Tuesday, January 1, 2013

Dari Andalusia ke Ayuthia - Lenyapnya Empayar Islam Dua Benua?


TAJUK ARTIKEL ASAL :
SEJARAH PERKEMBANGAN DAN KEJATUHAN PEMERINTAHAN ISLAM DI ANDALUSIA: TELADAN DAN SEMPADAN.
Oleh: Dr. Mohd Roslan Mohd Nor - m_roslan@um.edu.my



Abstrak:
Andalusia pernah berperanan memberi impak yang besar kepada umat Islam. Ia melonjakkan tamadun umat dengan perkembangan di dalam pelbagai bidang keilmuan sehingga lahir pelbagai tokoh yang dihormati masyarakat timur hingga ke barat. Namun, kegagalan umat Islam mempertahankan kedaulatan Andalusia telah menjadi sempadan yang pahit untuk dirungkai. Apapun, pengalaman dan pengajaran jatuh bangun Andalusia cukup penting untuk dikaji bagi
mengambil iktibar dan menjadikannya panduan dalam menghadapi cabaran semasa. Kertas ini akan cuba sedaya yang ada untuk berkongsi fatrah Andalusia ini dalam merentasi sejarah kegemilangan umat Islam seketika dahulu.
Pengenalan
Kecemerlangan Tamadun Islam menguasai dunia telah lama terbukti dengan penyebaran Islam dan penguasaan yang dilakukan samada di Timur mahupun di Barat. Penguasaan Islam terhadap semenanjung Iberia, Asbania atau lebih khusus Andalusia, telah menunjukkan bahawa Islam telah tersebar ke blok Eropah. Andalusia mewakili masyarakat barat di atas kedudukannya yang bersambung dengan tanah besar Eropah dan ia dikuasai oleh Kristian sebelum kedatangan Islam ke tempat tersebut.
Kedatangan Islam di Andalusia
Benua Afrika, terutama Afrika utara merupakan daerah yang penting dalam kaitannya dengan Andalusia dan juga penyebaran Islam di Eropah. Ia merupakan pintu gerbang utama masuknya Islam ke wilayah yang selama berabad-abad lamanya di bawah kekuasaan Kristian dan menjadi benteng pertahanan Islam untuk ke wilayah Eropah.

Para sejawaran sepakat menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Andalusia adalah di bawah pimpinan Tariq ibn Ziyad yang telah memimpin pasukan tentera menyeberangi lautan Gibralta menuju ke semenanjung Iberia itu. Pasukan Islam yang hanya berjumlah 7000 orang itu perlu berdepan dengan tentera Visigoth yang berkekuatan 100,000 tentera lengkap bersenjata. Lalu bagi meningkatkan semangat dikalangan pasukan Islam, dikatakan bahawa Tariq ibn Ziyad mengarahkan agar kapal mereka dibakar, dan beliau berpidato:
“Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan
kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah
kejujuran dan kesabaran. Ketahuilah bahawa di pulau ini kalian lebih terlantar
dari pada anak yatim yang ada di lingkungan orang-orang hina. Musuh kalian
telah menyambut dengan pasukan dan senjata mereka. Kekuatan mereka sangat
besar, sementara kalian tanpa perlindungan selain pedang-pedang kalian, tanpa
kekuatan selain dari barang-barang yang kalian rampas dari tangan musuh
kalian. Seandainya pada hari-hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini,
tanpa adanya perubahan yang berkesan, nescaya nama baik kalian akan hilang,
rasa gentar yang ada pada hati musuh akan berganti menjadi berani kepada
kalian. Oleh kerana itu, pertahankanlah jiwa kalian.”4
Kalimat terkenal ini dikobarkan oleh Tariq bagi menaikkan semangat pasukan tentera Islam dan akhirnya tercatat dalam sejarah penyebaran Islam ke Andalusia setelah tentera Visigoth tidak mampu melawan semangat jihad tentera Islam.
