Saturday, November 10, 2012
PUSAT HIDUPAN LIAR SEMENGGOH,SARAWAK
PUSAT Hidupan Liar Semenggoh (PHLS) yang terletak kira-kira 24 kilometer dari pusat bandar raya Kuching terkenal dengan kehidupan liar terutama Orang Utan yang menjadi daya tarikan pengunjung dan pelancong asing ke negeri ini.
Ia merupakan simbolik terhadap usaha kerajaan menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) memelihara flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan Sarawak.
Pusat berkenaan telah dibuka sejak tahun 1975. Kini terdapat 28 ekor orang utan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
Sejarah pemuliharaan orang hutan di situ bermula dari tahun 1996 apabila dua ekor orang utan, jantan dan betina telah dilahirkan dipusat tersebut.
Sejak itu, semakin banyak orang utan dilahirkan di pusat tersebut. Apabila dewasa ia dibebaskan ke hutan belantara.
Asas penubuhan pusat berkenaan untuk menjaga dan melindungi haiwan yang cedera, yatim piatu dan yang dirampas daripada orang ramai sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Selain itu, mereka juga menjalankan kajian terhadap hidupan liar dan melaksanakan program pemuliharaan spesies haiwan yang terancam.
Sama seperti mana-mana pusat pemuliharaan hidupan liar, ia juga dibuka kepada orang ramai untuk tujuan pendidikan dan penjelasan berkenaan kepentingan melindungi hidupan liar.
Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh turut dihuni hampir 1, 000 hidupan liar terancam terdiri daripada mamalia, burung dan reptilia.
Namun, ia menjadi popular apabila pusat berkenaan menjalankan Program Rehabilisasi Orang Utan dan telah berjaya melepaskan semula orang utan ke habitat asal mereka.
Justeru itu, ia telah berubah menjadi salah sebuah pusat kajian biologi dan kelakuan khusus untuk orang utan.
Orang utan atau nama saintifiknya Pongo pygmaeus hanya boleh dijumpai dalam hutan tropika di Kepulauan Borneo Malaysia (Sarawak dan Sabah) dan Kepulauan Borneo Indonesia (Kalimantan dan Utara Sumatera).
Ia merupakan salah satu primat terbesar di dunia dan sepanjang hayatnya ia hidup di atas pokok.
Jangka hayat orang utan di habitat liar mampu mencecah sehingga 45 tahun dan jika dipelihara di dalam pusat pemuliharaan ia mampu menjangkau sehingga usia 60 tahun.
Anak orang utan, ia akan bergantung kepada ibunya untuk menyusu dan mendapatkan perlindungan selama satu hingga dua tahun sebelum bergerak bebas secara sendirian.
Berat seekor orang utan mampu mencecah sehingga 110 kilogram (kg) dan mencapai ketinggian hampir 150 sentimeter (sm).
Makanan utama orang utan adalah pucuk muda, serangga, kulit kayu, bunga, telur burung dan cicak kecil.
Di Malaysia dan Indonesia, orang utan dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan sebagai spesies terancam.
Kini dianggarkan terdapat hampir 20,000 hingga 27,000 ekor orang utan yang masih wujud secara bebas di dalam hutan belantara.
Di PHLS orang utan akan diberi makan sebanyak dua kali sehari iaitu dari pukul 9 hingga 10 pagi dan pukul 3 hingga 4 petang.
Bagi orang utan yang baru diterima mereka akan dikurung dahulu untuk dirawat dan diperiksa.
Orang utan yang muda pula akan dibawa oleh renjer untuk belajar memanjat pokok, bergayutan antara dahan dan mencari makanan.
Selepas mencecah usia dua hingga empat tahun, orang utan yang dilihat mampu berdikari akan dilepaskan ke hutan simpan di sekeliling pusat tersebut.
Pada peringkat awal pelepasan, orang utan kadang-kala kembali ke pusat untuk mendapatkan makanan dan akan meninggalkan pusat setelah beberapa tahun membiasakan diri dengan hutan di sekelilingnya.
Lebih ketara adalah pada musim buah-buahan, kadang-kala orang utan yang telah dibebaskan tidak akan datang langsung ke pusat tersebut menandakan mereka telah dapat menyesuaikan diri dengan sepenuhnya.
Peringkat terakhir adalah orang utan yang telah dikenal pasti benar-benar mampu berdikari akan terus dilepaskan ke Taman Negara Sarawak atau mana-mana kawasan perlindungan hidupan liar sekitar Sarawak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment