Sunday, August 3, 2014

KONFLIK UMAT ISLAM DI REP AFRIKA TENGAH...



Mereka bergabung dalam satu kelompok yang diberi nama antibalaka. Wanita ini juga jago bertarung menggunakan pedang.
©AFP PHOTO/FRED DUFOUR

Kelompok wanita antibalaka berpose sambil memegang senjata tajam saat berjaga di Pulau Mbongo Soa, Bangui, Repubilk Afrika Tengah, Jumat (21/2). 
 
 
Pada 20 Februari 2014, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon telah menyeru supaya bantuan ketenteraan ke Republik Afrika Tengah dipertingkatkan lagi bagi mengelakkan krisis di sana daripada menjadi semakin buruk. Semenjak Majlis Keselamatan PBB meluluskan campurtangan ketenteraan pada 5 Disember 2013, sebanyak lebih daripada 5000 orang tentera dari Perancis dan negara-negara di Afrika telah memasuki negara tersebut. Namun, campurtangan ketenteraan ini bukan sahaja gagal mengekang keganasan yang diperlakukan oleh puak militia Kristian, bahkan mereka semakin menjadi-jadi dalam menindas, membunuh, merompak, memusnahkan harta kaum Muslimin serta mengusir mereka. Michel Djotodja, yang merupakan Muslim pertama yang menjadi Presiden negara itu telah meletakkan jawatannya pada 10 Januari 2014 dan digantikan oleh Catherine Samba-Panza pada 20 Januari 2014. Dalam perkembangan yang sama, Amerika Syarikat pula telah menyatakan sokongan terhadap pasukan tentera gabungan Afrika dan mendesak supaya pilihanraya diadakan menjelang Februari 2015. Persoalannya, apakah sebenarnya yang sedang berlaku di sana dan bagaimanakah krisis tersebut boleh tercetus? Ke arah manakah krisis ini sedang menuju?

Dalam merungkai persoalan tersebut, kita sewajarnya menelusuri perkara ini dari sudut kedudukan umat Islam di Afrika Tengah dan juga siri rampasan kuasa yang berlangsung di sana serta keterkaitannya dengan konflik antarabangsa.
.
1. Dianggarkan peratusan kaum Muslimin di negara tersebut adalah antara 15 hingga 20% daripada 5 juta populasi keseluruhan. Namun, anggaran tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya lantaran perkembangan Islam yang pesat di negara tersebut. Perkembangan Islam di Republik Afrika Tengah (RAT) adalah sangat pesat khasnya di Bangui, iaitu ibu negara republik tersebut serta di wilayah utaranya yang pernah dinaungi oleh pemerintahan kesultanan Islam Bajrami (yang turut meliputi kawasan selatan Chad yang berjiran dengan republik tersebut). Islam turut berkembang pesat semenjak kurun ke-13 Masihi dan menyebabkan banyak suku kaum Afrika seperti kaum Rongha dan Vakaca menganut ajaran tauhid ini.

Terdapat juga sebilangan kaum Muslimin khasnya dari wilayah Barat Afrika seperti puak Hausa dan Fulani telah berhijrah ke wilayah barat negara tersebut yang berjiran dengan Cameron pada kurun ke-18 dan ke-19 Masihi. Mereka turut berkerjasama dengan saudara seakidah mereka yang telah lama menetap di kawasan tersebut dalam menentang usaha penjajahan oleh Perancis.

Pihak kolonialis Perancis, khasnya di bawah kerajaan boneka Patasse pada kurun yang lalu telah cuba untuk menyekat perkembangan Islam dengan mengasingkan penduduk Muslim dan bukan Islam. Mereka juga telah menghadkan keterlibatan kaum Muslimin dalam bidang pentadbiran dan perkhidmatan awam, yang akhirnya menyebabkan ramai umat Islam di sana menceburkan diri dalam bidang perdagangan dan perniagaan. Hakikat ini menjadi lebih ketara sewaktu tercetusnya krisis ini, di mana ribuan umat Islam telah menjadi pelarian sehingga menyebabkan banyak urusan perdagangan di negara tersebut tergendala lalu menimbulkan krisis makanan khasnya di Bangui.

2. Penjajahan Perancis bermula di Afrika Tengah pada tahun 1885 dengan pembukaan pangkalan mereka di Bangui. Kawasan tersebut telah menjadi koloni Perancis secara rasminya pada tahun 1894. Meskipun kemerdekaan telah diberikan kepada republik tersebut, namun Perancis tetap masih memainkan peranan dalam mencorak pemerintahan di negara tersebut. Mereka telah melantik David Dacko sebagai Presiden yang terkenal dengan kezalimannya dalam menindas seteru politiknya sepanjang dua tahun pemerintahannya. Amerika Syarikat (AS) yang sedang berusaha untuk meluaskan pengaruhnya di Afrika melihatnya sebagai peluang bagi mengukuhkan cengkaman mereka di wilayah tersebut.

