Saturday, March 31, 2012

-PEMBANTAIAN UMAT ISLAM CHECHNYA-

CHECHNYA
 
Penindasan yang dilakukan di mata dunia
Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet kira-kira sedekad yang lalu, zaman kepayahan masih dirasakan oleh banyak negara yang dahulunya merupakan sebahagian daripadanya. Kesan dari polisi perluasan kuasa Rusia di Kazakhstan, Turkmenistan, Azerbaijan, Uz­be­kistan, Kyrgyztan dan Dagesten masih belum dapat dipadamkan. Negara-negara ini, yang percaya bahawa mereka mampu membina keamanan dan memupuk persaudaraan selepas bebas daripada penindasan rejim Soviet, kemu­diannya mendapati mereka terpaksa ber­konfrontasi dengan penindasan Rusia dalam bentuk yang agak berlainan sedikit. Sebaliknya, ada juga satu bangsa yang masih belum bebas daripada perjuangan 400 tahun untuk men­dapatkan kemerdekaan daripada Rusia. Negara itu ialah Chechnya, yang mana keberanian dan hasrat mereka untuk mendapatkan ke­merde­ka­an telah tercatat di dalam sejarah.
Sejarah perjuangan kental umat Islam Chechnya menentang Rusia bermula pada akhir abad kelapan belas berikutan dengan penawa­nan dan seterusnya pembunuhan yang di­lakukan terhadap Imam Mansur, seorang pe­juang penentang legenda, pada tahun 1791, di tangan pihak Rusia. Pada tahun 1816, selepas Czar (Pent: gelaran yang diberikan kepada raja Rusia dahulu) mengarahkan Jeneral Yermolov untuk memimpin pasukan tentera Rusia, orang-orang Chechen yang tinggal di utara Caucasus telah dibunuh dengan begitu kejam. Apabila pemimpin umat Islam Chechen Imam Hamzat dibunuh, Sheikh Shamil mengambil alih teraju kepimpinan tentera Chechen, dan mula ber­juang hebat untuk men­dapatkan kemerdekaan, yang seterusnya di­per­turunkan dari satu ge­ne­rasi ke satu gene­rasi berikutnya se­hing­ga­lah ke hari ini.
Pasukan tentera Sheikh Shamil dengan gagahnya menentang dasar perluasan wilayah oleh pihak Rusia selama suku abad, dari 1834 sehingga 1859. Namun demikian pada akhirnya, Rusia berjaya menawan wilayah tersebut dan terus berada di situ sehingga hari ini. Perjuangan orang-orang Chechen untuk mendapatkan kemerdekaan pada hari ini sebenarnya adalah sambungan dari pergerakan yang dimulakan oleh Sheikh Shamil.
Bagaimanakah Situasi Semasa Tercetus?
Ada berbagai-bagai sebab, faktor-faktor sejarah dan ekonomi tertentu, yang terselindung di sebalik penindasan kejam dan keganasan yang dilakukan terhadap orang-orang Chechen oleh pihak Rusia. Chechnya sebenarnya mempunyai kepentingan besar kepada Rusia berbanding republik-republik Caucasian yang lain. Wilayah ini mengandungi simpanan tenaga yang sangat banyak, terutamanya minyak dan gas asli. Semasa Perang Dingin, pihak Komunis Rusia mendapatkan segala keperluan bahan mentahnya dengan harga yang begitu murah daripada Chechnya, dan juga turut menggunakan negara tersebut untuk kepentingannya sendiri. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, walau bagaimanapun, deklarasi kemerdekaan yang dituntut oleh Chechnya - sumber bahan mentah terbesar - dan juga bekas-bekas republik Soviet yang lain telah meletakkan Rusia di dalam ke­bimbangan.

Tentera Sheikh Shamil telah menentang askar-askar Rusia dan menjadi nenek-moyang kebangkitan pejuang Chechen pada hari ini.
Di samping faktor ekonomi, polisi perluasan kuasa Rusia yang berabad-abad lamanya menjadi faktor sejarah yang membawa kepada huru-hara yang baru-baru ini berlaku di Asia Tengah dan Caucasus. Selepas Kesatuan Soviet tumbang, Moscow mengalami waktu-waktu yang tidak stabil, tetapi kemudian cuba keluar dari situasi tersebut, dan mengambil inisiatif-inisiatif jangka panjang untuk mewujudkan semula penguasaan ke atas republik-republiknya yang dahulu. Tanda pertama yang membuktikan apa yang sedang Rusia lakukan ke atas republik-republik ini telah disampaikan di dalam satu ucapan oleh Presiden Boris Yeltsin pada tahun 1993. Dalam ucapannya, beliau mengatakan bahawa Rusia akan sekali lagi memenangi status kuasa super dengan mendapatkan semula semua kedudukan-kedudukan yang telah hilang.6 Dengan kata lain, Rusia enggan menerima sebarang deklarasi kemerdekaan negara-negara tersebut, kemenangan mereka untuk mendapatkan kebebasan, dan kebolehan mereka untuk berdiri di atas kedua-dua kaki sendiri. Sebaliknya, Rusia melihat negara-negara tersebut sebagai "kedudukan yang mesti dirampas kembali."
Kesannya, wujud sesetengah komuniti umat Islam yang masih gagal mendapatkan kebebasan dan terus berada di bawah persekutuan Rusia. Salah satu daripadanya ialah Chechnya, yang telah menjadi sasaran utama tekanan, dan dengan sebab itu ia berhadapan dengan pelbagai jenis kekejaman yang maha dahsyat.
Untuk memahami dengan tepat apa yang sedang berlaku di Chechnya kini, kita perlu menumpukan perhatian terhadap beberapa perkara penting. Peperangan yang tercetus di Chechnya bukanlah konflik yang mana kedua-dua pihak mengangkat senjata kerana konflik yang berlaku di antara mereka sudah sampai ke tahap yang sudah tidak boleh diselesaikan dengan jalan damai lagi, iaitu jenis perang yang boleh dijumpai di mana-mana sahaja di dunia ini. Keadilan yang dituntut oleh orang-orang Chechen untuk mendapatkan kemerdekaan telah diperdebatkan oleh pelbagai pihak di peringkat antarabangsa, dan pelbagai pendapat telah diajukan. Kesemua pendapat-pendapat tersebut boleh dipertikaikan. Walau bagaimanapun perkara yang kesemua pihak bersetuju ialah Rusia telah melampaui batas dan menyerang penduduk yang tidak bersalah, menukarkan peperangan yang pada mulanya hanya melibatkan askar kepada usaha untuk menghapuskan seluruh populasi Chechnya. Hal ini tidak dapat diterima, dan ia akan menjadi pokok perbincangan penting di dalam bab ini.
Dalam usaha Rusia untuk memperlihatkan dirinya berada di pihak yang benar di persada arena antarabangsa, Rusia memberitahu bahawa perang yang berlaku di Chechnya hanyalah satu "perkara domestik", dengan harapan ia akan menutup mata masyarakat terhadap keganasan yang berlaku di sana. Namun, alasan itu tidak mencukupi untuk menerangkan tentang perihal pemuda-pemuda Chechen yang dikumpul di jalanan dan seterusnya dihantar ke pusat-pusat seksaan, mereka yang dipenjara diikat kakinya pada kereta kebal dan seterusnya diseret, bayi-bayi yang masih kecil ditembak dan harta penduduk dirompak. Ramai ahli sains falsafah dan pakar-pakar yang bersetuju bahawa Rusia terlibat melakukan genocide di wilayah tersebut dan melakukan kekejaman yang jarang dilihat sebelum ini, kesemuanya dilakukan untuk memastikan Chechnya terus berada di dalam genggamannya.
Sebaliknya, serangan-serangan yang dilakukan oleh sesetengah golongan Chechen terhadap penduduk awam Rusia juga mesti dikecam dengan jelas. Orang-orang Chechen secara asasnya berjustifikasi mahukan sebuah kehidupan yang bebas dan mulia. Namun, tindakan-tindakan sedemikian telah menconteng arang terhadap kehendak yang telah dijustifikasikan dan seterusnya menyulitkan lagi usaha untuk membela tindak-tanduk orang-orang Chechen. Sebagai tambahan, haruslah diingat bahawa menyerang orang awam yang tidak bersalah adalah secara terang-terangan melanggar prinsip-prinsip Islam. Sepanjang hidup Nabi Muhammad s.a.w., Baginda sentiasa membela hak-hak orang awam, walaupun ketika pergaduhan yang dahsyat, dan mengarahkan semua umat Islam agar bersikap sederhana dan tidak fanatik. Inilah kehendak moral yang dituntut oleh al-Quran. Di dalam al-Quran, Allah telah mengarahkan umat Islam agar bersikap pemaaf dan bertoleransi dan juga untuk bersikap adil, walaupun ketika peperangan. Seorang Muslim mesti menjadi orang pertama yang memberi makan kepada orang tawanannya walaupun dia sendiri sedang kelaparan, selalu bersifat sederhana walaupun di tengah-tengah peperangan, membela hak mereka yang ditindas dan tidak pernah terpesong dari jalan kejujuran dan keadilan. Atas sebab inilah, orang-orang Chechen mesti sentiasa ingat kepada peringatan Allah "Wahai orang-orang yang beriman. Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sering menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Al-Maaidah, 5), walaupun ketika menentang penindasan Rusia, dan mesti tidak menjadikan orang awam yang tidak bersalah dan tidak bersenjata sebagai sasaran mereka.
Harapan kami adalah untuk mencari jalan penyelesaian terhadap perbezaan di antara orang-orang Chechen dan pentadbiran Rusia dengan berdasarkan cara yang aman dan sederhana, seperti juga yang akan dilakukan terhadap kes-kes lain yang berlaku di kawasan dunia Islam yang lain.
