Saturday, November 10, 2012

TAMAN NEGARA BUKIT TAWAU,SABAH

Pokok Tropika Tertinggi Dunia di Taman Bukit Tawau.

Masih ramai yang keliru, sebenarnya Tawau ini unik kerana Taman Bukit Tawau menempatkan satu Pokok tropika tertinggi di dunia dan bukannya pokok yang tertinggi di dunia. Berbekalkan kekeliruan itulah, aku berazam suatu masa nanti akan menjejak pokok tropika tertinggi di dunia ini dan mendedahkannya di blog ini. Akhirnya wishlist aku itu tercapai dan pagi tadi, aku bersama 5 lagi rakan Tawau Bloggers Unity (TBU) masuk hutan simpan Taman Bukit Tawau untuk menjejak lokasi pokok tersebut.
Pokok tropika tertinggi di dunia yang berada di Taman Bukit Tawau ini adalah pokok dari spesis Seraya Kuning Siput (Shorea faquetiana) yang ditemui oleh saintis Amerika Syarikat, Dr Roman Dial bersama dua rakannya pada tahun 2006.  Ketinggian pokok torpika tertinggi di dunia ini ialah 88.32 meter.  Untuk melihat sendiri pokok ini, anda perlu berjalan kaki di dalam hutan sejauh 900 meter yang biasanya akan mengambil masa sejam perjalanan.

Untuk ke sana, anda tidak akan sesat meskipun tiada ranger guide membawa anda kerana Taman Taman Sabah telah menyediakan banyak papan tanda sebagai petunjuk jalan dan jalan yang perlu anda lalui itu selamat. Konteks selamat itu adalah anda selamat dari sebarang ancaman binatang buas apatah lagi denai berduri. Sekiranya anda mahu membawa ranger guide, anda boleh dapatkannya di kaunter pendaftaran dengan sedikit bayaran.
Ini pula kisahku ketika menyertai geng TBU dalam misi menjejak pokok tropika tertinggi di dunia itu. Aku membawa kasut boot lamaku yang sudah 3 tahun lebih tidak dipakai kerana aku tahu perjalanan itu nantinya pastinya berlecak. Berbeza pula dengan yang lain, meskipun tahu mahu masuk hutan, mereka memilih untuk berselipar sahaja termasuklah ketua ekspedisi kami, Sankai. Setelah check-in di kaunter Taman Bukit Tawau, kami pun memulakan ekspedisi kami… semangat berkobar-kobar kerana cabaran misi kami ini sebenarnya telah lama dirancang.
Di tengah perjalanan, aku berasa pening mahu pitam dan muntah. Mujur 5 rakan TBU ini beri sokongan power2, kalau tak, aku memang akan kempunan. Dalam keadaan hujan lebat, di dalam hutan tebal, apa yang ada? Ya, lintah dan cacinglah yang menemani kami. Tergelincir, tersangkut akar kayu dan jatuh bagaikan nangka masak antara pengalaman aku tadi.
..
..
Tidak cukup dengan itu, kaki aku yang luka kesan kasut boot yang aku pakai memaksa aku join the club, berkaki ayam sahaja, cuma bezanya, rakan yang lain tidak berstoking seperti aku. Pernahkah anda menyaksikan pengembaraan hutan tanpa menggunakan kasut mahupun selipar? Itulah rekod yang kami lakukan tadi…
Sesekali buat aktiviti seperti ini amat baik untuk merehatkan fikiran, dapat melihat keindahan alam semulajadi, dapat melarikan tumpuan seketika daripada rutin seharian, dapat mengembara di dalam hutan. Sudah agak terlalu lama aku tidak masuk hutan, seingat aku, ekspedisi di Taman Negara Mulu, Sarawak adalah perjalanan terakhir aku di dalam hutan. Itu 10 tahun yang lalu… hehehe.

