Saturday, March 31, 2012

-PENINDASAN UMAT ISLAM DI ALGERIA-

ALGERIA


Peristiwa Berdarah Ekoran Dari Kekejaman dan Penindasan yang Tidak Berkesudahan
Algeria telah menikmati kehidupan yang selesa di bawah penyebaran Islam di Afrika Utara, namun telah di­musnah­kan oleh kekacauan politik dan sosial selama beberapa tahun sehingga sekarang. Punca kepada konflik yang berlaku di Algeria, yang mana dunia sudah pun mendengarnya sejak sedekad yang lalu, bermula sejak lama dahulu.
Pendudukan Perancis di Algeria
Algeria berada dalam keadaan aman damai semasa pemerintahan Turki Uthmaniyyah dari abad ke-16 sehinggalah abad ke-19. Walau bagaimanapun, apabila Empayar Turki Uthma­niyyah mula hancur, kuasa-kuasa kolonial mula membahagi-bahagikan dunia Islam. Salah satu daripadanya adalah Algeria. Pada 1827, tentera Perancis seramai 37,000 menceroboh negara tersebut. Setelah tiga tahun perang tersebut tercetus, keseluruhan negara tersebut jatuh ke tangan Perancis. Algeria menjadi begitu penting kepada Perancis kerana memiliki takungan minyak yang besar dan menjadi posisi strategik sebagai pelabuhan di Mediterranean. Negara itu kemudian secara rasmi menjadi milik Perancis pada tahun 1830, dan kekal berada dalam koloni Perancis selama 132 tahun yang berikut­nya.
Sejajar dengan panda­ngan para pengkoloni yang lain, Perancis melihat bangsa selain dari mereka sebagai manusia kelas ke­dua. Dengan itu, tertubuhlah sistem yang berasaskan teka­nan dan keganasan di kesemua tanah jajahan yang mereka miliki. Kempen asimilasi budaya bermula. Mula-mula sekali, per­caka­pan dan pengajaran bahasa Arab diharamkan. Bahasa Perancis menjadi bahasa rasmi. Polisi ini bertujuan untuk menghapuskan iden­titi kebangsaan dan warisan kebudayaan rakyat Algeria. Selepas itu, Algeria dijadikan supaya bergantung sepenuhnya kepada Perancis dari segi ekonomi, dan struktur politiknya telah dirombak supaya bersesuaian dengan kepentingan Perancis.
Penentangan Algeria yang pertama terhadap penjajahan Perancis dimulakan oleh Abdul Kader, iaitu gabenor Mascara pada tahun 1832. Beribu-ribu umat Islam Algeria telah dibunuh dalam penentangan tersebut, dan Perancis telah menakluki keseluruhan negara itu. Sepanjang tempoh selepas tercetusnya pemberontakan, tiada sebarang kuasa yang mampu mengawal kemarahan rakyat terhadap penjajah. Banyak pergerakan-pergerakan menuntut kemerdekaan yang diinspirasikan oleh polisi-polisi keganasan dan penindasan, telah ditundukkan oleh Perancis. Ini menjadikan Perancis terus berkuasa di negara tersebut sehingga pertengahan abad ke-20.
Dengan tercetusnya Perang Dunia II, era baru muncul di Algeria. Nazi Jerman telah menawan Perancis dan kemudian Algeria. Ramai pecinta tanah air Algeria yang ditahan oleh Jerman, kebanyakan mereka dibunuh atau di hantar ke kem-kem tahanan. Apabila Kuasa Bersekutu (Pent: Kuasa Bersekutu terdiri daripada negara Britain, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat) berjaya menamatkan penjajahan Jerman (Pent: Jerman adalah dari Kuasa Paksi. Terdapat dua lagi buah negara yang menganggotai Kuasa Paksi, iaitu Itali dan Jepun) pada 1942, para ilmuwan Algeria membayangkan satu permulaan baru dan kedatangan sistem demokratik di Algeria. Namun, akhirnya mereka menyedari dengan cepat bahawa mereka telah silap perkiraan. Pada 1943, satu kumpulan yang dipimpin oleh Ferhat Abbas mencadangkan kepada Kuasa Bersekutu bahawa kolonialisme mesti ditamatkan supaya sebuah negara merdeka dapat ditubuhkan sebaik sahaja perang tamat, dengan sebuah Perlembagaan baru, termasuklah bahawa rakyat Algeria mesti men­tadbir negara mereka sendiri dan mereka yang dipenjarakan disebabkan kepercayaan mereka mesti dibebaskan. Rakyat Algeria yang telah berjuang bersama-sama dengan Kuasa Bersekutu menganggap bahawa permintaan mereka akan dipenuhi. Namun, ia telah ditolak. Di samping itu, corak pembunuh yang baru menyusul tidak lama selepas itu.
