Wednesday, December 26, 2012

Sayyid Hussein Jamadil Kubro – Bapa Pembangun Ulama & Kesultanan Nusantara


Pedang: Kaedah terakhir apabila seruan Islam ditentang dengan kekerasan


Telah banyak catatan dibuat yang mengisahkan riwayat hidup nenek moyang ulama dan Kesultanan Nusantara ini. Walaupun terdapat banyak versi penceritaannya, tetapi pokok atau peranan utama beliau serta keturunannya di Nusantara adalah sama. Misi penting kedatangan Sayyid Hussein Jamadil Kubro bersama enam lagi saudaranya ke Nusantara ialah untuk menyebarkan ajaran Islam serta berdakwah.



Sayyid Hussein Jamadil Kubro dilahirkan kira-kira tahun 1310 Masehi di Malabar, India. Beliau adalah keturunan Rasulullah SAW dari generasi ke 21. Bapa serta datuknya ialah Sultan Negeri Malabar yang di bawah pemerintahan Kesultanan Delhi, India. Moyang beliau, Sayyid Abdul Malik Azhamatkhan bin Alwi Ammu Faqih, dilahirkan di Kota Qasam di negeri Yaman, telah berhijrah ke India dan bermukin di Nasherabad. Kesultanan Delhi telah melantik keturunan mulia ini sebagai pembesar seperti Amir (Gabenor), Penasihat serta Panglima Perang dalam Kerajaan Delhi lalu memberi gelaran “Azhamatkhan” kepada keturunan mereka. Gelaran tersebut membawa maksud ‘keluarga bangsawan’ Kesultanan Delhi. Azhamat di dalam bahasa Urdu bermaksud ‘Yang Mulia’ kerana mereka adalah berketurunan Rasulullah SAW. Khan pula gelaran bangsawan Kesultanan Moghul.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga terhormat dan dikelilingi kemewahan, Sayyid Hussein Jamadil Kubro tidak pernah lalai bahkan beliau sentiasa beristiqamah pada landasan yang lurus. Beliau tidak berminat dengan pangkat darjat keduniaan kerana pernah menolak jawatan Amir / Gabenor negeri Deccan semasa dilantik oleh Sultan Delhi pada tahun 1335. Demi menghormati sultan sebagai pemimpin dan juga keperluan semasa, beliau menjawat jawatan tersebut selama 5 tahun sahaja sebelum meletakkan jawatan.

Semasa berusia belasan tahun, beliau banyak mengembara ke seluruh pelusuk India untuk mendalami ilmu khususnya ilmu agama, disamping ilmu keduniaan. Beliau banyak menghalusi Ilmu Hadis dan Tasauf di Syahanfur, Karachi serta Nizamuddin.

Setelah meletakkan jawatan Amir Deccan pada usia 30 tahun, Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah ke Mekah menunaikan fardu haji. Di sana beliau telah mendapat petunjuk supaya membawa misi dakwah ke timur. Setelah pulang semula ke India, beliau telah mempelawa saudara-saudaranya serta merancang perjalanan ke Nusantara. Kira-kira dalam tahun 1349 Masehi (751 Hijrah), beliau bersama adik bongsunya, Sayyid Thanauddin, telah tiba di negeri Chermin. Kapal yang dinaiki telah karam menyebabkan mereka terdampar di Kampung Laut, Tumpat.

[Nota: Terdapat banyak catatan dan cerita lisan bahawa kapal yang dinaiki oleh Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah belayar ke Nusantara bersama 6 orang lagi saudaranya. Mereka terkenal dengan jolokan “Wali Tujuh Berdakwah Di Nusantara”.  Semasa tiba di perairan negeri Chermin, hanya beliau dan adik bongsunya sahaja yang berada di dalam kapal. Ini kerana 5 orang lagi saudaranya telah turun berdakwah dibeberapa tempat persinggahan di Nusantara sebelumnya. Dianggarkan bahawa misi dakwah mereka ialah ke negeri Champa. Bagaimana pun, dengan takdir Allah SWT kapal mereka telah karam di perairan negeri Chermin sebelum sempat tiba di negeri Champa.]


Di Chermin, Sayyid Hussein Jamadil Kubra dan Sayyid Thanauddin mendapati bahawa Islam telah pun dianuti oleh sebilangan kecil sahaja rakyatnya. Amalan mereka masih lagi bercampur aduk dengan kepercayaan Hindu-Ramayana, iaitu agama asal mereka sebelumnya. Manakala sebahagian besar rakyat Chermin masih lagi menyembah dewa dan patung berhala sebagai amalan seharian mereka.



