Tuesday, October 9, 2012

-PAHLAWAN MELAYU TERBILANG-SIRI 1

Haji Abdul Rahman Limbong (Tok Limbong): Ulama’ dan Pejuang.

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.
Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.
Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.
Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.
Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.
Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.
Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu).
Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.
Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.
Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.
Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.
Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.
Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.
Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.
Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.
Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.
Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.
*PEMBERONTAKAN
Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.
Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.

Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.
Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.
Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.
Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.
Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.
Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.
Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.
Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.
*Koleksi artikel  ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH
——————————————————————————————————–
Tambahan:
Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu.Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama “Telaga Limbong” kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.
Pembabitan Tok Limbong ini dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921.
Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya.
Peraturan yang menindas itu menyebabkan sekumpulan petani di Hulu Terengganu melancarkan bantahan dengan tidak mengendahkan larangan terhadap pengambilan tumbuh-tumbuhan liar itu sepanjang Julai dan Ogos 1921.Akibatnya, 43 orang daripada petani terbabit telah disaman dan dibicarakan di mahkamah rendah Kuala Terengganu atas tuduhan membuka tanah tanpa kebenaran.
Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan dan dakwah, peristiwa itu menggamit Tok Limbong untuk tampil membantu. Lantas beliau memohon dan memperolehi lesen untuk membela nasib petani-petani berkenaan dalam perbicaraan yang menarik tumpuan ribuan rakyat Terengganu. Dengan menggunakan panduan daripada Quran dan sunnah Rasul, walaupun dalam perbicaraan yang dijalankan di mahkamah sivil, pihak pendakwa gagal mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan Tok Limbong, sekali gus memberi kemenangan kepada 43 petani terbabit. Kemenangan sekali lagi berpihak kepada Tok Limbong ketika kes itu diulangbicara di mahkamah tinggi.
Tok Limbong yang berniaga menggunakan “perahu besar” dikatakan sedang berada dalam perjalanan dari Beserah di Pahang ke Legor di Thailand apabila sekumpulan penduduk yang terlalu benci dengan kehadiran Inggeris di tanahair mereka melancarkan kebangkitan bersenjata di Padang Kacong, Telemong, Hulu Terengganu pada 21 Mei 1928. Ia adalah susulan beberapa serangan yang menyaksikan antara lain pihak pejuang berjaya menawan balai polis Kuala Berang.
Dalam pertempuran di Padang Kacong itu, 12 penduduk kampung, termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Tok Janggut (bukan Tok Janggut yang terbabit dalam kebangkitan menentang penjajah di Kelantan) terkorban akibat tembakan. Pihak Inggeris yakin Tok Limbong adalah dalang di sebalik kebangkitan itu dan terus mengenakan tekanan ke atas Sultan agar meletakkan Tok Limbong dalam tahanan.
Tok Limbong dipanggil menghadap Sultan Sulaiman di Istana Maziah, walaupun urusan perniagaan dan dakwahnya belum selesai ketika itu. Tanpa sebarang perbicaraan, Tok Limbong ditahan dan seterusnya dibuang negeri, mula-mula ke Singapura di bawah tahanan pihak berkuasa Negeri-negeri Selat dan selepas itu ke Mekah di mana beliau meninggal dunia 15 bulan kemudian.
Semasa di Mekah, beliau menginap di sebuah rumah wakaf berhampiran Masjidil Haram di mana beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya mengajar agama. Malangnya janji kerajaan negeri ketika itu untuk menghantarnya elaun bulanan jika beliau berangkat ke Mekah tidak pernah dikota.
Tidak banyak yang diketahui tentang apa yang berlaku selepas itu, terutama tentang harta benda dan urusan perniagaannya, kecuali generasi warisannya yang masih ramai boleh ditemui di sekitar Pulau Musang, Kuala Terengganu dan makam 12 pahlawan Melayu itu yang diabadikan di Padang Kacong, Kuala Telemong.
Walaupun sejarah tidak mencatatkan bahawa batang tubuh Tok Limbong pernah turun ke gelanggang tempur, yang pastinya semangat juang yang ditiup ke dalam sanubari orang Melayu ketika itu sedikit sebanyak turut mempengaruhi semangat generasi selepasnya untuk meneruskan perjuangan menentang penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...