Ramai di kalangan umat Islam berpandangan bahawa untuk mengambil pendirian tertentu terhadap Syi'ah merupakan suatu perkara yang sukar, suatu perkara yang membingungkan. Kesukaran ini berpunca dari pelbagai sebab. Antaranya: 1. Tiada maklumat. Bagi kebanyakan umat Islam, Syi'ah merupakan suatu entiti yang kabur, tidak diketahui apa hakikat sebenarnya, bagaimana ia muncul, tidak pernah dikaji masa lampaunya dan tidak dipeduli masa depannya. Dengan itu, terlalu ramai di kalangan umat Islam yang percaya bahawa Syi'ah tidak lain hanya satu daripada mazhab-mazhab dalam Islam seperti Syafi'ei, Maliki dan seumpamanya. Mereka tidak mengetahui bahawa perselisihan antara Sunnah dan Syi'ah bukan pada perkara cabang sahaja, tetapi banyak perselisihan dalam perkara usul atau pokok juga. 2. Kebanyakan Muslimin tidak berpijak di alam realiti dan tidak melihat daripada sudut amali. Mereka hanya menganyam mimpi-mimpi yang positif tanpa membuat sebarang kajian dan analisis. Maka kita dapati sebahagian mereka berkata, seolah-olah mereka bercakap dengan bahasa logik, kenapa kita bercakaran? Mari kita duduk. Lupakan perselisihan kita. Orang Sunnah letakkan tangannya di atas tangan orang Syi'ah bersatu di atas jalan yang sama. Bukankah kita semua beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhirat? Mereka lupa sebenarnya perkara ini amat rumit, jauh lebih sukar daripada apa yang mereka duga. Sebagai contoh, orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta Hari Akhirat, tetapi ia menghalalkan arak atau zina umpamanya, maka ia jadi kafir. Menghalalkan sesuatu perkara bermaksud ia menganggapnya halal, mengingkari keharaman yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau as-Sunnah. Apabila kita mengambil isu ini sebagai titik tolak kepada pandangan kita, maka kita akan nampak beberapa perkara yang sangat-sangat berbahaya dalam cerita Syi'ah yang memerlukan penelitian yang mendalam oleh para ulamak bagi menentukan pandangan agama terhadap bid'ah puak Syi'ah yang tersasar jauh. Kemudian, antara perkara yang agak sulit juga ialah banyak pertelingkahan dan permasalahan di kebanyakan negara-negara umat Islam, banyaknya musuh-musuh daripada kalangan Yahudi, Tentera Salib, Komunis, Hindu dan lain-lain. Maka, setengah mereka yang kononnya berpegang kepada logik berpandangan, kita tidak sepatutnya membuka gelanggang pertelingkahan yang baru. Pandangan ini mungkin betul kalau sekiranya gelanggang itu tertutup dan kita cuba untuk membukanya. Tetapi kalau gelanggang itu memang telah sedia terbuka dan perlawanan telah pun bermula, serangan datang bertubi-tubi pagi dan petang. Maka dalam keadaan ini, berdiam diri merupakan sesuatu yang amat memalukan. Tidak ada alasan yang munasabah, kebanyakan pihak mengulang-ulang persoalan adakah mereka lebih bahaya daripada Yahudi? Sesungguhnya soalan seperti itu sebenarnya bertujuan untuk mendiamkan mulut orang yang peka dengan kepentingan umat dan merencatkan usaha orang yang bekerja untuk memelihara dan melindungi kesejahteraannya. Saya ingin menjawab soalan mereka dengan berkata kepada mereka: apakah yang menghalang umat Islam berdepan dengan dua bahaya yang mengancam pada satu waktu yang sama? Adakah orang Islam Sunnah yang sengaja mencari hujah untuk menyerang