Friday, April 26, 2013

Adat kahwin puteri raja Jawa


PUTERI Nurwijareni mengikuti adat bersiram sehari sebelum majlis perkahwinannya.


JALAN yang dianggap ikon di Yogyakarta, Indonesia, Jalan Malioboro, dibanjiri kira-kira 40,000 orang yang berasak-asak untuk melihat pasangan pengantin diraja yang diarak melalui jalan tersebut Selasa lalu.
Menggunakan lima buah kereta kuda diraja, anak bongsu Sultan Hamengku Buwono X, Puteri Nurwijareni yang kini memegang gelaran Gusti Kanjeng Raden Bendara (GKRB) dan suaminya, Kanjeng Pangeran Haryo Yudanegara, meninggalkan Istana Yogyakarta pada pukul 4 petang.
Menaiki kereta kuda Kyai Jong Wiyat, pasangan itu melalui Jalan Malioboro menuju ke Bangsal Kepatihan dekat pejabat gabenor di jalan yang sama.
"Lega akhirnya kerana saya dapat melihat pasangan diraja itu," kata Hartini, 55, dari Kampung Patalan di Bantul.
"Saya memang mahu menyaksikan pasangan itu menaiki kereta kuda yang dianggap suci itu," ujar Martinah, 65, yang membawa dua orang anak dan seorang cucunya ke perarakan itu.
Keghairahan penduduk Yogyakarta atau Jogja itu bermula sejak pagi Selasa lagi dengan acara pesta rakyat yang merupakan sebahagian daripada majlis perkahwinan itu.
Pesta jalanan itu menawarkan pelbagai persembahan tradisional, bukan sahaja dari Jogja tetapi juga dari wilayah lain seperti Jawa Timur dan Nusa Tenggara.
Pihak istana juga menyediakan 150 kereta kuda angkringan yang dihias daun kelapa. Ia membawa minuman, snek dan makanan ringan untuk diagihkan secara percuma kepada rakyat.
KIRA-KIRA 40,000 penduduk Yogyakarta menyaksikan perarakan anak raja mereka.


Pijak telur
Majlis ijab kabul dilakukan pada pukul 7 pagi di Masjid Panepen di istana. Ia disempurnakan oleh sultan sendiri menggunakan bahasa jawa.
Yudanegara - yang nama asalnya Achmad Ubaidillah yang berasal dari Lampung, juga menerimanya dalam bahasa Jawa.
Yudanegara bekerja di pejabat Naib Presiden Boediono di Jakarta. Dia yang memakai persalinan tradisional berwarna putih kemudian melutut tanda hormat kepada sultan.
Selepas itu, adat bertemu pengantin yang dipanggil panggih diadakan di beranda Bangsal Kencana istana pada pukul 10 pagi.
Sebanyak 2,000 tetamu termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Wanita Pertama Ani Yudhoyono, Naib Presiden Boediono dan orang kenamaan lain menyaksikan upacara itu.
Turut hadir ialah bekas Naib Presiden Jusuf Kalla dan Hamzah Haz. Bekas Presiden, Megawati Soekarnoputri juga hadir tetapi selepas Susilo pulang.
Upacara panggih meliputi perbuatan melempar daun sireh, memijak telur ayam selain pengantin perempuan membasuh kaki pengantin lelaki.
Ia berakhir dengan pon-dhongan iaitu pengantin lelaki dan pak ciknya mendokong pengantin perempuan di atas lengan mereka. Ia merupakan simbolik bahawa si suami akan menghormati dan melindungi isterinya.

GUSTI Bendoro Pengeran Haryo Suryodiningrat (kiri), bapa saudara Yudanegara, mendukung GKR Bendara di atas lengan mereka.


"Saya gembira kerana semuanya berjalan lancar," kata Sultan Hamengku Buwono.
Anak perempuan sulungnya, Gusti Kanjeng Raden Pembayun bersetuju. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Jogja atas penyertaan mereka.
Jogja, terletak kira-kira 400 kilometer ke tenggara Jakarta di Pulau Jawa, merupakan satu-satunya wilayah yang mempunyai saki-baki terakhir kesultanan Indonesia. Di situ, sultan juga bertindak sebagai Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta.
Din Syamsudin, Pengerusi Muhammadiyah Muslim Indonesia, menggambarkan majlis yang diadakan di istana berusia lebih 200 tahun itu sebagai satu penonjolan budaya yang wajib dikekalkan.
"Ia merupakan satu khazanah budaya yang perlu dipelihara supaya generasi akan datang memahami budaya mereka," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...