Apabila ramai rakyat yang berkumpul sewaktu pengibaran bendera Algeria pada 8 Mei 1945, sebagai meraikan tamatnya peperangan, ia telah diganti dengan pertumpahan darah yang amat mengerikan. Askar Perancis telah melepas tembakan kepada mereka yang membawa bendera Algeria, dan 40 orang telah dibunuh dengan begitu kejam. Peristiwa ini mendapat reaksi umat Islam yang tinggal di kawasan lain. Penentangan meningkat, dan Perancis bertindak-balas dengan menggunakan kekuatan yang lebih besar. Unit-unit tentera mula melepaskan tembakan kepada masyarakat awam secara rambang. Akibatnya, berdasarkan kepada sumber kerajaan Amerika, kira-kira 45,000 umat Islam mati dalam pembunuhan yang dilancarkan. Ramai juga yang cedera. Insiden ini, yang dikenali sebagai Pembunuhan Beramai-ramai Setif, telah diikuti oleh tindakan-tindakan lain oleh rejim Perancis. Segala aktiviti politik diharamkan. Beribu-ribu rakyat Algeria ditahan tanpa ada sebarang justifikasi. Algeria menerima satu lagi penderitaamm daripada kekejaman kuasa kolonialis.
Dekad yang berikutnya selepas Pembunuhan Beramai-ramai Setif, pergerakan-pergerakan menuntut kemerdekaan menjadi semakin matang. Notis yang dikeluarkan oleh mereka pada 1 November 1954, telah menyeru rakyat Algeria supaya bangkit bagi mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan. Pelindung Pembebasan Kebangsaan (FLN) dan Tentera Pembebasan Kebangsaan (ALN), yang diasaskan pada tahun yang sama, telah mengepalai pergerakan kemerdekaan. FLN bukan sebuah pergerakan homogenus (Pent: iaitu tidak dianggotai oleh satu kaum atau satu parti politik sahaja), dan mereka yang datang dari pelbagai latar politik berkumpul di dalamnya. Pergerakan tersebut telah bermesyuarat di Kaherah pada September 1958, dan seterusnya membentuk kerajaan sementara Algeria.


Umat Islam Algeria yang menentang pendudukan Perancis telah dihapuskan dengan menggunakan kereta kebal, senapang dan penderaan. Perjuangan menuntut kemerdekaan selama 7 setengah tahun daripada kolonial Perancis telah meninggalkan sebuah tragedi berdarah: Askar-askar Perancis telah membunuh 1.5 juta rakyat Algeria yang tidak bersenjata dengan menggunakan senjata-senjata berat. Selepas kemerdekaan, kerajaan Algeria berdiri setelah Perancis pergi.
Perancis sudah tentu tidak mahu kehilangan Algeria yang kaya dengan simpanan minyak dan gas aslinya. Potensi kemunculan sebuah negara Islam yang kaya dengan sumber asli telah membuatkan Perancis dan negara-negara lain yang anti-Islam berasa tidak selesa. Perancis menjangka bahawa perkembangan seperti itu akan membawa kesan domino kepada negara-negara Islam lain di Afrika, dan dengan itu terjadilah pembunuhan yang berikutnya. Banyak perkampungan yang dibakar oleh Perancis, sekolah-sekolah dan masjid-masjid dirobohkan, sehinggalah Algeria mengisytiharkan kemerdekaannya. Sepanjang tempoh tersebut, yang menyaksikan ribuan nyawa melayang, Perancis masih terus memusnahkan tanaman rakyat Algeria dan juga turut membunuh haiwan ternakan mereka. Kira-kira 400,000 batang pokok anggur yang dimusnahkan dan ribuan haiwan dibunuh.