Ucapan ini walaubagaimanapun diragui oleh sesetengah pengkaji sejarah terutama hal yang melibatkan pembakaran kapal kerana faktor-faktor di bawah:
i. Ucapan beliau hanya dirakam oleh para sejarawan Timur sahaja seperti Ibn al-Athir, tetapi tidak dicatat oleh para sejarawan Andalusia atau sejarawan Afrika Utara yang dari sudut geografinya adalah hampir dengan Andalusia. Oleh kerana ia hanya disebut oleh sejarawan Timur, kemungkinan penambahan itu terhadap ucapan itu berlaku di dalam sejarah Islam.
ii. Disebabkan Tariq ibn Ziyad dari kalangan Barbar yang baru memeluk Islam, maka adalah tidak munasabah bagi beliau untuk memberi ucapan yang begitu tinggi dari sudut bahasa dan begitu utuh kefahamannya terhadap Islam.
iii. Serangan Andalusia tidak dibenarkan oleh Khalifah al-Walid yang khuatir dengan keselamatan tentera kerana masih belum dibuat kajian sebelum serangan itu dilakukan. Jadi kemungkinan untuk Tariq ibn Ziyad untuk membakar kapal itu adalah pada tahap paling minima.
iv. Usaha menakluk Andalusia pada peringkat pertama melalui jalan laut ini diusahakan oleh Tarif ibn Malik bersama kekuatan pasukan armada lautnya bagi merintis jalan ke arah penaklukan semenanjung Iberia itu. Kejayaan Tarif telah mendorong Musa ibn Nusair untuk menuju ke sana dan turut mengerahkan Tariq bergerak sama demi menakluk Andalusia. Oleh itu ada keraguan bagi Tariq untuk mengarahkan kapal dibakar kerana sepatutnya Tarif lebih layak untuk berbuat begitu.
Pidato beliau yang dilihat tidak mempunyai banyak pertikaian ialah bahagian yang tidak menyentuh pembakaran kapal.5 Ini yang lebih hampir kepada ketepatan dan bagi mengelak berlebih-lebihan dalam mengungkap sejarah lampau serta menunjukkan etika yang baik dalam penyelidikan.
Ketika Andalusia di bawah pemerintahan Rom, mereka telah membawa masuk orang-orang Yahudi yang mengakibatkan berlaku ketegangan antara orang Yahudi dan Kristian dan mereka sering berebut menduduki takhta pemerintahan.6 Ini telah melemahkan kerajaan Andalusia sehingga memberi peluang untuk Islam menakluki rantau itu.7
Kemenangan tentera pimpinan Tariq bin Ziyad telah membuka ruang untuk pasukan Islam terus menguasai Andalusia sehingga Tariq dapat meneruskan penguasaan ke Cordova dan Toledo.8 Sejak dari itu, Islam mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan bermulalah penguasaan Bani Umaiyyah di Andalus.
Khalifah Bani Umaiyyah yang berpusat di Damsyik telah mewakilkan Gabenor untuk mentadbir Andalus. Seramai 20 orang Gabenor telah mentadbir Andalus dari tahun 718 756M. Gabenor yang pertama ialah Abdul Aziz ibn Musa ibn Nusayr dan yang terakhir ialah Yusuf ibn Abdul Rahman al –Fihri.9 Sejak dari itu, kemenangan demi kemenangan dapat dicapai oleh tentera Islam dalam usaha melebarkan kerajaan Islam dibumi Eropah termasuk Bandar Zaragoza, Leon dan beberapa buah bandar lain.10
Apa yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalusia ini ialah pemerintahannya kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah, walaupun kerajaan Bani Abbasiyyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada tahun 132H / 750M. Ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam yang memimpin majoriti umat Islam sudah beralih kepada Bani Abbasiyyah, namun Andalusia terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah.
Secara tidak lansung, kecemerlangan yang dibina pada peringkat awal di Andalusia terus dapat dibangunkan walaupun ada pergolakan kepimpinan yang berlaku di peringkat pentadbiran pusat sehingga pemerintahan Umayyah beralih kepada pemerintah baru. Proses mempertahankan kedaulatan rantau Andalusia agar bebas dari cengkaman Abbasiyyah dikatakan berlaku pada tahun 138H / 756M selepas kira-kira 4 dekad ia dibuka oleh pasukan Islam.11
Secara umum, pemerintahan Islam di Andalusia dilihat sebagai satu pemerintahan yang mementingkan kecemerlangan ketamadunan dari sudut ilmu, sosial dan masyarakat. Sejarawan pada umumnya mengakui bahawa sebelum Islam membuka Andalus, masyarakat Kristian Eropah hidup di dalam kegelapan dan kejahilan.12
Ini bermaksud, kedatangan dan era pemerintahan Islam di Andalusia telah melonjakkan tamadun Islam secara keseluruhannya sehingga ada yang menganggap ia lebih hebat dari tamadun Islam di Timur yang berada di bawah pemerintahan Bani Umayyah dan Abbasiyyah.
