Kehebatan Pulau Tiga - Kesedihan Pantai Sawangan
Hari
ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang potensi sektor pelancongan
yang perlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan negeri Sabah. Perkongsian
ini saya rujuk berdasarkan beberapa keping gambar yang tidak perlu
dibicarakan secara panjang lebar dengan kata-kata puitis. Melihat gambar
– gambar di atas, sudah cukup untuk menjelaskan bahawa daerah Kuala
Penyu mempunyai potensi yang amat baik untuk dimajukan khusunya dalam
bidang pelancongan.
Keindahan Pulau Tiga seperti juga pulau-pulau lain yang terdapat di negeri Sabah, seperti Pulau
Manukan, Pulau Memutik, Pulau Sapi, Pulau Mabul, dan Pulau Sipadan
sudah terbukti menarik minat ramai pelancong dari luar Negara.
Taman
Negara pulau Tiga (sekarang dikenali Taman Pulau Tiga) meliputi
keluasan 39,000 ekar (15, 864 hektar). Pulau Tiga sendiri, mempunyai
keluasan 1,500 ekar (607 hektar), manakala selebihnya adalah meliputi
kawasan laut bunga karang termasuklah dua pulau kecil yang dikenali
sebagai Pulau Kalampunian Besar dan Kalampunian Damit (Pulau Ular).
Taman
Pulau Tiga, terletak di kawasan Teluk Kimanis, kira-kira 50 kilometer
dari Kota Kinabalu. Pekan Kuala Penyu adalah merupakan pekan dan daratan
yang terdekat dengan Taman Pulau Tiga, iaitu kira-kira 16 kilometer.
Para pengunjung boleh datang ke Taman tersebut dengan menaiki bot dari
Kuala Penyu. Biasanya perjalanan dengan bot memakan masa lebih kurang 25
minit. Para pelawat dari Kota Kinabalu atau W.P. Labuan, boleh
menggunakan speed boat (bot laju) dan biasanya memakan masa 90 minit.
Daya tarikan yang terdapat di Taman Pulau Tiga
Selain
daripada keunikan alam semulajadi yang masih belum tercemar, seperti
hutan dara, tumbuhan bakau (mangrove), pantai-pantai yang berkilauan, di
Taman Pulau Tiga memberi peluang kepada para pelawat untuk melihat
lebih kurang 60 spesis burung, termasuklah burung Tambun (Megapodius
freycinet) yang merupakan endemik species, di kepulauan Borneo. Selain
daripada burung-burung, Taman Pulau Tiga juga turut dihuni oleh beberapa
jenis binatang liar seperti Monyet (Maccaca Fasicularis), biawak
(Eguana) dan berpuluh ribu ekor Keluang (Flying fox). Manakala di Pulau
Kalampunian Damit (Pulau Ular), para pelawat dapat menyaksikan
beratus-ratus ekor ular laut (Laticuda Calubrina) yang menjadi penghuni
tetap di pulau tersebut. Pulau Ular (Snake Island) sejak kebelakangan
ini telah menjadi tumpuan para pelawat dari luar negara.
Para
pelawat yang berminat dengan hidupan laut (Marine life) pasti akan
merasai satu kepuasan apabila menyaksikan beraneka jenis hidupan laut,
termasuklah bunga karang, yang terdapat di Taman Pulau Tiga, dan adalah
dipercayai terumbu karang ini di antara yang tercantik di dunia.
Turut
menjadi daya tarikan pada para pelawat, ialah beberapa kawasan Gunung
Berapi Lumpur (Mud Volcano) dan juga sarang-sarang Burung Tambun yang
terdapat dipesisiran pantai.
Walau bagaimanapun kehebatan dan populariti Pulau
Tiga masih belum dapat dibanggakan khususnya oleh penduduk di daerah
Kuala Penyu sendiri. Apalah ertinya mempunyai sebuah pulau yang hebat,
jika tempias kehebatan itu masih belum mampu memberi peluang pekerjaan
terutamanya kepada golongan belia yang masih ramai tiada pekerjaan
tetap.
Pantai
sawangan yang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai
ke Pulau Tiga, ibarat ‘Hidup Segan Mati Tak Mahu”. Pantai ini mempunyai
pemandangan yang cantik terutamanya pada waktu pagi dan senja. Keindahan
Gunung Kinabalu sungguh romantic untuk dirakam
menggunakan kamera digital. Ketika ini, pantai sawangan hanya mempunyai
empat bilik kecil untuk pengunjung yang ingin bermalam. Tidak ada
restoran untuk sarapan pagi, jika ingin makan tengahari terpaksalah
masak sendiri atau jika sanggup ke pekan, bolehlah menikmati beberapa
menu yang disediakan oleh pengusaha kedai makan secara kecil-kecilan.
Alangkah baiknya jika kerajaan negeri meningkatkan kemudahan fizikal di pantai ini seperti mengadakan restoran dan hotel sekurang-kurangnya
berstatus 3 bintang. Saya percaya malah seluruh penduduk Kuala Penyu
juga percaya jika pantai Sawangan dimajukan, anak-anak remaja mereka
tidak akan menghabiskan masa muda mereka dengan aktiviti yang tidak
berfaedah .
1 comment:
menarik, setuju pantai sawangan sepatutnya di majukan lagi utk menberi peluang pekerjaan pada para belia daerah tersebut
Post a Comment