Walau bagaimanapun, Perancis akhirnya menerima kehendak rakyat Algeria yang mahukan kemerdekaan, walaupun sebenarnya Perancis tidak pernah teragak-agak untuk membunuh rakyat, wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak bersalah. Pada 1959, Presiden Perancis de Gaulle mengumumkan di dalam ucapannya di PBB bahawa beliau telah mengisytiharkan kemerdekaan Algeria. FLN dan Perancis telah mengisytiharkan genjatan senjata melalui Perjanjian Evian, dan Algeria akhirnya mendapat kemedekaan pada tahun 1962. Perjuangan menuntut kemerdekaan daripada Perancis selama lebih kurang tujuh setengah tahun menyaksikan kira-kira 1.5 juta rakyat Algeria mati.
Keganasan yang dilakukan oleh Perancis adalah satu pengesahan sadis tentang sifat-sifat mereka yang tidak beriman dan suka pula melakukan kerosakan seperti mana yang tercatat di dalam al-Quran. Mencederakan manusia yang tidak bersenjata sewaktu peperangan, menyebabkan kebuluran yang menjadikan mereka sukar untuk meneruskan kehidupan, dan membiarkan mereka dalam kemiskinan adalah tindak-tanduk rejim-rejim kejam yang berlaku sepanjang sejarah manusia:
Dan apabila dia berpaling (dari kamu), dia berjalan di bumi untuk melakukan kerosakan, dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang tenakan, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (Al-Baqarah, 2:205)
Kita tidak boleh lupa bahawa mereka yang melakukan perkara sedemikian rupa di dunia ini akan membayar harganya di akhirat kelak. Al-Quran telah memberitahu umat Islam tentang berita gembira ini:
Negeri Akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak mahu menyombongkan diri dan membuat keroskan di muka bumi. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Al-Qashash, 28:83)
Penyeksaan yang Dialami Oleh Rakyat Algeria yang Didalangi Perancis
Polisi penindasan penuh kejam yang dilakukan Perancis sepanjang berlakunya Perang Algeria untuk mendapatkan kemerdekaan telah dikutuk sehebat-hebatnya oleh ramai cendekiawan Perancis, dan inisiatif penduduk awam telah dilakukan bagi menghentikan penindasan yang berlaku. Keganasan ini yang dipercayai telah menjadi titik hitam dalam sejarah manusia apabila Algeria akhirnya berjaya mendapat kemerdekaan, namun telah dimasukkan ke dalam agenda semula oleh komander-komander yang bertugas di Algeria ketika itu.
