Permainan Politik Amerika Dan Israel |
Rabu-26 Oktober 2011 |
5 Namun, pada masa yang sama lawatanya ke Amerika, dia terpaksa berhadapan dengan desakan Presiden Barack Obama yang mahukan Israel bersikap lebih tolak ansur di dalam hal penempatan kerana tindakan yang dilakukan itu tidak akan dapat memujuk pemimpin-pemimpin Arab untuk bekerjasama di dalam pelan damai baru nanti. Walaupun mereka telah bermesyuarat selama berjam-jam sehingga PM Israel itu terpaksa menangguhkan kepulangannya, namun tiada kata putus yang dapat dihasilkan daripada perbincangan tentang penempatan baru Israel itu. Sebenarnya, permainan yang hampir serupa telah dimainkan oleh Benjamin Netanyahu pada 4 Mac 1997 semasa dia menjadi Perdana Menteri ketika itu dengan Presiden Clinton dan Setiausaha Negara, Madeline Albright. Semasa itu, dia telah meluluskan permohonan penempatan Yahudi yang baru di Har Homa, Timur Jerusalem sehingga menimbulkan kemarahan pemimpin Arab dan akhirnya ia telah menggagalkan usaha damai yang kononnya sudah sampai ke peringkat akhir. Walaupun usaha damai pada ketika itu ditaja oleh Amerika, kali ini sebabnya agak berbeza. Jika kita lihat kedudukan politik kedua-dua pemimpin di negara masing-masing, kita pasti akan mendapat jawapannya. Benjamin Netanyahu selaku pemimpin Parti Likud yang terkenal dengan sikap keras di dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Israel sentiasa mahu dilihat sebagai pemimpin Yahudi yang terulung. Namun, disebabkan kedudukan partinya yang tidak kukuh di dalam kerajaan campuran sekarang menyebabkan dia harus bersikap lebih ‘ultra’ di dalam dasar-dasar memperjuangkan kepentingan rakyat Israel. Justeru, membenarkan lebih banyak rakyatnya membuka penempatan di bahagian Timur Jarusalem adalah salah satu pilihan yang terbaik di dalam menonjolkan dirinya sebagai pemimpin Yahudi yang hebat di mata rakyat Israel. Ia mula menampakkan hasil apabila sedikit demi sedikit, kedudukan partinya di dalam kerajaan campuran semakin kuat. Begitu juga dengan kedudukan Presiden Barack Obama ketika ini. Kedudukannya sudah pun goyah sejak awal-awal mengambilalih jawatan Presiden Amerika daripada George W. Bush. apabila kempennya ”Hope for change” menjadi malap dan kabur akibat kegoncangan ekonomi yang melanda Amerika yang dikatakan berpunca daripada krisis subprime mortgage. Obama juga dilihat lemah di dalam menangani kekuatan Iran. Manakala janji-janjinya untuk membawa pulang tentera di Iraq menjadi semakin tidak pasti kerana pelbagai kemungkinan yang mesti diambilkira samada daripada aspek ekonomi, keselamatan dan ketidaktentuan politik yang sedang dilalui oleh kerajaan boneka Iraq pada ketika ini. Kegagalan di Afganistan juga tidak jauh berbeza sehingga semakin banyak keranda-keranda yang berisi mayat tentera Amerika dihantar pulang daripada Afganistan. Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat Amerika kerana mereka sudah mula merasa ditipu oleh kempen ”Hope for change” itu. Jadi, dengan menganjurkan usaha damai konflik Israel-Palestin ini, ia diharapkan dapat menaikkan semula populariti Obama. Kerana itulah, Obama benar-benar tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Israel itu. Jika usaha damai itu gagal, nescaya kedudukan politik Obama pasti goyah menjelang pilihanraya Presiden pada 2012 nanti. Namun, perkara yang paling utama yang harus diperhatikan oleh kaum muslimin pada ketika ini adalah ’ketegangan’ hubungan antara Amerika-Israel itu bukanlah satu harapan tetapi ianya adalah satu permainan yang hendak melalaikan kita daripada hal yang sebenar. Perkara yang sebenar mesti harus kita ketahui adalah hubungan Amerika-Israel tetap kukuh dan akan terus berkeadaan begitu atas beberapa sebab: 1) Sehingga saat ini, Israel masih menikmati USD 3 bilion bantuan dalam bentuk pakej ekonomi dan ketenteraan setiap tahun daripada Amerika. Para pemimpin dan aktivis Amerika yang sentiasa lantang mengkritik tatkala Amerika terlibat dengan aktiviti keganasan, tetapi di dalam hal ini mereka tetap berdiam diri. Padahal bantuan yang disalurkan itu dengan jelas diberikan kepada sebuah kerajaan negara haram yang saban hari melakukan keganasan ke atas rakyat Palestin. 2) Mengapa negara kecil Israel yang keluasannya hanya lebih kurang 1/17 daripada keluasan Malaysia itu mendapat bantuan begitu banyak daripada Amerika? Ini disebabkan banyak kepentingan Amerika di rantau tersebut yang harus dilindungi. Maka, Amerika menggunakan Israel untuk tujuan itu dan sebagai balasannya, Amerika akan terus memberikan bantuan agar rakyat Israel akan terus menikmati taraf kehidupan yang tinggi dan kehidupan yang sejahtera. 3) Amerika akan memastikan dunia Arab terus berpecah-belah dengan menjadikan Israel sebagai punca kepada perpecahan tersebut. Amerika akan terus mempertahankan dasarnya yang sejak dari dahulu dengan matlamat menjadikan wilayah Palestin itu kepada 2-Negara (2 state solution) iaitu Israel dan Palestin. Perpecahan negara-negara umat Islam merupakan kunci utama kepada penguasaan Amerika di setiap negara Arab di dalam usahanya mengaut kekayaan yang ada di bumi umat Islam. Justeru, hubungan dengan Israel akan mewujudkan ’ancaman’ sehingga setiap negara Arab tidak boleh lari daripada campurtangan Amerika jika tidak, mereka pasti akan menerima nasib sepertimana yang menimpa Iraq. 4) Amerika akan terus memanfaatkan sikap biadap Israel untuk kepentingannya. Ini adalah kerana Israel sentiasa bercita-cita hendak menguasai wilayah Arab untuk kepentingan orang-orang Yahudi. Amerika sudah pun mengetahuinya dan ia telah dan akan terus mewujudkan halngan-halangan tertentu untuk mengagalkan usaha pengembangan negara Israel dan pengaruhnya ke wilayah Arab kerana jika Israel mampu melakukannya, sudah tentu penguasaan Amerika akan terancam. Antara halangan tersebut adalah dengan mengasingkan wilayah yang bergolak itu dengan negara Arab yang lain. Mendatangkan sejumlah pasukan pengaman di sepanjang sempadan wilayah Arab-Israel. Jadi ini diharapkan dapat ’mengasingkan’ Israel tetapi pada masa yang sama tetap menghadirkan ’momokan ancaman’ kepada negara-negara Arab. Itulah hakikat yang harus diterima oleh penduduk Palestin dan umat Islam pada ketika ini. Di manakah pemimpin Palestin? Alangkah sedihnya, apabila Presiden Mahmoud Abbas dan pentadbirannya hanya mampu menjadi pemerhati di dalam permainan politik di antara Amerika dan Israel tanpa dapat berbuat apa-apa. Jangankan hendak cuba mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin itu, hendak mempengaruhi rakyat Palestin sendiri dia tidak mampu. Pemimpin-pemimpin umat Islam yang lain juga mengambil sikap yang sama bahkan menjadi penghalang kepada sebilangan umat Islam yang hendak membela nasib saurdaranya di Palestin. Dasar Amerika yang mendokong dan melindungi Israel itu sebagaimana yang Amerika lakukan di belahan dunia yang lain seperti di Taiwan, Jepun dan Amerika Selatan, itu semua hanyalah untuk menjaga kepentingan strategiknya di merata tempat di seluruh dunia. Jadi dengan itu, ia akan terus menjadikan Amerika kuasa ’pengganas’ no.1 dunia untuk sementara ini, sehingga Khilafah tertegak kelak, ia akan mengembalikan Amerika ke benuanya semula, insyaAllah. Rujukan: www.khilafah.com dan Political Views On Palestine (Al Khilafah Publications) |
No comments:
Post a Comment