Thursday, November 8, 2012

TAMAN WARISAN SELANGOR-SIRI 1

HULU KLANG: Taman Warisan Selangor yang merangkumi kawasan seluas 108,000 hektar dan diwartakan sebagai taman negeri, diberi jaminan akan kekal hijau buat selama-lamanya dan tidak akan dibangunkan. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata jaminan itu dibuat serentak dengan pengisytiharan kawasan meliputi Hulu Langat ke Hulu Selangor itu sebagai Taman Warisan. Ia akan diuruskan Perbadanan Taman Negeri Selangor, badan yang diwujudkan melalui peruntukan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Selangor 2005. Beliau berkata, penubuhan taman negeri itu bertujuan memastikan sumber asli dan khazanah semula jadi terjamin, selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam menerajui konsep pembangunan mampan melalui Projek Strategi Pembangunan Mampan dan Pelaksanaan Agenda 21 Selangor. "Kawasan hutan di sepanjang bahagian timur negeri ini terletak dalam daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, ialah kawasan sensitif alam sekitar. "Ia dikenal pasti sebagai pelindung sumber alam semula jadi, terutama bekalan air terpenting bagi Lembah Klang dan empat sungai utama di Selangor iaitu Sungai Bernam, Sungai Buluh, Sungai Klang dan Sungai Langat berpunca dari kawasan yang kini dikenali sebagai Taman Warisan Selangor. "Ini menjadikan kawasan ini tidak boleh diteroka, bagi menjamin ia menjadi kawasan tadahan air utama Lembah Klang," katanya sempena Pelancaran Taman Warisan Selangor oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Majlis pelancaran di Taman Rekreasi, Empangan Klang Gate, Taman Melawati, di sini, semalam, diadakan sempena sambutan pencapaian status maju bagi negeri Selangor. Pengekalan kawasan itu sebagai taman negeri juga bertujuan melindungi kawasan tanah tinggi, habitat unik, pencegahan banjir di kawasan hilir dan melindungi cerun curam. Selain itu, ia penting bagi melindungi sumber kepelbagaian biologi, flora dan fauna negeri Selangor serta potensi untuk pelancongan alam dan pelbagai peluang ekonomi. "Dalam memastikan sumber air bagi penduduk Selangor bersih daripada pencemaran, Kerajaan Negeri akan memindahkan semua rumah berhampiran sungai. "Walaupun tidak banyak setinggan mendiami tepi sungai, kita akan pindahkan secara berperingkat-peringkat," katanya. Beliau berkata, pengwujudan taman negeri yang akan dibuka kepada orang ramai itu bukan saja satu lagi mercu tanda pembangunan yang menjadi kebanggaan Selangor, malah juga terhadap negara. Sementara itu, Mohd Najib ketika melancarkan taman negeri itu berkata, kerajaan Selangor perlu menubuhkan struktur pengurusan yang mampu menyedia dan melaksanakan Kerangka Perancangan dan Tindakan Pengurusan Taman yang cekap dan berkesan supaya semua fungsi dan matlamatnya tercapai. "Kerangka itu harus memandang jauh ke depan dan mengambil kira perubahan genetik, dinamik landskap semula jadi, faedah dan kesan aktiviti penyelidikan saintifik dan sosio-ekonomi," katanya. Kajian saintifik mendapati, kawasan Taman Warisan Selangor kaya dengan spesies semula jadi merangkumi 3,140 spesies tumbuhan vaskular, 114 spesies mamalia, 355 spesies burung, 104 spesies ikan, 202 spesies reptilia dan amfibia, 357 spesies kupu-kupu dan lebih 1,000 spesies rama-rama. Taman Warisan Selangor turut memiliki Permatang Kuarza sepanjang 14 kilometer di Klang Gate, antara permatang kuarza terpanjang di dunia. Ia membabitkan hampir 100 peratus mineral kuarza yang membuatkannya kelihatan sebagai satu jasad timbul putih yang menyerlah di kaki langit.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...