Polisi pentadbiran Perancis di Algeria telah diterangkan secara ringkas dan jelas oleh Jacques Massu, pemerintah komander kecemasan ketika itu:
Seksa? Sudah tentu kami seksa. Beberapa badan telah membuatkan ia sukar bagi kami. Tapi bagaimana anda boleh jangka yang kami akan melakukan tindakan yang berbeza?24
Malah ada juga kenyataan yang lebih mengerikan. Ia adalah luahan dari Jacques Duquesne, seorang koresponden La Croix ketika itu:
Soalan-soalan tentang penyeksaan dan kehilangan sering menghujani minda anda. Lelaki dan kadang-kala wanita ditahan, dan tiada khabar yang didengari tentang mereka selepas itu. Amalan mengikat badan dengan batu dan kemudian menghumbankannya ke laut sudah diketahui ramai. Bilangannya secara umum adalah 3,000 orang, walaupun Datuk Bandar Algeirs Jacques Chevallier menyatakan angkanya adalah sekitar 5,000 orang. Di antara kaedah-kaedah pencerobohan yang dilakukan oleh pasukan askar Perancis adalah merogol dan memusnahkan keseluruhan kampung. Seorang askar telah memberitahu bagaimana dia sebagai pembantu perubatan terpaksa merawat penduduk setiap pagi yang mana pada waktu malamnya mereka telah diseksa oleh askar dari unitnya sendiri. Teknik paling popular ialah dengan mengenakan arus elektrik di bahagian tubuh badan, kadang-kala pada bahagian kemaluan wanita. Cara penyeksaan yang lain adalah untuk membunuh. Para mangsa akan disumbat dengan paip getah di mulutnya dan kemudian pili air dibuka, atau kuku di tangan dicabut, atau kepala mereka direndamkan ke dalam takungan yang dipenuhi air, atau mereka digantung selama berjam-jam pada bahagian pergelangan tangan yang mana kaki mereka hampir tidak mencecah lantai. Terdapat juga kaedah-kaedah yang lain. Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk menulis kesemuanya. Saya hanya mengulangi beberapa bahagian yang saya tahu.25
Apa yang Berubah Dengan Kemerdekaan?
Algeria berjaya mencapai kemerdekaannya pada 1962, walaupun hanya sedikit perubahan berlaku kepada umat Islam. Dengan deklarasi kemerdekaan, FLN mahukan kuasa dan membentuk sebuah organisasi yang terikat secara rahsia dengan Perancis. Dengan mengikut tradisi yang sering dilihat di dalam dunia Islam pada abad ke-20, parti akan membentuk rejim penindas. Para pemimpin rejim tersebut telah mengeksploitasi kekayaan sumber alam sewaktu mereka berkuasa. Rakyat menjadi semakin miskin sewaktu para pemimpin FLN dan penyokongnya menikmati kemewahan. Pada tahun 1990-anan, kadar pengangguran meningkat kepada 70 peratus. Walau bagaimanapun, segala tekanan dan eksploitasi yang dikenakan ke atas umat telah mewujudkan benih-benih kemusnahan rejim itu sendiri.

Askar-askar Perancis bermegah dengan pembunuhan yang dilakukan, dan tidak pernah berasa bersalah atas kekejaman yang dilakukan. Gambar-gambar berikut diambil di hadapan rakyat Algeria yang dibunuh di kawasan Ain Beida, dan kemudian dipaparkan di dalam akhbar-akhbar.
Segala perkembangan tersebut menjadikan Algeria penuh dengan demonstrasi, boikot dan protes untuk rakyat melepaskan ke­marahannya. Semakin banyak suara-suara yang menuntut kebebasan dan juga sistem multi-parti bagi menggantikan sistem satu parti yang sedia ada. Akhirnya pada tahun 1989, sistem multi-parti telah dibentuk.
Pilihan raya umum telah diadakan pada 26 Disember 1991. Terdapat dua kali pengundian bertulis, dan keputusannya telah diumumkan pada 30 Disember. Barisan Penyelamat Islam (FIS) telah berjaya mendapat majoriti kerana memenangi 188 daripada 232 kerusi di parlimen. FLN yang memerintah ketika itu hanya berjaya mendapat 15 kerusi. Pusingan kedua turut dilihat akan memberikan keputusan yang serupa. FIS dilihat sudah pasti akan memenangi pilihan raya itu.
Namun demikian, rejim penindas di negara tersebut tidak akan membiarkan ia berlaku. Pasukan askar yang dipimpin oleh Ketua Staf Jeneral Khalid Nezzar telah melakukan rampasan kuasa. Wujud provokasi-provokasi dan berita-berita yang sudah jelas palsu bagi menjustifikasikan rampasan kuasa tersebut. Sebelum keputusan pusingan pertama diumumkan, perdana menteri mengatakan bahawa pengundian telah berjalan lancar, aman dan selamat. Selepas keputusan menjadi semakin jelas, perkara sebaliknya berlaku. Beliau telah membuat kenyataan bahawa pengundian "tidak dijalankan dengan cukup bebas dan jujur," yang dengan kata lain menuduh FIS sama ada sudah menipu atau menggunakan cara paksa.


