Sunday, December 23, 2012

I S L A M D I C H I N A




A.           Latar Belakang Negeri China
China atau Tionghua atau Republik Rakyat China (Cina Tradisional: 中國; Cina Ringkas: 中国; pinyin: Zhōngguó; Wade-Giles: Chung-kuo) merujuk kepada beberapa negeri, negara dan budaya yang telah wujud selama kira-kira 3,500 tahun dahulu di Asia Timur. China yang wujud pada hari ini dikenalpasti wujud sebagai suatu tamadun. China ialah sebuah negara yang paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1300 juta orang (Bancian terkini oleh China National Bureau Of Statistic dan dilaporkan oleh United Press International di http://www.upi.com.my ialah 1.341 Juta), iaitu kira-kira satu perlima daripada manusia di bumi. China diperintah oleh Parti Komunis China di bawah sistem satu parti.[1]
China mempunyai 22 wilayah (provinsi), lima kawasan berautonomi, empat perbandaran tadbiran secara langsung (Beijing, Tianjin, Shanghai, dan Chongqing), dan dua kawasan pentadbiran khas yang berautonomi tinggi (Hong Kong dan Macau). Ibu negara China ialah Beijing. [2]   Luas China ialah 9.6 juta kilometer persegi atau 3.7 juta batu persegi. Negara kedua terbesar dari segi keluasan daratan dan ketiga  terluas di dunia dari segi keluasan keseluruhan. Lanskapnya terdiri dari  hutan steppe dan gurun di bahagian utara yang kering bersebelahan dengan Mongolia dan Siberia di Rusia, hingga ke hutan-hutan subtropika di bahagian selatan yang lembap bersebelahan dengan negara-negara Vietnam, Laos, dan Myanmar.
Bentuk muka bumi di sebelah barat tinggi dan berceranggah, dengan banjaran-banjaran Himalaya dan Tian Shan yang membentuk sempadan semula jadi China dengan India dan Asia Tengah, berbeza sekali dengan pinggiran laut timur tanah besar China yang bertanah dan digarisi pantai sepanjang 14,500 kilometer (9,010 batu) di tepi Laut China Selatan arah tenggara dan Laut China Timur di timur yang juga terletaknya Taiwan, Korea, dan Jepun.
_______________________
[1] Walton Greg. bab: “Executive Summary”, China's golden shield: Corporations and the development of surveillance technology in the People's Republic of China. 2000. hlm. 4

[2] People's Daily Online. "Constitution of the People's Republic of China. The capital of the People's Republic of China is Beijing.” http://english.people.com.cn/constitution/constitution.html. 1982. hlm. Article 138. Dicapai pada 23.5.2011

Tamadun Cina purba antara tamadun-tamadun terawal di dunia yang berkembang di lembangan subur Sungai Kunming yang mengalir merentasi Dataran China Utara. Selama lebih 4,000 tahun, sistem politik China berasaskan sistem raja turun-temurun (juga dikenali sebagai dinasti). [3] Dinasti pertamanya ialah Xia (kira-kira 2000 SM), tetapi pada zaman Dinasti Qin barulah lahirnya negara China yang bersatu pada 221 SM. Dinasti terakhir, iaitu Dinasti Qing, berakhir pada tahun 1911 dengan penubuhan Republik China (ROC) oleh pejuang nasionalis Kuomintang (KMT). [4]
Separuh pertama abad ke-20 menyaksikan China dalam kancah pecah belah dan perang saudara yang membahagikan negara kepada dua paksi politik, iaitu Kuomintang dan komunis. Pada 1949, pertempuran besar-besaran berakhir dengan kemenangan dalam perang saudara oleh pihak komunis mengasaskan Republik Rakyat China di tanah besar China. [5]
China pada umumnya adalah sebuah negara ateis (tidak beragama) tetapi kepercayaaan agama masih diamalkan di bawah pengawasan ketat oleh kerajaan. Mengikut sejarah, Taoisme dan agama Buddha sejak sekian lama merupakan agama-agama utama masyarakat Cina, dan masih diamalkan oleh masyarakat Cina di luar kawalan secara langsung daripada Republik Rakyat.
Mengikut kajian penulis terdapat 5 agama utama yang diamalkan di China iaitu:
1.   Taoisme - jumlah sebenar tidak diketahui
2.   Buddha - jumlah sebenar tidak diketahui [lebih kurang 8%]
3.   Kristian - 2 ke 4% (diperoleh daripada kajian Barat, hasil kajian China rasmi menunjukkan kurang daripada 1%)
4.   Islam - 1% ke 2% ( dianuti oleh 10 etnik minoriti)
5.   Falun Gong - jumlah sebenar tidak diketahui (tidak mengakui dirinya sebagai "agama", meskipun menurut pandangan akademik merupakan amalan kerohanian. Jumlah pengikut Falun Gong yang yang sebenar tidak dapat dipastikan.[6]
__________________
[3] Walton Greg. bab: “Executive Summary”, China's golden shield: Corporations and the development of   surveillance technology in the People's Republic of China. 2000. hlm. 5
[4] Ibid.
[5] Ibid., hlm. 6
[6]  http://ms.wikipedia.org/wiki/China. Agama dan Kepercayaan. Dicapai pada 3.4.2011. Hlm. 1

B.           Teori Kedatangan Islam Ke China

i. Perkembangan Islam Semasa Dinasti Sui dan Dinasti Tang (581 – 907M)

China merupakan antara negara paling awal menerima Islam. Perkembangan Islam di China dikatakan berlaku sejak Rasulullah SAW lagi. Ini adalah berdasarkan catatan Dinasti Sui (581 – 618 M) dan Dinasti Tang (618 – 905M) Sebelum misi dakwah Islamiah ke China oleh Saad bin Abi Waqas (r.a), dikatakan Saad bin Lubayd yang pernah menyertai rombongan ke Habsyah pada tahun 619 M telah berdakwah ke China pada tahun 630 / 631M. Beliau dan para sahabat (antaranya Yusuf) telah berdakwah di Chuan Chow, Chang Chow dan Canton. Mereka juga dikatakan telah mendirikan Masjid Kwang Tah Se dan Masjid Chee Lin Se.