Wajah kelaparan selepas misi tamat.
Info Tambahan dari BERNAMA.
Taman Bukit Tawau Bukan Sekadar Destinasi Rekreasi Semulajadi
Oleh Nashir Mansor (6 Ogo 2010)
Pada 2006, saintis dari Amerika Syarikat Dr Roman Dial bersama dua rakannya memanjat sebatang pokok Seraya Kuning Siput (Shorea faquetiana) di Taman Bukit Tawau.
Tujuannya untuk mengetahui setepat yang boleh ketinggian sebenar pokok Hutan Hujan Tropika yang terletak di dalam kawasan hutan simpan berkeluasan kira-kira 28,000 hektar berkenaan.
Dengan meletakkan hujung pita pengukur di bahagian tertinggi pokok Seraya Kuning Siput itu, Dr Dial, seorang profesor Biologi dan Matematik di Alaska Pacific University, akhirnya berjaya merekodkan ketinggian pokok berkenaan iaitu 88.32 meter.
Berdasarkan perjalanannya ke pelbagai kawasan Hutan Hujan Tropika di merata tempat di dunia termasuk Amerika Latin, khususnya Lembah Amazon, beliau mendapati bahawa pokok Seraya Kuning Siput, Taman Bukit Tawau berkenaan merupakan pokok tropika yang tertinggi di dunia.
Selepas berjaya mengukur ketinggian pokok Seraya Kuning Siput berkenaan, dia dan pasukannya terus mencari beberapa spesies pokok tropika lain dan akhirnya, tujuh lagi pokok tropika dengan ketinggian melebihi 80 meter ditemui di sekitar hanya dua kilometer persegi di dalam hutan simpan berkenaan.
Hasil ekspedisi Borneo Dr Dial dan rakan-rakannya untuk merekodkan pokok Hutan Hujan Tropika tertinggi itu dirakamkan dalam majalah National Geographic, keluaran Julai 2006.
HUTAN SIMPAN
Meskipun pokok Seraya Kuning Siput di Taman Bukit Tawau itu cuma di tempat ke-10 berbanding ketinggian spesies pokok lain di dunia namun ia tetap membanggakan kerana pokok ini masih tertinggi di dunia dalam kategori spesies tropika.
Pokok hidup tertinggi di dunia yang berjaya ditemui setakat ini ialah dari spesies pokok ‘redwood’ atau ‘Sequoia sempervirens’ di Hutan Redwood, Taman Negara Redwood di California, Amerika Syarikat, dengan ketinggian 115.55 meter.
Sementara itu, daripada senarai 25 pokok pelbagai spesies tertinggi di dunia yang dikeluarkan pada 2007, didapati 11 pokok daripadanya terdapat di Taman Bukit Tawau dengan kesemuanya mencapai ketinggian melebihi 80 meter.
Pada masa ini, pokok tropika tertinggi di dunia itu menjadi tumpuan setiap pelawat dalam dan luar negara yang datang ke Taman Bukit Tawau malah lawatan boleh dianggap tidak lengkap jika tidak melihat sendiri pokok berkenaan.
KHAZANAH TAWAU
Pokok tropika tertinggi di dunia berkenaan terletak 900 meter dari Stesen Taman Bukit Tawau dan untuk ke sana pengunjung terpaksa mendaki bukit mengikut trek semulajadi yang disediakan pihak pengurusan taman.
Sepanjang perjalanan ke sana, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati udara segar dan nyaman tetapi turut berpeluang menyaksikan kehijauan dan keunikan pelbagai spesies pokok dan tumbuhan lain yang terdapat di dalam taman berkenaan.
Malah, jika ingin melihat sendiri tumbuhan memanjat bersaiz besar sehingga ada sesetengahnnya melebihi saiz peha, berkunjunglah ke Taman Bukit Tawau kerana pokok jenis itu amat mudah disaksikan di sepanjang perjalanan ke lokasi pokok tropika tertinggi di dunia.
Jika bernasib baik, pengunjung juga akan berpeluang menyaksikan lotong merah atau Red Leaf Monkey yang dianggap “mesra” dengan pengunjung kerana sudah terbiasa menerima kehadiran pelawat di situ.
“Kami juga sebenarnya turut terkejut apabila saintis berkenaan memberitahu bahawa kayu tropika tertinggi di dunia berada di tempat kita sendiri. Bagi kita, khazanah ini bagaikan “harta karun” Tawau.
POKOK TROPIKA
“Walaupun beberapa tahun dahulu daerah ini terkenal sebagai daerah pembalakan, namun kita masih menyimpan khazanah yang penting untuk tatapan generasi kita akan datang,” kata Pengurus Taman Bukit Tawau, Ariffin Johari kepada Bernama.