Pada tahun 1997 sahaja, lapan buah masjid dan umat Islam yang bersolat di dalamnya telah dibom. 33 orang telah dibunuh dan 211 yang lain cedera. (Kanan)
Dalam pembunuhan beramai-ramai Sidi-Hamed pada 11 Januari 1998, kira-kira 350 orang telah kehilangan nyawa (bawah kanan dan tengah). Kira-kira 350 orang telah dibunuh dalam satu siri serangan oleh penyerang yang tidak dikenal pasti di kawasan Moussa pada tahun 1997. Gambar di bawah menunjukkan sanak-saudara sedang mengecam jasad-jasad kaku yang terbaring di jalanan.
Penindasan oleh polis-polis Algeria ke atas umat Islam telah berlangsung selama berdekad-dekad. Pada tahun 2001, terdapat sejuta tahanan politik yang dipenjarakan. Para tahanan tidak dibicarakan di mahkamah maka mereka tidak dikenakan hukuman. Jadi tempoh tahanan mereka dilanjutkan lagi dan lagi. Pihak berkuasa cuba menjadikan mereka yang dibunuh di dalam penjara seperti mati membunuh diri, atau mendakwa para tahanan menyerang pengawal, ataupun memberitahu bahawa para tahanan saling berbunuhan.
Perkembangan rampasan kuasa itu juga agak menarik. Segala peristiwa yang telah terbentang menunjukkan bahawa segala-galanya sudah dirancang siap-siap. Berikutan rampasan kuasa, dan kontra terhadap luahan yang diberikan kepada penduduk dunia, umat Islam tidak memulakan "perang saudara." Konflik sebenarnyan dimulakan oleh mereka yang mencetuskan rampasan kuasa. FIS telah menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan kekerasan dan sebaliknya menggunakan jalan damai. Kerajaan sebaliknya bertindak dengan menahan ribuan ahli FIS dan mengenakan hukuman-hukuman kejam ke atas mereka sewaktu di penjara.
Tahun-tahun berikutnya tidak membawa sebarang perubahan terhadap tekanan yang dikenakan ke atas rakyat Algeria. Berikutan provokasi yang menyalahkan umat Islam, sebuah mahkamah yang memiliki kuasa luar biasa telah dibentuk. Pada mulanya, FIS dan para penyokongnya tidak mahu mengangkat kepala dan masih berpegang kepada cara yang lebih damai, namun kemudiannya mereka mula berubah sikap kerana tekanan dan ketidakadilan yang melampau-lampau. Satu kumpulan mula menggunakan senjata sebagai reaksi serangan bersenjata terhadap mereka oleh pasukan keselamatan. Akhirnya, Algeria terjebak ke dalam kancah perang saudara.
Siapakah Dalang Perang Saudara di Algeria?

Tujuan perang saudara satu sahaja: untuk memusnahkan kuasa Islam, jika perlu dengan menggunakan cara penghapusan secara fizikal. Inilah sebabnya mengapa skuad pembunuh diwujudkan, di bawah nama "kumpulan anti-teroris." Umat Islam yang menjadi sasaran skuad ini akan dibunuh, dan kes-kes tersebut tidak pernah selesai. Berdasarkan kepada keterangan seorang pegawai polis Algeria, yang mengakui apa yang telah berlaku, kumpulan-kumpulan khas akan mengetuk pintu-pintu umat Islam yang menjadi sasaran mereka dan kemudian menembak mereka sebaik sahaja pintu dibuka.26 Professor Abdul Hamid Brahimi, yang merupakan Perdana Menteri Algeria 1984-1988, telah berucap tentang metod-metod yang digunakan sewaktu peperangan ke atas umat Islam:
Rakyat Algeria telah dirobek ketenangannya semenjak rampasan kuasa haram pada Januari 1992. Penangkapan secara rambang dan beramai-ramai terhadap mereka yang tidak bersalah, termasuk guru, jurutera, doktor, peguam, pedagang, dan pelajar; mereka dihantar tanpa usul-periksa ke kem-kem kurungan atau pun dicampak ke dalam penjara dan dilayan dengan cara yang tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Di samping itu, orang muda Algeria telah dibunuh setiap hari oleh skuad pembunuh tanpa ada sebab yang munasabah, hanya kerana mereka dianggap memiliki potensi yang berbahaya kepada puak rejim.27
Pada 16 November 1997, sebuah artikel bertajuk "Kami Menuduh 80,000 Kali," John Sweeney, seorang wartawan akhbar harian Britain The Observer, telah memberikan sokongan kepada kata-kata Brahimi. Sweeney amat berminat dengan Algeria dan telah memberikan pandangannya terhadap pembunuhan di negara tersebut selepas beliau menemu bual beberapa orang saksi yang telah melihat kekejaman yang dilakukan di hadapan mata mereka sendiri:
...himpunan bukti-bukti telah menjelaskan keadaan Algeria. Kira-kira 80,000 rakyat telah dibunuh semenjak penipuan umum kepada rakyat melalui pilihan raya yang dipenuhi pertengkaran pada 1991. Kerajaan - le pouvoir - adalah korup, dibenci dan terus memegang kuasa dengan cara keganasan. Pertimbangkan bukti daripada Amnesti Antarabangsa, Pemerhati Hak-Hak Kemanusiaan, Persekutuan Hak-Hak Kemanusiaan Antarabangsa, Wartawan-Wartawan Tanpa Sempadan; bukti-bukti dari pihak media-media Algeria sendiri yang dikongkong oleh kerajaan...28
ORANG AWAM SEKALI LAGI MENJADI SASARAN...

Pembunuhan beramai-ramai yang serupa seperti yang ditunjukkan dalam gambar-gambar di sebelah telah dijalankan dalam satu serbuan mengejut ke atas kediaman-kediaman rakyat Algeria. Mereka yang sedang tidur di atas katil telah dikejutkan dan seterusnya dibunuh dengan kejam. Bayi-bayi pula telah ditembak.
Sweeney telah menerima reaksi dari seluruh dunia berikutan temu bualnya dengan seorang anggota polis rahsia Algeria, temu bual dengan beberapa buah negara Barat, Perancis terutamanya, sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan kejam ke atas mereka yang tidak bersalah. Himpunan laporan dan luahan daripadanya menunjukkan keganasan di Algeria sebenarnya didalangi oleh pihak kerajaan. Walaupun seluruh dunia sedar tentang semua ini, tiada siapa pun yang mahu memberhentikan semua ini. Mereka lebih suka untuk berdiam diri. Dengan kata lain, "Kerajaan Algeria dan rakan-rakan Baratnya lebih suka untuk bertindak di dalam kegelapan."
Mereka yang Benar-Benar Bertanggungjawab Terhadap Pembunuhan
Sweeney telah memberikan tiga buah contoh-contoh pembunuhan yang berasingan di dalam artikel tersebut, seterusnya mendedahkan dengan tepat tentang siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap siri-siri pembunuhan yang ditujukan kepada umat Islam. Kisah pertama bermula pada Julai 1994. Pada hari para pemimpin Barat yang menganggotai G-7 bertemu di Nepal, "ekstrimis Islam" telah dituduh mengelar leher tujuh orang ahli kelasi Itali sewaktu mereka berada di pelabuhan Algeria. Media-media Barat dengan cepat dan bengis menuduh kumpulan "radikal Islam" yang melakukan serangan tersebut.
