Info;
*lebar taman negara=15 km
*panjang taman negara=110km
Didik penduduk tentang kepentingan air
|
SERAMAI 30 orang yang terdiri daripada pelajar berusia antara 11 hingga 12 tahun, guru dan pemimpin komuniti dari enam buah kampung berkumpul di Sub Stesen Mahua, Taman Banjaran Crocker, Sabah selama tiga hari.
Mereka berkumpul di taman negara daratan terbesar yang digazetkan itu semata-mata mahu mendapatkan pemahaman mendalam mengenai hubung kait antara sungai dan kehidupan manusia.
Program tersebut dilaksanakan dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada para peserta sekali gus orang ramai betapa pentingnya sumber air selain mengajar cara-cara untuk memelihara kebersihan sungai.
Air merupakan sumber utama kehidupan manusia selain memastikan kelangsungan alam sekitar. Manusia boleh hidup tanpa makanan selama berbulan-bulan, tetapi tanpa air dalam sehari sudah cukup membuatkan seseorang itu terdesak mencari air kerana dahaga.
Selain penting kepada manusia untuk diminum, kegunaannya amat penting dalam bidang pertanian, perindustrian, tenaga elektrik hidro dan rekreasi.
Program kesedaran
Sehubungan itu, Taman Negara Sabah dan Pusat Kepelbagaian BioSabah dengan kerjasama WWF-Malaysia, Pusat Tindakan Alam Sekitar, Japan International Cooperation Agency (JICA) serta Pejabat Daerah Tambunan telah menganjurkan sebuah program pendidikan alam sekitar.
Dikenali sebagai Program Pendidikan Alam Sekitar Sungai (REEP), ia dilaksanakan dengan tujuan memupuk kepentingan melindungi khazanah alam semula jadi sekali gus membawa mesej kesedaran dalam kalangan para peserta.
Taman Negara Banjaran Crocker berperanan sebagai kawasan tadahan hujan utama dengan 12 batang sungai mengalir dalam kawasannya.
Ia menyalurkan bekalan air kepada seramai 200,000 orang penduduk yang mendiami kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah.
Menurut salah seorang wakil Kerjasama Luar Negara Jepun (JOCV), Ai Kinoshita, berharap melalui REEP, pihaknya dapat meningkat kesedaran mengenai kepentingan air kepada penduduk setempat.
"Dengan melibatkan ketua masyarakat dari enam buah kampung di sini, kami berharap segala maklumat dan mesej penjagaan alam sekitar dapat dikongsi bersama penduduk tempatan khususnya mengenai cara dan kepentingan memelihara sumber air," katanya.
Para pelajar yang terlibat dalam program tersebut didatangkan dari Sekolah Kebangsaan Kumawanan, Sekolah Kebangsaan Sintuong-tuong, Sekolah Kebangsaan Garas, Sekolah Kebangsaan Nukakatan, Sekolah Kebangsaan Patau dan Sekolah Kebangsaan Tiong Widu dari daerah Kirokot, Tambunan.
Lawatan
Dalam lawatan tersebut, para peserta dibawa melawat loji rawatan air dan Jabatan Pengairan dan Saliran di Tambunan.
Mereka juga didedahkan dengan kaedah pemantauan kualiti air sungai di Sungai Mahua, Mesanggoh dan Pengalan. Selain itu, para pelajar turut diberitahu mengenai penyakit-penyakit yang melibatkan air.
Taman Negara Banjaran Crocker telah dijadikan sebagai aktiviti perintis pada Cadangan Pengurusan Hutan Simpan Persekitaran Bio Banjaran Crocker (CRBR) di bawah program Manusia dan Persekitaran Bio (MAB), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
2 comments:
Boleh suggest tak aktiviti yang sesuai d buat dalam kawasan taman ni? Tq
aktiviti yang selalu di jalankan seperti merentas hutan,memenjat gunung kerana di sini terletak BANJARAN CROCKER yang mengandungi beberapa gunung,aktiviti beriadah dan rekreasi luar dapat di jalankan kerana TAman Negara ini terdapat sungai dan air terjun yang jernih..untuk maklumat lanjut...sila rujuk..www.tourism.sabah.gov..atau carian google..aktiviti di taman negara BANJARAN CROCKER..
Post a Comment