Tuesday, January 1, 2013

Warisan kebudayaan Arab-Islam dalam kebudayaan Sepanyol


Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Eng UM
Sedar atau tidak, pengaruh Islam pernah menjadi dominan di Eropah selama lebih daripada 1200 tahun. Tempoh masa yang sebegini lama cukup meninggalkan kesan dan sisa peradaban, norma, bahasa dan budaya kepada penduduk geografi Eropah hingga hari ini. Dari abad ke-8 hingga ke abad ke-20, kejayaan Khalifah dan Amir Islam di Iberia kemudiannya diteruskan oleh kerajaan Uthmaniah Turki di benua Eropah (abad ke-13 hingga abad ke-20). Jadi, jelasnya pengenalan orang-orang Eropah terhadap Islam dan budaya Islam-Arab bukanlah sesuatu baru malah tidak seharusnya menjustifikasikan gejala islamofobia di benua Eropah.
Orang Iberia sememangnya ingin menghapuskan kenangan yang boleh merendahkan reputasi mereka sebagai bangsa penjelajah hebat dan penguasa pelayaran dunia di abad 15 dan 16. Penjelajah hebat seperti Alfonso De Albourque (Portugal) dan Cristopher Columbus (Sepanyol) yang sama-sama pernah bernaung di bawah Empayar Islam Andalus semahu-mahunya tidak ingin dikaitkan lagi dengan kebudayaan kaum 'Moor' yang amat mereka musuhi sebelumnya. Tulisan ini tidak bertujuan menafikan hubungan kesinambungan antara tamadun Yunani ke dunia Islam, dari Islam kembali ke barat, malah penulis amat optimis dengan konsep kitaran sejarah (cyclicle history) yang digagaskan oleh Ibnu Khaldun.
Hingga kini kebudayaan masyarakat Sepanyol Moden yang menggunakan bahasa dielek Castille sebagai bahasa Eka (kawasan yang tidak dijajah oleh Islam) sedikit sebanyak turut menyelitkan nilai kebudayaan tinggalan Islam. Lihat sahaja seni muzik dan tarian di Sepanyol yang masih menyimpan nilai kaum bani Marin (Marokko) dan kesan kebudayaan Afrika Utara.
Selama beberapa abad, sejak 711 – 1249 M, Portugal dan Sepanyol telah bernaung di bawah kekuasaan Muslim yang berasal dari Afrika Utara atas arahan Khalifah Umayyah di Syiria. Kesannya, Islam telah mempengaruhi bahasa Portugal dari aspek seni dan bahasa hinggakan ratusan perkataan Portugis juga berasal dari Arab.
Sepanjang pemerintahan Islam, ramai orang Visigoth, terutama golongan petani telah memeluk Islam. Bangsawan Visigoth yang menjadi Muslim dilantik menjadi gabenor sehingga kaum Visigoth ini mahir dalam kesenian, kesusasteraan, polisi dan politik serta arah hidup kaum Islam.
Bahasa Sepanyol, secara geografi, memiliki sangat banyak penutur di dunia, dan merupakan salah satu bahasa rasmi di forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Kesatuan Afrika, serta badan olahraga internasional seperti WBA (World Boxing Association). Menurut ensiklopedia Wikipedia (yang terdapat di internet), bahasa Sepanyol merupakan bahasa ketiga atau keempat yang memiliki penutur terbanyak di dunia dan digunakan oleh 352 juta orang, atau 147 juta orang termasuk yang bukan penutur asli (menurut perkiraan tahun 1999). Masih menurut sumber yang sama, sebahagian besar penutur bahasa ini berada di Sepanyol, Amerika Latin, Amerika Syarikat dan Filipina.
Saluran utama penyebaran kebudayaan Islam ke Sepanyol adalah melalui kaum Mozarab di Sepanyol. Muzarab (atau Mozarab/Musta'rib) adalah orang Kristian yang hidup dalam kekuasaan Islam di Andalus dan mengikuti banyak adat, kesenian serta banyak menggunakan perkataan bahasa Arab, namun masih memelihara tradisi dan teologi Kristian mereka. Kaum ini boleh dianggap sebagai ahli Zimmah dalam sistem politik Islam yang dijamin hak keselamatan dan hak asasi mereka. Bahasa Latin yang mereka miliki, disebut Bahasa Muzarab. Bahasa Muzarab (Mozarabic), merupakan bahasa Roman-Visigoth yang dipengaruhi oleh bahasa Arab dan dituliskan dalam abjad Latin dan Arab.