Syi'ah, atau realitinya telah jelas dengan lebih daripada satu dalil bahawa serangan datang daripada pihak mereka? Sesungguhnya kita telah bentangkan sejarah Syi'ah dalam dua artikel terdahulu “Asal-usul Syi'ah” dan artikel “Penguasaan Syi'ah”, kita dapati pencerobohan Syi'ah secara terang-terangan ke atas umat Islam, dan saya tidak mengira realiti kita hari ini berlainan daripada sejarah silam kita, bahkan saya menyaksikan bahawa sejarah memang berulang, dan anak-anak mewarisi dendam kesumat bapa dan datuk mereka. Kita tidak boleh mengharapkan kebaikan lahir daripada mereka yang mendakwa seluruh generasi sahabat itu rosak kecuali beberapa orang sahaja. Dakwaan itu jelas mendustakan kata-kata Rasul kita SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah kurunku." Ini adalah Hadis yang terdapat di dalam kitab al-Bukhari dan Muslim juga kitab-kitab sahih lain termasuk sunan dan musnad. Sesungguhnya realiti Syi'ah pada zaman kita sekarang, bukan zaman dahulu saja, amat sedih dan menyakitkan. Mari kita ulangkaji beberapa perkara penting supaya pandangan kita lebih jelas. Dengan itu akan membantu kita untuk memahami pendirian yang paling ideal yang wajib kita ambil terhadap Syi'ah. Dan pada ketika itu juga, kita akan tahu adakah kita wajib bercakap atau diam lebih afdhal? PERTAMA: Semua kita mengetahui pendirian Syi'ah terhadap para Sahabat Rasulullah SAW bermula daripada Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Faruq, Dzun-Nurain Uthman bin Affan radhiallahu 'anhum, sampailah kepada Ummahatul Mukminin, terutamanya Ummul Mukminin Aisyah radhiallahu ‘anha, sehingga meliputi seluruh generasi yang hebat ini. Kitab-kitab rujukan mereka, bahkan aqidah dan rukun kepercayaan mereka mendakwa generasi sahabat adalah fasiq atau murtad. Kebanyakan mereka dihukum sesat serta dituduh menyembunyikan agama dan menyelewengkannya. Di sini, adakah kita wajib memerhati dan mendiamkan diri untuk mengelak berlakunya fitnah? Manakah fitnah yang lebih besar daripada menuduh generasi yang unik ini sebagai fasad dan dusta? Mari rujuk bersamaku kata-kata yang cukup mendalam yang pernah diucapkan oleh sahabat besar, Jabir bin Abdullah RA: “Apabila akhir umat ini melaknat generasi awalnya, maka sesiapa yang ada ilmu di sisinya, maka zahirkanlah. Sekiranya dia menyembunyikannya, seolah-olah dia menyembunyikan apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” Adakah kamu faham betapa mendalamnya makna yang terkandung di dalam kata-kata itu? Sesungguhnya mencerca generasi sahabat bukan sekadar mencerca satu kaum yang telah pergi bersama dengan apa yang telah mereka sumbangkan, tidak seperti apa yang disebut oleh setengah pihak bahawa cercaan itu tidak memudaratkan mereka kerana mereka telah berada di dalam syurga. Namun masalah ini sangat bahaya kerana mencerca para sahabat pada hakikatnya secara langsung mencerca dan meragui agama ini. Ini kerana kita tidak menerima agama kecuali daripada sahabat-sahabat ridhwanullahu ‘alaihim. Apabila diragui akhlak mereka, niat mereka dan amalan mereka, maka agama mana yang kita akan ikut? Sesungguhnya jika kita terima dakwaan mereka, lenyaplah agama ini, lenyaplah hadis-hadis Rasulullah SAW dan suruhan-suruhannya. Bahkan kita bertanya kepada Syi’ah, al-Quran mana yang kamu baca? Bukankah al-Quran ini disampaikan oleh seluruh sahabat yang kamu cerca itu? Bukankah orang yang bertanggungjawab mengumpul al-Quran adalah Abu Bakar as-Siddiq RA yang kamu dakwa membuat helah untuk meraih jawatan khalifah? Mengapa kamu tidak mengubah al-Quran sebagaimana kamu kata orang Sunnah mengubahnya? Sesungguhnya Rasul kita SAW bersabda dalam sepotong hadis bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku.” Maka sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin merupakan satu juzuk yang tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam. Apa yang dilaksanakan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali sama ada hukum-hakam dan pendirian-pendirian merupakan hujah yang wajib dipegang oleh kaum Muslimin sepanjang waktu dan tempat sehingga ke hari kiamat. Maka bagaimana mungkin kita menerima cercaan dan tuduhan jahat ke atas mereka? Lantaran itu kita dapati ulama’ kita yang mulia terus bangkit apabila melihat seseorang mencerca sahabat walaupun dengan satu perkataan. Contohnya, Ahmad bin Hanbal berkata: “Apabila kamu melihat seseorang menyebut sesuatu yang tidak baik tentang sahabat Rasulullah SAW, maka raguilah keislamannya.” Al-Qadhi Abu Ya’li berkata: “Pendirian para fuqaha’ tentang mencela sahabat, sekiranya seseorang mencela dalam keadaan dia menganggap perbuatan itu halal, maka dia kafir. Kalau dia tidak menganggap perbuatan itu halal, maka dia fasiq.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata: “Apabila kamu melihat seseorang merendahkan sahabat Nabi SAW, ketahuilah bahawa dia adalah zindiq.” Ibnu Taimiyyah berkata: “Sesiapa yang mendakwa bahawa para sahabat telah murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW kecuali beberapa orang yang tidak sampai sepuluh orang, atau menuduh semua sahabat telah fasiq, maka tiada keraguan lagi tentang kekufurannya.” Semua itu menunjukkan betapa beratnya orang yang memperlekehkan sahabat kerana sahabat merupakan orang yang menyampaikan agama ini kepada kita. Kalau diragui atau direndah-rendahkan salah seorang daripada mereka, maka sebenarnya kita meragui agama ini sendiri. Selain itu, generasi sahabat dipuji dalam beberapa ayat al-Quran serta hadis-hadis Nabi SAW di beberapa tempat yang tidak terhitung. Jadi, mencerca sahabat bererti mendustakan Allah dan Rasul-Nya. Boleh jadi ada orang akan berkata, kami tidak pernah mendengar si fulan atau seorang ketua Syi’ah sekarang mencerca sahabat? Saya ingin menarik perhatian mereka kepada tiga noktah: Noktah Pertama: Syi’ah Ithna ‘Asyariyyah (Syiah Imam 12) dibina di atas asas bahawa sahabat berkonspirasi ke atas Ali dan Ahlul Bait (ahli keluarga Nabi SAW), juga ke atas imam-imam yang menjadi pegangan Syi’ah. Oleh itu tidak ada di sana Syi’ah Ithna ‘Asyariyyah (Iran, Iraq dan Lubnan) kecuali beri’tiqad bahawa sahabat adalah fasad (rosak agamanya). Andainya mereka beri’tiqad sahabat tidak fasad, runtuhlah prinsip Syi’ah daripada asasnya. Oleh itu, sesuatu yang telah diketahui umum bahawa semua Syi’ah, pemimpin serta pengikutnya tidak percaya serta tidak menghormati sahabat dan tidak mengambil agama daripada mereka dalam apa bentuk sekalipun. Noktah Kedua: Pemimpin Syi’ah selalunya cuba lari daripada menampakkan sikap mereka yang