Keindahan Taman Negara Loagan Bunut
MIRI 1 Sept. � Menyaksikan bulan penuh di langit yang menghasilkan bayang indah di permukaan tasik yang tenang adalah saat paling ditunggu-tunggu oleh pelawat jika berkunjung ke Taman Negara Loagan Bunut (TNLB) di Sarawak.
Begitu juga suasana awal pagi waktu terbitnya matahari yang diceriakan dengan suara penghuni hutan belantara akan menghasilkan perasaan teruja sambil menyusuri tasik menggunakan bot.
Terletak kira-kira 120 kilometer di tenggara bandar raya Miri, Sarawak, Loagan Bunut yang mempunyai keluasan 6.5 kilometer persegi merupakan satu-satunya tasik air tawar semulajadi yang ditemui di negeri ini.
Diwartakan pada 1990, TNLB meliputi kawasan seluas 10,736 hektar antara Sungai Tinjar dan Sungai Teru yang akan bertemu dengan kawasan tadahan Sungai Baram di bahagian hulunya.
Loagan Bunut diberi gelaran oleh penduduk asal suku Berawan bermaksud �tasik� dan �bekal makanan�.
Apa yang menarik, tasik itu terletak di tengah-tengah kawasan taman negara itu. Kira-kira 94 peratus daripada kawasan taman negara adalah paya termasuk tasik dan hanya enam peratus iaitu di bahagian selatan adalah banjaran bukit-bukau.
Namun, tidak ramai yang mengetahui, tasik yang berusia 10,000 tahun itu akan kering kontang menjadi padang jarak padang tekukur setiap kali kedatangan musim kemarau.
Fenomena luar biasa itu boleh disaksikan antara bulan Mac hingga September setiap tahun.
Adakalanya tasik itu kering kontang beberapa kali dalam tempoh setahun. Pada paras biasa tasik ini mempunyai kedalaman empat hingga lima meter namun, parasnya boleh mencecah lebih tinggi pada musim tengkujuh.
Sebenarnya, tasik ini diairi oleh Sungai Bunut iaitu anak sungai yang berpunca dari Sungai Teru yang mengalir ke Batang Tinjar, Baram. Justeru naik turun paras air di tasik itu dipengaruhi oleh paras air sungai di Batang Tinjar.
Apabila paras air tasik di Loagan Bunut kering, penduduk tempatan boleh menggunakan motosikal ataupun kereta di tengah-tengah tasik itu.
Uniknya semasa proses pengeringan itu, pelbagai spesies ikan sungai antaranya biawan, tapah, betutu, mengalan dan mata merah yang hidup di tasik berkenaan akan berhijrah dan berkumpul di Sungai Teru sebelum menuju ke Sungai Batang Tinjar.
Kemarau berakhir, musim tengkujuh pula menyusul menyebabkan tasik itu sekali lagi dilimpahi air dari Sungai Bunut dan Batang Tinjar. Pada masa inilah ikan-ikan yang berhijrah sebelum ini berenang semula ke dalam Loagan Bunut.
Menyedari keunikannya dan pentingnya tasik itu terhadap ekosistem, pada 2001, TNLB telah dipilih sebagai tapak Projek Pemuliharaan dan Penggunaan Lestari Hutan Paya Gambut Tropika dan Ekosistem Tanah Lembap yang dibiayai oleh kerajaan Malaysia dan Projek Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)/Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF).
Di bawah projek itu, TNLB dijadikan salah satu tapak penyelidikan flora dan fauna secara terperinci dilaksanakan untuk pengurusan hutan paya gambut dan ekosistem tanah lembap secara mapan di negara ini.
Sesuai dengan cirinya sebagai hutan paya gambut, TNLB menyajikan keindahan landskap dan panorama hijau yang mengasyikkan dan memang ideal untuk pengunjung yang mahu bersantai sambil menambah pengetahuan.