Kerana Mozarabic bukan bahasa budaya tinggi, ia tidak mempunyai naskah rasmi. Tidak seperti bahasa-bahasa Romawi yang lain, Mozarabic banyak ditulis dalam huruf Arab daripada abjad Latin.
Menurut Mikel de Epalza, dalam buku Mozarabs: an emblematic Christian minority in Islamic al-Andalus, The legacy of Muslim Spain (1994), sebahagian besar Mozarabs adalah daripada keturunan Hispano-Gothic Arab Kristian yang menjadi ahli zimmah di bawah pemerintahan Islam. Sesetengah orang Arab dan Barbar Kristian telah memeluk agama Kristian. Sebagai contoh, Umar bin Hafsun seorang Muslim yang terkemuka pada asalnya kemudiannya murtad dan menjadi kaum Mozarab kerana membantah pemerintahan Islam Andalus bani Umayyah. Bagi golongan Mozarab yang begitu fanatik terhadap bangsanya, mereka menyokong gerakan yang dilancarkan oleh Ibn Hafsun yang dikatakan beragama Islam dan cuba memperjuangkan kepentingan bangsa Sepanyol. Ada juga yang berhijrah ke negeri Kristian di Utara Sepanyol.
Menurut laporan Raْl Gَmez-Ruiz yang diterbit oleh Pusat Pengajian Latino - Katolik University of San Diego, ramai orang di Toledo tidak tahu apa-apa tentang kewujudan tradisi Mozarab. Ramai yang berfikir mereka adalah Arab Moor sedangkan mereka adalah Kristian Kuno yang masih wujud hingga kini.
Di dalam komposisi kaum Andalusia, terdapat kaum yang digelar Muwallad atau Muwalladun. Asalnya mereka adalah hamba tawanan perang yang kemudiannya ada yang dibebaskan. Muwalladun adalah kaum Muslimin dari keturunan bangsa Sepanyol. Jumlah mereka lebih ramai daripada kaum Arab. Melalui perkahwinan dengan kaum Arab, pemisahan antara mereka semakin lama semakin lenyap sehingga ada yang mengaku keturunan Arab.
Menurut Dr Abdul Halim dalam bukunya 'Intisari Sejarah Islam di Afrika Utara dan Sepanyol' (1989), antara punca penyebaran tamadun dan kebudayaan kaum Islam ke dalam dunia Eropah adalah disebabkan wujudnya kaum Slav daripada Eropah Timur yang bertugas sebagai penjaga istana di masa pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III pada tahun 936M. Kaum Slav yang berasal daripada rumpun tamadun Magyar Hungary-Romania kemudiannya banyak membawa pulang tamadun, ilmu dan budaya Islam ke dunia Balkan dan Rusia Barat.
Budaya tarian Flamenco adalah salah satu contoh terbaik untuk menampilkan kewujudan pengaruh kebudayaan Arab-Afrika Utara ke dalam kesenian Sepanyol. Flamenco sebenarnya adalah genre muzik, milik penduduk daerah Andalusia (hingga kini). Etimologi perkataan flamenco tidak begitu jelas. Oleh itu, ia dikatakan berasal daripada kata fellahmengu Hispanik-Arab, yang bererti - 'golongan yang diusir'. Pada akhir pemerintahan Granada, istilah Flamenco ini digunakan untuk merujuk kepada orang-orang Islam Andalusia yang diusir dari Granada.
Tarian Flamenco adalah kombinasi dari langkah tari dengan cerita rakyat Andalusia, lagu-lagu rakyat dan instrumen asal Mozarabic. Alat yang digunakan adalah seperti rebana, castenet dan simbal jari. Tarian Flamenco juga sangat dipengaruhi oleh Maghribi 'Shikhat' dan bentuk-bentuk tari Afrika. Ia adalah tangisan bersemangat para petani miskin dan terpinggir di Andalusia. Setiap langkah digunakan untuk membawa mesej itu dan disampaikan melalui irama gitar flamenco bersama-sama dengan.
Telah dinyatakan oleh Henry George, dalam buku Historical facts for the Arabian Musical Influence (1988) Albogue, Alboka, Hornpipe dan Klarinet, dan adalah alatan ciptaan Arab. Paling awal diketahui adalah albogue dan alboka, kedua-duanya berasal dari "al-bûq" (secara harfiah "trompet" atau "the horn") digunakan dalam muzik Arab dan muzik Islam zaman pertengahan. Alat ini dibawa ke Sepanyol.
