 |
PUTERI Nurwijareni mengikuti adat bersiram sehari sebelum majlis perkahwinannya.
|
JALAN
yang dianggap ikon di Yogyakarta, Indonesia, Jalan Malioboro,
dibanjiri kira-kira 40,000 orang yang berasak-asak untuk melihat
pasangan pengantin diraja yang diarak melalui jalan tersebut Selasa
lalu.
Menggunakan lima buah kereta kuda diraja, anak bongsu
Sultan Hamengku Buwono X, Puteri Nurwijareni yang kini memegang gelaran
Gusti Kanjeng Raden Bendara (GKRB) dan suaminya, Kanjeng Pangeran
Haryo Yudanegara, meninggalkan Istana Yogyakarta pada pukul 4 petang.
Menaiki
kereta kuda Kyai Jong Wiyat, pasangan itu melalui Jalan Malioboro
menuju ke Bangsal Kepatihan dekat pejabat gabenor di jalan yang sama.
"Lega akhirnya kerana saya dapat melihat pasangan diraja itu," kata Hartini, 55, dari Kampung Patalan di Bantul.
"Saya
memang mahu menyaksikan pasangan itu menaiki kereta kuda yang dianggap
suci itu," ujar Martinah, 65, yang membawa dua orang anak dan seorang
cucunya ke perarakan itu.
Keghairahan penduduk Yogyakarta atau
Jogja itu bermula sejak pagi Selasa lagi dengan acara pesta rakyat yang
merupakan sebahagian daripada majlis perkahwinan itu.
Pesta
jalanan itu menawarkan pelbagai persembahan tradisional, bukan sahaja
dari Jogja tetapi juga dari wilayah lain seperti Jawa Timur dan Nusa
Tenggara.
Pihak istana juga menyediakan 150 kereta kuda
angkringan yang dihias daun kelapa. Ia membawa minuman, snek dan
makanan ringan untuk diagihkan secara percuma kepada rakyat.
 |
KIRA-KIRA 40,000 penduduk Yogyakarta menyaksikan perarakan anak raja mereka.
|
Pijak telur
Majlis
ijab kabul dilakukan pada pukul 7 pagi di Masjid Panepen di istana. Ia
disempurnakan oleh sultan sendiri menggunakan bahasa jawa.
Yudanegara - yang nama asalnya Achmad Ubaidillah yang berasal dari Lampung, juga menerimanya dalam bahasa Jawa.
Yudanegara
bekerja di pejabat Naib Presiden Boediono di Jakarta. Dia yang memakai
persalinan tradisional berwarna putih kemudian melutut tanda hormat
kepada sultan.
Selepas itu, adat bertemu pengantin yang dipanggil panggih diadakan di beranda Bangsal Kencana istana pada pukul 10 pagi.
Sebanyak
2,000 tetamu termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Wanita
Pertama Ani Yudhoyono, Naib Presiden Boediono dan orang kenamaan lain
menyaksikan upacara itu.
Turut hadir ialah bekas Naib Presiden
Jusuf Kalla dan Hamzah Haz. Bekas Presiden, Megawati Soekarnoputri juga
hadir tetapi selepas Susilo pulang.
Upacara panggih meliputi
perbuatan melempar daun sireh, memijak telur ayam selain pengantin
perempuan membasuh kaki pengantin lelaki.
Ia berakhir dengan
pon-dhongan iaitu pengantin lelaki dan pak ciknya mendokong pengantin
perempuan di atas lengan mereka. Ia merupakan simbolik bahawa si suami
akan menghormati dan melindungi isterinya.

GUSTI Bendoro Pengeran Haryo Suryodiningrat (kiri), bapa saudara Yudanegara, mendukung GKR Bendara di atas lengan mereka.
"Saya gembira kerana semuanya berjalan lancar," kata Sultan Hamengku Buwono.
Anak
perempuan sulungnya, Gusti Kanjeng Raden Pembayun bersetuju. "Saya
juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Jogja atas
penyertaan mereka.
Jogja, terletak kira-kira 400 kilometer ke
tenggara Jakarta di Pulau Jawa, merupakan satu-satunya wilayah yang
mempunyai saki-baki terakhir kesultanan Indonesia. Di situ, sultan juga
bertindak sebagai Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta.
Din
Syamsudin, Pengerusi Muhammadiyah Muslim Indonesia, menggambarkan
majlis yang diadakan di istana berusia lebih 200 tahun itu sebagai satu
penonjolan budaya yang wajib dikekalkan.
"Ia merupakan satu khazanah budaya yang perlu dipelihara supaya generasi akan datang memahami budaya mereka," katanya.