Ia kaya dengan kepelbagaian bio seperti 500 spesies tumbuhan berbunga termasuk orkid dan herba; 190 spesies burung; 70 jenis ikan; 20 spesies katak dan 30 spesies reptilia serta buaya spesies false gharial atau jejulong.
Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak, mereka berpeluang meredah hutan seakan kembali ke alam semula jadi melihat pelbagai keajaiban alam ciptaan Tuhan sambil menghargai khazanah alam yang tidak ternilai.
Jika bernasib baik, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai spesies kelawar; burung liar seperti kenyalang, bangau, raja udang, binatang liar yang terlindung seperti beberapa spesies monyet; musang dan habitat babi hutan. TNLB merupakan syurga bagi kaki pancing dan peminat burung.
Oleh kerana kawasan TNLB luas, pengunjung perlu bijak membahagikan masa untuk melawat sekitar tasik dan seeloknya dapatkan panduan lawatan atau jurupandu yang disediakan pihak pengurusan taman.
Selain mengelilingi tasik, pengurusan menyediakan lima pilihan laluan pendidikan iaitu Laluan Tapang (260 meter); Laluan Belian (720m); Bukit Paron dan Laluan Hidupan Liar (2 kilometer) dan Laluan Hidrologi (2.5km) melalui hutan paya gambut.
Selain itu, pengunjung boleh menyusuri tasik menggunakan bot sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam sekitar.
Penjelajahan tasik itu bermula di jeti taman sebelum mengelilingi tasik seterusnya memasuki Sungai Bunut dan Sungai Bunan. Bayaran bergantung kepada pakej yang digunakan.
Selain keindahan alam semula jadi di kawasan tasik, Loagan Bunut turut menyediakan nilai-nilai kebudayaan yang boleh menarik ramai pelawat.
Antaranya kawasan perkuburan tradisional masyarakat kaum Berawan di Pulau Tengah iaitu sebuah pulau kecil yang terletak di tengah-tengah tasik tersebut.
Kawasan perkuburan tua itu masih digunakan oleh penduduk kampung sehingga ke hari ini. Selain itu pelawat pasti teruja dengan cara tradisi menangkap ikan yang hanya diamalkan oleh kaum Berawan iaitu �selambau�.
Selambau adalah satu cara menangkap ikan menggunakan pukat sama ada ia dilakukan dari atas rumah di permukaan air atau menggunakan perahu. Pengunjung yang ingin menyaksikan kaedah menangkap ikan ini digalakkan datang pada bulan April hingga Ogos.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pengetahuan mengenai pelbagai spesies ikan sungai eksotik di samping membeli dengan harga berpatutan.
Selain itu, rumah-rumah panjang kaum Berawan, Iban dan Penan yang terletak di kawasan sekitar tasik itu turut menjanjikan tarikannya tersendiri.
Untuk pengunjung yang merancang tinggal di sini beberapa hari, pengurusan taman menyediakan sebuah hostel mengandungi empat bilik, tujuh katil bertingkat setiap bilik, tempat berkhemah dan kantin.
Selain itu, pengunjung boleh memilih untuk menginap di calet yang mempunyai tiga katil setiap bilik dan dilengkapi penghawa dingin.
Ataupun, pengunjung boleh bermalam di chalet yang diusahakan oleh kaum Berawan seperti Mutiara Bunut; Kumbang Leng Chalet dan Adam Lian Chalet.
Terdapat juga kemudahan rumah bot, rumah penyimpanan, loji rawatan air bagi kemudahan penginap, rumah janakuasa elektrik, pondok-pondok rehat, jeti, tempat pejalan kaki dan kawasan letak kereta yang luas serta kemudahan jalan raya berturap dari simpang masuk hingga ke ibu pejabat taman negara tersebut.
TNLB turut giat mengadakan kempen pendidikan alam sekitar dengan kerjasama sekolah, institusi pendidikan tinggi, sektor swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan.
No comments:
Post a Comment