Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Eng UM
Sedar
atau tidak, pengaruh Islam pernah menjadi dominan di Eropah selama
lebih daripada 1200 tahun. Tempoh masa yang sebegini lama cukup
meninggalkan kesan dan sisa peradaban, norma, bahasa dan budaya kepada
penduduk geografi Eropah hingga hari ini. Dari
abad ke-8 hingga ke abad ke-20, kejayaan Khalifah dan Amir Islam di
Iberia kemudiannya diteruskan oleh kerajaan Uthmaniah Turki di benua
Eropah (abad ke-13 hingga abad ke-20). Jadi, jelasnya pengenalan
orang-orang Eropah terhadap Islam dan budaya Islam-Arab bukanlah sesuatu
baru malah tidak seharusnya menjustifikasikan gejala islamofobia di
benua Eropah.
Orang
Iberia sememangnya ingin menghapuskan kenangan yang boleh merendahkan
reputasi mereka sebagai bangsa penjelajah hebat dan penguasa
pelayaran dunia di abad 15 dan 16. Penjelajah hebat seperti Alfonso De
Albourque (Portugal) dan Cristopher Columbus (Sepanyol) yang
sama-sama pernah bernaung di bawah Empayar Islam Andalus
semahu-mahunya tidak ingin dikaitkan lagi dengan kebudayaan kaum 'Moor'
yang amat mereka musuhi sebelumnya. Tulisan
ini tidak bertujuan menafikan hubungan kesinambungan antara tamadun
Yunani ke dunia Islam, dari Islam kembali ke barat, malah penulis amat
optimis dengan konsep kitaran sejarah (cyclicle history) yang
digagaskan oleh Ibnu Khaldun.
Hingga
kini kebudayaan masyarakat Sepanyol Moden yang menggunakan bahasa
dielek Castille sebagai bahasa Eka (kawasan yang tidak dijajah oleh
Islam) sedikit sebanyak turut menyelitkan nilai
kebudayaan tinggalan Islam. Lihat sahaja seni muzik dan tarian di
Sepanyol yang masih menyimpan nilai kaum bani Marin (Marokko) dan kesan
kebudayaan Afrika Utara.
Selama
beberapa abad, sejak 711 – 1249 M, Portugal dan Sepanyol telah
bernaung di bawah kekuasaan Muslim yang berasal dari Afrika Utara atas
arahan Khalifah Umayyah di Syiria. Kesannya, Islam telah mempengaruhi
bahasa Portugal dari aspek seni dan bahasa hinggakan ratusan perkataan
Portugis juga berasal dari Arab.
Sepanjang
pemerintahan Islam, ramai orang Visigoth, terutama golongan petani
telah memeluk Islam. Bangsawan Visigoth yang menjadi Muslim dilantik
menjadi gabenor sehingga kaum Visigoth ini mahir dalam kesenian,
kesusasteraan, polisi dan politik serta arah hidup kaum Islam.
Bahasa
Sepanyol, secara geografi, memiliki sangat banyak penutur di dunia,
dan merupakan salah satu bahasa rasmi di forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Kesatuan Afrika, serta badan olahraga
internasional seperti WBA (World Boxing Association). Menurut
ensiklopedia Wikipedia (yang terdapat di internet), bahasa Sepanyol
merupakan bahasa ketiga atau keempat yang
memiliki penutur terbanyak di dunia dan digunakan oleh 352 juta orang,
atau 147 juta orang termasuk yang bukan penutur asli (menurut perkiraan
tahun 1999). Masih menurut sumber yang sama, sebahagian besar penutur
bahasa ini berada di Sepanyol, Amerika Latin, Amerika Syarikat dan
Filipina.
Saluran utama penyebaran kebudayaan Islam ke Sepanyol adalah melalui kaum Mozarab di Sepanyol. Muzarab
(atau Mozarab/Musta'rib) adalah orang Kristian yang hidup dalam
kekuasaan Islam di Andalus dan mengikuti banyak adat, kesenian serta
banyak menggunakan perkataan bahasa Arab, namun masih memelihara tradisi
dan teologi Kristian mereka. Kaum ini boleh dianggap sebagai ahli
Zimmah dalam sistem politik Islam yang dijamin hak keselamatan dan hak
asasi mereka. Bahasa Latin yang mereka miliki, disebut Bahasa Muzarab.
Bahasa Muzarab (Mozarabic), merupakan bahasa Roman-Visigoth yang
dipengaruhi oleh bahasa Arab dan dituliskan dalam abjad Latin dan Arab.
Kerana
Mozarabic bukan bahasa budaya tinggi, ia tidak mempunyai naskah
rasmi. Tidak seperti bahasa-bahasa Romawi yang lain, Mozarabic banyak
ditulis dalam huruf Arab daripada abjad Latin.
Menurut Mikel de Epalza, dalam buku Mozarabs: an emblematic Christian minority in Islamic al-Andalus, The legacy of Muslim Spain (1994), sebahagian besar Mozarabs adalah daripada keturunan Hispano-Gothic Arab Kristian yang menjadi ahli zimmah
di bawah pemerintahan Islam. Sesetengah orang Arab dan Barbar
Kristian telah memeluk agama Kristian. Sebagai contoh, Umar bin Hafsun
seorang Muslim yang terkemuka pada asalnya kemudiannya murtad dan
menjadi kaum Mozarab kerana membantah pemerintahan Islam Andalus bani
Umayyah. Bagi golongan Mozarab yang begitu
fanatik terhadap bangsanya, mereka menyokong gerakan yang dilancarkan
oleh Ibn Hafsun yang dikatakan beragama Islam dan cuba memperjuangkan
kepentingan bangsa Sepanyol. Ada juga yang berhijrah ke negeri
Kristian di Utara Sepanyol.
Menurut laporan Raْl Gَmez-Ruiz yang diterbit oleh Pusat Pengajian Latino - Katolik University of San Diego, ramai orang di Toledo tidak tahu apa-apa tentang kewujudan tradisi Mozarab. Ramai yang berfikir mereka adalah Arab Moor sedangkan mereka adalah Kristian Kuno yang masih wujud hingga kini.
Di dalam komposisi kaum Andalusia, terdapat kaum yang digelar Muwallad
atau Muwalladun. Asalnya mereka adalah hamba tawanan perang yang
kemudiannya ada yang dibebaskan. Muwalladun adalah kaum Muslimin dari
keturunan bangsa Sepanyol. Jumlah mereka lebih ramai daripada kaum
Arab. Melalui perkahwinan dengan kaum Arab, pemisahan antara mereka
semakin lama semakin lenyap sehingga ada yang mengaku keturunan Arab.
Menurut
Dr Abdul Halim dalam bukunya 'Intisari Sejarah Islam di Afrika Utara
dan Sepanyol' (1989), antara punca penyebaran tamadun dan kebudayaan
kaum Islam ke dalam dunia Eropah adalah disebabkan wujudnya kaum Slav
daripada Eropah Timur yang bertugas sebagai penjaga istana di masa
pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III pada tahun 936M. Kaum Slav yang
berasal daripada rumpun tamadun Magyar Hungary-Romania kemudiannya
banyak membawa pulang tamadun, ilmu dan budaya Islam ke dunia Balkan
dan Rusia Barat.
Budaya
tarian Flamenco adalah salah satu contoh terbaik untuk menampilkan
kewujudan pengaruh kebudayaan Arab-Afrika Utara ke dalam kesenian
Sepanyol. Flamenco sebenarnya adalah genre muzik, milik
penduduk daerah Andalusia (hingga kini). Etimologi perkataan
flamenco tidak begitu jelas. Oleh itu, ia dikatakan berasal daripada
kata fellahmengu Hispanik-Arab, yang bererti - 'golongan yang diusir'.
Pada akhir pemerintahan Granada, istilah Flamenco ini digunakan untuk
merujuk kepada orang-orang Islam Andalusia yang diusir dari Granada.
Tarian
Flamenco adalah kombinasi dari langkah tari dengan cerita rakyat
Andalusia, lagu-lagu rakyat dan instrumen asal Mozarabic. Alat yang
digunakan adalah seperti rebana, castenet dan
simbal jari. Tarian Flamenco juga sangat dipengaruhi oleh Maghribi
'Shikhat' dan bentuk-bentuk tari Afrika. Ia adalah tangisan bersemangat
para petani miskin dan terpinggir di Andalusia. Setiap langkah
digunakan untuk membawa mesej itu dan disampaikan melalui irama gitar
flamenco bersama-sama dengan.
Telah dinyatakan oleh Henry George, dalam buku Historical facts for the Arabian Musical Influence (1988) Albogue, Alboka, Hornpipe dan Klarinet, dan adalah alatan ciptaan Arab. Paling awal diketahui
adalah albogue dan alboka, kedua-duanya berasal dari "al-bûq" (secara
harfiah "trompet" atau "the horn") digunakan dalam muzik Arab dan
muzik Islam zaman pertengahan. Alat ini dibawa ke Sepanyol.
