SOMALIA
Negara Miskin di Tengah-Tengah Perang Saudara
Apabila nama Somalia disebut, kebanyakan manusia memikirkan tentang musibah-musibah dahsyat yang dipetik dari laporan-laporan akhbar dan juga televisyen: kebuluran yang dideritai oleh jutaan rakyatnya, penyakit epidemik seperti kolera, kemarau, konflik saudara, peperangan suku kaum, ketidakstabilan politik - kesemuanya ini adalah penyakit-penyakit yang menjadi sebahagian daripada kehidupan orang-orang Somalia. Bantuan dari badan-badan kemanusiaan masih tidak dapat menyelesaikan situasi getir yang sedang menimpa penduduk di situ, dan ia hanya dapat melegakan masalah dalam jangka masa pendek. Campur tangan politik yang beralasan untuk membina semula kedamaian dan keselamatan, sebenarnya hanya meningkatkan lagi kekacauan dan konflik yang sedia ada. Faktor asas yang membawa kepada kekacauan di Somalia bermula sejak detik pertama era kolonialisme. Somalia mula bertemu dengan dunia Islam apabila umat Islam bermigrasi ke Abyssinia bertujuan untuk lari dari para penyembah berhala di Mekah. Ia telah dijajah oleh British pada abad ke-19. Selepas tempoh tersebut, Somalia menjadi sebuah medan peperangan yang tidak pernah tamat, kebuluran dan juga penyakit. Pada tahun 1884, pihak British menakluk utara Somalia, dan Itali pula menakluk bahagian selatan pada 1887, dan seperti mana yang telah berlaku di kebanyakan negara Islam lain, ia membawa kepada zaman yang penuh dengan kezaliman dan penindasan.
Setelah melalui zaman kolonialisme yang panjang, Somalia akhirnya merdeka pada tahun 1960, dan Aden Abdullah dilantik menjadi presiden. Walau bagaimanapun, penubuhan sebuah sistem pentadbiran yang adil dan stabil tidak dibenarkan. Jeneral Mohammed Siad Barre mengambil alih negara tersebut dalam satu siri rampasan kuasa ketenteraan pada tahun 1969, dan semua parti politik dihapuskan. Barre melihat Islam sebagai halangan utama kepada sistem sosialis yang mahu dilaksanakannya. Oleh yang demikian, Barre telah mengharamkan segala buku-buku, majalah-majalah dan akhbar-akhbar yang Islamik. Ramai golongan-golongan intelek dan ulama Islam yang menentang polisi tersebut telah dihukum di bawah arahan Barre.
Barre lari meninggalkan Somalia apabila pergaduhan tercetus pada 1991, dan terjadilah perang saudara yang besar. Kira-kira sejuta orang yang kebanyakannya umat Islam Somalia terpaksa berpindah ke beberapa buah negara-negara Afrika yang lain.
KEBULURAN DI SATU BAHAGIAN...
Kebuluran, penyakit-penyakit epidemik seperti kolera, kemarau, konflik dalaman, peperangan suku kaum dan ketidakstabilan politik yang dideritai oleh jutaan rakyat telah menjadi perkara biasa dalam kehidupan seharian di Somalia. Bantuan yang dihulurkan oleh pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan gagal menyelesaikan kesusahan rakyat. 75 peratus rakyat Somalia menderita disebabkan kekurangan zat makanan. |
Pada hari ini, peperangan saudara yang berlaku di antara pelbagai suku kaum diteruskan dengan pelbagai cara, dan bilangan mereka yang mati setiap hari semakin bertambah. Masalah kritikal yang sedang dihadapi negara ini ialah kira-kira 8 juta penduduk berada dalam kelaparan dan kemiskinan. Berdasarkan laporan Pertubuhan Pertanian dan Makanan PBB (FAO) tahun 2000, 75 peratus rakyat Somalia mengalami kekurangan zat, dan banjir berterusan mempengaruhi negara tersebut dengan membawanya ke arah kebuluran yang sangat dahsyat.
Harus diingat bahawa berbeza dengan pandangan umum masyarakat dunia, masalah kelaparan sebenarnya boleh diatasi. Pembahagian secara adil sumber-sumber kekayaan bumi, sumber-sumber teknologi negara-negara kaya yang digunakan di serata dunia, dan menghalang penggunaan lebihan hasil keluaran dan sebaliknya menggunakannya untuk tujuan membantu, adalah beberapa langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menolong mereka di Somalia. Walau bagaimanapun, apa yang terselindung di sebalik kegagalan dalam usaha menyelesaikan masalah seperti kebuluran dan wabak penyakit pada hari ini ialah kebejatan masalah moral seperti pentingkan diri sendiri, tamak dan tidak peduli.
Budaya tidak beragama yang sedang mendominasi dunia hari ini memandu manusia ke arah sikap pentingkan diri sendiri. Akibatnya mereka enggan berkorban dan berusaha untuk menolong insan yang memerlukan. Budaya ini secara umumnya mencipta dua buah masyarakat yang berbeza: terlampau kaya dan terlampau miskin. Al-Quran telah menerangkan kisah mereka yang enggan memberikan makan kepada orang-orang yang lapar dan memerlukan seperti berikut:
Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin. (Al-Maa'uun, 107:1-3)
Atas sebab itulah, usaha menyelamatkan dunia ini tidak terletak pada bahu orang-orang yang mendustakan agama, tetapi terletak pada bahu kerajaan yang sangat patuh kepada agama dan memerintah dengan adil. Jika Islam boleh menjadi lebih kuat dan seterusnya menguasai dunia ini, ia akan menjadi penyelamat bukan sahaja kepada umat Islam yang ditindas, tetapi juga kepada seluruh manusia yang ditindas di serata dunia.
No comments:
Post a Comment