Terdapat juga sejarah yang mengatakan bahawa Islam telah dibawa ke China pada zaman Thai Sung (627-655M) dan orang Islam yang pertama sampai di China ialah Abu Hamzah Ibn Hamzah (anak kepada Hamzah bin Abi Talib, sepupu baginda Rasulullah SAW). Beliau bersama 3000 orang muhajirin telah berhijrah ke China dan menetap di San Gan Foo.

Selain itu, orang-orang Arab dan Parsi telahpun sampai ke China untuk berdagang. Kapal dagang China juga telah sampai di Teluk parsi pada tahun 5M. Maknanya hubungan dagang di antara China dan Arab-Parsi telah lama berjalan.

Terdapat pendapat yang menyebutkan bahawa orang Arab yang digelar Dashi [7]  (sebutan Cina, Tazi). Mereka telah mula menyebarkan Islam kepada orang-orang awam di Chang’an (kini Xian) dan Guangzo. Mereka telah membuat penempatan di situ di antara tahun 618-907M [8]  Mereka datang ke China melalui Jalan Sutera menuju ke Chang’an dan Guangzo. Mereka menjalankan urusan perniagaan dengan orang-orang Hui. Hubungan perniagaan di antara orang-orang Arab dan Hui telah merapatkan hubungan mereka. Orang-orang Hui tertarik dengan cara orang-orang Dashi berniaga.
_________________
 [7] Israeli, Raphael. Islam in China. 2002. Hlm. 291
[8] Ibid
Mereka mengamalkan konsep keadilan, kejujuran dan sikap amanah yang tinggi. Orang-orang Arab Islam menjaga ketepatan timbangan dan sukatan, tidak menipu dengan menjual barang-barang rosak. Orang-orang Hui tertarik dengan akhlak Islam dan dari situ mereka menerima Islam sebagai agama anutan mereka.
Pendapat yang lebih kuat dan telah diperhalusi oleh sejarawan mengatakan bahawa Islam datang ke China melalui Saad Ibn Abi Waqas, seorang Panglima Perang Laut Islam. Menurut catatan rasmi Dinasti Tang (618-905M) Islam telah dibawa ke China pada Tahun 651/652M (Kurun ke 7M) apabila satu utusan Islam yang dikirim oleh Khalifah Uthman Affan (r.a) iaitu Saad Ibn Waqqas (r.a) bersama rombongan.
Catatan ini juga terdapat dalam buku A Brief Study of the Introduction of Islam to China karya Chen Yuen, Islam pertama kali datang ke China sekitar tahun 30 H atau 651 M. [9] Lui Tschih, penulis Islam China pada abad ke 18 dalam karyanya Chee Chea Shee huzoo (Perihal Kehidupan Nabi), juga mengatakan bahawa Islam dibawa ke China oleh rombongan yang dipimpin Saad bin Abi Waqqas (r.a). [10]
Saad bin Abi Waqqas (r.a) berlayar melalui Samudera Hindi ke Laut China menuju pelabuhan laut di Guangzhou. Kemudian ia berlayar ke Chang'an atau kini dikenal degan nama Xi'an melalui ruote yang kemudian dikenal sebagai Jalan Sutera. Bersama para sahabat, Saad bin Abi Waqqas (r.a) datang dengan membawa hadiah dan diterima dengan baik oleh Maharaja Dinasti Tang, Kao-Tsung (650-683). Namun Islam sebagai agama tidak langsung diterima oleh maharaja. Setelah melalui proses penyelidikan, maharaja kemudian memberikan izin bagi pengembangan Islam yang dirasanya sesuai dengan ajaran Konfusius.

Namun maharaja merasa bahawa kewajiban sembahyang lima kali sehari dan puasa sebulan penuh terlalu berat baginya hingga akhirnya ia tidak jadi memeluk Islam. Namun begitu ia mengizinkan Saad bin Abi Waqqas (r.a) dan para sahabat untuk mengajarkan Islam kepada masyarakat di Guangzhou. Oleh orang Cina, Islam disebut sebagai Yi si lan Jiao atau agama yang murni. Sementara Makkah disebut sebagai tempat kelahiran Buddha Ma-hia-wu (atau Muhammad Rasulullah SAW).


_______________
 [9]  Danial Zainal Abidin. Minda Islam Super. 2000. Hlm. 9
[10] Ibid

Saad bin Abi Waqqas (r.a) kemudian menetap di Guangzhou dan ia mendirikan Masjid Huaisheng [11]  yang menjadi salah satu tonggak sejarah Islam paling berharga di China. Masjid ini menjadi masjid tertua yang ada di daratan Cina dan usianya sudah melebihi 1300 tahun. Ianya teletak di jalan Guang Ta Lu. Masjid ini terus bertahan sebagai tugu sejarah China dan sehingga kini masih kukuh dan indah dahulu setelah diperbaiki beberapa kali.

     Masjid Huaisheng

Masjid Huaisheng ini kemudian dijadikan Masjid Raya Guangzhou Remember the Sage, atau masjid untuk mengenang Nabi Muhammad SAW. Masjid ini juga dikenal sebagai Masjid Guang Ta, kerana  masjid dengan menara elok ini yang letaknya di Jalan Guangta. Ta bererti menara, kerana menurut sejarahnya menara masjid ini adalah yang tertinggi pada awal pembinaannya berbanding bangunan lain. [12]

Sebahagian percaya bahawa Saad bin Abi Waqqas (r.a) telah menetap dan wafat  Guangzhou, China pada usia 80 tahun. Sebuah pusara diyakini sebagai makamnya dan menjadi satu lagi tempat kunjungan pelawat dari seluruh pelusuk dunia. Sesungguhnya kedatang Islam di China telah menyumbangkan kepada perkembangan ketamadunan China dalam pelbagai aspek seperti pembangunan insaniah, politik, ekonomi, pendidikan, hubungan luar, binaan, sains perubatan dan sebagainya.


___________________
 [11] Jonathan Neaman Lipman. A history of Islams in Northwest China.1997. Hlm. 7
[12] Ibid

ii. Perkembangan Islam Semasa Dinasti Song (960-1279M)
Pada zaman Dinasti Song, agama Islam dianggap lebih mulia oleh rakyat China, agama Islam telah mulai berkembang dengan pesat di China dan kawasan kediaman penduduk beragama Islam lebih luas. Ramai orang asing yang beragama Islam tinggal di bandar Guangzhou di bahagian Guangdong dan bandar Quanzhou di Bahagian Fujian secara berkumpulan. Beberapa masjid telah dibina. Di antara masjid yang masih kekal hingga sekarang ialah masjid “Qing Jing Si” di bandar Quanzhou. Pada masa pemerintahan Dinasti Song, umat Islam mula mempunyai impak yang lebih besar terhadap ekonomi dan pengaruh ke atas negara China. Semasa Dinasti Song (960-1279M), umat Islam di China menguasai perdagangan asing dan industri import dan eksport ke selatan dan barat. [13] Sesungguhnya, jawatan Ketua Pengarah Penghantaran untuk pelabuhan China Quanzhou adalah konsisten dipegang oleh Islam dalam tempoh ini. [14]
Buku The Chinese Materia medica 52 (diterbitkan semula pada tahun 1968-1975) telah disemak semula di bawah Dinasti Song pada tahun 1056 dan 1107 termasuk bahan, terutamanya 200 ubat, diambil dari Ibn Sina (Pakar Perubatan Islam). [15]
Sementara itu di sebelah barat, cerita-cerita penglipur lara dalam Bahasa Arab telah dialihbahasakan. Ini termasuk kisah Seribu Satu Malam dan yang paling terkenal adalah cerita Aladdin. Cerita-cerita dongeng dalam Bahasa Arab yang lain digunakan China pada waktu itu termasuk Qamar al-Zaman dan Budur "," Kisah Puteri Sayf al-Muluk ", dan" The Hunchback's Tale". [16]
Pada tahun 1070M, Maharaja Song, Shen-Tsung (Shenzong) telah menjemput 5,300 orang Arab dari Bukhara untuk menetap di China. Maharaja menggunakan orang-orang ini dalam kempennya menentang Empayar Liao di timur laut. Pada tahun 1080M, 10,000 orang Arab dan wanita yang berhijrah ke China dan menetap di semua wilayah utara dan timur laut. [17]
____________
[13] ___.BBC Religion and Ethics ISLAM Origins. http://www.dubaibuzz.com. Dicapai pada 5 Jun 2011
       
http://www.bbc.co.uk/religion/religion/islam/history/china_1.shtml. Dicapai pada 5 Jun 2011
[14] ____Islam In China. http://islamic-world.net/islamic-state/islam-in-china/. Dicapai pada 6 Jun 2011
[15]  Sulaiman Ma.  Islam in China. http://www.dubaibuzz.com/halaqahmedia.php. Dicapai pada  Jun
       2011
[16]  Ulrich Marzolph, Richard van Leeuwen, Hassan Wassouf. The Arabian Nights Encyclopedia. ABC-
       CLIO. 2004. Hlm.  521
[17]  Israeli, Raphael. Islam in China. 2002.Hlm. 284
iii. Perkembangan Islam Semasa Dinasti Yuan (1240 – 1368M)
Sewaktu bangsa Mongol memerintah Negara China, kerajaannya dikenal dengan Nama Dinasti Yuan. Kerajaan itu telah mengamalkan dasar pemerintahan yang memihak kepada umat Islam.
Selain diberikan kebebasan untuk berdagang, beberapa pemimpin Islam juga dilantik sebagai pejawat kerajaan. Pada 1244M, Kubilai Khan telah melantik Abdul Rahman Sebagai ketua kewangan Dinastinya, Syeh Ajall dan Umar Shamsuddin, kedua-duanya berasal Bukhara, dilantik sebagai ketua kewangan dan Gabenor Yunnan pada tahun 1259M. Syeh Ajjal telah diberi gelar sebagai “ Sai Tien Che
Perlantikan itu menunjukan bahwa umat Islam memegang kedudukan sosial dan politik yang tinggi dan mendapat sambutan yang istimewa dari kerajaan. Hal ini juga ada hubungannya dengan pihak Mongol terhadap negara-negara Islam di Timur tengah. Setelah berhasil menaklukan Baghdad 1253M, pihak pemerintahan Mongol telah mengundang tentara Islam dan keturunan Arab/Parsi Untuk membangunkan Dinastinya di China . Tentara itu telah menetap di China dan melakukan perkahwinan dengan masyarakat setempat. Salah satu tentara Islam yang terkenal ialah Chi Zanshi al-Din telah di angkat sebagai panglima perang di Yunnan.
iv. Perkembangan Islam Semasa Dinasti Ming (1368-1644M)
Apabila Dinasti Yuan berakhir, ramai orang-orang Mongol dan juga Islam yang datang bersama mereka kekal di China. Kebanyakan dari keturunan mereka mengambil nama Cina dan menjadi sebahagian dari dunia pelbagai budaya China.[18] Pada masa ini orang-orang Islam mula mengambil budaya Cina. Ramai daripada mereka menjadi fasih berbahasa Cina dan menggunakan nama Cina. Ibu kota Nanjing, menjadi pusat pembelajaran Islam. Hasilnya, orang-orang Islam menjadi "luaran tidak dapat dibezakan" berbanding orang-orang Cina.[19]
______________
[18] Ulrich Marzolph, Richard van Leeuwen, Hassan Wassouf. The Arabian Nights Encyclopedia. ABC-
      CLIO. 2004.  Hlm.  521
[19]  Israeli, Raphael. Islam in China. 2002.Hlm. 292

Ketika pemerintahan Dinasti Ming jumlah penduduk Islam merosot dengan pantas di bandar pelabuhan utama. Ini disebabkan penutupan kesemua perdagangan ke dunia luar melalui jalan laut kecuali perdagangan yang dikawal dengan ketat oleh kerajaan.
Orang-orang Islam di China menjadi semakin terasing dari dunia Islam yang lain dan perlahan-lahan diserap, mengambil bahasa dan pakaian Cina. Orang-orang Islam mula menggunakan nama keluarga Cina. Ramai orang Islam berkahwin dengan wanita Cina Han dan menggunakan nama isteri. Orang-orang Islam yang lain, yang tidak menjumpai nama keluarga Cina yang serupa dengan nama mereka, mengambil huruf Cina yang menyerupai nama mereka - Ha untuk Hasan, Hu untuk Hussain dan Sa'I untuk Said dan sebagainya. Nama keluarga Cina yang biasa di kalangan keluarga orang-orang Islam adalah Mo, Mai, dan Mu - nama yang diguna pakai oleh orang-orang Islam yang memiliki nama keluarga Muhammad, Mustafa dan Masoud.
Budaya pakaian dan makanan orang-orang Islam turut mengalami perubahan dengan budaya Cina. Mod pakaian Islam dan peraturan permakanan masih dikekalkan dalam bidang kerangka budaya Cina. Masakan Islam Cina banyak dipengaruhi oleh hidangan Beijing, dengan hampir keseluruhan cara memasak adalah serupa, dan berbeza hanya dari segi bahan yang digunakan disebabkan syarat agama. Hasilnya, hidangan Islam utara sering kali dimasukkan sebagai sebahagian hidangan Beijing.
Semasa Dinasti Ming, tradisi penulisan Islam Cina mula berkembang, termasuk amalan menulis bahasa Cina menggunakan skrip Arab (xiaojing) dan bentuk Cina tersendiri bagi tulisan khat hiasan.[20] Skrip ini digunakan secara meluas di masjid di timur China, dan pada sesetengah peringkat di Gansu, Ningxia, dan Shaanxi. Seorang penulis seni khat Cina tersohor adalah Haji Noor Deen Mi Guangjiang.
Seni bina masjid mula mengikut seni bina Cina. Contoh terbaik adalah Masjid Agung Xi'an, sejak Dinasti Ming. Masjid China barat lebih berkemungkinan memiliki kubah dan menara sementara masjid China timur lebih kelihatan seperti pagoda.[21]
_____________________
[20] ______.Islamic Calligraphy in China. http:// http://www.chinaheritagenewsletter.org/features.php?  Dicapai pada 10 Jun 2011

[21] Cowen, Jill S.. "Muslims in China: The Mosque", Saudi Aramco World, July/August 1985, hlm. 30.
Maharaja Dinasti Ming yang pertama iaitu Maharaja Hongwu juga dikenali sebagai Zhu Yuanzhang (adalah pengasas dan maharaja pertama (1368–98) Nama era beliau, Hongwu, bermakna "kuasa besar tentera" Beliau adalah bekas pemberontak Islam dan berkahwin dengan wanita keturunan Islam Ma. Maharaja Hongwu mengarahkan pembinaan beberapa masjid di selatan China, dan menulis Seratus perkataan Epilog 100 huruf pujian bagi Islam, Allah dan rasul Muhammad. Dia mempunyai 10 jeneral Islam dalam tenteranya. Maharaja membina masjid di Nanjing, Yunnan, Guangdong dan Fujian.[22] Zhu membina semula masjid Jin Jue di Nanjing dan sejumlah besar Islam Hui berpindah ke Nanjing semasa pemerintahannya.[23] Dia memerintah ukiran yang memuji Nabi Muhammad diletakkan di masjid.
Maharaja Yongle memerintah penubuhan dan pembaikian masjid semasa pemerintahannya. Dua masjid dibina olehnya, satu di Nanjing dan yang lain di Xi'an dan ia masih berdiri sehingga hari ini. Pembaikan digalakkan dan masjid tidak dibenarkan ditukar untuk kegunaan lain.[24][25]
Era Ming melihat Nanjing menjadi pusat pendidikan Islam penting. Dari sini Wang Daiyu menulis Zhengjiao zhenquan (Ulasan berkenaan Kepercayaan Ortodok "Orthodox Faith"), sementara penggantinya, Liu Zhi, menterjemah Tianfang xingli (Falsafah Islam) Tianfang dianli (Amalan Islam) dan Tianfang zhisheng shilu (Nabi Terakhir Islam). Sarjana lain, Hu Dengzhou memulakan sekolah Islam yang pesat di Nanjing, yang mengajar hadith, Al Quran, dan perundangan Islam.
Sekolah ini berkembang menjadi sistem empat belas bidang, dengan kelas dalam bahasa Arab dan Parsi. Apabila masyarakat Islam Hui menjadi semakin bercampur. Sarjana Cina bekerja kuat untuk menterjemah teks ke dalam bahasa Cina untuk memberikan lebih banyak teks kepada orang-orang Islam bagi menyakinkan golongan pemerintah elit Han bahawa Islam tidak kurang berbanding Konfucianism.

_________________
[22]  Tan Ta Sen, Dasheng Chen. Cheng Ho and Islam in Southeast Asia.  2000. Hlm. 291.
[23]  Shoujiang Mi, Jia You.. Islam in China. 2004. Hlm. 20
 [24]  Bruce Gordon Doar, Susan Dewar.China archaeology and art digest, Volume 3, Issue 4.  Art Text
      (HK) Ltd. 2000.Hlm.28.
[25]  Dru C. Gladney Muslim Chinese: ethnic nationalism in the People's Republi. 1996.  Hlm. 5


Terdapat ramai orang-orang Islam yang menjadi ahli kepercayaan kerajaan Ming. Contohnya Li Nu (pedagang dan sarjana) dan Jeneral Lan Yu tetapi kemudiannya dibunuh oleh Maharaja kerana dilihat sebagai berpotensi mengancam waris penggantinya.[26] Jeneral Islam Dinasti Ming yang lain termasuk Mu Ying, Feng Sheng, Ding Dexing dan Hu Dahai.
Dinasti Ming turut memberi kebangkitan kepada Cina Islam termashyur, Laksamana Cheng Ho atau lebih dikenali sebagai Zheng He. Beliau adalah seorang pakar penjelajah, pelaut, duta, dan laksamana armada. Dia dilahirkan pada 1371, di wilayah Yunnan. Dia berkhidmat sebagai penasihat kanan kepada Maharaja Yongle China (memerintah 14031424), maharaja ketiga bagi Dinasti Ming. Antara 1405 dan 1433, kerajaan Ming membiayai siri lapan ekspedisi laut, dipimpin oleh Zheng He ke Lautan India, dan sejauh sehingga ke Afrika Timur. Sejarahwan Gavin Menzies mendakwa bahawa Zheng He mengembara ke Afrika Barat, Amerika Utara dan Amerika Selatan, Greenland, Antartika dan Australia dan kebanyakan dunia lain.
Sesungguhnya perkembangan Islam sangat pesat di China pada masa Pemerintahan Dinasti Ming. Orang-orang Islam mendapat kedudukan yang tinggi dalam pelbagai jawatan dalam kerajaan. Keadaan ini menyebabkan rasa marah dan dengki di kalangan penentang Islam terutamanya  
v. Perkembangan Islam Semasa Dinasti Qing (1644-1912M)
Kerajaan Qing memusuhi Umat Islam terutamanya mereka yang bukan berketurunan Cina. Penindasan kepada umat Islam telah mulai berlaku. Banyak masjid ditutup dan dimusnahkan. Umat Islam juga didiskriminasikan daripada jawatan dalam kerajaan. Umat Islam dilarang beribadat, menyembelih daging korban, merayakan aidilfitri dan aidiladha, menunaikan haji dan tidak boleh menjalankan kegiatan keislaman.
Kekejaman kerajaan Qing kepada umat Islam menyebabkan mereka bangkit menentang dan memberontak. Di antara pemberontakan mereka dikenali sebagai Pemberontakan Panthay atau dalam bahasa Cina sebagai Du Wenxiu Qiyi berlaku pada tahun  1856 hingga 1873.
_______________
[26] Dun J. Li The Ageless Chinese (Charles Scribner's Sons: 1971). Hlm.  276