Gitar,
Lute, dan Oud adalah antara alatan muzik yang dibawa oleh kebudayaan
Arab Habsyi ke Sepanyol. Gitar moden (qitar pada bahasa Arab) berasal
dari oud empat tali dibawa oleh orang Moor selepas penaklukan Empayar
Umayyah Andalus pada abad ke-8. Gitar empat tali diperkenalkan oleh
orang Moor dikenali sebagai guitarra morisca (gitar Moor) yang
mempunyai belakang bulat, papan jari yang lebar dan beberapa lubang
suara, dan pada 1200 M, guitarra latina (gitar Latin) pula dicipta
menyerupai gitar moden dengan satu lubang suara dan leher yang panjang.
Sepanyol sebelum Islam; asal usul bangsa Iberia
Menjejaki
akar Sepanyol akan membawa ke zaman Rom, dengan Latin sebagai bahasa
lisan dan tulisan. Pada abad ke-3 (400 M), Visigoth, sebuah rumpun
dari kaum Gothic, berasal dari daerah delta Sungai Danube (sekarang
Jerman), menyerang kota Rom dan menjadi bangsa barbar pertama menguasai
dalam Empayar Rom.
Dari abad 4 AD hingga abad ke 7, Visigoth menyerang dan menduduki Sepanyol. Peralihan kosa kata bahasa Latin ke bahasa Visigoth telah berlaku.
Sepanyol moden dahulu dikenali sebagai Semenanjung Iberia adalah meliputi 85%
dari Semenanjung Iberia, yang bersempadan dengan Portugal, di Eropah
barat daya. Di pantai timur Sepanyol di Mediterranean adalah Kepulauan
Balearic sementara 97 km ke barat Afrika adalah Kepulauan Canary.
Portugal adalah salah satu negeri beraja di bawah kerajaan Hispania
Visigoth Iberia.
Sepanyol,
awalnya dihuni oleh kaum Celtic, Iberia, dan Basque, pernah menjadi
sebahagian dari Empayar Rom pada 206 SM dan menerima pengaruh budaya
Rom sebelum kehadiran Visigothic yang berjaya mengalahkan Rom di Itali.
Bahasa
Sepanyol moden kini ditutur oleh 320 juta insan di serata dunia
termasuk banyak di tanah bekas jajahan Sepanyol. Kaum Visigoth
(berbahasa Gotik) iaitu suku kaum Jerman di Eropah telah mengambil
bahasa Latin dari Tamadun Rom sebagai medium utama. Bahasa
Visigoth-Latin ini kemudiannya menerima pengaruh bahasa Arab dari
beberapa dielek Afrika Utara.
Rom
pernah menakluk Iberia sepanjang abad ke-2 SM dan abad ke-1 SM
sebelum kehadiran Visigoth dan menukar sebahagian besar wilayah
tersebut ke dalam siri wilayah berbahasa Latin. Sebagai akibat
daripada penjajahan Rom, majoriti bahasa daerah, kecuali Basque,
berasal dari bahasa Latin Vulgar yang dituturkan di Hispania (Iberia).
Bahasa ini berkembang ke dalam bahasa moden berasaskan dielek negeri
Castille, yang menjadi bahasa penyatu Sepanyol moden.
Kemudian
hadir pula orang Vandal iaitu suku kaum Jerman yang juga bersifat
barbarian tanpa tamadun seperti kaum Gothic. Bangsa Vandal adalah suku
Jerman timur yang datang ke Rom pada abad ke-5. Bangsa ini mungkin
telah memberikan namanya kepada daerah Andalusia, yang asalnya bernama
Vandalusia, kemudian terjemah ke bahasa Arab sebagai Al-Andalus.
Kaum
Gothic dari suku Jerman itu langsung tidak mempunyai kemampuan dari
aspek literasi dan sistem abjad melainkan terpaksa menyadur terus
tulisan Latin untuk merakam ketamadunan Visigoth daripada terus pupus.
Bermakna
budaya kaum Sepanyol hari ini sebelum menerima pengaruh Islam, telah
menerima tumpahan nilai dan budaya kaum Latin Rom, kaum Vandal kaum
Visigoth (Gothic) dan budaya Celtic. Hal inilah yang membina kerencaman
budaya di Iberia sehingga kini.