Pada tahun 1961, AS telah bersepakat dengan Kesatuan Soviet (USSR) untuk melenyapkan kolonialisme di Afrika. Dalam mencapai matlamat tersebut, mereka telah menyuntik semangat di kalangan penduduk Afrika untuk bangkit menentang pihak kolonialis. Disebabkan khuatir untuk kehilangan pengaruhnya, Perancis telah mengatur satu rampasan kuasa melalui Jean-Beddle Bokassa pada tahun 1966 lalu kemudian melantik bekas presiden, David Dacko sebagai penasihatnya bagi meredakan sentimen anti-penjajah yang dimainkan oleh AS-USSR. Melalui percaturan tersebut, Perancis berusaha untuk memastikan sebarang penentangan terhadap penguasaannya di negara tersebut dapat dipadamkan melalui kekerasan oleh rejim tentera yang menjadi boneka Perancis.

Kemudian, Bokassa mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja pada tahun 1976 dan meneruskan kezalimannya di bawah telunjuk tuannya iaitu Perancis. Bokassa sangat mengkagumi Perancis, bahkan mengurniakan gelaran Pope kepada Presiden Perancis, Charles de Gaulle. Kekejaman Bokassa, yang meliputi amalan kanibalisme dan pembunuhan kanak-kanak telah menimbulkan persepsi yang amat buruk di kalangan masyarakat antarabangsa. Perancis telah menggulingkan Bokassa dan mengembalikan David Dacko sebagai Presiden pada tahun 1979. Namun, pemerintahan Dacko tidak kekal lama apabila Jeneral Andre Kolingba menggulingkannya pada bulan September 1981.

Dalam perkembangan yang sama, Perancis juga telah berjaya menyingkirkan kerajaan pimpinan Habre yang pro-Amerika di Chad dan menggantikannya dengan ejennya Idriss Deby pada tahun 1990. Sejajar dengan itu, pengaruh Perancis di Afrika Tengah telah menjadi semakin kukuh kerana Chad merupakan teras dalam menjamin penguasaan di wilayah tersebut. Setelah memastikan pengaruhnya kukuh, Perancis telah menganjurkan pilihanraya di negara tersebut kerana ingin mengalahkan kempen propaganda AS yang terfokus kepada retorika  usaha mengembalikan demokrasi di Afrika.

Pada tahun 1993, Felix Patasse, pemimpin pembangkang yang merupakan ejen Perancis telah berjaya memenangi pilihanraya Presiden. Namun, kezaliman Patasse dalam menindas seteru politiknya telah mencetuskan pemberontakan bersenjata oleh pelbagai etnik yang diketuai oleh pemimpin pembangkang, Reverend Francois Bozize. Bozize telah mengangkat sumpah sebagai Presiden republik tersebut pada 15 Mac 2003.

Meskipun Bozize berjaya meraih kekuasaan  kerana mendapat sokongan daripada kaum Muslimin di RAT, namun mereka dilayan sebagai musuh dan dipinggirkan. Bozize juga telah menganjurkan pilihanraya yang berat sebelah pada tahun 2005 dan 2011 serta mengisytiharkan kemenangannya sendiri. Dalam tempoh ini, para pemimpin lima buah organisasi yang terdiri daripada kaum Muslimin telah bergabung membentuk pakatan Seleka/Celica untuk melancarkan pemberontakan bersenjata di bawah pimpinan Djaotodja. Bozize telah bertindakbalas dengan mengerahkan tentera untuk menyerang kaum Muslimin sehingga mengakibatkan ratusan nyawa terkorban.

3. Sebuah persidangan telah diadakan pada 1 November 2013 di Libreville, Gabon bagi membincangkan penyelesaian antara Presiden Bozize dan pemimpin Seleka. Pihak Seleka mendesak supaya hak kaum Muslimin dikembalikan, pengiktirafan Islam sebagai agama, serta pengiktirafan terhadap sambutan ‘Aidilfitri dan ‘Aidiladha. Natijahnya, Bozize dapat mengekalkan kuasa sehingga tahun 2016 berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai, walaupun tangannya masih lagi berlumuran dengan darah kaum Muslimin. Sebahagian daripada pemberontak Seleka telah diserap masuk ke dalam angkatan tentera RAT.

