musa Hitam yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Mereka menyatakan bahawa Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ulamak yang
disegani dan telah banyak berjasa dalam menaikkan taraf hidup masyarakat
Namun TPM menegaskan supaya Ops Hapus (beliau sendiri yang menamakannya sedemikian) tetap diteruskan.
Jam 2045:
Satu majlis keraian telah diadakan di dataran terbuka Kem PPH. Minuman
keras telah sengaja dihidangkan kepada para anggota keselamatan yang
terlibat dalam operasi. Namun ada sebahagian daripada anggota PPH tidak
menyentuh minuman tersebut.
Jam 2147:
Dato’ Razali Yeop selaku Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah menerima
mesej daripada wayarless menyatakan 10 perisik PPH telah berjaya
memasuki kawasan Memali dan seterusnya memberikan laporan keadaan di
sana. Semua unit kemudiannya telah bergerak di bawah pimpinan 8 pegawai
muda memasuki Baling dengan iringan 2 buah kereta perisai. Ketika ini
PPH Sg. Petani telah mula tidak berminat untuk menyertai Ops Hapus ini.
Ketika itu Ustaz Ibrahim sedang menyampaikan kuliyyah seperti biasa
untuk lebih kurang 50 orang yang mengikuti pengajiannya. Kuliyyah itu
berlanjutan sehingga pukul 11.45 malam. Ada yang pulang ke rumah dan ada
juga yang bermalam di madrasah.
Jam 0000:
Arahan terakhir telah diterima. Namun PPH Sg. Petani mencadangkan agar
hanya sekatan sahaja yang dilakukan agar Ustaz Ibrahim Mahmud dan
pengikutnya berpeluang menyerah diri. Mereka menganggarkan bahawa
kepungan itu akan mengambil masa paling lama 3 bulan.
Cadangan tersebut dibantah oleh para pegawai dari Bukit Aman dengan
sokongan OCPD Baling. Mereka menganggap strategi itu akan melibatkan
pihak polis dan anggota tentera yang bertugas di Sik dan Baling,
sempadan Malaysia – Thailand.
Sekali lagi kekecohan berlaku kerana 90% anggota tentera di situ
menyokong gerakan Islam dan arahan Ops Hapus ini kembali dipertikaikan.
TPM cuba dihubungi ketika ini namun gagal kerana beliau telah menuju ke
sebuah hotel di Kuala Lumpur. Ketika itu juga, Timbalan Menteri Hal
Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Radzi Ahmad sedang mengikuti perkembangan Ops
Hapus dari Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.
Kemudian, TPM telah menghubungi mereka dengan suara yang marah dan
agak terganggu beliau telah berkata, “Teruskan Ops Hapus, walaupun
terpaksa menyerang seluruh negeri Kedah!”.
Pada waktu yang sama, seorang pemuda telah memberhentikan
motosikalnya di hadapan pagar rumah Ustaz Ibrahim. Setelah diizinkan,
dia masuk ke rumah Ustaz Ibrahim dan memaklumkan bahawa sewaktu dia tiba
di pekan Baling dia telah melihat sekumpulan polis yang terlalu ramai
di sana.
Lalu Ustaz Ibrahim dikejutkan dan begitu juga dengan 39 muridnya yang
tidur di madrasah telah diarahkan oleh Ustaz Ibrahim untuk bersiap
sedia mempertahankan diri. Mereka mula mengumpulkan senjata seperti
kapak, parang, buluh runcing, pisau dan yang lebih berani lagi telah
membuat molotov cocktail. Ustaz ibrahim juga menegaskan ketika itu
bahawa beliau tidak akan menyerah kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA ).
Ustaz Ibrahim kemudiannya mengarahkan pengikut-pengikutnya berwudhu’
di sebuah telaga yang berhampiran dan seterusnya menunaikan solat sunat,
solat hajat dan membaca Yasiin. Setelah itu beliau menyampaikan ucapan
yang menyatakan:
Beliau lebih rela mati syahid daripada menyerah diri dan tunduk
kepada ISA yang menahan orang tanpa memberi peluang kepada mereka untuk
dibicarakan di mahkamah malah menjadi alat kepada mereka yang ingin
menaikkan semangat nasionalisme. Sekiranya perintah tahanannya di bawah
akta lain, beliau akan keluar menyerah. Tapi mestilah dibicarakan di
mahkamah.