Peta perkembangan Islam di Semenanjung Iberia, Utara Afrika dan juga di Asia.
Semenanjung Iberia ini juga terletaknya Portugis dan Sepanyol Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa Barber, Arab, Eropah dan sebagainya. Tidak mustahil Portugis yang sampai ke Semenanjung Melaka pada zaman sebelum kejatuhan Andalusia 1492 adalah pedagang Portugis Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa - (Peta inserted. The caption is mine dan bukan dari artikel yang asal)

Para pengkaji membahagikan tahap perkembangan Islam di Andalusia kepada beberapa tahap.
Antaranya ada yang membahagikan kepada: 13
1. Tahap penubuhan dan pembinaan
2. Tahap krisis dan pemberontakan
3. Tahap kegemilangan
4. Tahap kelemahan dan keruntuhan
Manakala dari aspek pemerintahan Islam di Andalusia pula, para pengkaji sejarah membahagikan
kepada tahap-tahap berikut:14
1. Zaman Pemerintahan Gabenor Bani Umayyah Damsyik (711 756M)
2. Zaman Pemerintahan Bani Umayyah (756 1031M)
3. Zaman Pemerintahan Kerajaan Kecil ( hingga 1086M)
4. Zaman Penguasan Kerajaan Afrika Utara (1086 1143M)
5. Zaman Pemerintahan Bani Nasr (hingga 1429M)

Perkembangan Islam terus menerus dari Tanah Arab ke Eropah, Nusantara dan juga China dari semenjak zaman Rasullullah s.a.w masih hidup 627 masehi sehinggalah ke zaman Umayah, Abbasiah dan Uthmaniah.
Barat dan Timur itu bertemu di mulut selat Melaka di antara Acheh dan Semenanjung Melaka yang Gunung Jerai di Kedah menjadi panduan. Wilayah Islam Nusantara yang telah punya Undang-undang Islam semenjak tahun 222 Hijrah selari dengan zaman Andalusia dan Abbasiah. Ini belum lagi dipadankan dengan catatan pelayaran Armada Empayar China yang menyatakan dengan tepat nama tempat dan gelaran puak2 disepanjang pelayaran mereka. Lihat juga jalan pintas ke China merentas Semenanjung melalui Kedah-Champa-China (Peta inserted. The caption is mine dan bukan dari artikel yang asal)
Secara umum, pemerintahan Islam di Andalusia telah menjadi pemangkin kepada kejayaan Eropah dalam membina tamadun mereka. Usaha-usaha yang dilakukan oleh para pemerintah Islam telah memberikan impak positif sehingga barat dapat membina tamadun mereka yang membanggakan pada hari ini.
Pada peringkat awal, pemerintah Islam berjaya untuk mengawal masyarakat Andalusia walaupun mereka mempunyai pelbagai latarbelakang. Ada dikalangan mereka berbangsa Arab, Yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain.
Kecemerlangan dapat dicapai apabila masyarakat berbilang kaum ini dapat dijaga dengan sempurna. Namun, antara punca kejatuhan kerajaan Islam Andalusia juga turut disebabkan oleh kepelbagaian budaya ini yang merenggangkan sesama sendiri sehingga akhirnya kerajaan turut menjadi lemah.
Pemerintahan Islam digambarkan berjaya menjamin hak-hak asasi kaum lain sehingga mereka boleh membantu dalam usaha meniggikan tamadun. Antaranya dapat dibuktikan daripada kajian yang menyatakan bahawa: after five centuries of Muslim rule duirng which the Jewish community had been allowed to follow their practices practically unhampered often with Jews being given high-ranking posts in the administration of the country, and especially after Abdul Rahman I had become the Amir of Andalus in 756 their numbers had increased considerably.15
Daripada gambaran ini, dapat difahami bahawa perpaduan antara kaum berasaskan jaminan terhadap hak-hak kaum minoriti sebenarnya boleh membantu mewujudkan kestabilan selagi mana ia tidak bertentangan dengan hasrat pemerintahan. Oleh sebab itu kita dapat menyaksikan tamadun Islam Andalusia menguasai dunia dan meniti dibibir umat dalam menghormati ketamadunan yang dibina.
Peringkat Kecemerlangan Islam di Andalusia
Kecemerlangan pemerintahan Islam di Andalusia boleh dikatakan berlaku pada zaman pemerintahan Bani Umayyah Andalusia, selepas mereka bertindak keluar dari penguasaan Abbasiyah terhadap wilayah Andalusia. Kejayaan ini berlaku pada zaman Abdul Rahman al- Dakhil yang mula mengukir nama di Andalusia pada tahun 138H / 756M.
Zaman ini berterusan selama kira-kira 3 abad sehingga 422H / 1031M di mana pemimpinnya berjaya membentuk satu masyarakat yang dinamis dan harmonis dalam kepelbagaian latarbelakang penduduknya. Dalam hal ini, Ahmad Zaki mempertegaskan bahawa kecemerlangan di zaman pemerintahan Umayyah ini telah berlansung dalam dua peringkat pentadbiran yang penting iaitu pertama: era kepimpinan Umayyah yang memerintah tanpa campur tangan asing dan kedua: era pemerintahan Umayyah yang tidak dipengaruhi oleh kerajaan Abbasiyyah di Baghdad dari segi politik bersama semangat
rohnya.16
Melihat kepada zaman kecemerlangan ini, boleh dikatakan bahawa pentadbiran yang diberi kuasa mentadbir secara sendiri tanpa pengaruh anasir luar, boleh sebenarnya memacu kecemerlangan yang ingin dicapai.
Apabila pentadbiran itu tidak dicampur dengan urusan-urusan lain, maka mereka tidak akan disibukkan dengan pergolakan luaran yang berlaku. Lalu, tumpuan mereka adalah dalam kerangka mempertingkat daya dan usaha ke arah merealisasikan matlamat yang digariskan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah Andalusia itu muncul sebagai satu ketamadunan yang cukup membanggakan Timur dan Barat.
Bermula dengan era pemerintahan Abdul Rahman al-Dakhil jugalah telah memperlihatkan perkembangan pesat ketamadunan berlaku. Di zaman beliau, masjid Cordova17 telah dibina dan sekolah-sekolah telah didirikan di beberapa kota besar Andalusia.
Hisyam pula merupakan orang yang mengungguli syariat Islam dan Hakam didapati banyak memberi sumbangan dalam melengkapkan aspek ketenteraan dari segi kelengkapan dan latihan yang sempurna untuk pasukan pertahanan ini.
Bermula pada zaman Abdul Rahman III yang dikenali juga dengan nama Abdul Rahman al-Nasir, pemerintahan di Andalusia mula menggunakan gelaran Khalifah, mungkin disebabkan oleh merekalah satu-satunya kerajaan yang meneruskan pemerintahan Bani Umayyah di kala Bani Abbasiyyah mula mengukir kuasa di Baghdad.
Ada yang mengatakan bahawa pemakaian gelaran Khalifah itu berlaku kerana Abdul Rahman III melihat bahawa Kerajaan Bani Abbasiyyah mungkin akan runtuh disebabkan oleh pergolakan yang menyaksikan al-Mu’tadil dibunuh oleh pengawalnya sendiri. Gelaran Khalifah ini sudah tentu akan mengangkat martabat beliau kerana ia akan dianggap sebagai pemerintah bagi keseluruhan wilayah Islam.
Di atas semangat Abdul Rahman III inilah telah memperlihatkan kejayaan pemerintahan beliau dalam mendirikan pusat kecemerlangan ilmu, iaitu Universiti Cordova yang terus berdiri megah sehingga hari ini.
Namun begitu, seakan sudah menjadi lumrah bahawa di sana ada kitaran ketamadunan seperti yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun. Kitaran ketamadunan itu menyebabkan kita berfikir bahawa segala apa yang berada dipuncak pasti akan melalui zaman menurun.
Kitaran inilah yang turut melanda Andalusia sehingga kejayaan yang dibina semakin lama semakin menunjukkan ketidakmampuan untuk dipertahankan. Apa yang dimaksudkan ialah ketidakmampuan untuk mempertahankan penguasaan Islam di sana dari sudut politik pentadbiran, bukannya dari sudut kecemerlangan intelektual dan fizikal.
