Thursday, November 8, 2012

TAMAN NEGARA KEPULAUAN MERSING,JOHOR

KEPULAUAN Mersing akan menjadi destinasi percutian tumpuan pelancong dari
dalam dan luar negara apabila Kerajaan Johor bersetuju mewartakan 13 pulau
di daerah berkenaan sebagai Taman Laut.
  Keputusan ini diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman,
pada pelancaran Projek Konservasi Samudera DiRaja Johor di Pulau Tinggi,
Mersing, baru-baru ini.
  Program dua hari itu dirasmikan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim
Ismail Sultan Iskandar dan turut dihadiri Tengku Bendahara Johor, Tunku
Abdul Majid Idris Sultan Iskandar.
  Abdul Ghani berkata, dengan persetujuan ini, semua pulau di daerah
Mersing dengan perairannya diwartakan sebagai Taman Laut dan sekali gus
kawasan daerahnya yang belum dikurniakan dan perairannya sebagai Taman
Negara Johor (TNJ).
  "Lokasi ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan perairan di
bawah daerah Mersing sebagai kawasan pelancongan mapan serta mampu menarik
pelancongan dalam negeri dan luar negara," katanya.
  Tiga belas pulau yang diwartakan sebagai kawasan Taman Negara Johor
ialah Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Rawa, Pulau Gual, Pulau Mensirip,
Pulau Harimau, Pulau Tinggi, Pulau Mentigi, Pulau Besar, Pulau Tengah,
Pulau Hujung, Pulau Sibu dan Pulau Sibu Hujung.
  Matlamat utama projek itu adalah simbolik kepada hasrat kerajaan untuk
memastikan 13 pulau berkenaan menjadi detinasi yang harus dilawati
pelancong dari luar Johor.
  Untuk menepati sasaran itu, tumpuan projek menjadikan kepulauan Mersing
sebagai Taman Negara Johor akan menjurus kepada:
  * Menambah bilangan stok perikanan di perairan TNJ, khususnya kepulauan
Mersing, terutama sekitar Pulau Tinggi.
  * Membaikpulih ekosistem terumbu karang di perairan kepulauan Mersing
bagi tujuan aktiviti selam.
  * Menambah habitat pembiakan ikan dan sumber laut di perairan kepulauan
Mersing bagi tujuan rekreasi dan aktiviti memancing.
  * Meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kualiti alam sekitar
yang bersih serta bebas daripada ancaman pencemaran.
  * Meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman kepupusan penyu
yang semakin kritikal.
  "Jika semua ini berjaya dilaksanakan mengikut perencanaan, kerajaan
negeri percaya hasrat menjadikan kepulauan Mersing sebagai Taman Laut
paling mapan dan dilawati ramai pelancong akan tercapai tidak lama lagi,"
katanya.
  Antara pengisian projek berprestij itu ialah:
  * Pembinaan tukun tiruan untuk pembiakan ikan di dasar perairan Pulau
Tinggi.
  * Pembersihan habitat batu karang daripada sampah sarap dan haiwan
Mahkota Berduri (crown of thorn starfish) yang menjadi ancaman
semulajadinya.
  * Gotong-royong pembersihan pantai.
  * Program penetasan penyu di Pulau Tinggi.
  Pelaksanaan jentera penganjuran di Pulau Tinggi membabitkan 300 peserta
dengan 100 penyelam mewakili Unit Taman Laut Malaysia, Tentera Laut DiRaja
Malaysia Lumut, Kementerian Pertahanan, Coral Reef Ecology Support Team,
Malaysian Nature Society Johor dan Persatuan Penyelam Malaysia.
  Sementara itu, Ketua Cawangan Pemuliharaan Sumber dan Rekreasi Jabatan
Perikanan Malaysia, Dr Sukarno Wagiman, berkata untuk menjadikan kepulauan
Mersing tumpuan hidupan laut yang membabitkan 13 pulau itu, pihaknya
memberikan tumpuan kepada projek penetasan penyu.
  "Kita mengarahkan pihak yang terbabit dengan program ini mengumpul semua
telur penyu di semua pulau berkenaan untuk penetasan di Pulau Tinggi.
  "Anak-anak penyu berusia tiga atau empat bulan akan dilepaskan secara
berperingkat-peringkat dengan hasrat menjadikan kawasan sekitar kepulauan
Mersing sebagai tempat penyu bertelur terbesar pada masa akan datang,"
katanya.
  Dr Sukarno berkata, beliau percaya kawasan sekitar 13 pulau di daerah
Mersing berupaya muncul antara destinasi pelancongan tumpuan pelancongan
dari dalam negeri dan luar negara pada masa akan datang.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...