Wednesday, December 26, 2012
Ahmad Boestamam
Ahmad Boestamam (30 November 1920 – 19 Januari 1983; nama asal: Abdullah Thani bin Raja Kechil) adalah seorang aktivis politik anti penjajah Inggeris di Malaysia. Beliau ditangkap dan dipenjarakan sebanyak 3 kali.
Seperti kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad Boestamam adalah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik. Beliau bermula dengan akhbar Saudara di Pulau Pinang, kemudian Warta Kinta di Ipoh, Majlis di Kuala Lumpur, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Malaya juga di Singapura. Pekerjaannya itu juga menjadikan beliau bertembung dan bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan Melayu lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).
Kegiatan Boestamam dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak pada tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu daripada tekanan kerajaan British dan saingan kaum pendatang. Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi beliau telah melahirkan pendapatnya dalam nada dan pendapat yang sama dengan mereka. Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan nasionalisme orang Melayu.
Kepentingan Boestamam dalam kegiatan politik bermula dengan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai Penolong Setiausaha semasa menjadi pemberita khas akhbar Majlis di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Walaupun beliau hanya menjadi orang yang keempat penting dalam organisasi yang menjadi ejen Jepun, tetapi ini tidak dipandang ringan oleh kerajaan British. Ahmad Boestamam dianggap sebagai seorang aktivis politik antipenjajahan yang berbakat besar.
Penangkapan Boestamam pada tahun 1941-1942 bersama-sama dengan 150 orang anggota dan penyokong KMM memulakan kehidupan getir Boestamam sebagai seorang aktivis politik. Beliau telah menjadi lebih terdedah kepada tekanan penjajah, yang secara langsung memberi satu pemantapan kepada sikap antipenjajahannya. Ini menjadi satu pemangkin kepada semangatnya untuk terus bergiat dalam politik. Beliau dibebaskan oleh tentera Jepun yang datang menyerang Tanah Melayu.
Beliau pernah menerbitkan Testamen Politik Api yang mengajukan gagasan ‘merdeka dengan darah.’ Kerana karya tersebut, beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut pada tahun berikutnya, dan beliau dikenakan denda $1,200.00.
Ahmad Boestamam seorang perancang politik yang bijak. Beliau telah menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) yang sedia bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan British yang sedang berusaha memerangi tentera Jepun. Boestamam kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Sementara itu, Parti Komunis Malaya (PKM) yang mahu menguasai Tanah Melayu dengan cara perlembagaan telah membentuk satu “Barisan Bersatu Malaya” untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India.
Parti Komunis Malaya (PKM) cuba menjadi telunjuk dalam menentukan dasar politik Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah cuba diubah oleh Parti Komunis Malaya (PKM).
Parti Komunis Malaya (PKM) juga telah cuba meletakkan satu dasar penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa “Malayan”, sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan. Akibatnya, dasar asal Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan kehendak dan cita-cita Parti Komunis Malaya (PKM).
Ahmad Boestamam menyedari hal tersebut, maka untuk mengimbangi pengaruh politik Parti Komunis Malaya (PKM) di dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dalam satu persidangan yang diadakan pada 30 November 1945, dasar membentuk ‘Melayu Raya’ atau Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Pada Februari 1946, ketika semangat menuntut kemerdekaan sedang meluap-luap, Ahmad Boestamam bersama dengan Dr Burhanuddin Al Helmi telah menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pergerakan kiri yang radikal di Malaya dan memimpinnya sehingga pertubuhan itu akhirnya diharamkan oleh pihak British.
Penangkapan Ahmad Boestamam pada bulan Julai 1948-1954 membekukan kegiatan politik Ahmad Boestamam untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun. Beliau terpaksa ditahan begitu lama kerana berbahaya kepada keselamatan politik British di Tanah Melayu dan kawasan sekitarnya, iaitu Nusantara.
Pengisytiharan undang-undang darurat 1948 telah digunakan oleh kerajaan British bukan sahaja untuk mengawal ideologi sosialime-komunisme dalam Parti Komunis Malaya (PKM) yang pernah menjadi rakan sekutu British menentang penaklukan Jepun di Tanah Melayu, tetapi turut digunakan ke atas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dan anak-anak buahnya, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Ahmad Boestamam dianggap sebagai sebahagian daripada tenaga penggerak yang paling berbahaya.
Parti Rakyat Malaya telah menjadi parti politiknya yang pertama yang ditubuhkannya selepas dibebaskan pada tahun 1955. Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang Melayu menggunakan ideologi sosialisme-marhaenisme ciptaan Sukarno. Melalui kerjasama dengan Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu.
Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik Ahmad Boestamam selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak di Kuala Lumpur di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad Boestamam telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato’ Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah. Tokoh-tokoh pembangkang bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam, Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad Boestamam dan rakan-rakan yang lain.
Kehadiran Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan Kerajaan Perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Kehadiran mereka memang sangat menarik dalam sejarah politik berparlimen di Malaysia.
Ahmad Boestamam ditangkap pada tahun 1963, buat kali ketiga dalam sejarah hidup politiknya. Pada kali ini Ahmad Boestamam ditangkap oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri untuk merengkok dalam tahanan selama empat tahun. Ketika itu beliau masih menjadi ahli parlimen Setapak. Alasan kerajaan Perikatan ialah kerana Ahmad Boestamam terlibat dalam usaha Indonesia menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman, ketua kerajaan Perikatan dan Perdana Menteri Malaysia.
Ahmad Boestamam juga dituduh terlibat dalam peristiwa kebangkitan rakyat Brunei anjuran Parti Rakyat Brunei pimpinan Azhari pada tahun 1962 yang menuntut kemerdekaan Kalimantan Utara meliputi wilayah Sabah, Sarawak dan Brunei dari British. Namun pemberontakan yang memperoleh dukungan pemerintah Soekarno di Indonesia saat itu, berhasil dipatahkan tentera British.
Sebelum itu, pada tahun 1959, Sultan Brunei Sir Omar Ali Saifuddin III, mewujudkan sebuah Parlimen dengan separuh anggotanya dilantik manakala separuh lagi akan dipilih melalui Pilihanraya. Pilihanraya telah diadakan pada bulan September 1962 dan kesemua kerusi yang ditandingi telah dimenangi oleh Parti Rakyat Brunei pimpinan Azhari.
Tuduhan terhadap Ahmad Boestamam ini sangat menarik kerana ia menimbulkan dua gambaran yang sangat penting. Pertama, ternyata Ahmad Boestamam seorang penyokong Indonesia yang sangat setia dan tetap. Kedua, penonjolan satu sisi penglibatan gerakan politik serantau oleh Ahmad Boestamam yang menyeluruh di Kepulauan Melayu atau Nusantara sebagai juara kepada gagasan Melayu Raya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment