Saturday, November 10, 2012

TAMAN NEGARA PULAU TIGA,SABAH

Kehebatan Pulau Tiga - Kesedihan Pantai Sawangan




Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang potensi sektor pelancongan yang perlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan negeri Sabah. Perkongsian ini saya rujuk berdasarkan beberapa keping gambar yang tidak perlu dibicarakan secara panjang lebar dengan kata-kata puitis. Melihat gambar – gambar di atas, sudah cukup untuk menjelaskan bahawa daerah Kuala Penyu mempunyai potensi yang amat baik untuk dimajukan khusunya dalam bidang pelancongan.

Keindahan Pulau Tiga seperti juga pulau-pulau lain yang terdapat di negeri Sabah, seperti Pulau Manukan, Pulau Memutik, Pulau Sapi, Pulau Mabul, dan Pulau Sipadan sudah terbukti menarik minat ramai pelancong dari luar Negara.
Taman Negara pulau Tiga (sekarang dikenali Taman Pulau Tiga) meliputi keluasan 39,000 ekar (15, 864 hektar). Pulau Tiga sendiri, mempunyai keluasan 1,500 ekar (607 hektar), manakala selebihnya adalah meliputi kawasan laut bunga karang termasuklah dua pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Kalampunian Besar dan Kalampunian Damit (Pulau Ular).
Taman Pulau Tiga, terletak di kawasan Teluk Kimanis, kira-kira 50 kilometer dari Kota Kinabalu. Pekan Kuala Penyu adalah merupakan pekan dan daratan yang terdekat dengan Taman Pulau Tiga, iaitu kira-kira 16 kilometer. Para pengunjung boleh datang ke Taman tersebut dengan menaiki bot dari Kuala Penyu. Biasanya perjalanan dengan bot memakan masa lebih kurang 25 minit. Para pelawat dari Kota Kinabalu atau W.P. Labuan, boleh menggunakan speed boat (bot laju) dan biasanya memakan masa 90 minit.
Daya tarikan yang terdapat di Taman Pulau Tiga
Selain daripada keunikan alam semulajadi yang masih belum tercemar, seperti hutan dara, tumbuhan bakau (mangrove), pantai-pantai yang berkilauan, di Taman Pulau Tiga memberi peluang kepada para pelawat untuk melihat lebih kurang 60 spesis burung, termasuklah burung Tambun (Megapodius freycinet) yang merupakan endemik species, di kepulauan Borneo. Selain daripada burung-burung, Taman Pulau Tiga juga turut dihuni oleh beberapa jenis binatang liar seperti Monyet (Maccaca Fasicularis), biawak (Eguana) dan berpuluh ribu ekor Keluang (Flying fox). Manakala di Pulau Kalampunian Damit (Pulau Ular), para pelawat dapat menyaksikan beratus-ratus ekor ular laut (Laticuda Calubrina) yang menjadi penghuni tetap di pulau tersebut. Pulau Ular (Snake Island) sejak kebelakangan ini telah menjadi tumpuan para pelawat dari luar negara.
Para pelawat yang berminat dengan hidupan laut (Marine life) pasti akan merasai satu kepuasan apabila menyaksikan beraneka jenis hidupan laut, termasuklah bunga karang, yang terdapat di Taman Pulau Tiga, dan adalah dipercayai terumbu karang ini di antara yang tercantik di dunia.
Turut menjadi daya tarikan pada para pelawat, ialah beberapa kawasan Gunung Berapi Lumpur (Mud Volcano) dan juga sarang-sarang Burung Tambun yang terdapat dipesisiran pantai.


Walau bagaimanapun kehebatan dan populariti Pulau Tiga masih belum dapat dibanggakan khususnya oleh penduduk di daerah Kuala Penyu sendiri. Apalah ertinya mempunyai sebuah pulau yang hebat, jika tempias kehebatan itu masih belum mampu memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia yang masih ramai tiada pekerjaan tetap.


Pantai sawangan yang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke Pulau Tiga, ibarat ‘Hidup Segan Mati Tak Mahu”. Pantai ini mempunyai pemandangan yang cantik terutamanya pada waktu pagi dan senja. Keindahan Gunung Kinabalu sungguh romantic untuk dirakam menggunakan kamera digital. Ketika ini, pantai sawangan hanya mempunyai empat bilik kecil untuk pengunjung yang ingin bermalam. Tidak ada restoran untuk sarapan pagi, jika ingin makan tengahari terpaksalah masak sendiri atau jika sanggup ke pekan, bolehlah menikmati beberapa menu yang disediakan oleh pengusaha kedai makan secara kecil-kecilan.


Alangkah baiknya jika kerajaan negeri meningkatkan kemudahan fizikal di pantai ini seperti mengadakan restoran dan hotel sekurang-kurangnya berstatus 3 bintang. Saya percaya malah seluruh penduduk Kuala Penyu juga percaya jika pantai Sawangan dimajukan, anak-anak remaja mereka tidak akan menghabiskan masa muda mereka dengan aktiviti yang tidak berfaedah .

1 comment:

Anonymous said...

menarik, setuju pantai sawangan sepatutnya di majukan lagi utk menberi peluang pekerjaan pada para belia daerah tersebut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...