Islamisasi
budaya intelektual di Sepanyol yang berlaku pada awal abad ke-9
digambarkan oleh Alvaro, seorang paderi Cordovian moden,
"orang-orang
Kristian suka membaca puisi dan syair dari orang Arab, teologi dan
ahli falsafah. Akhirnya! Semua orang Kristian muda mempunyai bakat
membaca dan belajar dengan bantuan buku-buku Arab. Mereka berkumpul di
perpustakaan yang sangat besar dengan bayaran yang tinggi, mereka
benci kesusasteraan Kristian dan menganggapnya tidak layak diberikan
perhatian. Mereka telah lupa bahasa mereka. Untuk setiap orang yang
boleh menulis surat dalam Bahasa Latin untuk teman, ada seribu cara
yang dapat mengekspresikan diri mereka dalam bahasa Arab dengan penuh
gaya, dan menulis puisi adalah lebih baik daripada orang Arab sendiri ". (R. W. Selatan, p.21).
Lebih
jelas perlu kita sedari, kaum Visigoth yang bertembung dengan
kebudayaan Latin Rom, banyak mewarisi keilmuan Yunani yang dijajah oleh
Rom melalui bahasa Arab dan Barbar. Pengumpulan khazanah ilmu ini
kemudiannya menatijahkan kebangkitan Sepanyol 800 tahun kemudiannya
menyertai gerakan Renaissence yang diasas di Itali.
Hingga
kini terdapat lebih 8000 perkataan Sepanyol yang berasal dari bahasa
Arab masih digunakan sampai sekarang seperti yang tertera dalam jadual
di atas.
Tamadun
Islam juga telah berjaya membawa suatu reformasi sosio budaya Iberia
dalam sektor pertanian. Pertanian anggur, delima, tebu, kapas, limau
manis dan kunyit berasal dari sosio budaya kaum Habsyi Afrika Utara.
Profesyen kaum Islam sebagai penenun sutera,
pemintal bulu kambing, pembuatan teknologi gelas, dan menyamak kulit
untuk kegunaan harian di bawa hingga ke Perancis dan England melalui
Sepanyol.
Malah lebih menarik permainan Catur (Chess) juga di bawa ke Sepanyol oleh kaum Islam. Istilah 'Check mate' sebenarnya bermaksud raja mati! 'Check' berasal dari istilah Parsi (Shah), kemudian kaum arab menyebut 'Shahtranj' . Manakala 'Mate' berasal dari istilah arab 'maat' (mati). Jika terjemahan Inggeris perkataan
ini tidak membawa maksud malah bermaksud periksa kawan (chaeck mate).
Tetapi jika diterjemah dari bahasa Arab Parsi asal, barulah memberi makna iaitu Raja Mati.
Pengaruh Arab di Sepanyol adalah bermula sejak tahun
711 ketika penjajah Muslim tiba dan menduduki bahagian selatan
Sepanyol, yang dikenali sebagai Al Andalus malah lebih awal lagi
apabila kaum Gothic di Iberia sering berinteraksi denga kaum Islam di
Maghribi dan Tunisia. Kaum Vandal yang pernah menjajah Iberia juga
pernah menjajah bumi Maghribi serta Tunisia malah mengangkut keluar
ketamadunan dan kebudayaan Islam di sana.
Orang-orang
Arab perlahan-lahan menyusut di selatan dan di wilayah yang
kemudiannya dijajah oleh kekuatan Eropah yang lain. Kawalan Muslim ini
akhirnya hilang pada tahun 1492. Namun, pengaruh Arab diteruskan untuk
membanyakkan kemahiran Sepanyol dan ciri-ciri budayanya.
Semasa
penguasaan Islam, Sepanyol juga maju dalam bidang bahasa dan
kesusasteraan arab. Bahasa arab menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan
menjadi bahasa pentadbiran dalam pemerintahan Islam di Sepanyol.
Penduduk Sepanyol sama ada Islam atau bukan Islam berlumba-lumba untuk
mempelajari bahasa arab. Mereka mempelajari bahasa arab untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan yang berkembang pada zaman itu dan untuk
mendapat kedudukan yang istimewa di bawah pemerintahan Islam.
Sebagaimana
kaum Norman mewajibkan Bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi di
kepulauan Britain, begitu juga polisi pemerintahan Islam di Sepanyol.
Pemerintah Islam di Andalus menjalankan beberapa usaha untuk
mengembangkan bahasa Arab. Contoh dapat dilihat semasa pemerintahan
Abdul Rahman II, yang telah mendirikan banyak institusi pengajian di
setiap kota di Andalus yang bertujuan menyebarkan ilmu pengetahuan di
kalangan masyarakat umum. Baginda membawa masuk sarjana-sarjana dari
luar untuk mengajar di institusi-institusi tersebut. Kesan daripada
usaha beliau ini pendidikan arab telah berkembang pesat di seluruh
Andalus.