Dia berkata lagi kepada pengikutnya, sesiapa yang rasa ragu-ragu
boleh keluar dari kawasan itu namun kesemua yang ada pada malam itu
langsung tidak beralih dari tempat mereka.
Laungan takbir bergema dan memecah keheningan malam itu. Ketika itu
pula di IPD Baling, segala persiapan serangan ke atas Kampung Memali
semakin rancak dilakukan terutamanya oleh anggota –anggota polis yang
telah mabuk dan hilang fikirannya.
19 November 1985
Jam 0100-3600:
Anggota polis dari pelbagai unit telah tiba di Memali dengan senjata
automatik dan diiringi 2 buah kereta perisai mula mengepung Kg. Memali.
Ketika itu, TPM masih lagi di hotel kerana dia tidak dapat dihubungi.
Segala urusan komunikasi dijalankan dengan timbalannya yang berada di
Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.
Kebanyakan anggota polis beranggapan bahawa mereka akan menyerang
sebuah Kem Komunis – sebagaimana yang telah diberitahu oleh Dato’ Razali
Yeop kepada mereka. Manakala pasukan polis dari Sg Petani kecil
bilangannya dan masih lagi samar dengan tugasan mereka.
Jam 0300:
Kampung Memali telah dikepung seluruhnya oleh pihak polis dan semua
jalan keluar masuk telah ditutup. PPh Sg Petani telah diarahkan untuk
mengepung bahagian Selatan manakala FRU dan Special Branch (SB) telah
mengepung bahagian Utara dan Komando 69 pula telah mengepung sebelah
belakang rumah Ustaz Ibrahim yang juga merupakan sekolah agamanya.
Jam 0336:
Dato’ Yahya Yeop telah bercakap melalui megafon dan meminta supaya Ustaz
Ibrahim menyerah diri. Ustaz Ibrahim berbincang dengan murid-muridnya
lalu mereka semua bersepakat untuk tidak akan keluar menyerah diri.
Kesemuanya telah siap-sedia untuk mati syahid dan mereka bertakbir
sekali lagi.
Jam 0400:
Sekumpulan orang kampung termasuk wanita telah muncul dari arah utara.
Mereka telah meredah benteng pertahanan anggota polis dan membawa
bersama peralatan yang sering mereka gunakan untuk bertani sebagai
senjata. Mereka ingin memasuki rumah Ustaz Ibrahim Mahmud untuk
memberikan sokongan.
Ketika itu, komando 69 yang masih mabuk telah melepaskan tembakan
secara rambang ke arah mereka. Namun sasarannya tersalah lalu mengenai
seorang pegawai kanan, seorang pegawai rendah dan seorang konstabel PPH.
Manakala orang-orang kampung tadi telah berpatah balik kerana
ketakutan.
Satu perundingan tergempar antara pegawai-pegawai Ops Hapus diadakan
untuk meredakan ketegangan sesama mereka sendiri akibat tembakan
tersebut. Arahan mengepung rumah Ustaz Ibrahim itu masih lagi berkuat
kuasa namun pegawai dari IPD Alor Setar mahu menarik balik anggotanya
dari Ops Hapus tersebut dan mahu supaya kepungan dibatalkan. Mereka
telah mengambil iktibar dari kemalangan yang menimpa rakan-rakan mereka
tadi .
Dato’ Yahya Yeop telah menolak permintaan IPD Alor Setar dan mengarahkan agar kepungan diteruskan.
Jam 0521:
Azan Subuh berkumandang dari rumah Ustaz Ibrahim . Laungan azan itu
menjentik hati para anggota polis dari Alor Setar. Mereka semakin tawar
hati malah mencurigai tujuan sebenar Ops Hapus ini.
Suara bacaan Ustaz Ibrahim yang mengimami Solat Subuh itu semakin
sayu. Tiba-tiba seorang pegawai berbangsa India dari Bukit Aman
mengarahkan agar serangan dimulakan ketika itu namun arahannya ditentang
oleh pegawai-pegawai bawahannya yang beragama Islam.
Jam 0559:
Solat Subuh selesai. Sekumpulan orang kampung muncul lagi lalu menyerbu
masuk ke kawasan rumah Ustaz Ibrahim sambil melaungkan takbir dan
menggenggam senjata kampung.
