Mohd. Farhan Memeluk Islam. Pengislaman keluarga termakbul selepas lapan tahun
Penulis terpanggil untuk menemu bual lelaki bertubuh kecil kelahiran Kota Belud, Sabah ini selepas secara tidak sengaja terdengar suaranya menerusi satu program yang ke udara di IKIM.fm.
Pada
masa itu, beliau diminta berkongsi kisah pengislaman, cabaran bergelar
mualaf, penglibatan aktif beliau dengan kerja-kerja dakwah dan membantu
golongan saudara baru, terutamanya di Sabah.
Tanpa
melengahkan masa, penulis terus menghubunginya selepas memperoleh
talian telefon bimbitnya. Biarpun sibuk, kesediaan Mohd. Farhan Abdullah
al-Hafiz, 39, iaitu Penasihat Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Bestari (PPTQB)
yang beroperasi di Serdang, Selangor meluangkan masa, apatah lagi
melihat jadual hariannya yang sentiasa padat dengan undangan tazkirah
sepanjang bulan Ramadan, amatlah penulis hargai.
Lantaran
memahami kesibukannya itu juga, kami (penulis dan jurufoto) akur
apabila pemuda berketurunan Kadazan ini terlewat daripada waktu yang
dijanjikan.
Menurut
Mohd. Farhan ataupun sebelum ini bergelar Pastor Yohanes, sebagai anak
kepada seorang ketua kepada 15 buah gereja, sudah pastilah dia memiliki
latar belakang pendidikan beraliran Kristian yang mantap. Beliau
mengikuti latihan ketua mubaligh Kristian selama dua tahun dengan
melibatkan diri secara aktif aktiviti dakyah Kristian sebelum
melanjutkan pengajian menguasai bahasa Ibrani di Bandung, Indonesia.
“Sungguhpun
telah mengusai kesemua ilmu agama Kristian, dua persoalan yang sering
bermain fikiran saya iaitu tentang konsep Trinity dan Majlis Pengampunan
Dosa yang disebut Baptis,” ceritanya mengimbas kisah lebih 15 tahun lalu.
Upacara Baptis yang tidak masuk akal
Mohd. Farhan yang memeluk Islam pada 26 Februari 1990 di Pusat Latihan Dakwah Keningau,
Sabah berkata, dia mula tertarik kepada Islam semasa belajar di
Institut Teknologi Mara, cawangan Sabah (sekarang UiTM). Kenyataan
seorang pensyarah subjek Pelajaran Islam tentang tuhan Allah tidak sama
dengan tuhan agama lain agak memanaskan telinga dan hatinya.
“Jadi
inilah peluang saya berhujah, apabila mengetahui beliau juga mahir
tentang masalah perbandingan agama termasuklah dalam masalah Teologi.
“Pada
masa sama juga, saya mempunyai teman sebilik yang rajin mengaji
al-Quran. Kalau sebelum ini, setiap kali terdengar azan sama ada di
radio atau televisyen, saya akan cepat-cepat mematikannya. Tetapi
semuanya berubah selepas sentiasa diperdengarkan dengan bacaan
al-Qurannya yang begitu baik bacaannya dan menusuk kalbu.
“Selain
itu, saya juga tertarik dengan akhlaknya. Dia begitu menjaga masanya
terutamanya dalam urusan agama. Kami selalu berhujah, dan dia selalu
membawa saya bertemu seorang ustaz untuk menyelesaikan dua persoalan
yang selama ini terbuku di hati.
Mimpi Luar Biasa
“Hasil
perdebatan, pengkajian dan penelitian tanpa paksaan dan bukan pula
kerana inginkan habuan dunia, saya mula tertarik dengan Islam,” tegas
Mohd. Farhan ‘mimpi luar biasa’ yang dialami sewaktu bermalam di rumah
ustaz menjadi pembuka jalan kepada pengislaman.
