BURUNG
dendang selayang atau black-naped oriole (Oriolus chinensis) antara
spesies burung liar yang biasa ditemui di pinggiran hutan, perkampungan
dan kawasan pertanian. Dendang selayang termasuk dalam famili Oriolidae.
Burung ini mempunyai
warna bulu yang cantik lagi menarik, iaitu warna kuning diraja pada
keseluruhan badannya, kecuali di bahagian mata hingga tengkuk dan hujung
bulu kepaknya, serta hujung ekornya berwarna hitam.
Bulu berwarna hitam di
bahagian matanya seolah-olah burung ini memakai topeng penutup mata.
Paruhnya tajam dan berwarna jingga atau merah jambu. Paruhnya tebal di
bahagian pangkal dan meruncing di bahagian hujungnya. Matanya berwarna
merah dan anak matanya berwarna hitam. Burung jantan dan burung betina
mempunyai warna yang sama, kecuali burung betina mempunyai saiz badan
yang lebih kecil dan warna bulunya agak pudar. Burung ini sentiasa hidup
dan terbang berpasangan.
Burung jantan
mengeluarkan bunyi yang nyaring, kuat dan ringkas, “chau-liok, ko-kiou”,
dan kadangkala berbunyi, seperti menjerit, “kuek, kuek” berulang-ulang
semasa terbang berkejaran antara satu sama lain.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.
No comments:
Post a Comment