Melihatkan reaksi itu, maka Pegawai PPH mengarahkan anggotanya
berundur dan membiarkan orang kampung. Mereka PPH hanya diarahkan untuk
bertahan dan bersiap sedia. Keadaan semakin cerah dan ini semakin
mendedahkan kejijikan perancangnya. Ini dikukuhkan lagi dengan beberapa
siri penangkapan pemimpin-pemimpin Islam sebelum Ops Hapus ini.
Jam 0815:
Setelah mendapat kelulusan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, maka
Dato’ Yahya Yeop sebagai Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah mengarahkan
2 buah kereta perisai mula menyerang rumah Ustaz Ibrahim Mahmud. Mereka
kemudiannya dihalang oleh pengikut-pengikut Ustaz Ibrahim dengan
lontaran molotov cocktail.
Pasukan polis memberikan respon berundur terhadap lontaran tersebut
sambil memuntahkan peluru dari senjata automatik. Pada waktu yang sama, 4
wanita dan 3 kanak-kanak telah berlari keluar dari rumah setelah
diarahkan oleh Ustaz Ibrahim. Mereka kemudiannya telah dikepung dan
ditangkap lalu dihumban ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing.
Tembakan daripada pihak polis masih lagi berterusan dan mereka sambutnya dengan laungan takbir.
Jam 1105:
Komando 69 diarahkan untuk menyerang rumah Ustaz Ibrahim Mahmud. Pasukan
polis mula melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah rumah
Ustaz Ibrahim. Mereka menghadapinya dengan kain basah atau membasuh muka
malah ada juga yang menutup dengan guni basah. Selain itu ada juga yang
mengunyah daun-daun kayu setelah membaca sesuatu ayat.
Mereka berjaya menghadapi serangan gas pemedih mata itu yang
berlangsung selama beberapa minit melainkan beberapa kanak-kanak. Salah
seorang kanak-kanak itu telah pengsan dan mulutnya berbuih-buih. Cikgu
Syafie Ali, salah seorang pengikut Ustaz Ibrahim marah melihatkan
situasi kanak-kanak itu kerana menyangka dia telah mati lalu dengan
parang yang terhunus beliau telah pergi untuk menyerang polis.
Namun, beliau telah dihujani dengan peluru dan terus ditembak ketika
beliau berusaha untuk bangun akibat jatuh setelah ditembak. Maka
gugurlah beliau sebagai Syuhada’ pertama Memali.
Serangan gas telah reda. Kemudian kedengaran lagi suara dari Dato’
Yahya Yeop dari megafon dan kali ini meminta supaya pihak yang dikepung
menghantar wakil untuk berbincang. Ketika itu, salah seorang anak murid
Ustaz Ibrahim; Mat Piah Yunus yang lebih dikenali sebagai Pak Teh telah
berjumpa dengan Ustaz Ibrahim dan meminta penjelasan berhubung
permintaan Dato’ Yahya Yeop.
Ustaz Ibrahim menyatakan bahawa pintu rundingan pada hari itu telah
tertutup dan beliau tidak akan berunding apa-apa pun dan tidak akan
menyerahkan diri. Memandangkan kepada ketegasan Ustaz Ibrahim serta
murid-murid yang lain maka Pak Teh telah membuat keputusan sendiri
sambil bertawakkal kepada Allah. Pak Teh tampil berjumpa Dato’ Yahya
Yeop yang berdiri di samping kereta perisai manakala dia sendiri berdiri
di sebalik pagar rumah Ustaz Ibrahim.
Pak Teh mempersoalkan tanpa rasa gerun kenapa perlukan perbincangan
sedangkan orang kampung sudah ada yang syahid ditembak pihak polis.
Dato’ Yahya Yeop terdiam seketika namun kemudiannya menjawab bahawa
mereka ingin menangkap 4 orang penjenayah yang berada di situ. Lantas
Pak Teh mempelawa beliau untuk masuk sendiri ke rumah Ustaz Ibrahim dan
melihat apakah 4 penjenayah itu berada di situ.
Dato’ Yahya Yeop kelihatan tidak berminat dan sedang memikirkan
sesuatu setelah mengetahui Ustaz Ibrahim tidak mahu menyerah diri.
Setelah berulang-alik antara Ustaz Ibrahim dan Dato’ Yahya akhirnya Pak
Teh masuk semula. Namun semasa melewati kumpulan Muslimat dan
kanak-kanak yang berada di pagar, beliau sempat mengarahkan mereka untuk
berlindung di belakang rumah .