Walau bagaimanapun, Joseph, seorang anggota polis rahsia Algeria yang digunakan oleh Sweeney sebagai salah satu dari sumber maklumatnya, memiliki pandangan yang berbeza tentang serangan tersebut. Beliau memberitahu bahawa pembunuh adalah rakan-rakannya di dalam unit polis rahsia. Perkara yang lebih menarik ialah sewaktu serangan itu berlaku, pelabuhan tersebut berada di dalam kawasan militari, dan ia dilindungi sebaik-baiknya oleh pasukan tentera laut. Sweeney telah menarik perhatian tentang perkara luar biasa yang berlaku sewaktu kejadian tersebut:
Jenjen, sewaktu berlaku pembunuhan beramai-ramai tersebut, dikawal ketat oleh pasukan tentera laut, di dalam zon ketenteraan, yang mana terdapat berek-berek askar beberapa ela sahaja dari kapal tempat orang-orang Itali itu disembelih. Jika kumpulan ekstrimis merupakan pembunuhnya, maka mereka mesti melepasi pemeriksaan tentera, berjalan berjengket-jengket di berek tempat tinggal askar, mengelar leher kelasi-kelasi Itali itu, memunggah turun 600 tan kargo yang didapati hilang, dan kemudian melarikan diri secara perlahan-lahan supaya tidak ditangkap.29


Tiada apa yang berubah bagi umat Islam Algeria selepas negara itu berjaya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1962. Pemerintahan baru yang memiliki hubungan rapat dengan Perancis, terus melakukan pembunuhan.

Contoh kedua yang ditulis oleh Sweeney ini juga tidak kurang menariknya:
Pada 1995, satu siri pengeboman telah berlaku di kota Paris. Kumpulan-kumpulan ekstrimis Islam dipersalahkan dan Barat bersetuju. Joseph memberitahu kepada kita bahawa lelaki yang merancang pengeboman adalah Jeneral Tewfik dan Smain, yang merupakan komander-komander di dalam pasukan polis rahsia Algeria, dan operasi tersebut telah dikawal dari Kedutaan Algeria di Paris. Selepas pengeboman, Menteri Dalam Negeri Perancis, Jean-Louis Debre, telah ditanya sewaktu makan tengah hari sama ada wujudkah kemungkinan bagi pasukan polis rahsia Algeria bersembunyi di sebalik pengeboman tersebut. Beliau menjawab: "Militari keselamatan Algerian meng­harapkan kami supaya mengikut jejak yang salah, jadi kami dapat menghapuskan sesiapa sahaja yang mengganggu mereka."30
Contoh yang ketiga ini juga turut menimbulkan satu lagi misteri:
Pada 1997, tiga insiden pembunuhan beramai-ramai yang besar telah dilakukan di selatan Algiers. Ketiga-tiganya berlaku di sebuah zon yang dikawal ketat, dikelilingi oleh berek-berek askar. Ia mengambil masa yang lama untuk menyembelih leher 200 orang manusia. Tiada seorang pun yang dibawa ke muka pengadilan Algeria atas sebab pembunuhan beramai-ramai yang besar itu. Mereka yang melakukan pembunuhan itu, seperti yang diberitahu oleh puak rejim, "dibiarkan tanpa gangguan."31
Insiden serupa yang dilaporkan oleh John Sweeney turut dilaporkan dalam sebuah majalah berbahasa Turki. Di dalamnya terdapat kenyataan-kenyataan daripada para saksi yang melihat pembunuhan beramai-ramai di Seydi Musa, iaitu sebuah kawasan di Algeria. Ia menyaksikan seramai 300 orang dibunuh. Insiden ini amat penting bagi seseorang yang mahu mengetahui hal sebenar yang terjadi di Algeria:
Hakikat bahawa tiada campur tangan ketenteraan dalam pembunuhan beramai-ramai di Seydi Musa, yang berlaku hanya di sebelah ibu pejabat militari dan hanya memakan masa lima jam, adalah aspek yang patut diberi perhatian dalam seluruh konspirasi yang terjadi. Kenyataan daripada mereka yang terselamat ialah, "Kami menjerit meminta pertolongan, pasukan keselamatan tidak jauh dari kami, namun manusia pertama yang datang di awal-awal pagi ialah pasukan bomba," dan api serta asap yang keluar dari rumah-rumah, serta bunyi-bunyi tembakan senjata automatik penyerang yang gagal menarik perhatian pasukan keselamatan adalah cukup untuk memberitahu kita siapakah sebenarnya yang bersembunyi di sebalik pembunuhan di Algeria.32