Gitar, Lute, dan Oud adalah antara alatan muzik yang dibawa oleh kebudayaan Arab Habsyi ke Sepanyol. Gitar moden (qitar pada bahasa Arab) berasal dari oud empat tali dibawa oleh orang Moor selepas penaklukan Empayar Umayyah Andalus pada abad ke-8. Gitar empat tali diperkenalkan oleh orang Moor dikenali sebagai guitarra morisca (gitar Moor) yang mempunyai belakang bulat, papan jari yang lebar dan beberapa lubang suara, dan pada 1200 M, guitarra latina (gitar Latin) pula dicipta menyerupai gitar moden dengan satu lubang suara dan leher yang panjang.
Sepanyol sebelum Islam; asal usul bangsa Iberia
Menjejaki akar Sepanyol akan membawa ke zaman Rom, dengan Latin sebagai bahasa lisan dan tulisan. Pada abad ke-3 (400 M), Visigoth, sebuah rumpun dari kaum Gothic, berasal dari daerah delta Sungai Danube (sekarang Jerman), menyerang kota Rom dan menjadi bangsa barbar pertama menguasai dalam Empayar Rom.
Dari abad 4 AD hingga abad ke 7, Visigoth menyerang dan menduduki Sepanyol. Peralihan kosa kata bahasa Latin ke bahasa Visigoth telah berlaku.
Sepanyol moden dahulu dikenali sebagai Semenanjung Iberia adalah meliputi 85% dari Semenanjung Iberia, yang bersempadan dengan Portugal, di Eropah barat daya. Di pantai timur Sepanyol di Mediterranean adalah Kepulauan Balearic sementara 97 km ke barat Afrika adalah Kepulauan Canary. Portugal adalah salah satu negeri beraja di bawah kerajaan Hispania Visigoth Iberia.
Sepanyol, awalnya dihuni oleh kaum Celtic, Iberia, dan Basque, pernah menjadi sebahagian dari Empayar Rom pada 206 SM dan menerima pengaruh budaya Rom sebelum kehadiran Visigothic yang berjaya mengalahkan Rom di Itali.
Bahasa Sepanyol moden kini ditutur oleh 320 juta insan di serata dunia termasuk banyak di tanah bekas jajahan Sepanyol. Kaum Visigoth (berbahasa Gotik) iaitu suku kaum Jerman di Eropah telah mengambil bahasa Latin dari Tamadun Rom sebagai medium utama. Bahasa Visigoth-Latin ini kemudiannya menerima pengaruh bahasa Arab dari beberapa dielek Afrika Utara.
Rom pernah menakluk Iberia sepanjang abad ke-2 SM dan abad ke-1 SM sebelum kehadiran Visigoth dan menukar sebahagian besar wilayah tersebut ke dalam siri wilayah berbahasa Latin. Sebagai akibat daripada penjajahan Rom, majoriti bahasa daerah, kecuali Basque, berasal dari bahasa Latin Vulgar yang dituturkan di Hispania (Iberia). Bahasa ini berkembang ke dalam bahasa moden berasaskan dielek negeri Castille, yang menjadi bahasa penyatu Sepanyol moden.
Kemudian hadir pula orang Vandal iaitu suku kaum Jerman yang juga bersifat barbarian tanpa tamadun seperti kaum Gothic. Bangsa Vandal adalah suku Jerman timur yang datang ke Rom pada abad ke-5. Bangsa ini mungkin telah memberikan namanya kepada daerah Andalusia, yang asalnya bernama Vandalusia, kemudian terjemah ke bahasa Arab sebagai Al-Andalus.
Kaum Gothic dari suku Jerman itu langsung tidak mempunyai kemampuan dari aspek literasi dan sistem abjad melainkan terpaksa menyadur terus tulisan Latin untuk merakam ketamadunan Visigoth daripada terus pupus.
Bermakna budaya kaum Sepanyol hari ini sebelum menerima pengaruh Islam, telah menerima tumpahan nilai dan budaya kaum Latin Rom, kaum Vandal kaum Visigoth (Gothic) dan budaya Celtic. Hal inilah yang membina kerencaman budaya di Iberia sehingga kini.
Spanish people - mosaic.PNG
Islamisasi budaya intelektual di Sepanyol yang berlaku pada awal abad ke-9 digambarkan oleh Alvaro, seorang paderi Cordovian moden,
"orang-orang Kristian suka membaca puisi dan syair dari orang Arab, teologi dan ahli falsafah. Akhirnya! Semua orang Kristian muda mempunyai bakat membaca dan belajar dengan bantuan buku-buku Arab. Mereka berkumpul di perpustakaan yang sangat besar dengan bayaran yang tinggi, mereka benci kesusasteraan Kristian dan menganggapnya tidak layak diberikan perhatian. Mereka telah lupa bahasa mereka. Untuk setiap orang yang boleh menulis surat dalam Bahasa Latin untuk teman, ada seribu cara yang dapat mengekspresikan diri mereka dalam bahasa Arab dengan penuh gaya, dan menulis puisi adalah lebih baik daripada orang Arab sendiri ". (R. W. Selatan, p.21).
Lebih jelas perlu kita sedari, kaum Visigoth yang bertembung dengan kebudayaan Latin Rom, banyak mewarisi keilmuan Yunani yang dijajah oleh Rom melalui bahasa Arab dan Barbar. Pengumpulan khazanah ilmu ini kemudiannya menatijahkan kebangkitan Sepanyol 800 tahun kemudiannya menyertai gerakan Renaissence yang diasas di Itali.
Hingga kini terdapat lebih 8000 perkataan Sepanyol yang berasal dari bahasa Arab masih digunakan sampai sekarang seperti yang tertera dalam jadual di atas.
Tamadun Islam juga telah berjaya membawa suatu reformasi sosio budaya Iberia dalam sektor pertanian. Pertanian anggur, delima, tebu, kapas, limau manis dan kunyit berasal dari sosio budaya kaum Habsyi Afrika Utara. Profesyen kaum Islam sebagai penenun sutera, pemintal bulu kambing, pembuatan teknologi gelas, dan menyamak kulit untuk kegunaan harian di bawa hingga ke Perancis dan England melalui Sepanyol.
Malah lebih menarik permainan Catur (Chess) juga di bawa ke Sepanyol oleh kaum Islam. Istilah 'Check mate' sebenarnya bermaksud raja mati! 'Check' berasal dari istilah Parsi (Shah), kemudian kaum arab menyebut 'Shahtranj' . Manakala 'Mate' berasal dari istilah arab 'maat' (mati). Jika terjemahan Inggeris perkataan ini tidak membawa maksud malah bermaksud periksa kawan (chaeck mate). Tetapi jika diterjemah dari bahasa Arab Parsi asal, barulah memberi makna iaitu Raja Mati.
Pengaruh Arab di Sepanyol adalah bermula sejak tahun 711 ketika penjajah Muslim tiba dan menduduki bahagian selatan Sepanyol, yang dikenali sebagai Al Andalus malah lebih awal lagi apabila kaum Gothic di Iberia sering berinteraksi denga kaum Islam di Maghribi dan Tunisia. Kaum Vandal yang pernah menjajah Iberia juga pernah menjajah bumi Maghribi serta Tunisia malah mengangkut keluar ketamadunan dan kebudayaan Islam di sana.
Orang-orang Arab perlahan-lahan menyusut di selatan dan di wilayah yang kemudiannya dijajah oleh kekuatan Eropah yang lain. Kawalan Muslim ini akhirnya hilang pada tahun 1492. Namun, pengaruh Arab diteruskan untuk membanyakkan kemahiran Sepanyol dan ciri-ciri budayanya.
Semasa penguasaan Islam, Sepanyol juga maju dalam bidang bahasa dan kesusasteraan arab. Bahasa arab menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan menjadi bahasa pentadbiran dalam pemerintahan Islam di Sepanyol. Penduduk Sepanyol sama ada Islam atau bukan Islam berlumba-lumba untuk mempelajari bahasa arab. Mereka mempelajari bahasa arab untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang berkembang pada zaman itu dan untuk mendapat kedudukan yang istimewa di bawah pemerintahan Islam.
Sebagaimana kaum Norman mewajibkan Bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi di kepulauan Britain, begitu juga polisi pemerintahan Islam di Sepanyol. Pemerintah Islam di Andalus menjalankan beberapa usaha untuk mengembangkan bahasa Arab. Contoh dapat dilihat semasa pemerintahan Abdul Rahman II, yang telah mendirikan banyak institusi pengajian di setiap kota di Andalus yang bertujuan menyebarkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat umum. Baginda membawa masuk sarjana-sarjana dari luar untuk mengajar di institusi-institusi tersebut. Kesan daripada usaha beliau ini pendidikan arab telah berkembang pesat di seluruh Andalus.