Pemberontakan Panthay merupakan satu gerakan pemisahan orang Hui dan orang Islam Cina yang menentang Dinasti Qing di barat daya Wilayah Yunnan sebagai sebahagian daripada satu gelombang kekacauan pelbagai etnik.
Antara tahun 1648 dan 1878, lebih daripada 12 juta orang Islam Hui dan Uyghur terkorban dalam 10 pemberontakan terhadap dinasti Qing.[27] Salah seorang pemimpin pemberontakan itu ialah Ma Dexin tetapi akhirnya tunduk kepada kerajaan Qing pada tahun 1861.[28]
Para pegawai tinggi Qing secara rahsia mendorong kumpulan perusuh untuk menyerang orang Panthay yang kaya, yang mencetuskan kekacauan anti-orang Islam, dan memulakan satu konflik agama yang membawa kepada pemusnahan masjid-masjid.[29]
Satu siri penentangan berjaya menawan bandar Dali yang menjadi pangkalan bagi operasi orang Islam Panthay, dan mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai entiti politik yang terpisah daripada China. Orang Islam Panthay juga mengepung bandar Kunming beberapa kali: dalam tahun-tahun 1857, 1861, 1863 dan 1868. Ma Rulong, seorang pemimpin pemberontak Hui dari selatan Yunnan, telah mengepung bandar tersebut pada tahun 1862, tetapi berpaling tadah kepada tentera kerajaan pusat setelah ditawarkan dengan satu jawatan tentera.
Akhirnya pemberontakan itu  ditumpaskan apabila tentera Qing membunuh dan memenggal kepala 'sultan' itu. Jasad beliau disemadikan di Xiadui. Walaupun sudah hampir dilupakan, Pemberontakan Panthay berdarah itu telah menyebabkan kematian sebanyak satu juta orang Islam di Yunnan.[30]
Ramai pelarian Hui yang terselamat melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Burma, Thailand dan Laos, lalu membentuk asas populasi minoriti Cina Hui di negara-negara tersebut.
______________
[27] Alexander Berzin. Historical Sketch of the Hui Muslims of China.
    
http://www.berzinarchives.com/web/en/archives/study/islam/historical_interaction. 1995. Dicapai
     pada 2 Jun 2011
[28] Gernet, Jacques. A History of Chinese Civilization. 2. New York: Cambridge University
      Press, 1996.
[29] Anderson. Islam and the abolition of slavery. 1876 (Online Book). Hlm. 233
[30] Bradley Maynew. Lonely Planet China. 2005. Hlm. 142

vi.  Perkembangan Islam Semasa Republik China (1911 -1946M )
Selepas kejatuhan Dinasti Qing, Dr. Sun Yat Sen iaitu seorang yang beragama Kristian dan fahaman demokrasi telah menubuhkan Republic Of China (RC), serta-merta mengisytiharkan bahawa negara ini milik bersama Han (Cina), Man (Manchu), Meng (Mongol), Hui (Muslim), Tsang(Tibet), dan orang-orang Miao. Sepanjang pemerintahan, RC telah cuba membawa rakyat China ke arah perkongsian kuasa dan peluang yang sama dalam pelbagai bidang. [31]
Pemerintah Republik China telah membuka kembali kebebasan beragama kepada rakyat Cina. Ini telah memberikan peluang kepada umat Islam untuk kembali bersinar di China setelah 268 tahun dalam tekanan Dinasti Qing. Umat Islam dapat beribadat dengan aman dan boleh mengerjakan ibadat haji di Makkah. Sekolah-sekolah agama mulai ditubuhkan di samping beberapa pertubuhan seperti Chinese Muslim Federation dan The Chinese Muslim Promotion Club.
Semasa pemerintahan Parti Kuomintang, orang Islam kembali diberikan peluang untuk menjawat jawatan penting dalam kerajaan seperti panglima perang Islam, Gabenor Tentera di wilayah Qinghai, Gansu dan Ningxia. Contohnya Bai Chongxi iaitu seorang Ketua Islam dan Menteri Pertahanan China pada masa itu.

vi.  Perkembangan Islam Semasa Republik Rakyat China (1949 - Kini)
Kejatuhan Pemerintah Republic Of China dan Parti Koumintang pimpinan Dr Sun Yet Sen ke tangan Parti Komunis Republik Rakyat China (RRC) pimpinan Mao Zedung, sekali lagi membawa umat Islam di China dalam keadaan tekanan.
_______________
[31]  Aliya Ma Lynn. Muslim In China. 2005. Hlm. 9

Kebebasan beragama telah disekat kembali dan pihak pemerintah mewajibkan seluruh rakyatnya mempelajari fahaman komunis Karl Marx. Banyak Masjid ditutup dan dijadikan kandang khinzir dan imam-imam serta guru-guru agama dipaksa bekerja sebagai penyelia kandang khinzir. Banyak monumen Islam telah dihapuskan termasuk buku-buku agama yang ditulis oleh para ulama tersohor. [32]
Pada tahun 1976M, Mao Zedung mati. Revolusi Kebudayaan tamat dan kebebasan beragama kembali wujud di China tetapi dalam kawalan dan pemantauan yang ketat oleh pihak kerajaan.
Semenjak tahun 1953 Persatuan Islam China ditubuhkan di Beijing. Persatuan ini merupakan pertubuhan kebangsaan yang berfungsi untuk memastikan pelaksanaan dasar bebas beragama kerajaan dipatuhi, memupuk semangat patriotik di kalangan umat Islam, menyebarkan ajaran dan amalan agama Islam, melindungi hak dan kepentingan umat Islam yang sah, mengukuhkan perpaduan bangsa, dan mengekalkan kestabilan sosial, penyatuan negara dan kedamaian dunia. Namun, dalam tempoh Revolusi Kebudayaan yang dimulakan pada tahun 1966, semua aktiviti keagamaan terpaksa dihentikan, masjid-masjid di merata tempat juga menghadapi ancaman yang teruk. Setelah Revolusi Kebudayaan berakhir pada tahun 1976, kerajaan China bukan sahaja menyusun semula dasar yang berkaitan dengan isu-isu etnik minoriti dan keagamaan, malah menjalankan semula dasar bebas beragama untuk menggalakkan perkembangan pelbagai agama.
Jumlah umat Islam meningkat dengan pesat di China bermula pada hujung tahun 1960-an. Menurut banci penduduk yang dijalankan di seluruh negara pada tahun 2006, jumlah umat Islam di Tanah Besar China lebih daripada 20 juta orang.

_______________
[32] Aliya Ma Lynn. Muslim In China. 2005. Hlm. 9

Sekarang ini, di mana sahaja ada kawasan kediaman masyarakat Islam, di situ terdapatlah 30 ribu masjid yang berbeza-beza saiznya. Menurut statistik rasmi, di China sekarang ini terdapat lebih daripada 17 ribu buah kuil dan biara agama Buddha, lebih daripada 1500 buah kuil pengikut fahaman Tao, lebih daripada 4600 buah gereja Katholik dan lebih daripada 12 ribu gereja Kristian.
Selain membina masjid yang baru, kerajaan China juga memperuntukkan dana untuk membina semula atau membesarkan masjid yang sedia ada di pelbagai tempat untuk menampung lebih ramai penganut yang melaksanakan ibadat bersama-sama. Dengan ekonomi yang berkembang pesat di China, taraf hidup rakyat semakin meningkat. Begitu juga dengan taraf hidup umat Islam. Kini ada penganut Islam yang sudah mampu berbelanja untuk membina masjid. Contohnya, Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat Kumpulan Farmaseutikal Xiuzheng, Xiu Laigui dan isterinya, iaitu pasangan penganut agama Islam yang telah melabur lebih 4 juta Yuan RMB untuk membina Masjid Tonghua di Bahagian Jilin. Masjid yang luasnya lebih daripada 1400 meter persegi itu siap dibina pada tahun 2006.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, jumlah umat Islam China yang mampu menunaikan fardu haji ke Mekah juga terus meningkat. Jumlah tersebut mencecah 10 ribu orang buat kali pertamanya pada tahun 2007. Menurut pegawai dari Jabatan Agama Provinsi Gansu, umat Islam di sana yang menunaikan fardu haji ke Mekah dengan menyertai jemaah haji dari China pada tahun 1985 hanya berjumlah lebih 10 orang sahaja. Manakala pada tahun ini, jumlah mereka telah mencecah hampir 2500 orang, mencipta rekod baru dalam sejarah wilayah itu. Persatuan Islam China telah menubuhkan jabatan khas untuk menguruskan hal ehwal jemaah haji demi memberikan bantuan kepada umat Islam China yang menunaikan fardu haji ke Mekah. Persatuan itu bukan sahaja menyediakan penterjemah dan doktor untuk mengiringi jemaah haji, malah menghantar petugasnya ke Mekah lebih dulu untuk mengatur penginapan dan kemudahan pengangkutan untuk memastikan umat Islam China dapat menunaikan fardu haji dengan lancar di sana.
Selain itu, budaya Islam juga berkembang dengan baik di China pada masa ini. Muzium Etnik Hui China—muzium pertama yang mempamerkan budaya Islam di China telah dibuka di Wilayah Autonomi Hui Ningxia pada bulan September lalu. Sejarah etnik Hui, agama, budaya, adat resam, tokoh dalam sejarah dan perkembangan etnik Hui serta maklumat tentang sejarah dan budaya agama Islam di dunia dipamerkan di muzium itu menerusi gambar, tulisan, artifak, arca, audio dan video.
C. Etnik Islam di China
Penduduk Islam China terdiri daripada 10 etnik minoriti yang menyumbang kepada jumlah umat Islam di China seramai lebih kurang 20 juta orang. Etnik tersebut adalah seperti berikut:

i.             Etnik Dongxiang
Etnik Dongxiang berjumlah lebih 370 ribu orang, dan kebanyakan mereka menetap di Kaunti Autonomi Etnik Dongxiang Provinsi Gansu, Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia dan Wilayah Autonomi Etnik Uygur Xinjiang. Bahasa etnik Dongxiang hampir sama dengan bahasa Mongol tetapi tidak mempunyai tulisan sendiri. Penduduk etnik itu boleh bertutur bahasa Mandarin.
ii.         Etnik Hui
Etnik Hui adalah salah satu etnik minoriti yang teramai di China. Berdasarkan banci pada tahun 1990, penduduk etnik itu berjumlah lebih 8.6 juta orang, menduduk tempat ke-4 teramai antara etnik-etnik minoriti di China. Kawasan penempatan penduduk etnik Hui sangat luas, hampir semua kawasan di China terdapat penduduk etnik itu. Penduduk etnik Hui tinggal secara berkelompok di Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia, Provinsi Gansu, Qinghai, Wilayah Autonomi Etnik Vygur Xinjiang, Provinsi Henan, Hebei, Shangdong dan Yunnan. Penduduk etnik Hui biasanya tinggal secara berkelompok di kawasan yang terdapat masjid.
iii.             Etnik Kirgiz
Etnik Kirgiz berjumlah lebih 140 ribu orang, kebanyakannya tinggal secara berkelompok di bahagian barat daya Wilayah Autonomi Etnik Uygur Xinjiang China. Kawasan penempatan etnik itu di sebelah barat kawasan pergunungan, terdapat sungai besar dan padang rumput yang subur di kawasan tersebut. Penduduk etnik itu mengusahakan penternakan sejak turun-temurun, terdapat sebahagian penduduk etnik itu juga bekerja dalam bidang pertanian.
iv.             Etnik Salar
Etnik Salar berjumlah lebih 80 ribu orang, kebanyakannya tinggal secara berkelompok di tebing Sungai Kuning di bahagian timur Provinsi Qinghai. Iklim di kawasan penempatan etnik itu sangat baik dan sesuai untuk menanam padi, jagung, buah-buahan dan sayur-sayuran. Etnik Salar mempunyai bahasa sendiri, tetapi tidak mempunyai tulisan. Oleh sebab penduduk etnik banyak bergaul dengan etnik Han, Hui dan Tibet di kawasan penempatan mereka, maka ramai penduduk etnik itu fasih bertutur bahasa Mandarin. Etnik Salar beragama Islam, adat resam etnik itu hampir sama dengan Etnik Hui China.
v.               Etnik Tatar
Etnik Tatar China berjumlah lebih 40 ribu orang, etnik itu tinggal secara berkelompok di Bandar Yining, Tacheng dan Urumqi di Wilayah Autonomi Etnik Vygur Xinjiang China. Etnik Tatar juga dikenali sebagai etnik "Dadan". Pada pertengahan abad ke-15, etnik itu menetap di kawasan aliran Sungai Volga dan Kama. Pada awal abad ke-20, etnik Tatar berhijrah ke Wilayah Xinjiang dan menjadi salah satu etnik minoriti China. Etnik Tatar mempunyai bahasa sendiri, tulisannya berasaskan tulisan bahasa Arab. Oleh sebab etnik itu menetap bersama-sama etnik Vygur dan etnik Kazak sejak turun temurun, maka bahasa dan tulisan kedua-dua etnik itu juga sering digunakan dalam kehidupan penduduk etnik Tatar.
vi.                Etnik Uygur
Etnik Uygur berjumlah lebih 7.2 juta orang, penduduk etnik itu tinggal secara berkelompok di Wilayah Autonomi Etnik Uygur Xinjiang China, kebanyakan mereka menetap di sebelah selatan Gunung Tianshan di wilayah itu. Entik Uygur wujud pada abad ke-3 sebelum Masihi. Nenek moyang etnik Uygur terutamanya bekerja sebagai penggembala. Setelah tahun 840, sebahagian penduduk etnik Uygur berhijrah ke kawasan Xinjiang China dan kawasan Asia Tengah, mereka belajar pertanian daripada penduduk asal di kawasan tersebut. Buah-buahan yang diusahakan oleh etnik itu seperti tembikai hami, anggur, delima dan epal sangat terkenal di China sejak turun-temurun.
vii.                  Etnik Uzbek
Etnik Uzbek berjumlah lebih 10 ribu orang, etnik itu tinggal secara berkelompok di bahagian selatan dan utara Wilayah Autonomi Etnik Uygur Xinjiang China, mereka tinggal dengan aman bersama-sama penduduk etnik lain seperti Etnik Uygur dan Kazak di kawasan itu. Sejarah Etnik Uzbek bermula pada abad ke-14. pada abad ke-15, ramai saudagar dari Uzbek berniaga ke Tanah Besar China melalui Laluan Sutera, sebahagian saudagar tersebut menetap di kawasan Xinjiang, lama-kelamaan, etnik Uzbek telah membuka penempatan di kawasan tersebut.  
viii.                 Etnik Bonan
Penduduk etnik Bonan berjumlah lebih 12 ribu orang, etnik itu menetap secara berklompok di Provinsi Gansu dan Qinghai. Tanah di kawasan penempatan etnik Bonan sangat subur dan terkenal mengeluarkan gandum, jagung, pic dan walnut yang sedap. Etnik Bonan pernah disebut etnik "Huihui" atau "Baoanhui". Setelah China baru ditubuhkan pada tahun 1949, kerajaan China menetapkan nama etnik itu sebagai etnik "Bonan" berdasarkan hasrat etnik itu sendiri.
Etnik Bonan mempunyai bahasa sendiri tetapi tidak mempunyai tulisan, kebanyakan penduduk etnik Bonan fasih berbahasa Mandarin. Etnik Bonan beragama Islam, upacara perkahwinan dan kematian etnik itu diadakan berdasarkan peraturan agama Islam, adat resam dan keadaan sosial etnik itu hampir sama dengan etnik beragama Islam yang lain di kawasan itu, pesta penting bagi etnik itu ialah Hari Raya dan Hari Raya Korban.
ix.               Etnik Kazak
Penduduk Etnik Kazak berjumlah lebih 1.1 juta orang, mereka tinggal secara berkelompok di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, sebahagian lagi tinggal di provinsi Gansu dan Qinghai. Kawasan kediaman etnik Kazak merupakan padang rumput yang subur dan sesuai untuk dijadikan kawasan penternakan. Kebanyakan penduduk etnik Kazak kerja sebagai penggembala sejak turun-temurun, sebahagian kecil penduduk etnik mengusahan pertanian dan menanam tumbuh-tumbuhan. Pada masa dahulu, jarang terdapat penduduk etnik Kazak berniaga, tetapi sekarang, ramai penduduk etnik itu berniaga. Etnik Kazak beragama Islam dan mempunyai bahasa dan tulisan sendiri. Tulisan mereka sekarang berasas tulisan Jawi.
x.                 Etnik Tajik
Penduduk etnik Tajik berjumlah lebih 30 ribu orang, etnik itu tinggal secara berkelompok di bahagian barat daya Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China, iaitu bahagian timur dataran tinggi Pamir. Kawasan penempatan etnik Tajik berhampiran puncak gunung kedua tertinggi di dunia, iaitu Godwin Austen, puncak gunungnya diliputi salji, di kaki gunung itu ialah padang rumput dan ladang. Penduduk etnik Tajik tinggal di kawasan itu sejak turun temurun.


D. Sumbangan Islam Ke Atas Tamadun  China
Sumbangan umat Islam di China memang tidak dapat dinafikan. Bahkan pencapaian umat Islam dalam banyak bidang telah mempercepatkan kemajuan dan ketamadunan China. Di antara sumbangan Islam di China adalah seperti berikut:
i.          Pembinaan makmal kaji bintang semasa pemerintahan Dinasti Yuan. Tokoh utama dalam ilmu astronomi ialah Tcha Ma Lou Tin ( Jamaludin)
ii.         Jamaludin telah mencipta berbagai alat kaji bintang dan cuaca serta kalendar (Takwim Man Nien Li). Ia dijadikan sebagai takwim rasmi kerajaan mulai Tahun 1265 hingga 1281 M
iii.       Dalam bidang Matematik, pada zaman Dinasti tang dan Song, masyarakat Islam memperkenalkan kaedah pengiraan Arab (Xiyi Lishu), Kaedah 60 darjah (Chiu Ji Li), Algebra dan Trigonometri.
iv.       Dalam bidang pelayaran, Laksamana Islam Cheng Ho  telah membantu perkembangan pembinaan kapal dan menggerakkan usaha pelayaran. Turut dimajukan ialah kepakaran astronomi, kompas dan kaedah ukuran air
v.         Kaedah perubatan Arab dibawa masuk dan digabungkan dengan ilmu perubatan China
vi.       Ilmu perubatan Ibnu Sina telah dibawa masuk pada zaman Dinasti Tang dan Dinasti Song serta dipelajari oleh tabib-tabib Cina
vii.      Menggabungkan elemen senibina Islam dan tempatan. Contoh Masjid Niukie yang berusia 700 tahun dan masjid huaje Lane di Sian (Xian)
viii.     Ilmu peperangan oleh panglima tentera Islam dan Kung Fu adalah warisan dari pendekar-pendekar Islam dan diwarisi sehingga sekarang.
ix.         Dalam bidang sastera, pengaruh Islam dapat dilihat pada pengkhasilan karya-karya falsafah dan sastera yang bermutu tinggi. Satunya satunya ialah Shih Ching atau Classic of songs yang mengandungi 305 lagu.
x.         Pemerintahan Dinasti Song (960-1279M) menggunakan pakai sistem pembayaran cukai yang digunakan oleh Khalifah Umar al-Khatab. Begitu juga dengan urusan pungutan hasil cukai dagangan dan pemeriksaan barang-barang oleh pihak kastam banyak diambil daripada kaedah yang dilaksanakan oleh pemerintahan Islam
xi.       Sanjungan kepada Islam dapat dilihat pada karya yang ditulis oleh Wang Dai Zing yang menghasilkan sejumlah karya besar termasuk dalam bidang-bidang undang-undang, bahasa dan sejarah yang kini dianggap sebagai sebahagian daripada warisan peradaban China yang tiada tolok bandingnya.
E. Cabaran Umat Islam China Hari Ini
Nasib sebahagian daripada umat Islam di China tidak diketahui oleh ramai orang. Salah satu etnik minoriti yang terdiri daripada orang Uygur di Barat China dalam Wilayah Xinjiang mula tertindas sejak tahun 1990-an. Adalah terlalu perit untuk menyatakan penderitaan orang-orang Islam Uygur yang diseksa dan dibunuh namun kebenaran tidak dapat dikaburi di mata dunia.
Perlu diketahui, Xinjiang adalah salah satu dari wilayah autonomi Islam di negara China yang sering berlaku pergolakan akibat penindasan politik dan agama. Selain Xinjiang, Tibet juga mendakwa ditindas oleh pihak pemerintah. Wilayah Xinjiang sebenarnya tidak memperoleh pembangunan yang sekata dari pihak pemerintah.
Ekonomi mereka dipegang oleh kaum China Han yang turut sama menindas apabila memilih mereka yang boleh berbahasa Mandarin sahaja untuk memegang jawatan-jawatan dalam sektor tersebut. Rentetan dari permasalahan ini, wujudlah kumpulan pejuang pemisah yang berusaha membela nasib dan masa depan kaum Uyghur iaitu Parti Turkestan Timur.
Sejak tahun 1955 hingga kini dan terbaru pada bulan Julai 2009, beratus-ratus orang Islam terbunuh secara tragis dan beribu-ribu lagi yang cedera dalam pertempuran dan tembakan rambang oleh pihak polis. [33]

________________
[33] Berita Harian Online, 7 Julai 2009
F. Penutup
Perkembangan Islam di China menelusuri zaman yang begitu panjang iaitu kira-kira 1360 tahun lamanya iaitu dari tahun 651M hingga sekarang. Tempoh yang begitu lama sudah  tentu Islam di China mempunyai catatan sejarah yang sangat banyak. Mungkin kisah perjalanan Islam di negara Komunis itu terlalu sukar untuk dikesan apatah lagi untuk mencari monumen-monumen sebagai bukti kerana banyak daripadanya telah dihapuskan oleh Kerajaan Qing yang memerintah China lebih daripada 260 tahun.
Sejak kebelakangan ini, nasib umat islam di beberapa wilayah autonomi semakin gelap dan penindasan umat Islam semakin berleluasa. Penghapusan etnik berlaku dalam diam kerana tidak dapat dihebahkan kepada dunia luar. Antara harapan dan realiti nasib umat Islam di China tidak banyak dipersoalkan kerana propaganda barat yang pandai berselindung di atas kata-kata memerangi keganasan dan pengganas sebagaimana yang berlaku di Iraq, Afganistan, Moroco, Libya dan beberapa negara Islam yang lain. Amat membimbangkan kerana Islam di China yang dianuti hanya oleh etnik minoriti akan terus dilumpuhkan tanpa pembelaan yang sewajarnya. Satu hari nanti, angka jumlah umat Islam di negara itu bukannya bertambah tetapi berkurangan. Jasa umat Islam satu ketika dahulu yang telah bersama-sama menyumbang kepada peradaban China akan dilupakan dalam lipatan sejarah.
Diharapkan dengan adanya persatuan-persatuan Islam di China seperti Persatuan Muslim China akan dapat memainkan peranan yang besar bagi mempastikan nasib umat Islam di negara itu dapat dibela sepenuhnya. Penulis yakin, umat Islam China mampu bersaing dengan bangsa lain di China jika diberikan peluang sama rata dalam pelbagai bidang. Akhir sekali, catatan sejarah Islam di China harus di pandang positif oleh dunia luar dan mengambil iktibar bahawa perkembangan Islam di China mengajar umat Islam seluruh dunia supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi bagi mewujudkan sebuah negara yang aman makmur dan tenteram.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...