Monday, November 12, 2012

MURAI BATU

Murai Batu Bersuara Merdu




MURAI batu (Copsychus malabaricus) atau White-rumped Shama spesies burung liar yang dijumpai di negara ini. Burung ini tergolong dalam spesies murai kampung atau Magpei Robin. Kedua-dua spesies ini digolongkan dalam famili Turdidae. Spesies burung liar ini cantik dan diminati kebanyakan pemelihara atau penggemar burung. Murai batu mempunyai tiga warna bulu, iaitu hitam, putih dan merah keemasan. Ekornya panjang serta berwarna hitam di bahagian atas, dan putih di bahagian bawah. Bulu tongkengnya putih, manakala ekornya boleh dijengkitkan ke atas dan bawah serta dikembangkan seperti kipas yang cantik. Perlakuan ini dilakukan oleh murai batu jantan untuk menarik perhatian burung betina. Bulu dada murai merah keemasan sementara bahagian perutnya putih. Murai batu betina mempunyai saiz tubuh yang lebih kecil daripada yang jantan, selain warna bulu yang kurang menyerlah jika dibandingkan dengan burung jantan. Panjang keseluruhan badan murai ini mencapai sehingga 30 sentimeter. Bunyi yang unik serta warna bulu yang menarik menyebabkan permintaan ke atas spesies ini amat tinggi.
Burung ini mengeluarkan bunyi yang kuat dan nyaring, tetapi ada kalanya
perlahan seperti berbisik. Ada kalanya burung ini mengeluarkan bunyi yang garau seperti “tap, tap, tap, tap” berulang kali. Bunyi ini dilakukannya terutama semasa terbang mencari makan pada waktu pagi. Jarak penerbangan tidak jauh dan akan hinggap di tempat yang agak gelap dan tersorok. Burung ini boleh berbunyi seakan-akan orang bercakap atau berbisik, iaitu “chow, chow, chow, wit, wit, wit” berulang-ulang. Murai batu juga boleh meniru atau mengajuk bunyi burung liar lain seperti bunyi burung cecawi anting-anting. Penangkap murai batu yang mahir akan mengajuk bunyi burung ini, yang akan dibalas oleh burung tersebut dengan nada bunyi yang hampir sama.
__
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...