Sebelum meneruskan perjalanan mereka ke negeri Champa, Sayyid Hussein Jamadil Kubro tinggal di Bukit Panau dan mengIslamkan Raja Bharubhasa (1339 – 1362) di Kota Jiddah serta menukarkan nama baginda kepada Sultan Mahmud Syah. Semenjak itu hampir seluruh rakyat Chermin telah memeluk agama Islam. Sultan Mahmud Syah juga telah mengahwinkan adinda baginda, Puteri Linang Cahaya dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubra. Puteri Linang Cahaya juga telah ditukarkan nama sebagai Puteri Mariam.

Setelah berada kira-kira 8 bulan di negeri Chermin, Sayyid Hussein Jamadil Kubro bersama isterinya, Puteri Mariam dan adiknya Sayyid Thanauddin kemudian berangkat ke negeri Champa untuk meneruskan misi dakwah di sana.

Di negeri Champa, Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah mengadap Raja Champa bernama Che Bo Nga (1360 – 1390). Che Bo Nga adalah seorang raja yang tegas dan sangat digeruni oleh musuh dan raja-raja kecil yang memerintah wilayah-wilayah kecil Champa. Ini kerana Che Bo Nga sangat handal dalam ilmu perang dan dapat menumbangkan lawannya dengan mudah. Namun begitu, baginda sangat tertarik dengan tutur kata dan budi pekerti Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Baginda banyak mendapatkan nasihat daripadanya, kerana Sayyid Hussein Jamadil Kubra semasa di India berpengalaman sebagai Panglima Perang Kerajaan Kesultanan Islam Delhi. Kejayaan menghapuskan pemberontakan besar-besaran Kerajaan Hindu semasa dalam usia 25 tahun, menyebabkan Sultan Delhi telah melantik beliau sebagai Amir atau Gabenor negeri Deccan. Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah berjaya menjadikan Deccan sebagai negeri yang makmur di bawah pemerintahan Islam, disamping memajukan Deccan sebagai kota perdagangan terkemuka dalam tempoh 5 tahun sahaja. Dalam usia 30 tahun, beliau telah meminta keizinan Sultan Delhi untuk meletakkan jawatan Amir Deccan dengan alasan kerana ingin menunaikan ibadah Haji di Makkah.

Che Bo Nga dengan suci hati telah menerima hidayah dan memeluk Islam di tangan Sayyid Hussein Jamadil Kubro dan menggunakan nama Sultan Zainal Abidin. Manakala permaisuri baginda, Puteri Nareswari ditukarkan nama dengan Siti Zubaidah binti Sultan Mahmud Syah Raja Chermin. Raja-Raja kecil serta ramai rakyat Champa turut memeluk agama Islam yang menyebabkan Champa menjadi bersatu padu di bawah panji Islam. Agama Islam telah menyatukan rakyat Champa yang menyebabkan musuh utama mereka iaitu Vietnam berjaya dikalahkan sehingga dua kali ibu kota mereka, Hanoi telah dimusnahkan oleh tentera Champa di bawah pimpinan Sultan Zainal Abidin.

Di Champa, isteri Sayyid Hussein Jamadil Kubro, Puteri Mariam (Puteri Linang Cahaya) telah melahirkan seorang putera bernama Maulana Malik Ibrahim dan kemudiannya pula Puteri Siti Aisyah. Maulana Malik Ibrahim diberikan didikan agama sendiri oleh ayahandanya, kemudian dihantar belajar pula kepada bapa saudaranya, Syeikh Muhammad Ariffin Syah di Kerisek, Patani. Maulana Malik Ibrahim telah dihantar bersama beberapa orang saudaranya yang lain ke Tanah Jawa dalam misi menyebarkan Islam di sana. Di Tanah Jawa, Maulana Malik Ibrahim lebih terkenal dengan jolokan Sunan Gresik iaitu pelopor atau ketua Wali Sembilan (Wali Songo).

Puteri tunggal Sayyid Hussein Jamadil Kubro, Siti Aisyah pula kemudiannya dikahwinkan dengan Syeikh Khaliq Al-Idrus (Adipati Jepara). Keturunannya kemudian bercantum kembali dengan keluarga besar Sayyid Hussein Jamadil Kubro, menjadi pemerintah serta ulama-ulama di Tanah Jawa.

Setelah Puteri Mariam (isteri Sayyid Hussein Jamadil Kubro) mangkat, Sultan Zainal Abidin (Raja Champa) mengahwinkan pula puteri baginda, Puteri Ramawati dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubro, pada tahun 1355. Perkahwinan tersebut telah melahirkan Ibrahim Asmaro atau Ibrahim al-Hadhrami. Dari zuriat Ibrahim Asmaro lahirlah beberapa orang lagi Wali Songo seperti Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Giri dan Sunan Drajat.