Akui
beliau lagi, cabaran yang dihadapi selepas bergelar Muslim memang berat
dan perit. Apa tidaknya, dia bukan sahaja terputus subsidi keluarga
tetapi telah dihalau dari rumah, tidak diakui anak dan hampir-hampir
terkena peluru hidup milik senapang bapa yang tersasar bidikan.
Pun
begitu, sebelum meninggalkan keluarga, anak kedua daripada enam
adik-beradik ini berazam untuk membawa bersama keseluruhan ahli
keluarganya kepada Islam. Malah, beliau tidak menjadikan agama sebagai
penghalang memutuskan ikatan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa.
“Selepas sahaja mengucap syahadah saya berhijrah ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
(Perkim) di Kuala Lumpur, sebelum belajar agama di Perkim Pengkalan
Chepa Kelantan (1991-1993), Nilam Puri (1994) Pondok (1995), mengambil
Diploma Tahfizul Quran di Pusat Islam (1996-1998) dan pada 2000 hingga
2003 berada di Shoubra al-Azhar, Mesir dalam jurusan al-Quran dan
Qiraati.
“Selama
membawa diri, saya tidak pernah putus-putus berdoa, bersolat hajat,
bertanya khabar serta menghantar kitab-kitab berkaitan Islam agar Allah
‘melembutkan’ hati keluarga untuk menerima Islam.
“Alhamdulillah,
selepas lapan tahun, doa saya dimakbulkan Allah. Sekarang seluruh ahli
keluarga saya menerima Islam. Apa yang saya alami sebelum ini, begitulah
juga dialami oleh ayah,” katanya yang telah mengislamkan lebih 2,000
orang dari pelbagai kaum.
Katanya lagi, ayahnya kini senang dengan kehidupan yang sederhana, cukup makan, senang beribadat meskipun sering cuba ‘dipikat’ dengan bermacam-macam bentuk kemewahan dan ganjaran oleh pihak-pihak tertentu supaya kembali kepada agama asal.
“Malah
dia juga mewakafkan tanahnya untuk pembinaan masjid dan madrasah
sebagai tempat pengajian golongan mualaf,” kata Mohd. Farhan yang
menubuhkan Pusat Pengajian Ilmu-ilmu Islam al-Azhar Sabah (PUPIS)
bersama beberapa orang sahabat. Mereka melaksanakan Program Dakwah
Bergerak secara sukarela di Sabah dan Sarawak.
Mengulas
tentang peranannya sebagai pengasas PPTQB, katanya ia ditubuhkan untuk
membasmi buta huruf al-Quran dan memperkenalkan pelajaran Jawi dan
bahasa Arab serta asas-asas agama di peringkat kanak-kanak. Para pelajar
di sini sebahagiannya mengikuti pengajian Pra Tahfiz (4-6 tahun),
Tahfiz (7-17 tahun) dan Umumi iaitu terbuka kepada orang dewasa.
Selain
menguruskan pusat tahfiz, Mohd. Farhan turut giat menyampaikan maklumat
tentang gerakan kristianisasi yang begitu membimbangkan. Harapan beliau
juga, semoga umat Islam menjaga iman dan Islam terutamanya generasi
muda-mudi yang merupakan sasaran utama mereka.
Baginya,
semua pihak tidak perlu menuding jari menyalahkan satu sama lain
apabila anak-anak mereka terlibat dengan kerja-kerja yang dilarang
Islam. Satu formula saranannya ialah kembali menghayati al-Quran
menerusi kempen yang dikenali satu rumah satu hafiz atau hafizah. Ia
boleh dilakukan menerusi buku, Kaedah Sistematik Penghafazan al-Quran
Jilid 1 dan 2.
Tambah
Mohd. Farhan, manusia tidak perlu kepada agama lain kerana syarat bagi
agama yang sebenar ialah agama itu menyembah kepada Allah dan Allah
tidak boleh dinisbahkan kepada makhluk atau benda lain. Kedua, agama itu
mempunyai undang-undang yang berbentuk kitab yang meliputi bidang
kehidupan secara terperinci dan dipakai dari dahulu hingga sekarang
serta tidak berubah-ubah
No comments:
Post a Comment