Bozize telah memungkiri janjinya, dan meneruskan semula penindasan terhadap kaum Muslimin. Sekaligus menyebabkan pemberontak Seleka kembali mengangkat senjata dan menggulingkan Bozize pada 24 Mac 2013. Kemudian, Michel Djotodja telah diangkat menjadi Presiden. Hal ini menimbulkan kegusaran bagi Perancis kerana Djotodja merupakan seorang Muslim walaupun Djotodja telah memberikan jaminan bahawa RAT sebagai sebuah negara sekular sebagaimana yang telah dilaporkan oleh The Gulf pada 31 Mac 2013.
Demi menjaga hati Barat khasnya Perancis, Djotodja juga bertindak untuk tidak melucutkan senjata pihak militia Kristian. Namun, Perancis tetap tidak mengiktiraf kepimpinan Djotodja kerana latarbelakangnya sebagai seorang Muslim. Lalu Perancis menganjurkan persidangan di Chad pada 3 April 2013 sebagai langkah untuk menjatuhkan kredibiliti Djotodja. Meskipun Majlis Peralihan telah mengumumkan pemilihan Djotodja sebagai Presiden pada 13 April 2013, namun kerajaan Perancis tetap enggan mengiktirafnya. Perancis telah menarik balik bantuan terhadap RAT, sedangkan pada hakikatnya dalam masa yang sama mereka  selama ini telah pun merompak hasil mahsul RAT yang kaya dengan batuan dan galian.

4. Perancis telah berusaha untuk melakukan campurtangan dengan menimbulkan permasalahan sebagai alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Pihak Majlis Keselamatan telah meluluskan tindakan ketenteraan di RAT pada 5 Disember 2013 dan operasi ketenteraan telah berlangsung pada 8 Disember 2013. Hasil daripada tekanan Perancis, Michel Ando Djotodja telah mengumumkan perletakan jawatannya dalam persidangan di Chad pada 10 Januari 2014. Beliau telah digantikan oleh Datuk Bandar Bangui, Catherine Samba-Panza sebagai Presiden sementara pada 20 Januari 2014.

Pihak militia Kristian telah mencetuskan ketegangan sebaik sahaja perletakan jawatan Djotodja. Mereka telah bertindak zalim terhadap penduduk Muslim khasnya di Bangui. Pihak militia khasnya yang digelar sebagai “Anti Balaka” dibiarkan berleluasa dalam melakukan penindasan dan pembunuhan, sedangkan dalam masa yang sama sebanyak 7000 orang pemberontak Seleka telah dilucutkan senjata oleh tentera Perancis dengan alasan untuk menjaga keamanan. Penduduk Muslim bukan sahaja diancam pembunuhan, bahkan jenazah mereka telah dibakar dan dimakan oleh pengganas Anti Balaka. Harta benda, masjid, sekolah, dan institusi milik kaum Muslimin turut dimusnahkan oleh perusuh tanpa sebarang tindakan oleh tentera “pengaman” Perancis dan Kesatuan Afrika (AU).

Menurut laporan BBC (12 Februari 2014), puluhan ribu penduduk Muslim telah melarikan diri ke Cameroon dan Chad manakala sebilangan lagi terpaksa mencari perlindungan di kem-kem pelarian dalam republik tersebut. Pihak Amnesty International pula telah mengeluarkan kenyataan bahawa situasi yang berlaku di RAT jelas merupakan tindakan penghapusan etnik, namun ia dinafikan oleh Presiden Samba-Panza.

5. AS cuba mengambil kesempatan untuk campurtangan di sebalik kekejaman yang dilakukan oleh Perancis melalui ejennya. Lalu AS telah berusaha untuk meningkatkan lagi keterlibatan negara-negara Afrika dalam operasi ketenteraan di RAT dengan harapan untuk meminggirkan Perancis sekaligus mengambil alih peranan Perancis. Hal ini lantaran wujudnya dakwaan keterlibatan tentera Perancis dalam membiarkan kezaliman pihak militia Kristian, sekaligus meningkatkan desakan agar pihak tentera negara-negara Afrika menggantikan tentera Perancis. Melalui pengaruhnya, AS telah mendesak agar PBB meningkatkan lagi keterlibatan tentera negara-negara Afrika sekaligus mengurangkan campurtangan Perancis di RAT.