Ketika itu, beliau ternampak ada anggota polis yang ingin menembak
Pak Suman dan tanpa berlengah beliau segera menyerbu ke arah polis
tersebut dengan parang yang terhunus.
Parangnya sempat singgah kepada salah seorang daripada polis itu,
namun kemudian beliau dihujani dengan tembakan yang bertalu-talu dan
disambut dengan laungan takbir.
Pak Teh terlantar setelah ditembak sebanyak 14 das tembakan dari
M-16. Setelah Ops Hapus, beliau terlantar di Hospital Sg. Petani dengan
keadaan bergari. Kemudiannya, beliau dihantar ke Kem Kemunting sebagai
tahanan ISA.
Jam 1136:
Komando 69 menyerbu masuk sambil memuntahkan peluru. Berlaku beberapa
pergelutan dengan Ustaz Ibrahim dan beberapa orang yang masih lagi
bertenaga. Ada juga ahli rumah yang keluar untuk berlawan dengan Komando
69 di halaman rumah. Polis terus menembak mereka walaupun mereka tidak
bersenjata.
Ketika serangan yang menggila daripada pihak polis itu dalam tempoh ½
jam, hujan mulai turun renyai-renyai dan terus lebat sebaik sahaja
serangan tersebut tamat. Hanya laungan takbir yang terus mereka laungkan
sehingga nyawa mereka telah tiada. Ramai yang mati dan ada juga yang
cedera teruk.
Beberapa anggota komando telah menyerang Ustaz Ibrahim dan beliau
melawan sehingga menyebabkan salah seorang dari mereka terbunuh.
Akhirnya beliau syahid apabila badannya ditembusi muntahan peluru dari
senjata automatik.
Ustaz Ibrahim gugur dengan tangan yang tergenggam ke atas dan mulutnya masih lagi melaungkan AllahuAkbar!
Seorang pegawai polis telah meluru ke arah Ustaz Ibrahim yang rebah
dan memangkunya. Ketika itu juga isteri Ustaz Ibrahim datang. Di saat
itu mereka mendengar Ustaz Ibrahim berkata: Alhamdulillah! Kerana telah
mengorbankan kami ke jalan mati syahid.
Jam 1213:
Serangan telah ditamatkan. Semua yang ditangkap telah ditutup kepala
mereka dengan karung guni. Beberapa anggota komando kelihatan menendang
tubuh-tubuh yang terkujur untuk memastikan sama ada mereka telah mati
atau tidak. Ada pula yang masih menembak mereka yang terkujur itu sambil
mencemuh: Pergi jahanam dengan Islam!
Jam 1305:
Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah membuat laporan rasmi kepada Ibu
Pejabat Polis Pulau Pinang dan kepada TPM di Kuala Lumpur. TPM
mengarahkan agar semua penduduk Kg. Memali ditangkap agar rahsia Ops
Hapus tidak terdedah.
Jam 1500:
Penangkapan penduduk kampung diteruskan dan dibawa dengan 2 buah
helikopter polis. Mangsa yang terkorban di kalangan orang kampung
termasuk Ustaz Ibrahim dan anggota polis di bawa ke Hospital Sg. Petani
dan Alor Setar.
Jam 1510:
Sekitar 30 anggota tentera lengkap bersenjata dari Regimen Askar Melayu
Di-Raja ( RAMD ) tiba di hadapan rumah Ustaz Ibrahim Mahmud.
Berlaku pertelagahan antara anggota polis dengan ketua pasukan
tentera itu yang berpangkat Kapten. Mereka menyuruh agar anggota polis
yang ramai itu bersiap-sedia untuk menghadapi kemungkinan bertempur
dengan pihak tentera.
Menyedari bilangan mereka sedikit maka pihak tentera telah mengambil
keputusan untuk meredakan ketegangan itu. Lantas Kapten itu berkata :
“Hari ini hari kamu! Kamu boleh lakukan apa yang kamu mahu. Tapi
ingat, akan tiba satu hari nanti kami akan menentang kamu dengan
kekuatan yang setara!”.
Korban Memali
1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah
45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu
yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas
Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar
sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang
sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.
2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30
tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS
Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983.
Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum
bersekolah.
3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru
Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun,
penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.
5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.
7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah,
meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak
beberapa lama.
8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting,
Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan
enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.
9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.
10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.
14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau
cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut
pada 31 Jan 1986