sangat membenci sahabat. Sekalipun kadang-kadang terpapar pada sesetengah perkataan atau pendirian mereka sebagaimana digambarkan dalam firman Allah yang bermaksud: "…Dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka daripada gaya dan tutur katanya…” (Muhammad: 30). Sesungguhnya semua telah menyaksikan perdebatan antara Dr Yusuf al-Qaradhawi (semoga Allah memeliharanya) dengan (Hashemi) Rafsanjani (bekas Presiden Iran) menerusi saluran al-Jazeera. Kita saksikan bagaimana Rafsanjani lari daripada percubaan yang diusahakan oleh Dr al-Qaradhawi untuk membuatkan dia menyebut baik tentang sahabat atau Ummahatul Mukminin. Dan ketika mana ditanya (Ali) Khamenei, pemimpin Revolusi Iran sekarang tentang hukum mencela sahabat, dia tidak berkata salah atau haram. Sebaliknya dia menjawab dengan jawapan yang kabur. Dia berkata: “Sesungguhnya apa-apa perkataan yang membawa kepada perpecahan di antara golongan Muslimin daripada sudut syara’ adalah haram.” Maka keharaman mencela sahabat menurut pandangannya ialah kerana ia membawa perpecahan, bukan kerana perbuatan itu haram pada asalnya. Perkara ini telah disiarkan di dalam surat khabar al-Ahram Mesir pada 23 November 2006. Noktah Ketiga: Menyedari aqidah taqiyyah yang merupakan 9/10 agama di sisi mereka seperti yang mereka katakan sendiri. Ini bermakna mereka memang biasa berkata perkara yang bercanggah dengan aqidah mereka sendiri dalam keadaan mereka tidak ada kuasa. Adapun ketika mereka telah berkuasa, maka mereka akan nyatakan pendirian mereka dengan jelas. Sesungguhnya kita telah ikuti sejarah Syi’ah. Dan kita lihat bahawa ketika mereka menguasai negeri Sunni seperti Khilafah Abbasiyyah di Iraq, Mesir, Maghribi dan lain-lain, mereka menzahirkan secara nyata kutukan kepada sahabat dan mereka menjadikannya sebagai salah satu daripada perkara asas di sisi mereka. Oleh itu, jelas kepada kita berdasarkan apa yang dibentangkan kepentingan bercakap untuk menjelaskan kebenaran mengenai sahabat yang mulia. Jika tidak, maka orang yang berdiam diri daripada berkata benar adalah syaitan bisu. Dan akibat berdiam diri dalam hal ini, adalah hilangnya agama itu sendiri. KEDUA: Bahaya pengembangan Syi’ah di dunia Islam. Tidak syak lagi bahawa pengembangan Syi’ah bergerak dengan langkah yang perlahan dan berterusan. Mulanya tidak melangkahi tempat-tempat tradisinya Syi’ah tersebar seperti Iran, Iraq dan Lubnan. Sekarang, secara kekuatan telah menjalar ke Bahrain, Emirit, Syria, Jordan, Arab Saudi, Mesir, Afghanistan, Pakistan dan negara-negara Islam yang lain. Lebih bahaya daripada itu, ramai di kalangan mereka menganut fahaman Syi’ah dalam keadaan mereka tidak menyangka bahawa diri mereka telah jadi Syi’ah. Kami telah menerima beberapa artikel yang agak banyak juga dihantarkan kepada kami oleh beberapa orang penulis yang mendakwa dirinya Sunni, tetapi sarat dengan fikrah serta manhaj Syi’ah. Bukan satu rahsia lagi terdapat serangan dan celaan secara terang-terangan terhadap sahabat di dada-dada akhbar dan saluran TV di negara Sunni. Akhir-akhir ini, yang paling masyhur dan menonjol ialah serangan yang ditujukan kepada Sayyidatuna Aisyah RA melalui salah satu akhbar di Mesir dan serangan yang dihalakan kepada al-Bukhari rahimahullah. Begitu juga terdapat rancangan TV yang diterbitkan oleh seorang wartawan terkenal, di mana dalam setiap siri terdapat celaan terhadap para sahabat RA. Perkara yang tambah menyulitkan dan tidak mungkin didiamkan ialah berlaku gabungan antara manhaj Syi’ah dengan manhaj Sufi dengan alasan kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi cintakan Ahlul Bait. Sebagaimana kita ketahui, mazhab-mazhab Sufi bertebaran di kebanyakan negara-negara Islam. Mazhab-mazhab Sufi ini pula diselaputi dengan banyak perkara-perkara bid’ah dan munkar. Dan terdapat persamaan dengan Syi’ah dalam setengah perkara seperti memuja kubur Ahlul Bait. Dengan itu, penyebaran Syi’ah adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam suasana meluasnya kumpulan-kumpulan Sufi di negara-negara Islam. KETIGA: Kedudukan Iraq sekarang amat bahaya. Pembunuhan Muslimin Sunni dengan sebab kecenderungan mereka kepada Sunnah berlaku berulang-ulang dan menjadi satu kebiasaan. Setiausaha Agung Jabhah Ulama’ Muslimin Sunnah di Iraq, Harith adh-Dhari menyebut bahawa di sana terdapat lebih daripada 100,000 sunni dibunuh oleh puak Syi’ah dalam tempoh antata 2003 - 2006 sahaja. Di samping itu, terdapat proses penghijrahan yang berterusan dari setengah-setengah tempat untuk memudahkan penguasaan syi’ah ke atas mereka. Tambahan kepada itu, orang-orang yang berhijrah ke luar Iraq, kebanyakannya terdiri daripada penganut Sunnah. Ini membawa kepada perubahan yang membimbangkan dari segi susunan penduduk yang akan mengakibatkan bahaya yang amat parah. Persoalannya, apakah fitnah mendedahkan isu Syi’ah ini lebih berbahaya daripada pembunuhan begitu ramai yang dilakukan ke atas penganut Sunnah? Sampai bilakah kita mesti berdiam diri tentang hal ini? Dan semua pihak mengetahui bahawa Iran menyokong sepenuhnya operasi pembunuhan mereka yang cenderung kepada Sunnah di Iraq ini. KEEMPAT: Ketamakan Iran kepada Iraq amat jelas. Bahkan ia dinyatakan secara jelas dan terus terang. Sesungguhnya sebelum ini telah berlaku peperangan yang panjang antara keduanya menjangkau lapan tahun genap. Dan sekarang jalannya terbentang luas, lebih-lebih lagi Iraq mempunyai kedudukan yang paling penting kepada Syi’ah. Di Iraq terdapat tempat-tempat suci penganut Syi’ah, kubur enam orang daripada imam-imam mereka, kubur Imam Ali bin Abi Talib RA di Najaf, kubur Husain di Karbala’, kubur Musa al-Kazim, Muhammad al-Jawwad di Baghdad, kubur Muhammad al-Hadi dan Hasan ‘Askari di Samira’. Selain itu, terdapat tempat-tempat yang disangka kubur bagi kebanyakan para Nabi seperti Adam, Nuh, Hud dan Saleh di an-Najaf al-Asyraf. Dan sebagaimana sedia maklum, sangkaan itu tidak sahih. Tambahan kepada bahaya ketamakan Syi’ah kepada Iraq, Amerika Syrikat berdiri berdiri teguh di belakang dan menyokongnya. Semua kita dapat lihat, betapa kerajaan Syi’ah dijaga dan didukung oleh Amerika. Jangan terpedaya dengan lakonan tuduh menuduh antara Amerika dan Iran. Sesungguhnya Amerika tidak pernah terfikir langsung untuk menyerang Iran sebagaimana yang telah kami jelaskan di dalam artikel “Ba’ba’ Di Bawah Penguasaan”. Apa yang lebih membimbangkan mereka, bukan setakat tamak kepada minyak Iraq dan segala kekayaannya, bukan setakat meluaskan tanah jajahan takluk Syi’ah, tetapi lebih teruk daripada itu, jenayah