Ramai sebenarnya yang turut berkongsi pandangan yang serupa seperti Abdul Hamid Brahimi dan John Sweeney tentang apa yang berlaku di Algeria. Ramai pakar yang sedang meneliti perkembangan di negara tersebut bersetuju bahawa kerajaan Algeria, yang disokong oleh junta (Pent: iaitu majlis pemerintah), adalah dalang di sebalik pembunuhan dan tindakan-tindakan keganasan. Salah seorang daripada kumpulan-kumpulan pakar tersebut ialah Perbadanan Rand Graham Fuller, bekas ejen CIA. Fuller telah mengenalpasti unit-unit militari yang bertanggungjawab terhadap tindakan-tindakan teroris di Algeria, termasuklah juga pengeboman di Paris, dan turut meng­gambarkan niat mereka untuk memanipulasikan pandangan masya­rakat dunia. Beliau mempertahankan bahawa agensi-agensi intelek Barat mengetahui semua perkara yang berlaku dan mereka cuba mempengaruhi pandangan penduduk dunia dengan menyebarkan maklumat yang salah.33
Fakta lain yang turut memberikan bukti penting ialah hampir kebanyakan jeneral-jeneral di dalam junta yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan yang dilakukan pada masa-masa yang tertentu atau yang lain adalah berada di dalam pasukan askar Perancis. Mereka ini memberikan perkhidmatan kepada pasukan askar Perancis sewaktu berlakunya Perang Kemerdekaan Algeria, atau dengan kata lain mereka bekerjasama dengan Perancis. Ketua Staf Jeneral Mohammed Amari, sebagai contoh, merupakan seorang pegawai di dalam pasukan askar Perancis. Beliau menganggotai pasukan askar Algeria sebaik sahaja sebelum kemerdekaan diisytiharkan. Ketua bagi Bahagian Kepintaran iaitu Jeneral Tewfik, dan pemimpin yang melakukan rampasan kuasa secara haram, yang juga merupakan Menteri Pertahanan terdahulu iaitu Jeneral Khalid Nezzar turut menjadi pegawai di dalam pasukan askar Perancis.34
Sebagai tambahan kepada semua ini, bekas Per
dana Menteri iaitu Abdul Hamid Brahimi telah menerangkan bahawa semua tindakan keganasan dituduh dilakukan oleh umat Islam, padahal umat Islam tahu bahawa mereka tidak akan dapat mencapai impian mereka dengan cara pembunuhan. Selepas berkata demikian, Brahimi me­ne­kankan bahawa itu semua dilakukan oleh bekas-bekas ahli OAS, iaitu sebuah pertubuhan penentang-gerila yang ditubuhkan bagi menentang kemerdekaan Algeria pada tahun 1962. Pertubuhan ini yang sebenarnya digerakkan oleh pihak pentadbiran Perancis, adalah dalang yang berselindung di sebalik keganasan yang berlaku di Algeria.35
Di samping semua ini, perkara yang mesti dijelaskan ialah kumpulan-kumpulan Islam yang terlibat dalam serangan-serangan keganasan terhadap penduduk awam adalah berada di landasan yang salah. Seperti yang telah kami beritahu, metod-metod yang sedemikian adalah tidak serasi dan selaras dengan ajaran Islam. Islam sentiasa mengajak umatnya memilih jalan damai, dan jika peperangan menjadi satu-satunya jalan terakhir, Islam memastikan nyawa dan hak pen­du­duk awam yang tidak bersalah tidak dicabuli. Selain itu, segala macam bentuk "perjuangan" yang membawa kepada kezaliman yang ti­dak berjustifikasi adalah berlawanan dengan kehendak Islam. Umat Islam di Algeria perlu sensitif terhadap perkara ini. Mereka seharusnya ti­dak melancarkan peperangan dengan cara mengangkat senjata, se­baliknya dengan menggunakan kebudayaan, ilmu dan juga kewarasan. Mudahan-mudahan segala darah dan air mata yang menitik di bumi Algeria akan diganti dengan sebuah kedamaian dan keselamatan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...