Santuari Buaya Tembaga Pertama Di Malaysia Di Sarang Buaya Pasir Gudang Johor
Destinasi perlancongan pada kali ini adalah di Sarang Buaya Pasir Gudang. Pusat bandar Pasir Gudang terletak di sebelah timur bandaraya Johor Bahru. Cara yang mudah untuk kesana adalah melalui pengangkutan awam atau memandu sendiri yang mengambil masa 40 minit dengan anggaran jauh lebih kurang 35 kilometer. Pasir Gudang terkenal sebagai bandar industri di negeri Johor yang berasaskan kepada industri berat, kimia, minyak kelapa sawit dan sebagainya.
Lokasi Sarang Buaya ini terletak berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Langsat yang berkeluasaan 8 ekar. Ia dibina dalam kawasan habitat paya bakau. Pada masa ini terdapat sebanyak 12 buah kolam telah dibina bagi menempatkan pelbagai saiz buaya tembaga. Ia akan menempatkan sebanyak 592 ekor buaya tembaga dan telah mendapat kelulusan dari Jabatan Perhilitan melalui permit khas. Kini, sebanyak 144 ekor buaya telah diperolehi dan ditempatkan di 6 buah kolam yang berukuran 1’6 inci hingga 10 kaki dan pelbagai peringkat umur buaya dari 1.5 tahun hingga 15 tahun.
Sarang Buaya Pasir Gudang adalah santuari buaya tembaga yang pertama Di Malaysia kerana haiwan ini dilindungi oleh Jabatan Perhilitan dibawah Akta 76 1972 yang hanya membenarkan kepada yang mempunyai permit khas sahaja boleh memelihara haiwan ini. Ia dibuka setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
No comments:
Post a Comment