Namun ini tidal bermakna, kerajaan Andalus melaksanakan polisi penghapusan bahasa Latin dan Bahasa Gothic. Mereka hanya menobatkan bahasa Arab dielek Afrika Utara sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran. Tarikan kaum Kristian untuk mendalami bahasa Arab adalah bertujuan untuk menguasai ilmu dan keperluan kehidupan. Hal ini sama sahaja dengan situasi galakan mempelajari Bahasa Inggeris. Malah orang Melayu mulai meninggalkan tulisan jawi dan mengutamakan tulisan rumi hanya disebabkan kemudahan komunikasi dan keperluan ilmu dalam tulisan rumi.
Hal ini terbukti daripada perkembangan pesat yang berlaku di dalam bahasa persuratan dan komunikasi masyarakat umum, sehingga di kalangan masyarakat bukan Arab. Begitu juga dengan kebolehan berkomunikasi di dalam bahasa Arab, telah menjadi satu kemestian di dalam kehidupan sosial di Andalus.
Anwar G. Chejne dalam bukunya The Arabic Language menyatakan pernah pada pertengahan kurun ke-9 Masihi, bishop Alvaro dari Cordova merungut kerana ramai pengikutnya tidak lancar berkomunikasi di dalam bahasa Latin. Beliau mendakwa daripada setiap seribu orang Kristian Andalus, amat sukar dicari walaupun seorang yang boleh membaca dan menulis bahasa Latin dengan baik. Ini adalah kerana ramai penganut kristian hanya mampu berkomunikasi di dalam bahasa Arab sehingga kitab Injil juga terpaksa diterjemah ke bahasa Arab. Pendek kata dialog peradaban telah berlaku di Andalus melalui medium bahasa Arab.
Selain melalui Constantinopel dan Pulau Sacily, bumi Sepanyol juga menjadi medium penyebaran teknologi serta kebudayaan peradaban Islam ke benua Eropah. Sepanyol mewariskan Eropah dengan seni, pertanian, ekonomi dan perdagangan, falsafah, ilmu matematik, ilmu perubatan, dan ilmu teknologi. Hasilnya, Rennaisance Eropah berlaku pada abad ke-12. Seluruh buku dan teks tentang kemajuan Islam itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah, termasuk buku karya Plato, Aristoteles, Socrates yang telah lenyap kerana sebelumnya dipandang oleh gereja sebagai bid'ah.
Orang-orang Eropah mengatakan, berkat peradaban dan kemajuan Islam mereka bertemu kembali akar budaya mereka iaiatu Tamadun Rom walaupun mereka hanya berkongsi sejarah dengan kaum Rom yang bukannya serumpun dengan majoriti kaum Jermanik Eropah.
Semasa Dinasti Muwahidun berkuasa, perkembangan seni dan tulisan di Sepanyol juga berlaku dengan baik sehingga melahirkan Ibnu Tufail, Ibnu Araby, dan Ibnu Rusyd.
Dalam dunia Islam, Cordova merupakan salah satu pusat budaya yang maju. Karya-karya ilmuwan dan falsafah Al-Andalus, seperti Abul Qasim dan Ibnu Rusyd memiliki pengaruh besar terhadap kehidupan intelektual di Eropah pada zaman pertengahan. Orang-orang Muslim dan bukan Muslim sering datang dari luar Andalus untuk belajar di pelbagai perpustakaan dan universiti terkenal di Andalus. Yang paling terkenal adalah Michael Scot (pelajar Universiti Oxford lama), yang menterjemahkan karya-karya Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, dan Al-Bitruji dan membawanya ke Itali dan England. Karya-karya ini kemudian memiliki dampak penting dalam berawalnya Renaisans di Eropah.
Bayangkan di Sepanyol kini terdapat Masjid Cordoba yang memiliki ciri-ciri seperti masjid-masjid peninggalan Umayyah dan Abbasiyah yang dibangunkan di Syria dan Iraq. Masjid itu pertama kali dibangun oleh Khalifah Muslim Abdurahman I pada tahun 787. Pembangunannya terus dilakukan oleh khalifah-khalifah penerusnya. Hari ini, Masjid Cordoba telah ditetapkan oleh UNESCO sebagai salah satu tempat peninggalan bersejarah yang penting di dunia.
Muhammad Nuruddin Bashah

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...