Wakil Tetap AS ke PBB, Samantha Power dan Timbalan Setiausaha Negara bagi Urusan Afrika, Linda Thomas-Greenfield telah mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan sementara RAT di Bangui. Dalam satu kenyataan, Thomas-Greenfield telah menegaskan bahawa tentera di bawah mandat Kesatuan Afrika sangat diperlukan dalam misi ketenteraan (MISCA) dalam usaha untuk melucutkan senjata kumpulan-kumpulan bersenjata (sumber: IIP Digital, laman U.S Department of State 23 Disember 2013).

Bagi menyeimbangi tindakan AS, Perancis telah meningkatkan lagi jumlah tenteranya di RAT kepada 2000 orang. Perancis juga berhasrat untuk meningkatkan lagi keterlibatan tentera daripada Kesatuan Eropah (EU) bagi menyeimbangkan pengaruh AS dalam konflik ini. Menurut petikan daripada sebuah sumber diplomatic,  keterlibatan tentera EU dianggarkan boleh mencapai sehingga 900 orang, menjangkaui jangkaan sebanyak 500 orang. (sumber AFP 14 Februari 2014)

Jelaslah bahawa campurtangan ketenteraan ini, baik sama ada di pihak Perancis dan sekutunya di Eropah atau AS dan sekutunya di negara-negara Afrika, bukanlah bertujuan untuk menjaga keamanan dan memelihara penduduk Islam daripada kezaliman. Sekiranya benar mereka ingin membela kaum Muslimin, sudah tentu mereka boleh melakukannya dengan mudah sekali terhadap negara kecil yang serba kekurangan ini. Sebaliknya campurtangan tersebut jelas menunjukkan persaingan antara AS dan Perancis dalam melebarkan pengaruh mereka di rantau Afrika. Darah kaum Muslimin di RAT telah menjadi harga dalam pertaruhan dan percaturan antara AS dan Perancis bagi mengukuhkan pengaruh masing-masing.

6. Bagi tujuan tersebut, AS telah berusaha mengukuhkan pengaruhnya di Afrika Tengah dengan cara mendokong campurtangan tentera negara-negara Afrika dan misi mereka. Di bawah pengaruh AS, Majlis Keselamatan PBB telah memohon “pertambahan sebanyak 3000 orang tentera dan polis bagi meningkatkan keselamatan dan melindungi orang awam” (sumber: AFP 20 Februari 2014). Ternyata AS akan berusaha untuk berkompromi dengan Perancis dalam melebarkan pengaruhnya di RAT melalui proses pilihanraya dengan mengeksploitasi darah kaum Muslimin yang telah ditumpahkan! Dalam pada itu, Perancis juga dijangka akan akur dengan percaturan AS dengan harapan supaya pengaruhnya dapat dikekalkan meskipun semakin berkurangan. Dalam kesempatan itu, Perancis juga akan terus berusaha mengekalkan pengaruhnya dengan meletakkan ejennya sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.

7. Kesimpulannya, jelaslah bahawa darah kaum Muslimin telah dijadikan cagaran dalam perebutan antara AS dan Perancis di RAT. Tujuan sebenar campurtangan mereka bukanlah kerana ingin melakukan pembelaan terhadap warga emas, kanak-kanak dan wanita yang diseksa dan dibunuh. Sebaliknya negara-negara kolonialis inilah yang menumpahkan darah kaum Muslimin dan membiarkan militia Kristian bermaharajalela melakukan pembunuhan.

Lebih menyedihkan lagi apabila mengenangkan nasib yang menimpa umat Islam tatkala darah mereka ditumpahkan juga di Palestin, Burma, Kashmir, Chechnya, Tatarstan, Syria dan juga di RAT tanpa sebarang pembelaan. Sebaliknya, para penguasa kaum Muslimin hanya cenderung berdiam diri, sikap berkecuali dan akur kepada telunjuk Barat.

Hakikatnya, umat Islam pada hari ini telah kehilangan perisai yang melindungi mereka iaitu Khalifah yang memimpin Daulah Khilafah dan akan bingkas melakukan pembelaan.
وَإِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ
"Sesungguhnya Imam/Khalifah itu adalah laksana perisai, di belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung." [HR Bukhari]

وَيَقُولُونَ مَتَى هُوَ قُلْ عَسَى أَن يَكُونَ قَرِيبًا

“Lalu mereka menggeleng-gelengkan kepala mereka kepadamu dan berkata (sambil mengejek), ‘Bilakah itu (akan berlaku)?.  Katakanlah, "Mudah-mudahan waktu berbangkit itu tidak lama lagi."
[TMQ Al-Israa’ 17:51]

23 Rabiul Akhir 1435H
23 Februari 2014

Sumber: Q&A – The Conflict in Central Africa

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...