Penemuan Keramat Tok Tekai
oleh: Naim Firdausi
Makam keramat Tok Tekai dan anaknya Che Wan
————————————————————————————
Sebuah nisan kayu yang tinggi dan agak besar dipanggil orang makam Keramat Tok Tekai di tanah perkuburan lama Kurong Hitam. Dalam tahun 70 an, nisan dari kayu Sena itu diperbuat semula setelah nisan kayu lamanya mereput. Seramai 30 orang cuba mengangkat nisan kayu itu tetapi tiada ia dapat ditegakkan sehinggalah waris Tok Tekai datang membantu. Maka kedua nisan-nisan itu berjaya berdiri dan dipacak dalam lubang yang disediakan.
Tidak diperolehi maklumat tepat ketokohan Tok Tekai itu. Beliau dikatakan seorang ulama yang datang ke situ membuka penempatan dan membina sebuah masjid kayu yang dipanggil orang masjid Tok Tekai. Antara peninggalan Tok Tekai ialah Kitab Zikir Rabu dan Jumaat, peralatan masjid dan alat-alat permainan gendang. Salinan manuskrip Zikir Rabu dan Jumaat sudah diperolehi untuk kajian saya.
Kisah sebuah makam bernisan Aceh di sebuah pulau tengah sawah padi terasing dari tanah perkuburan lama. Dikisahkan orang-orang di situ bahawa ia adalah Che Wan, anak perempuan Tok Tekai yang dituduh berzina dengan anak angkat Tok Tekai lantas dijatuh hukum bunuh kedua-duanya oleh Tok Tekai Sendiri.
Kedua-dua mereka ditanam mengadap antara satu sama lain. Tetapi beberapa hari kemudian apabila kubur mereka digali semula kedudukan mereka berubah iaitu berpaling antara satu sama lain menandakan tertuduh tidak bersalah. Demikianlah pengkisahan sejarah Tok Tekai dan anaknya di Kurong Hitam, Wallahu A’lam. Kawasan ini sepatutnya dipagar sebagai tempat bersejarah.
Keramat Tok Tekai Tengku Muhammad Chan Cau Pija Si Thammarat
Makam keramat Tok Tekai Tengku Muhammad Chan Cau Pija Si Thammarat
—————————————————————————————-
Fasal pada menyatakan nama Mat Sirat ialah Tengku Muhammad Chan Cao Pija Si Thammarat ibni Tengku Long Taha ibni Tengku Long Putra. Beliau dipanggil juga dengan nama Tok Tekai maksudnya saudagar. ‘Mat Sĕ Rat’ adalah dari perkataan ‘Sĕ’ bererti harimau dan ‘Rat’ singkatan dari Cau Pija Si Thammarat. Makam Mat Serat ditemui di atas bukit Permatang Harimau (sekarang Permatang Limau).
Mat Serat di zaman Sultan Jaafar Madazam Syah adalah Panglima perang yang memimpin ribuan tentera dari Langkawi menyerang kedudukan Inggeris dan Thai di Kedah. Adapun tentera Mat Serat terdiri daripada Siam, Melayu dan Cina samada Islam atau bukan Islam dari negara China. Sebab itulah di kaki bukit Permatang Harimau pernah ditemui orang tulisan Cina pada batu dan tengkorak sekali dengan tulang rangka manusia ketika pembinaan jalan raya sekaligus memusnahkan jirat Cina itu. Terdapat juga bekas seperti tapak kaki harimau atas batu di Bukit Permatang Harimau.
Gelaran Tok Tekai atau saudagar adalah kerana beliau ada membuat perusahaan arang untuk kapal-kapal dari negara China di Kampung Alor Cina. Kawasan ini sepatutnya dipagar sebagai kawasan bersejarah.
Wallahuaklam
Posted by naim_firdausi
No comments:
Post a Comment