Nabi
Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT
untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat
nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk
mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan
anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut
akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut
diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.
Subuh
Manusia
pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika
baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang
dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat.
Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua
rakaat.
- Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
- Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.
Zohor
Manusia
pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu
tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya
Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari,
lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.
- Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
- Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
- Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
- Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
Asar
Manusia
pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala
baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah
memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk
waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat
kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan
iaitu:
- Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
- Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
- Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
- Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.
Maghrib
Manusia
pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika
baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan
kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi
Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan
tersebut iaitu:
- Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
- Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
- Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.
Isyak
Manusia
pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika
itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan,
sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT
menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang
akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda
bersyukur.
- Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
- Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
- Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
- Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun
No comments:
Post a Comment