Wednesday, November 7, 2012

TAMAN NEGERI PERLIS

Pengenalan Taman Negeri

       Taman Negeri Perlis merupakan taman negeri yang pertama ditubuhkan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1997 dan diwartakan pada 3 Julai 2008 untuk melindungi serta memelihara kepelbagaian biologi yang terdapat di situ. Ia terletak di sebahagian Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu dengan keluasan 4,379.81 hektar. Taman Negeri Perlis juga berada di sebelah Barat Negeri Perlis yang mana berkedudukan di atas banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia (38 kilometer) di kenali sebagai Banjaran Nakawan.

       Hutan semulajadi yang terdapat di Taman Negeri Perlis adalah jenis Hutan Bermusim Meranti Putih-Gerutu atau lebih dikenali sebagai hutan separa daun luruh (semidecidous). Kebanyakan pokok-pokok yang tumbuh di atas bukit-bukit batu kapur ini akan menggugurkan daun pada musim kemarau yang berpanjangan di antara bulan Disember hingga bulan Mei setiap tahun. Di bahagian-bahagian tertentu Taman Negeri Perlis pula vegetasi hutan adalah jenis hutan dipterokapa tanah pamah.

       Sehingga kini terdapat 616 spesis spesis flora (termasuk satu spesis baru Tectaria shahidaniana), 68 spesis mamalia (termasuk 5 spesis primat, 4 spesis kucing, 32 spesis kelawar), 211 spesis burung (termasuk 6 spesis enggang), dan 35 spesis reptilia (termasuk 27 spesis ular) telah dikenal pasti. Beruk Kentoi (Macaca arctoides) merupakan satu-satunya spesis mamalia yang endemik dan boleh ditemui. Spesis bogak (Cycas clivicola) sejenis tumbuhan zaman purba yang endemik dan jarang ditemui telah menjadi lambang Taman Negeri Perlis.

       Keunikan Taman Negeri Perlis bukan hanya pada flora dan fauna tetapi termasuk kawasan itu sendiri. Sebahagian besar bukit-bukit batu kapur yang terdapat  di sepanjang Banjaran Nakawan adalah daripada Formasi Setul yang tertua di Malaysia dan dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun. Selain itu terdapat juga tempat-tempat lain yang menarik dan boleh dikunjungi oleh pengunjung di Taman Negeri Perlis seperti Gua Wang Burma, Gua Kelam, Arked Niaga, Bukit Pelarit, Bukit Rongkit, Denai Warisan, Denai Putera Denmark, Tasek Meranti dan Gunung Perlis. Bahan-bahan bersejarah dan sample-sample yang dikutip di sekitar Taman Negeri Perlis juga turut ditempatkan dan dipemerkan dalam Galeri.

       Taman Negeri Perlis merupakan destinasi pelancongan yang sesuai untuk semua peringkat umur dan golongan. Pengalaman yang boleh diperolehi di kawasan ini adalah amat berharga sekali. Untuk memastikan keselesaan para pelancong Taman Negeri Perlis menyediakan kemudahan seperti asrama, dewan seminar, chalet, surau, tandas, wakaf, tapak perkhemahan, menara pandang, dewan terbuka dan kantin.

       Para pelancong yang ingin ke Taman Negeri Perlis boleh menggunakan kenderaan  sendiri atau pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Bandar yang berdekatan dengan Taman Negeri Perlis adalah bandar Kangar sejauh 30 kilometer. Terdapat juga 2 buah penempatan yang berhampiran dengan Taman Negeri Perlis iaitu Kampung Wang Kelian dan Pekan Kaki Bukit.



PETA LOKASI TAMAN NEGERI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...