Saturday, November 10, 2012

TAMAN NEGARA PULONG TAU,SARAWAK

Kucing liar paling sukar ditemui di dunia dikesan di Pulong Tau


KUCHING: Salah satu daripada spesies kucing liar yang paling jarang dan sukar ditemui di dunia, iaitu Catopuma Badia, telah berjaya dikesan wujud di Taman Negara Pulong Tau (PTNP) di Batu Lawi dan Long Repun di bahagian utara negeri ini.
Catopuma Badia yang merupakan nama saintifik bagi kucing liar tersebut, berjaya dikesan imejnya melalui perangkap kamera oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Pengurus Projek PTNP Dr Paul Chai Pang Kiong berkata, pihaknya berjaya mengesan kewujudan spesies terancam itu menerusi tiga imejnya yang berjaya diambil dan dirakam oleh kamera tersembunyi itu.
Perangkap kamera berkenaan ditaja oleh Persatuan Perkayuan Sarawak (STA), manakala projek PTNP Fasa II ditaja oleh Pertubuhan Kayu-kayan Tropika Antarabangsa (ITTO).
“Kedatangan kucing liar terbabit mewujudkan kepentingan buat PTNP untuk memelihara hutan simpan yang kaya dengan biodiversiti dan spesies endemis yang jarang ditemui dan hampir pupus,” kata Dr Chai.
Katanya kucing liar terbabit merupakan spesies yang hampir pupus yang dimasukkan dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Catopuma Badia juga turut tersenarai di dalam lampiran Konvesyen Perdagangan Antarabangsa dan spesies pupus flora dan fauna (CITES) dan ia merupakan binatang yang dilindungi di Sarawak.
“Kucing liar dewasa yang bersaiz normal adalah sebesar kucing domestik dengan nama saintifik albeit dan ekor yang lebih panjang. Ia mempunyai dua warna iaitu merah yang lebih banyak daripada spesies berwarna kelabu.
“Gambar terakhir seekor kucing liar ini diambil di Pusat Hidupan Liar Lanjak Entimau melalui perangkap kamera dengan kerjasama UNIMAS pada tahun 2003. Selain dari itu, maklumat diperolehi dari pelbagai sumber,” jelasnya.
PTNP terletak di kawasan tanah tinggi utara iaitu di Miri dan Limbang.
Kawasan taman tersebut telah digazetkan pada 2005 untuk melindungi kawasan seluas 60,000 hektar hutan hujan yang turut merangkumi Gunung Murud iaitu gunung tertinggi di Sarawak (2,424 m) dan Banjaran Tama Abu.
“Ia merupakan projek kawasan lindungan biodiversiti bersama Taman Negara Kayan Mentarang di Timur Kalimantan yang ditaja oleh ITTO bersama JHS sebagai agensi penguatkuasa,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...