dan keganasan merupakan sebahagian daripada agama di sisi mereka. Syi’ah menganggap para sahabat radhiallahu’anhum serta pengikut mereka di kalangan Sunnah yang melancarkan permusuhan dengan Ahlul Bait. Mereka menamakannya sebagai nasibah atau nawasib. Pada hal kita (Sunni) lebih menghormati Ahlul Bait berbanding dengan mereka. Hasil tohmahan itu, mereka mengeluarkan hukum yang sangat bahaya. Umpamanya, Khomeini berkata: “Dan lebih kuat, kita samakan an-Nasib dengan kafir harbi. Harus mengambil ghanimah (harta rampasan perang) daripada mereka dan diambil 1/5 daripadanya. Bahkan yang zahirnya harus mengambil harta mereka di mana sahaja dan dengan apa cara sekalipun. Dan wajib dikeluarkan 1/5 daripadanya.” Dan ketika ditanya Imam mereka, Muhammad as-Sadiq ar-Ruhani tentang hukum orang yang mengengkari jawatan kepimpinan Imam 12 mereka, jawapannya sungguh pelik! Dia berkata: “Sesungguhnya imamah lebih tinggi maqamnya daripada nubuwwah. Dan sesungguhnya kesempurnaan agama dengan perlantikan Imam Amirul-Mu’minin (Ali) sebagai Imam. Allah Ta’ala berfirman (Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu – al-Maidah: 3). Sesiapa yang tidak beri’tiqad dengan keimaman Imam-imam 12, dia mati sebagai kafir.” Sesungguhnya kami telah sebut dalam artikel “Asal-usul Syi’ah” bahawa Khomeini (foto kiri) berkata dalam kitabnya “Hukumah Islamiyyah”, bahawa Imam-imam, darjat mereka sampai ke darjat yang tidak sampai kepadanya malaikat yang muqarrabin dan Nabi-nabi yang diutus. Maka, tidak mengiktiraf Imam-imam ini lebih teruk daripada tidak mengiktiraf Rasulullah SAW.” Di sini kita lihat, beliau mentafsirkan titik kekufuran di sisi mereka dan daripada situ, lahir hukum halalnya darah orang-orang Sunnah di Iraq dan lain-lain. Dari situ juga mereka menganggap penggabungan Iraq di bawah pemerintahan mereka adalah satu kemestian. Iraq yang mengandungi tempat-tempat suci mereka mesti dibebaskan daripada tangan orang-orang yang mereka anggap “kafir”. KELIMA Ancaman secara langsung ke atas Iraq tidak terhenti di sempadan itu sahaja. Ketamakan kepada negara-negara sekitarnya bertambah meluas. Mereka menganggap Bahrain satu juzuk daripada Iran. Ini disebut secara terus terang oleh Ketua Perisik Am, Ali Akbar Natiq Nuri di Pejabat Ketua Revolusi semasa Sambutan Mengingati 30 Tahun Revolusi Iran. Beliau berkata: “Sesungguhnya Bahrain pada asasnya adalah muhafazah (wilayah) Iran ke 14. Ia diwakili oleh Naib Majlis Syura Kebangsaan Iran.” Bukan rahsia bagi kita bahawa Iran telah menjajah tiga pulau Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang penting di Teluk Arab. Bilangan mereka juga bertambah dengan ramainya di UAE. Sekarang, telah mencapai 15% daripada bilangan penduduk, dan mereka menguasai pusat-pusat perniagaan, khususnya di Dubai. Begitu juga kedudukannya di Arab Saudi. Keadaannya tidak begitu stabil. Sejak tercetus revolusi Iran tahun 1979, ketidakstabilan sering terjadi di Arab Saudi, bahkan boleh dikatakan ia berlaku sejurus selepas revolusi Iran. Demonstrasi-demonstrasi Syi’ah berlaku di Qatif dan Sayhat. Yang paling teruk ialah demonstrasi yang berlaku pada 19 November 1979. Ia kadang-kadang memuncak sehingga ke tahap pencerobohan ke atas Baitullah al-Haram (Ka’bah) seperti yang terjadi pada