Lambang dan bendera Kerajaan Kutaringin
Di Propinsi Kalimantan Tengah, Indonesia, pernah berdiri sebuah Kerajaan Melayu yang bernama Kutaringin. Kadang kala, nama negeri ini juga dieja sebagai Kota Waringin. Kerajaan ini merupakan satu satu Kerajaan Melayu yang bertahan agak lama di Indonesia, iaitu sejak abad ke-16 hinggalah abad ke-19, dengan 14 orang Sultan kesemuanya yang pernah memerintah. Walaubagaimanapun, nama Kutaringin ini sebenarnya telah disebut lebih awal, iaitu dalam kitab ‘Negarakertagama’, iaitu apabila Negeri Kutaringin dinyatakan sebagai sebahagian daripada wilayah Tanjung Nagara yang tunduk kepada empayar Majapahit.
Peta wilayah Kerajaan Kutaringin berwarna kuning
Pada asalnya, wilayah Kutaringin ini adalah di bawah pengaruh Kerajaan Banjar yang berpusat di Kalimantan Selatan. Sebelum wujudnya Sultan yang memerintah kawasan tersebut, Raja-raja Kerajaan Banjar yang menguasai kawasan pantai selatan dan tenggara pulau Borneo telah mengirimkan wakil-wakilnya untuk mengutip cukai termasuklah di wilayah Kutaringin. Bahkan, para Sultan Kutaringin sebenarnya adalah berketurunan dari Dinasti Banjar. Raja pertamanya, iaitu Pangeran Dipati Anta-Kasuma merupakan anak keempat kepada Sultan Banjar ke-4, iaitu Sultan Mustain Billlah. Pangeran Dipati Anta-Kasuma telah menggantikan bapa mertuanya, Dipati Ngganding yang sebelum itu merupakan Adipati (lebih kurang seperti Gabenor) untuk menjadi penguasa Negeri Kutaringin tetapi masih di bawah pengaruh Kerajaan Banjar. Disebabkan itulah, Raja-raja Negeri Kutaringin kebiasaannya memakai gelar Pangeran jika berada di Negeri Banjar, tetapi menggunakan gelaran Sultan di negerinya sendiri. Kerajaan Kutaringin ini mencapai zaman kemuncaknya ketika era pemerintahan rajanya yang ke-7 iaitu Pangeran Ratu Bengawan sekitar kurun ke-18.
Semasa fasa awal pasca kemerdekaan Indonesia, iaitu pada awal Januari 1946, Negeri Kutaringin telah diduduki oleh Belanda dan kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Negara Dayak Besar, sebuah negara yang disokong oleh penjajah Belanda bagi memecahbelahkan republik tersebut. Walaubagaimanapun, Negeri Kutaringin secara rasminya telah bergabung semula di dalam kesatuan Republik Indonesia pada 1 Mei 1950 dan negeri ini ditukar statusnya menjadi sebuah Kabupaten (seperti Bahagian di Sabah dan Sarawak) di dalam Propinsi Kalimantan Tengah.
Istana Kuning, lambang Kerajaan Kutaringin
Dengan berakhirnya kedaulatan Kerajaan Kutaringin, maka para bangsawan dan kerabat Di Raja Kutaringin tidak lagi memegang jawatan-jawatan dalam pemerintahan. Hanya beberapa keturunan Sultan dan bangsawan sahaja yang sebelum itu sudah bekerja sebagai pegawai pemerintahan tetap memegang jawatan di dalam pemerintahan Indonesia yang merupakan sebuah negara bercorak Republik.
Pada hari ini, sebagaimana yang berlaku di wilayah lain di Indonesia, para waris Kerajaan Kutaringin telah sepakat untuk mengangkat salah seorang zuriat kerabat mereka untuk bertindak sebagai Sultan Kutaringin yang baru bagi tujuan melestarikan budaya tempatan dan sebagai penjaga kepada pusaka Kerajaan Kutaringin, termasuklah adat istiadat dan peninggalan leluhur mereka. Pangeran Alidin Sukma Alamsyah, zuriat kanan kesultanan tersebut telah terpilih dan telah ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kutaringin ke-15 dengan gelaran Sultan Alidin Sukma Alamsyah pada 16 Mei 2010 yang lalu.
Sultan Alidin Sukma Alamsyah, Raja Kutaringin ke-15 bersama keluarganya
No comments:
Post a Comment