Saturday, March 31, 2012

-PENINDASAN UMAT ISLAM DI ERITREA &ETIOPHIA-

ERITREA - ETHIOPIA

Umat Islam Mahukan Kedamaian dan Keselamatan
Peperangan dan kekacauan telah lama berterusan di benua Afrika selama bertahun-tahun. Keganasan yang ber­laku amat sukar untuk dihapuskan. Selepas kuasa-kuasa kolonial seperti Britain, Perancis dan Belandas keluar pada tahun 1950-an dan 60-an, kebanyakan negara-negara Afrika jatuh ke dalam tangan diktator-diktator komunis atau pun fasis. Hampir kesemua rejim-rejim pasca-kolonial ini mengikut polisi pencerobahan sistematik ke atas umat Islam, dan mereka masih terus melakukannya. Salah satu dari­pada negara-negara tersebut yang mana peperangan dan kekacauannya tidak pernah reda gara-gara polisi tersebut adalah Eritrea, yang telah berada di bawah pemerintahan Turki Uthmaniyyah selama dua abad yang bermula pada pertengahan abad ke-16.
Eritrea: Lokasi Strategik Afrika
Eritrea terletak di utara Ethiopia, di sepanjang selat di mana benua Afrika menjadi semakin rapat dengan benua Asia. Ia telah menjadi sebuah lokasi penting selama beribu-ribu tahun, sama ada dari segi komersial atau ketenteraan. Seperti mana kebanyakan negara-negara lain yang terdapat di Afrika, negara ini juga muncul akibat proses pembahagian yang dilakukan oleh kuasa kolonial Eropah, yang mana ia dilakukan tanpa memikirkan kehendak dan hasrat penduduk tempatan.
Sesiapa sahaja yang mengua­sai Eritrea akan mengawal pintu masuk selatan ke Laut Merah, dan dengan demikian segala trafik di antara Mediter­ranean dan Lautan Hindi. Di samping itu, Eritrea me­wakili pelabuhan untuk Ethiopia.
Setelah menilai ke­pen­tingan strategik Eritrea, British telah me­nye­wa­kan­nya kepada Amerika se­bagai pengkalan komunikasi se­waktu Perang Dunia II, dan Amerika seterusnya telah menggunakannya selama 25 tahun yang berikutnya, de­ngan berdasarkan kepada perjanjian pertahanan di antara Amerika dan Ethio­pia. Ia adalah di antara pengkalan paling utama di dunia dan telah memainkan peranan penting dalam me­nyampaikan informasi ke­pada Washington sewaktu Perang Korea. Di samping kepentingan strategiknya, Eritrea menjadi semakin bernilai kepada kuasa-kuasa yang berminat terhadap kawasan tersebut disebabkan kekayaan simpanan emas dan mineralnya. Malah dijangka juga terdapat simpanan minyak dan gas di kawasan tersebut.
Sebelum Perang Dunia II, populasi di Eritrea adalah kira-kira 1 juta orang. Berdasarkan kepada sumber Barat, sekarang ia menjadi 2.5 juta orang, walaupun menurut pertubuhan penentang aktif di kawasan tersebut, 3.5 juta orang adalah angka yang lebih tepat. Majoriti populasi terdiri dari umat Islam.
Perjuangan Umat Islam Eritrea

Haile Selassie
Selepas berakhirnya pemerintahan Turki Uthmaniyyah, Eritrea telah dijajah oleh Itali, dan melalui keputusan PBB pada tahun 1952 ia telah menjadi sebuah negeri persekutuan yang dihubungkan dengan Ethiopia. Walau bagaimanapun, rakyat enggan menerimanya. Akhirnya tercetuslah kebangkitan rakyat yang meluas. Pada 14 November 1962, Maharaja Haile Selassie telah mengumumkan bahawa beliau telah mengasimilasikan Eritrea, dengan menggunakan kekacauan dalaman di Ethiopia sebagai alasan. Semasa zaman Selassie, bermulalah polisi penindasan dan penderaan ke atas umat Islam. Ramai di antara mereka yang menentang pemerintahan rejim Ethiopia telah dibunuh.
Kesan daripada kempen kekejaman dan keganasan Ethiopia, beratus-ratus ribu rakyat Eritrea telah dipaksa keluar daripada tanah mereka di antara tahun 1967 dan awal 1970-an. Wanita, kanak-kanak dan orang tua, yang membentuk salah satu daripada kumpulan pelarian paling besar sepanjang sejarah, telah ditinggalkan begitu sahaja dan dibiarkan mati. Kesannya, kira-kira 200,000 orang mati akibat kebuluran. Ini berlaku gara-gara polisi pertanian yang salah.
Akhirnya, rejim Haile Selassie telah ditumbangkan melalui satu rampasan kuasa pada 1947. Pentadbiran kemudiannya diambil-alih oleh junta yang memiliki pandangan-pandangan Marxis. Tiada perubahan yang berlaku ke atas umat Islam. Sistem diktator bercorak Marxis ditubuhkan untuk menggantikan sistem fasis. Umat Islam terus menderita akibat penindasan, penderaan, penahanan dan kepayahan hidup.
Pemimpin selepas Haile Selassie, iaitu Haile Mariam yang memimpin rejim Mengistu Marxis, telah menjalankan polisi-polisi yang penuh dengan keganasan sewaktu zaman peme­rintahannya. Beliau tidak mengehadkan jumlah mereka yang dibunuh kerana memiliki pandangan yang berbeza, sebaliknya telah menghapuskan sebahagian populasi secara besar-besaran sewaktu ke­kuasa­annya selama 17 tahun. Gerakan anti-Islam di negara tersebut telah disokong oleh Mengistu, yang telah menyebarkan ke­takutan di seluruh negara. Sewaktu pemerintahan Mengistu, 10,000 buah masjid telah hancur dimusnahkan, dan setengah juta umat Islam terpaksa mencari perlindungan di negara jiran Sudan. Sebilangan kecil telah mencari perlindungan di Somalia. Pada bulan Mei 1991, perubahan kuasa sekali lagi berlaku di Ethiopia, walaupun Mengistu telah meninggalkan sebuah kedahsyatan di waktu kebangkitannya:


Masjid-masjid menjadi sasaran utama rejim Marxis Mengistu. 80 peratus daripada masyarakat Ethiopia memerlukan bantuan kemanusiaan, berpuluh ribu kanak-kanak menjadi cacat, dan beratus ribu rakyat terpaksa menjadi pelarian.
- 60,000 kanak-kanak menjadi lumpuh dan 45,000 menjadi anak yatim.
- Kira-kira 750,000 orang menjadi pelarian, yang mana seramai 500,000 orang masih hidup dalam kelaparan di Sudan.
- Kira-kira 80 peratus daripada populasi hidup tanpa zat makanan yang cukup atau hampir kebuluran, mereka memerlukan bantuan makanan.
- Hanya 1 doktor bagi setiap 48,000 penduduk, dan jangka hayat purata rakyat adalah 46 tahun.

Sokongan Israel Terhadap Rejim Anti-Islam
Salah satu sebab berlakunya konflik yang tidak berkesudahan, kacau-bilau dan peperangan di Eritrea, yang merupakan salah satu kawasan termiskin di dunia walaupun ia memiliki kepentingan sosioekonomi dan geostrategik, adalah kerana wujudnya beberapa buah negara yang mendominasi polisi-polisi di kawasan tersebut, yang dilakukan untuk kepentingan diri mereka sendiri, dengan mengabaikan kemahuan dan kehendak rakyat yang tinggal di kawasan tersebut. Israel adalah negara yang memainkan peranan utama.

Israel memiliki satu kesamaan dengan bekas-bekas rejim di Ethiopia dan Eritrea: Sifat anti-Islamnya.
Rejim-rejim Ethiopia dan Eritrea terdahulu memiliki satu perkara yang serupa seperti Israel: sifat anti-Islamik. Seperti yang telah kita lihat di awal buku ini, Israel melihat Islam sebagai ancaman paling bahaya terhadap dominasinya di Timur Tengah, maka Israel mengenakan kekejaman, kezaliman dan penindasan. Inilah sebabnya mengapa Israel sering hadir di kawasan-kawasan yang mana umat Islam sedang ditindas dan mengalami kepupusan, dari Bosnia hingga ke Filipina, dari Turkestan Timur ke Eritrea. Di dalam buku yang ditulis oleh Profesor Benjamin Beit-Hallahmi dari Universiti Haifa Israel, iaitu The Israeli Connection: Who Arms Israel and Why?, beliau telah menyifatkan segala aktiviti yang dilakukan oleh negaranya di seluruh dunia sebagai "Perang Dunia Israel." Seperti yang diutarakan oleh seorang kolumnis terkenal akhbar Israel, Nahum Barnea, "Israel akan menjadi pelopor Barat dalam peperangan untuk menentang Islam."38
Israel masih memiliki dua pengkalan yang sangat strategik di Eritrea. Satu terdapat di Pulau Dahlak, dan satu lagi terletak di kawasan pergunungan Mahel Agar berhampiran sempadan Sudan. Hubungan rapat Israel dengan Ethiopia bermula pada tahun 1950-an. Perikatan Israel-Ethiopia bermula pada tahun 1952 bermula dengan hubungan perdagangan, dan seterusnya membawa kepada dialog kelas atasan apabila wakil Israel bermesyuarat dengan Maharaja Haile Selassie dan pegawai-pegawai atasannya pada tahun 1956. Israel mula memberikan bantuan militari, kepintaran dan latihan kepada rejim Selassie dan pasukan askarnya. Ia bertujuan untuk meredakan pergerakan-pergerakan radikal dan umat Islam yang bangkit dan menyerang orang-orang Kristian Ethiopia. Profesor Hallahmi telah menggambarkan asas-asas ideologi perikatan Ethiopia-Israel seperti berikut:
Asas ideologi perikatan ini adalah persepsi Israel "sebagai manusia berani yang dikelilingi oleh kuasa-kuasa Islam yang memusuhi mereka kerana cuba merampas tanah air bersejarah milik Israel, sebuah situasi serupa terhadap orang-orang Kristian Ethiopia yang menganggap ia adalah satu analogi kepada sejarah mereka yang mana mereka kini berada di tengah-tengah ancaman umat Islam."39
Berdasarkan kepada buku tulisan Hallahmi, sebuah kumpulan penentang-pemberontakan yang dianggotai seramai 3,100 orang, dikenali sebagai "Polis Kecemasan," telah ditubuhkan oleh Selassie untuk mematahkan arus kebangkitan di Eritrea. Kumpulan ini mendapat latihan khas daripada pakar-pakar Israel. Berikutan dengan lawatan militari ke Ethiopia yang dipimpin oleh Jeneral Bar-Lev pada tahun 1971, Halep dan Fatima yang memiliki kepentingan strategik di pulau Ethiopia, telah dibuka untuk kegunaan Tentera Laut Israel.
Umat Islam Eritrea sedar akan kewujudan perikatan yang sedang mereka hadapi itu. Abu Halid, pemimpin pergerakan umat Islam Eritrea, telah membincangkan tentangnya dalam sebuah temuramah pada tahun 1970 yang dilindungi oleh wartawan Turki:
Ethiopia dan Israel telah menyatukan matlamat mereka. Para pegawai Israel telah melatih askar-askar Ethiopia yang mengelar leher-leher umat Islam... Perang pada 5 Jun 1967 tercetus akibat alasan penutupan Teluk Aqaba oleh Mesir. Israel mahu melihat Pelabuhan Eilat dan teluk tersebut terus dibuka, kerana ia menjadi pintu perdagangan di antara Israel dan dunia Timur. Jika kita di Eritrea berjaya mendapatkan kemerdekaan, kita dapat menutup jalan air Israel yang menjalinkan kerjasama dengan Yaman Selatan di bahagian selatan Laut Merah. Inilah sebabnya mengapa Israel membantu Ethiopia. Enam juta Yahudi di Amerika Syarikat menyokong tesis tersebut. Terdapat 400 orang pegawai Israel di dalam pasukan askar Ethiopia. Tiga musuh utama kita ialah Ethiopia, Israel dan juga Amerika Syarikat.40
Para pegawai Israel yang melatih komando-komando Ethiopia dan kumpulan-kumpulan antipengganas turut memainkan peranan penting dalam menjaga kekuasaan Haile Selassie. Menurut Jeneral Matityahu Peled, yang merupakan bekas pegawai kanan di dalam pasukan askar Israel, Selassie telah diselamatkan sebanyak tiga kali dalam cubaan rampasan kuasa. Itu semua adalah bantuan dari ejen-ejen Israel terutamanya yang mempunyai pengaruh kuat dalam pasukan polis rahsia Addis Ababa.
Ejen-ejen Israel hanya melakukan sedikit campur tangan dalam menentang rampasan kuasa Marxis untuk menyingkirkan Selassie pada tahun 1974. Ini adalah kerana rejim baru itu akan selari sepenuhnya mengikut taraf dan kehendak Israel, dan akan terus menjadi anti-Islam dan seterusnya melancarkan peperangan ke atas umat Islam Eritrea. Seperti yang dijelaskan oleh Profesor Hallahmi, "Ikatan yang berterusan dengan Israel dijelaskan melalui pendiriaan serupa kedua-dua buah negara tersebut dalam menentang kumpulan-kumpulan Islam di kawasan tersebut."41
Usaha-usaha oleh kumpulan pakar Israel di Ethiopia diteruskan dengan lebih cepat di bawah rejim Mengistu Marxis. Mereka terus melatih kumpulan-kumpulan anti-pemberontakan Ethiopia dan menyediakan bekalan senjata kepada puak rejim terbabit. Perikatan ini, yang diasaskan kerana permusuhan terhadap Islam, semakin mendapat kekuatan pada tahun 1990 apabila Israel menghantar bom-bom fragmentasi kepada rejim itu untuk digunakan ketika menentang "militan pemisah."
Kemerdekaan Eritrea Gagal Menamatkan Penindasan

Pakar-pakar Israel yang melatih komando-komando Ethiopia dan kumpulan-kumpulan antiteroris adalah pembantu-pembantu yang hebat bagi membolehkan Haile Selassie terus memegang tampuk pemerintahan.
Kejatuhan blok Timur menunjukkan bahawa rejim komunis Mengistu di Ethiopia turut mengalami nasib yang sama. Pada tahun 1991, penentangan yang dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Isaias Afeworki dan Meles Zenawi telah berjaya menyingkirkan kerajaan komunis. Zenawi yang telah mendapat kuasa masih gagal untuk berdiri menentang kemahuan rakyat Eritrea yang dahagakan kemerdekaan. Kemudian, satu referendum bertarikh 25 April 1993, menjadikan Eritrea bebas dari Ethiopia dan berjaya mendapatkan kemerdekaan.
Afeworki muncul sebagai pemimpin Eritrea baru setelah kemerdekaannya, walaupun masalah-masalah baru berkaitan polisi luar dan dalaman muncul pada waktu yang sama. Afeworki mula bertindak seperti rejim ganas Mengistu apabila beliau memulakan gelombang keganasan untuk menentang mereka yang beriman. Tekanan dari Afeworki, yang mengidam jawatan sebagai ketua negara dan speaker parlimen, membuatkan para penentangnya mengangkat senjata. Konflik berdarah tercetus di antara pasukan askar Eritrea dan kuasa-kuasa penentang, terutama sekali di kawasan pergunungan.
Kedahsyatan penindasan, terutamanya ke atas umat Islam, memasuki dimensi yang lebih mengerikan sewaktu zaman Afeworki. Penahanan dan pembunuhan tanpa sebab semakin berleluasa. Sekolah-sekolah Islam ditutup dan masjid-masjid dimusnahkan. Bahasa Arab dihentikan dari menjadi bahasa rasmi, dan beratus-ratus ribu rakyat melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di Sudan. Sesiapa yang mengkritik rejim Afeworki akan merasakan akibatnya.
Polisi-polisi menindas Afeworki bukan sahaja dikenakan ke atas rakyatnya, malah beliau turut memusuhi negara-negara jirannya. Beliau membawa Eritrea ke dalam kanncah peperangan dengan jirannya Yaman dan Djibouti, dan juga turut memusuhi Sudan, iaitu satu lagi negara jirannya. Beliau malah menunjukkan sikap yang sama ke atas Ethiopia, yang berkongsi banyak polisi-polisi strategi dan politik yang sama. Akhirnya beliau menawan Ethiopia. Sehinggalah berlakunya genjatan senjata pada 18 Jun 2000, pencerobohan ke atas Ethiopia telah menyaksikan beratus-ratus ribu rakyat kehilangan tempat tinggal, berpuluh-puluh ribu mati, dan beribu-ribu rakyat hidup dalam kebuluran disebabkan oleh embargo (sekatan) ekonomi.
Keadaan Mutakhir di Eritrea
Konflik sempadan di antara Eritrea dan Ethiopia yang bermula pada 1999 berakhir dengan genjatan senjata setahun kemudian dengan campur tangan Pertubuhan Kesatuan Afrika. Walau bagaimanapun, walaupun sudah jelas bahawa kedua-dua pihak berada dalam kesukaran ekonomi yang tenat dan rakyatnya pula sudah hampir kebuluran, agak memeranjatkan apabila mereka masih membelanjakan berjuta-juta dolar untuk membeli kelengkapan senjata. Elemen-elemen infrastruktur penting seperti pelabuhan, stesen janakuasa elektrik dan lapangan terbang telah teruk dimusnahkan, berjuta-juta rakyat terpaksa berpindah, kerugian berjuta-juta dolar berlaku dalam pergaduhan-pergaduhan yang tercetus. Berjuta-juta dolar, yang sangat-sangat diperlukan untuk membantu mereka yang memerlukan di kawasan tersebut, telah dikorbankan untuk membeli senjata. Dengan cara ini, kedua-dua pihak, yang merupakan sekutu Israel, telah menjadi pasaran menguntungkan kepada pengeluar senjata Amerika dan Israel. Malah mereka berjaya mengalihkan pandangan penduduk dunia tentang penindasan ke atas umat Islam kepada kisah peperangan.

WANG YANG BERJUTA-JUTA DIBELANJAKAN UNTUK SENJATA PADAHAL RAKYAT KEBULURAN

Konflik sempadan di antara Ethiopia dan Eritrea berakhir pada tahun 2000. Walaupun kedua-dua buah negara berhadapan dengan masalah ekonomi dan rakyatnya pula sedang kebuluran, mereka tetap melaburkan berjuta-juta dolar bagi keperluan peperangan.

Kezaliman berterusan sehingga ke hari ini. Umat Islam di Eritrea masih terus ditahan tanpa sebarang sebab, dihukum mati oleh mahkamah yang tidak adil, dibunuh oleh skuad-skuad pembunuh, dan segala macam bentuk penentangan diharamkan. Umat Islam dengan itu tidak dapat hidup berlandaskan kepada agama mereka, kebebasan untuk beribadah disekat, mereka yang tertindas meningkat hari demi hari, dan polisi-polisi penindasan, ketakutan dan pencerobohan tidak pernah reda. Sekolah-sekolah yang mungkin mengajar kanak-kanak Islam tentang agama mereka ditutup, dan masjid tempat bersolat diruntuhkan. Berpuluh-puluh ribu umat Islam terpaksa berpindah, dan berjuta-juta pelarian yang lari dari penganiyaan rejim tersebut sedang berusaha untuk terus hidup dalam keadaan lapar dan kebuluran.
Tindakan-tindakan zalim ini mengingatkan kita tentang ketidakadilan dan yang dikenakan ke atas umat Islam sepanjang sejarah. Al-Quran telah mendedahkan sifat-sifat pemerintah zalim adalah sama sahaja sepanjang zaman. Mereka ini, yang memiliki sifat-sifat keji, dan penganiayaan yang dikenakan ke atas wanita, kanak-kanak dan orang tua tidak pernah berubah sama sekali. Seperti yang telah diterangkan oleh al-Quran, "Dan berapa banyakkah umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, yang mana mereka itu memiliki kekuatan yang lebih besar dari mereka ini...?" (Qaaf, 50: 36), dengan jelas memberitahu kita bahawa mereka yang hidup di zaman dahulu adalah lebih kejam sewaktu melakukan kekejaman tersebut jika dibandingkan dengan mereka yang hidup pada hari ini. Salah seorang pemerintah zalim yang dikisahkan di dalam al-Quran ialah Firaun:
Sesungguhnya Firaun telah membuat berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak lelaki dan membiarkan anak perem­puan mereka hidup. Sesungguhnya Firaun termasuk dari kalangan orang-orang yang melakukan kerosakan. (Al-Qashash, 28: 4)
Seperti yang diterangkan oleh ayat tersebut, Firaun menindas dan mengenakan seksaan ke atas rakyatnya. Namun, harus diingat bahawa al-Quran menerangkan sesiapa yang terus menerus angkuh, melakukan kezaliman, akan mendapat kehinaan di dunia ini dan azab yang pedih akan menanti di hari akhirat kelak. Dengan cara yang sama, apa yang bakal diterimanya nanti di atas kezaliman yang dilakukannya dahulu adalah seksaan pedih di hadapan mahkamah Allah. Allah telah memberitahu tentang nasib mereka yang menafikan-Nya:
Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan yang melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih. (Asy Syuura, 42: 42)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...