tahun 1987 dan 1989. Bahkan, sebenarnya selepas kejatuhan rejim Saddam Husain, 450 orang Syi’ah di Arab Saudi mengemukakan permohonan rasmi kepada Putera Raja ketika itu, Raja Abdullah memohon jawatan tinggi dalam majlis kabinet, barisan diplomat, angkatan tentera dan keselamatan dan mengangkat kedudukan mereka ke Majlis Syura. Ali Syamkhani (foto kiri), Penasihat Tentera Kanan kepada pemimpin tertinggi Revolusi Iran membuat kenyataan bahawa dalam keadaan Amerika menyerang pusat pembangunan nuklear Iran, maka Iran tidak cukup sekadar menyerang kepentingan Amerika di Teluk. Bahkan Iran akan menggunakan peluru berpandu balistik untuk menyerang sasaran-sasaran strategik di Teluk. Begitu juga pelantar-pelantar minyak dan stesyen-stesyen jana kuasa di negara-negara Teluk Arab. Kenyataan ini disiarkan dalam majalah Times British pada hari Ahad 10 Jun 2007. Adakah ini segala-galanya? Tentu sekali tidak. Di sana terdapat banyak lagi permasalahan yang kami belum sentuh. Di dalam artikel ini, kami hanya menyentuh lima noktah yang menjelaskan bahaya Syi’ah dan ia sangat serius. Di sana terdapat lima noktah lagi yang amat-amat serius. Aku bimbang sekiranya aku cepat-cepat menyebutnya sekarang, bermakna aku tidak memberikan haknya yang sebenar. Lantaran itu, aku menangguhkannya terlebih dahulu. Dengan izin Allah, aku akan sebut dalam artikel akan datang. Dan selepas itu kita akan kemukakan apakah pendekatan yang paling ideal untuk berhadapan dengan mereka dalam suasana yang genting ini. Sesungguhnya isu Syi’ah bukan isu sampingan dalam isu umat Islam, di mana ada pihak yang meminta supaya isu ini dibiarkan atau ditangguhkan. Sesungguhnya isu ini sepatutnya menjadi aulawiyyat (keutamaan) di kalangan umat Islam. Semua kita sepakat bahawa pembebasan Palestin daripada tentera Salib di tangan Salahuddin al-Ayyubi tidak menjadi kenyataan kecuali setelah Mesir dibebaskan daripada pemerintahan Syi’ah ‘Ubaidi. Pada ketika itu, Salahuddin tidak berkata bahawa perang Salib merupakan aulawiyyat, manakala masalah pemerintahan Syi’ah ditangguhkan dahulu. Ini kerana, umat Islam tidak akan menang kecuali dengan aqidah yang murni dan tentera yang ikhlas. Salahuddin tidak akan mengambil rakyat Mesir untuk berperang bersama dengannya untuk menentukan satu halatuju yang sangat penting bagi masa depan umat, kecuali bebanan pemerintahan bid’ah (Syi’ah) Ubaidi diangkat daripada bahu-bahu mereka. Dan apa yang berlaku pada zaman Salahuddin di Mesir dahulu, itulah yang seharusnya berlaku di Iraq sekarang serta di semua negara yang diancam pengaruh Syi’ah. Kita mesti menjadikan sejarah sebagai ibrah (pengajaran). Kita memohon kepada Allah agar memuliakan Islam dan Muslimin. Terjemahan: Ustazah Maznah Daud, Ketua Wanita IKRAM Sumber (Blog Ustazah Maznah): http://zaadut-taqwa.blogspot.com/ Sumber asal: http://islamstory.com/ar/خطر_الشيعة *Dr Raghib as-Sarjani adalah seorang ahli sejarah Mesir, ulama’ dan doktor perubatan yang telah membuat banyak kuliah yang sangat bermanfaat dan menganalisis pelbagai isu yang berbeza melibatkan ummah, masa lalu dan kini. Tulisan-tulisan beliau boleh dibaca di laman web http://islamstory.com/ |
Tuesday, September 10, 2013
Bahayakah Syi’ah?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment