Islam Makin Bersinar di Eropah
Mosque of Rome
Benua Eropah yang menjadi antara
lubuk sentimen Islamfobia yang dihangatkan lagi dengan rentetan cubaan
serangan terbaru di Britain, baru-baru ini, sebaliknya semakin diterangi
sinar Islam menerusi projek pembinaan beratus-ratus masjid baru.
Setakat ini, di Britain saja ada sebanyak 1,500 masjid.
East London Mosque
Projek pembinaan masjid baru
dari Jerman ke Sepanyol dan Britain, sekaligus membuktikan keberanian
masyarakat Muslim menonjolkan identiti sebenar mereka, tanpa perlu rasa
takut mahupun terancam dengan perkembangan di sekeliling mereka. Lebih
menarik, jika dulu mereka terpaksa secara rahsia menunaikan solat di
bilik gelap di bahagian paling bawah bangunan kerana bimbang dicemuh,
keadaan sekarang sebaliknya. Mereka yang kebanyakannya golongan
pendatang dari Turki dan Afrika Timur, bukan setakat berani keluar masuk
masjid, malah bekerjasama mengumpul dana dan bersatu hati menghadapi
sebarang dugaan bagi memastikan masjid yang diingini dapat menjadi satu
realiti.
Malah, seperti dilaporkan media
Barat baru-baru ini, kehadiran kubah masjid terbesar di Jerman misalnya,
semakin menenggelamkan menara gereja petunjuk keyakinan baru ke atas
Islam ketika gereja pula semakin terbiar di negara Eropah itu.
Di Jerman saja, sehingga 184
masjid baru kini dalam proses pembinaan termasuk di daerah Kreuzberg,
Berlin. Keadaan jauh berbeza jika dibandingkan bertahun-tahun lalu
apabila 180 rahib kumpulan Katolik Sisters of the Divine Savior
diibaratkan sebagai nadi di bandar itu. Malangnya, hari ini mereka cuma
tinggal 8 orang. Setiap minggu, purata 150 penganut Roman Katolik
menghadiri perhimpunan di Gereja Liebfrauen berbanding kira-kira 3,000
Muslim memenuhi Masjid Yavuz-Sultan-Selim. Sejak pembukaannya pada 1995,
kehadiran kedai dan pusat belia Muslim menjadi ‘besi berani’ bagi
kalangan penduduk Islam.
Di sekitar Eropah, Islam yang
juga agama paling pesat berkembang, semakin ketara dan jelas
kewujudannya berbanding satu ketika dulu apabila ia diamalkan secara
senyap-senyap. Perubahannya bukan menyentuh aspek seni bina pada
bandarnya, tetapi juga nilai sosial masyarakat setempat. Dalam apa
dirujuk sebagai lambang integrasi Muslim, fenomena kemunculan ketara
Islam ini turut dilihat sebagai bukti yang dunia Islam jelas mengancam
budaya Kristian Eropah.
“Masyarakat Muslim sudah berani keluar menonjolkan diri mereka yang sebenarnya,” kata Claus Leggewie, pakar Sains Politik Universiti Giessen, Jerman.
Claus Leggewie
Kenyataannya itu berdasarkan kajiannya mengenai evolusi landskap dan binaan masjid di Jerman.
“Menerusi projek pembinaan
masjid yang besar sedemikian, mesej yang mahu disampaikan (umat Islam)
adalah kami di sini. Kami mahu menjadi sebahagian landskap simbolik
Jerman. Kami ada di sini dan akan terus kekal di Jerman,” kata Leggewie.
Masjid Cologne dalam pembinaan
Pembinaan masjid besar dari
Cologne, Jerman sehingga ke Amsterdam (Belanda) dan Seville, Sepanyol,
berdepan bantahan keras penduduk dan pemimpin tempatan yang mendakwa ia
lubuk menghasilkan pengganas. Lebih menyedihkan, apabila ada kalangan
umat Islam yang meragui pembinaan masjid itu. Ini dibuktikan dengan
kenyataan ahli keluarga dua suspek keganasan di Glasgow, Scotland yang
mendakwa suspek itu dilatih menjadi radikal oleh kumpulan pendakwah
Tabligh Jamaat (Jemaah Tabligh) kumpulan sama yang sedang hebat
memperjuangkan hak bagi pembinaan kompleks Masjid Besar London di tanah
seluas 18 ekar. Malah, pembinaannya berhampiran stadium Olimpik 2012,
juga bakal mencatat sejarah sebagai masjid terbesar Eropah.
Kewujudan bangunan seumpamanya
jelas berbeza daripada ruang bawah tanah gelap dan kecil yang menjadi
tempat jemaah seperti Halif Kuzpinar menunaikan solat Jumaat, sejak 33
tahun lalu selepas dia berhijrah dari Turki ke kawasan di Frankfurt,
Jerman. Siapa sangka, pergerakan Islam yang dianggotainya itu dapat
membeli sebuah pasar raya di penempatan bandar Wiesbaden, di tengah
Jerman.
“Di sini ada tempat letak
kereta, pusat kanak-kanak dan untuk golongan belia. Kami mahu mewujudkan
pusat setempat bagi membolehkan orang ramai melihat apa yang sebenarnya
kami lakukan di sini,” kata Kuzpinar.
Berikutan kewujudan tempatnya sendiri, Mili Gorus
sebuah pertubuhan hak asasi Islam Turki yang dipantau kerajaan Jerman,
mahu memiliki sesuatu yang tidak pernah dikecapinya iaitu pengiktirafan
rakyat di negara yang sudah menjadi tanah air mereka.
Namun, usaha murni itu berdepan
bantahan keras. “Ia sepatutnya dijual sebagai sebuah pasar raya,
bukannya masjid,” kata Wolfgang Kopp, pemilik pangsapuri di seberang
premis itu.
Beliau bersama jiran lain,
berjaya menghalang usaha menjadikan bangunan pasar raya itu kepada
masjid, tetapi hanya untuk sementara waktu. Ini disebabkan, Perlembagaan
Jerman jelas menyatakan semua agama boleh memiliki tempat ibadatnya
sendiri. Sejak menjejakkan kaki di Jerman, golongan pendatang seperti
Kuzpinar, terpaksa bersolat di bilik gelap yang menjadi simbol kegelapan
masyarakat Islam yang tersepit di antara kebebasan mengamalkan agama
serta budaya masyarakat setempat di negara yang menjadi tanah air
mereka.
Kini, generasi ketiga yang
semakin berjaya, saling berusaha dalam projek pembinaan masjid yang
lengkap dengan menara. Jika 10 tahun lalu cuma wujud sebilangan kecil
saja masjid, Jerman kini menyaksikan 159 masjid manakala 184 projek
pembinaan masjid baru, mengikut Institut Arkib Islam Jerman.
Aachen menempatkan 25,000 penduduk Islam
Aachen,
bandar Jerman yang didiami 257,000 penduduk di sempadan Belgium dan 9
peratus masyarakatnya beragama Islam, baru saja memberi kelulusan
pembinaan masjid besar.
“Ia petanda yang masyarakat Muslim menjadi sebahagian anggota penting masyarakat,” kata Datuk Bandarnya, Jurgen Linden.
Kata-katanya terbukti benar
apabila Islam yang ingin ditonjolkan sebagai agama pengganas, sebaliknya
semakin hari semakin mendapat tempat di hati ramai anggota masyarakat
tanpa perlu kempen besar-besaran mahupun mencela agama lain yang sudah
bertapak kukuh di negara Eropah terbabit.
Hasil kerjasama dan kesabaran di
kalangan Muslim sudah cukup menjadi bukti keagungan Islam sebagai agama
keamanan dan kemunculan kubah masjid mengatasi menara gereja di Jerman
hanyalah antara permulaan awal kebangkitan sinar Islam di bumi Eropah.
No comments:
Post a Comment