Namun
ini tidal bermakna, kerajaan Andalus melaksanakan polisi penghapusan
bahasa Latin dan Bahasa Gothic. Mereka hanya menobatkan bahasa Arab
dielek Afrika Utara sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran. Tarikan kaum
Kristian untuk mendalami bahasa Arab adalah bertujuan untuk menguasai
ilmu dan keperluan kehidupan. Hal ini sama sahaja dengan situasi
galakan mempelajari Bahasa Inggeris. Malah orang Melayu mulai
meninggalkan tulisan jawi dan mengutamakan tulisan rumi hanya
disebabkan kemudahan komunikasi dan keperluan ilmu dalam tulisan rumi.
Hal
ini terbukti daripada perkembangan pesat yang berlaku di dalam bahasa
persuratan dan komunikasi masyarakat umum, sehingga di kalangan
masyarakat bukan Arab. Begitu juga dengan kebolehan berkomunikasi di
dalam bahasa Arab, telah menjadi satu kemestian di dalam kehidupan
sosial di Andalus.
Anwar
G. Chejne dalam bukunya The Arabic Language menyatakan pernah pada
pertengahan kurun ke-9 Masihi, bishop Alvaro dari Cordova merungut
kerana ramai pengikutnya tidak lancar berkomunikasi di dalam bahasa
Latin. Beliau mendakwa daripada setiap seribu orang Kristian Andalus,
amat sukar dicari walaupun seorang yang boleh membaca dan menulis
bahasa Latin dengan baik. Ini adalah kerana ramai penganut kristian
hanya mampu berkomunikasi di dalam bahasa Arab sehingga kitab Injil juga terpaksa diterjemah ke bahasa Arab. Pendek kata dialog peradaban telah berlaku di Andalus melalui medium bahasa Arab.
Selain
melalui Constantinopel dan Pulau Sacily, bumi Sepanyol juga menjadi
medium penyebaran teknologi serta kebudayaan peradaban Islam ke benua
Eropah. Sepanyol mewariskan Eropah dengan seni, pertanian, ekonomi dan
perdagangan, falsafah, ilmu matematik, ilmu perubatan, dan ilmu
teknologi. Hasilnya, Rennaisance Eropah berlaku pada abad ke-12.
Seluruh buku dan teks tentang kemajuan Islam itu telah diterjemahkan ke
dalam bahasa-bahasa Eropah, termasuk buku karya Plato, Aristoteles,
Socrates yang telah lenyap kerana sebelumnya dipandang oleh gereja sebagai bid'ah.
Orang-orang
Eropah mengatakan, berkat peradaban dan kemajuan Islam mereka bertemu
kembali akar budaya mereka iaiatu Tamadun Rom walaupun mereka hanya
berkongsi sejarah dengan kaum Rom yang bukannya serumpun dengan
majoriti kaum Jermanik Eropah.
Semasa Dinasti Muwahidun berkuasa, perkembangan seni dan tulisan di Sepanyol juga berlaku dengan baik sehingga melahirkan Ibnu Tufail, Ibnu Araby, dan Ibnu Rusyd.
Dalam
dunia Islam, Cordova merupakan salah satu pusat budaya yang maju.
Karya-karya ilmuwan dan falsafah Al-Andalus, seperti Abul Qasim dan
Ibnu Rusyd memiliki pengaruh besar terhadap kehidupan intelektual di
Eropah pada zaman pertengahan. Orang-orang Muslim dan bukan Muslim
sering datang dari luar Andalus untuk belajar di pelbagai perpustakaan
dan universiti terkenal di Andalus. Yang paling terkenal adalah
Michael Scot (pelajar Universiti Oxford lama), yang menterjemahkan
karya-karya Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, dan Al-Bitruji dan membawanya ke
Itali dan England. Karya-karya ini kemudian memiliki dampak penting
dalam berawalnya Renaisans di Eropah.
Bayangkan
di Sepanyol kini terdapat Masjid Cordoba yang memiliki ciri-ciri
seperti masjid-masjid peninggalan Umayyah dan Abbasiyah yang
dibangunkan di Syria dan Iraq. Masjid itu pertama kali dibangun oleh
Khalifah Muslim Abdurahman I pada tahun 787. Pembangunannya terus
dilakukan oleh khalifah-khalifah penerusnya. Hari ini, Masjid Cordoba
telah ditetapkan oleh UNESCO sebagai salah satu tempat peninggalan
bersejarah yang penting di dunia.
Muhammad Nuruddin Bashah