Kejatuhan Andalusia tidak berlaku sekelip mata, tetapi ia melalui proses yang panjang. Sayangnya, tiada dikalangan pemimpin umat Islam pada ketika itu yang berjaya mempertahankan ketuanan Andalusia. Bibit-bibit kejatuhan itu bermula apabila pemerintahan Andalusia dijuzukkan kepada kerajaan-kerajaan kecil.
Kewujudan Kerajaan Kecil Andalusia Membawa Keruntuhan
Kerajaan-kerajaan kecil yang muncul di Andalusia terbentuk apabila kepimpinan utama mula lemah. Lebih tepat, ia rentetan daripada kelemahan pemimpin dikalangan Bani Umaiyyah yang menguasai Andalusia selepas daripada Khalifah al-Mustansar Billah (961 976M). Bermula dari itu, Andalusia yang diperintah oleh satu kerajaan, berpecah menjadi banyak daerah yang membentuk lebih daripada 20 kerajaan-kerajaan kecil.
Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini yang turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa’if wujud disebabkan oleh antaranya semangat puak, iaitu untuk mengangkat kaum sendiri. Mereka seolah secara tidak lansung berpegang kepada semangat ke-bangsa-an dan seakan menjurus kepada perkauman sesama sendiri.
Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Cordova menghadapi masalah dalaman iaitu bergaduh dan bercakaran malah ada yang saling menindas untuk merebut kuasa khalifah. Secara tidak lansung, kerajaan kerajaan kecil ini wujud pada dekad akhir pemerintahan Bani Umayyah di Andalusia, iaitu kira-kira sekitar tahun 403 H / 1012 M.
Namun bibit bibit perpecahan awal telah pun wujud atau dapat dilihat 20 tahun lebih awal iaitu semasa Khalifah Hisham II memegang tampuk pemerintahan. Perpecahan adalah jelas ketara setelah Al-Mansur Ibn Abi Amir meninggal dunia pada tahun 392H/ 1002 M.18
Benteng Terakhir dan Kejatuhan Andalusia
Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai al-Qurtubah merupakan bandar terakhir di bawah penguasaan Islam sebelum Andalusia jatuh sepenuhnya ke atas tangan golongan Kristian. Kedaifan dalam mempertahan pemerintahan Islam di Andalusia amat menyedihkan. Ia berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Islam di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir Andalusia iaitu Granada dari tahun 620 897H. Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamat maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada diguling dengan lebih teruk.
Penyerahan dalam bentuk perjanjian yang ditandantangani oleh pihak Islam dan Kristian itu dilakukan dan penyerahannya kepada Raja Kristian Sepanyol iaitu Ferdinand dan Isabella. Perjanjian yang dikatakan mempunyai 67 perkara itu antara lain menjamin keselamatan orang Islam untuk tinggal di Sepanyol dan juga jaminan keselamatan sekiranya mereka ingin keluar dari Sepanyol menuju ke daerah lain, terutama untuk kembali ke daerah Afrika Utara.
Namun perjanjian yang tidak pernah ditunaikan oleh pihak Kristian itu nampaknya menjadi senjata yang menikam umat Islam terus menerus sehingga mereka tidak lagi mampu bertahan apatah lagi untuk merampas kembali Andalusia ini. Kesan-kesan peninggalan umat Islam, ketamadunan yang dibina dan seumpamanya telah banyak dimusnahkan.
Penulis ketika menjejaki kaki ke Andalusia seketika dahulu melihat sendiri bagaimana kota yang dibina oleh pemerintahan Islam kelihatan dihancurkan dan hampir tidak ditemui oleh para sejarawan dan ahli arkeologi. Dalam kes ini, lebih jelas jika dilihat bagaimana kota Madinah al- Zahra19 ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan dengan runtuhan kota itu seolah tidak dapat untuk diselamatkan.
Walaupun kota ini dikhabarkan musnah akibat pergolakan dan peperangan saudara pada tahun 1010M, namun ia keunggulan kota ini terus malap apabila Andalusia jatuh ke tangan bukan Islam.
Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang masyhur iaitu istana Al-Hamra’ atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.20
Oleh kerana berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, akhirnya telah menyebabkan pergolakan anak-beranak berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada ini. Disebabkan Abu Abdullah tidak berpuas hati dengan pewarisan takhta yang ditunjukkan oleh bapanya, iaitu kepada saudaranya yang lain, lalu beliau memberontak sehingga dalam pemberontakan tersebut telah mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta pemerintahan tidak menyebelahi Abu Abdullah, tetapi ia beralih kepada Muhammad ibn Sa’ad.
Lalu perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama antara Raja Ferdinand dan Abu Abdullah untuk merampas kembali takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang pendek disebabkan tekanan dari Ferdinand untuk mendapatkan habuan.
Habuannya tidak lain tidak bukan ialah penyerahan wilayah Granada ini kepada beliau, lantas masyhurlah Ferdinand yang beristerikan Isabella sebagai raja yang berjaya menumbangkan kerajaan terakhir Islam di Andalusia. Kejatuhan Andalusia rupanya adalah kelemahan pemerintahan yang sanggup menggadai prinsip mereka demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya buat sementara sahaja. Selain itu, ia turut disebabkan beberapa faktor, iaitu:
i. Usaha agresif puak Kristian untuk menakluk kembali wilayah yang ditadbir oleh kaum Muslimin sehingga menyebabkan pertahanan mereka terus rapuh dan tidak mampu bertahan atas serangan fikri dan askari yang dilakukan tentera musuh. Gerakan ini lebih dikenali sebagai Reconquista. Tidak dinafikan ia mempunyai kaitan dengan usaha pihak Kristian untuk menakluk wilayah yang telah jatuh ke tangan umat Islam di seluruh dunia di mana ia seolah turut terkesan dengan pergerakan tentera Salib yang menumpukan perhatian di wilayah umat Islam di Asia Barat.
ii. Ketiadaan sokongan dari pemerintah Islam di wilayah luar Andalus, melainkan sokongan yang sering diterima hanyalah dari Afrika Utara sahaja.
iii. Tiada mekanisma dalam mencari pengganti yang layak (succession plan) untuk meneruskan pemerintahan di mana kebanyakkan mereka mewariskan kepimpinan kepada anak beranak atau ahli keluarga.
iv. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu- wilayah dengan wilayah yang lain. Perbezaan fikrah yang wujud dikalangan mereka banyak membawa keruntuhan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.
Kesan daripada kejatuhan inilah umat Islam dihina dan dihalau keluar dari Andalusia. Ia turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemahseterunya runtuh. Kehinaan yang diterima sepertimana berdasarkan perintah yang dikeluarkan padatahun 1492M iaitu setiap orang Yahudi yang enggan dibaptis, mereka perlulah keluar dari Andalusia dalam tempoh 3 bulan.
Ia dikuti perintah yang dikeluarkan 10 tahun selepas itu kepada mereka yang tidak mahu dibaptiskan, iaitu perintah pada Februari 1502 di mana pihak Kristian mengusir golongan pendatang yakni orang Islam dari Seville dan sekitarnya.21
Jelas, kejatuhan pemerintahan yang berlaku bukan sekadar peralihan kuasa politik, tetapi ia turut memberi kesan kehinaan kepada umat Islam, malah ada di antara mereka yang diperangi ketika sudah bersedia keluar dari Andalusia.
Iktibar Sejarah Andalusia: Teladan dan Sempadan
Jika diteliti dari sudut perkembangan dan kemajuan Islam di Andalusia, jelas menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah mementingkan kemajuan intelektual dan keilmuan di samping perkembangan industri dan pertanian.
Namun, disebabkan beberapa masalah dalaman yang berlaku, pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat bertahan dan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka selama hampir 8 abad itu kembali kepada Kristian.
Antara punca yang dilihat melemahkan umat Islam ketika itu dan boleh dijadikan iktibar kini ialah:
1. Perebutan kuasa dikalangan pemimpin yang mentadbir wilayah.
Ini dapat dilihat pada peringkat awal pemerintahan Andalusia di mana para pemimpin sering berselisih dalam hal ehwal pentadbiran. Gangguan dari dalam ini telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Di antara pergolakan itu berupa perselisihan di antara elite penguasa, terutama akibat perbezaan ras dan etnik. Disamping itu, terdapat perbezaan pandangan antara khalifah di Damsyik dan gabenor Afrika Utara yang berpusat di Kairawan.
Masing-masing mengaku bahawa merekalah yang paling berhak menguasai Andalusia ini. Oleh kerana itu, tidak hairanlah penggantian pemerintah atau wali (gabenor) berlaku lebih daripada dua puluh kali dalam jangka waktu yang amat singkat. Perbezaan pandangan politik itu menyebabkan seringnya terjadi perang saudara sesama mereka lalu merencatkan pembangunan tamadun umat di sana.