Sayyid Hussein Jamadil Kubro ke Patani dan tinggal di Kampung Sena, setelah kemangkatan Puteri Ramawati. Berita kepulangan beliau ke Patani telah sampai ke pengetahuan Raja Chermin, Sultan Baki Syah (1362 – 1418). Baginda menjemput Sayyid Hussein Jamadil Kubro ke Kota Jiddah serta melantik beliau sebagai Penasihat Kerajaan Chermin-Langkasuka. Pada tahun 1390, Sultan Baki Syah telah mengahwinkan puteri bongsu baginda, Puteri Selindung Bulan (Puteri Syahirah) dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Ketika itu usia Sayyid Hussein dalam lingkungan 80 tahun.

Perkahwinan Sayyid Hussein Jamadil Kubro dan Puteri Syahirah telah melahirkan Sayyid Ali Nurul Alam yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Qunbul. Dari keturunan Sayyid Ali Nurul Alam lahirlah ulama-ulama seluruh nusantara, panglima dan hulubalang serta Kesultanan Nusantara seperti Champa, Patani, Kelantan, Terengganu, Cirebon, Ternate, Bintoro Demak, Pagar Ruyung, Palembang dan Banten.

Melalui perkawinan Sayyid Hussein Jamadil Kubro dengan Puteri Jauhar binti Tun Hamzah (Seri Bija DiRaja) dari Kesultanan Johor pula melahirkan dua orang putera. Muhammad Berkat Zainol Alam (Muhammad Berkat Nurul Alam) adalah merupakan putera sulung yang keturunannya kemudian menjadi Kesultanan Johor, Riau dan Pahang. Putera bongsu, Muhammad Kebungsuan pula berdakwah di Sulu dan Mindanao.

Peringkat awal kedatangan Sayyid Hussein Jamadil Kubro ke Tanah Melayu, beliau sendiri telah menyampaikan dakwah kepada semua lapisan masyarakat tanpa memilih darjat. Daripada raja-raja sehinggalah rakyat jelata. Peringkat kedua pula menerusi putera-putera beliau. Putera sulung beliau Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) telah diamanahkan untuk mengetuai rombongan dakwah ke Tanah Jawa pada tahun 1397. Diikuti pula oleh puteranya yang lain menyusur ke kepulauan Indonesia, seperti Ibrahim Asmaro dan Muhammad Berkat Zainol Alam. Hampir kesemua anak cucu Sayyid Hussein Jamadil Kubro turun berdakwah ke Indonesia, kecuali Sayyid Ali Nurul Alam yang berdakwah di rantau Champa, Patani dan Kelantan. Bagaimana pun, sebahagian anak cucu beliau telah diamanahkan juga untuk berdakwah di Indonesia, seperti Wan Abdullah dan Wan Demali yang akhirnya bergabung dengan keluarga besar Sayyid Hussein Jamadil Kubro yang berada di sana. Gabungan keluarga besar inilah yang menumbangkan Kerajaan Majapahit serta lain-lain kerajaan Hindu di Indonesia dan membentuk kerajaan dan Kesultanan Islam di seluruh Nusantara.

Apabila tiba misi penjajahan Kristian seperti Portugis, Belanda, Sepanyol dan Inggeris, keluarga besar ini juga telah bersama-sama rakyat tempatan serta dibantu oleh Sayyid Alawiyah yang lain, bangkit bersama-sama dalam perang salib tersebut. Takdir Allah SWT mengatasi segalanya, seluruh Nusantara telah dijajah oleh tentera salib. Sehinggalah banyak yang terjajah pemikiran dan cara hidup dengan materialistik adalah nombor wahid sehingga pegangan agama sebenar telah terkesamping.

Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah menjalankan amanah dari Allah SWT dengan berdakwah pada seluruh hayatnya. Beliau telah dijemput mengadap Ilahi (wafat pada tahun 1453 di Wajo, Sulawesi dalam usia 143 tahun. Anak-anak serta cucu cicit beliau juga meneruskan misi dakwah tersebut seperti datuk mereka. Kini generasi keturunan  Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah berkembang biak di seluruh pelusuk Nusantara. Ada di antara mereka yang masih meneruskan dakwah dengan berbagai cara masing-masing. Ada pula yang telah berjaya dengan kerjaya dan tidak kurang juga yang menjalani kehidupan rakyat biasa. Tetapi paling mendukacitakan jika terdapat dari kalangan mereka yang menjadi pemimpin, bagaimana pun mereka tidak mempedulikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka oleh Allah SWT….. dengan meletakkan semula Islam sebagai nombor wahid sebagai panduan untuk semua urusan keduniaan dalam menuju ke perjalanan ke alam baqa’….

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...