Kemampuan pokok tropika berkenaan mencapai ketinggian sedemikan membuktikan bahawa tanah gunung berapi yang meliputi Taman Bukit Tawau serta persekitaran ekosistem taman berkenaan masih terpelihara dan mesti dilindungi sampai bila-bila.
Menurut Ariffin, pokok tropika berkenaan boleh hidup sehingga 200 tahun namun kelangsungan hayatnya itu juga turut dipengaruhi banyak faktor persekitaran termasuk kestabilan tanah serta ancaman panahan petir ke atas pokok berkenaan.
Katanya pihak pengurusan taman yang terletak di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, akan memelihara kayu berkenaan sebaik mungkin bagi memastikan ia boleh hidup selama yang boleh.
“Itulah satu daripada tugas utama kami di Taman Bukit Tawau ini,” katanya.
BEKALAN AIR
Taman Bukit Tawau yang diwartakan pada tahun 1979 merupakan kawasan tadahan air terpenting dan menjadi punca kepada lima sungai utama di Tawau iaitu Sungai Tawau, Sungai Balung, Sungai Merotai, Sungai Kalumpang dan Sungai Andrassy.
Kedudukan ini menjadikan Taman Bukit Tawau sebagai sumber bekalan air kepada penduduk tiga daerah Pantai Timur Sabah iaitu Tawau, Semporna dan Kunak yang penduduknya mungkin mencecah hampir satu juta orang.
Terdapat tiga gunung di dalam kawasan Taman Bukit Tawau iaitu Gunung Magdalena dengan ketinggian 1,219 meter, Gunung Lucia (1,188.7 m) dan Gunung Maria (1,060.8 m). Pada masa ini, kawasan Gunung Maria dan Gunung Magnalena belum dibuka kepada orang awam manakala Gunung Lucia dalam proses pemmbuatan trek.
“Sebenarnya, kepentingan Taman Bukit Tawau ini, seperti yang masyarakat kita selalu anggap, bukan hanya kerana ia menyimpan pokok tropika tertinggi di dunia tetapi ada keistimewaan lain yang kurang dititik beratkan oleh kita semua.
“Masih ramai kalangan kita kurang kefahaman dan menghargai kedudukan Taman Bukit Tawau yang jaraknya cuma 25 kilometer dari pusat bandar Tawau sebagai penyimpan khazanah pelbagai flora dan fauna yang jarang atau tidak ditemui di hutan-hutan simpan lain,” kata Ariffin.
SPESIES ISTIMEWA
Sebagai contoh katanya, Orkid Telinga Gajah (Phalaenopsis gigantea) yang merupakan spesies orkid yang endemik untuk Borneo dan di Sabah spesies orkid ini cuma boleh dijumpai di Taman Bukit Tawau dan di Tenom.
Begitupun Orkid Telinga Gajah di Taman Bukit Tawau masih unik kerana ada di antaranya mempunyai enam helai daun berbanding tiga atau empat helai daun yang lazimnya dimiliki orkid sejenisnya di tempat lain.
Dalam setahun, Orkid Telinga Gajah atau Orkid Borneo ini cuma berbunga sebanyak dua kali dalam tiga tahun dan bunganya boleh tahan sehingga enam bulan manakala harganya di pasaran boleh mencecah sehingga RM10,000 sepokok.
“Di dalam Taman Bukit Tawau ini, kita wujudkan Taman Botani yang menyimpan kira-kira 200 spesies orkid dan kita ada kira-kira 6,000 koleksi bunga orkid di dalamnya untuk disaksikan pengunjung,” kata Zainuddin Baluat, seorang kakitangan Taman Bukit Tawau.
Selain, koleksi orkid, Taman Botani berkenaan juga menyimpan kira-kira 60 spesies paku pakis termasuk paku pakis gergasi, 43 spesies halia hutan, pelbagai spesies keladi hutan termasuk yang berdaun lebar serta pelbagai spesies pokok herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan pokok gaharu.
Istimewanya, banyak lagi spesies flora di Taman Botani ini belum dikenal pasti namanya dan usaha sedang dibuat untuk menamakannya.
Jadi, berkunjunglah ke Taman Bukit Tawau kerana selain menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi termasuk kawasan sungai untuk mandi manda dan tempat penginapan, pengunjung juga berpeluang menambah pengetahuan mengenai alam semulajadi.
“Kita berharap, melalui kunjungan orang ramai dan pendedahan yang kita berikan mengenai flora dan fauna endemik di sini serta keistimewaan lain yang dimiliki Taman Bukit Tawau seperti air terjun dan kawasan air panas, orang ramai akan menghargai dan menyayangi alam sekitar,” kata Ariffin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...