2. Tidak mempunyai sifat ketaatan kepada kepimpinan sehingga mereka tidak mahu mengikut nasihat khalifah. Akhirnya, anasir-anasir tidak puas hati itu membawa kepada perancangan untuk merampas kekuasaan dikalangan umat Islam, sedihnya dengan melibatkan kerjasama dengan pihak musuh.
3. wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang inginbekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Manakala kejayaan mereka yang boleh dijadikan iktibar ialah:
1. Andalusia telah membuka ruang untuk memastikan supaya sekiranya kita ingin sentiasa maju kehadapan, kita harus bersikap terbuka kepada pemikiran-pemikiran kreatif dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah mencapai kejayaan dari segi sains dan teknologi kerana menggalakkan suasana intelek dan tidak rigid dengan kemasukan ilmu-ilmu moden.
2. kecemerlangan Andalusia dalam bidang pertanian dan industri memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini dengan bantuan teknologi maklumat, dan mengambil nikmat bioteknologi untuk dikembangkan dalam sektor ini agar pertanian tidak lagi dipandang enteng.
3. Lahirnya ilmuwan seperti Ibn Bajjah (1082 1138M), Ibn Zuhr (1091 1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendikiawan Muslim yang versatile, mahir dari segi ilmu turath dan juga ilmu moden yang mampu untuk meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi ilmuwan moden ini harus dibina jati diri mantap agar memberi manfaat kepada pembangunan negara.
4. Ketamadunan yang dibina telah meninggikan Eropah yang pada waktu tersebut berada pada zaman kegelapan. Bandar Cordova di Andalusia dilihat sebagai Bandar yang terulung dikalangan Negara-negara Eropah yang lain dan mereka telah memajukan intelektualisme dari aspek falsafah, senibina, matematik, teologi, perubatan dan banyak lagi sehingga Islam gambarkan begitu kehadapan dalam soal ini. Mereka dapat me- asimilisasi-kan Islam dengan falsafah dan pusat kecemerlangan Greek sehingga ia menyumbang kepada keseluruhan negara Barat yang didominasi kaum Kristian.
5. Kejayaan mereka membina tamadun dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Rujukan tentunya terhadap contoh-contoh awal yang ditunjukkan oleh Khalifah Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam. Contoh-contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu kita dapat menyaksikan sejarah di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan negara kita sekarang yang mempunyai kepelbagaian latar bangsa dan penganut agama. Oleh itu, demi mencapai puncak kemajuan, kerjasama antara kaum ini harus diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dikalangan rakyat yang ada.
Penutup
Kecemerlangan Tamadun Islam Andalusia berakhir tanpa dapat dipertahankan oleh umat Islam.
Ia jatuh di bawah pemerintahan kerajaan Sepanyol dan kekal sehingga hari ini. Kesan peninggalan itu masih boleh dibanggakan walaupun hakikatnya tiada apa yang dapat diperolehi oleh umat Islam hasil peninggalan tersebut. Kejatuhan Andalusia kelihatan tidak memungkinkan ia kembali ditadbir oleh umat Islam.
Pengalaman pahit ini harus dipelajari agar umat zaman kini tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada ketika dahulu. Sejarah Andalusia itu sudah tidak dapat diperbaiki untuk manfaat wilayah itu, namun pastinya pengalaman atau pengajaran dapat diperolehi bagi manfaat generasi kini.
Walaubagaimanapun, kesediaan Eropah membuka kembali pintu pada abad moden ini dan memberi peluang kepada bangsa-bangsa lain berada di wilayah mereka telah sedikit sebanyak menyaksikan kemunculan kembali umat Islam di Eropah, termasuk di Andalusia. Pada hari ini, bilangan umat Islam di Andalusia semakin bertambah.22 Walaupun pihak bukan Islam sedaya supaya seakan ingin mentalqinkan terus umat Islam di barat, tetapi nampaknya Islam semakin mendapat tempat dihati masyarakat Eropah.

Jelaslah maksud ayat al-Quran surah al-Saff bahawa:
”mereka yakni orang-orang kafir berusaha untuk memadamkan cahaya Allah swt, namun Allah swt terus menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir itu benci.”

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...