Kebimbangan Moscow Terhadap "Caucasus Bersatu"
Chechnya, yang telah menjadi agenda dunia sejak sedekad yang lalu, merupakan sebuah negara kecil yang berukuran kira-kira 16,000 kilometer persegi. Di dalam Persekutuan Rusia hari ini, ada 19 republik autonomi yang mempunyai kedudukan yang sama seperti Chechnya. Republik-republik ini membentuk 28 peratus, dalam satu perempat, daripada keseluruhan wilaayah Rusia. Moscow masih memiliki pengaruh yang kuat ke atas republik-republik tersebut, dan sangat berharap agar pengaruh tersebut dapat kekal selama-lamanya. Kehilangan Chechnya akan memecahkan cengkaman kuasa Rusia terhadap republik-republik yang lain, dan seterusnya akan menjadi contoh kepada bangsa-bangsa lain untuk melakukan tindakan yang serupa. Jika orang-orang Chechen, yang banyaknya seperti kumpulan askar Rusia sahaja, berpisah dari Rusia, ini akan mencetuskan penubuhan gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan di dalam republik-republik autonomi yang lain. Karekteristik paling jelas yang terdapat pada republik-republik di dalam Persekutuan Rusia ialah cara mereka mempengaruhi di antara satu sama lain dengan berkesan sekali, dan bagaimana sesuatu perubahan yang berlaku di dalam sesebuah republik dapat mempengaruhi yang lain.
Di samping semua ini, masih ada satu elemen yang menjadikan Chechnya begitu penting kepada Rusia. Ketakutan Moscow yang sebenar, seperti contoh di Bosnia dan Kosovo, ialah penubuhan dan perjuangan membela hak-hak umat Islam yang tinggal di dalamnya. Inilah sebab paling penting mengapa perang yang tidak ber­perikemanusiaan dilancarkan oleh pentadbiran Rusia terhadap Chechnya, yang mana mereka telah berusaha selama bertahun-tahun untuk menghapuskan identiti agama orang-orang Chechen, dan dengan itu mengenakan penindasan kejam ke atas mereka, memusnahkan masjid-masjid, mengharamkan ibadat kepada Allah, dan melarang pendidikan yang bersifat keagamaan.
Orang-orang Chechen dikenali dengan kesetiaan mereka terhadap agama, keazaman mereka berjuang untuk hidup dengan berlandaskan agama, dan identiti keislaman mereka yang amat kuat memberi kesan kepada negara-negara Islam yang lain di Caucasus. Idea "Cacasus Bersatu" yang telah dicadangkan oleh Imam Mansur pada tahun 1780-an yang bertujuan untuk menyatukan seluruh Caucasus, benar-benar telah memberi amaran kepada Rusia. Ini kerana ciri utama penubuhan kesatuan tersebut ber sifat Islamik, dan ia memberikan ancaman getir terhadap segala kepentingan Rusia.
Ketakutan-ketakutan ini telah menimbulkan keinginan Rusia untuk melihat "Chechnya tanpa Chechen". Berdasarkan kepada polisi semasanya, Rusia mahu menghapuskan orang-orang Chechen sehingga ke akar umbi, menghalang sebarang penubuhan kesatuan Islam, dan mahu mengambil semula bekas-bekas tanah jajahan yang hilang ke pangkuan dominasinya semula. Sedangkan, walaupun "Caucasus Bersatu" ditubuhkan, ia tidak perlu dianggap sebagai satu per­kembangan anti-Rusia. Jika Rusia menjalinkan hubungan baik dengan umat Islam Caucasus, jadi tiada sebab bagi mereka, sama ada merdeka atau tidak, untuk menunjukkan sikap menentang terhadap Moscow.
Perjuangan Berterusan Orang-orang Chechen yang Tidak Bersenjata
Terdapat banyak contoh di dalam polisi-polisi Rusia yang lebih cenderung kepada keganasan berbanding keamanan. Rusia sudah menjalankan pelan-pelan sulitnya di Chechnya, terutama sekali pada permulaan 1990-an. Rusia berpendapat bahawa mereka tidak boleh menghapuskan orang-orang Chechen yang kesatuan mereka tidak mudah untuk dipecahkan, dengan menggunakan kuasa ketenteraan semata-mata. Jadi Rusia cuba melemahkan Chechnya dari dalam dan mencuba berbagai-bagai cara untuk melakukannya. Rusia memulakan langkah pertamanya dengan memusnahkan perpaduan mereka dan mencetuskan kekacauan di Chechnya dengan masuk campur di dalam pilihan raya, membeli ahli-ahli politik, melakukan penculikan dan tindakan-tindakan terorisme, menggunakan paderi-paderi pro-Rusia dan seterusnya mencetuskan perbezaan-perbezaan agama, termasuklah mengenakan tekanan ekonomi dan politik. Namun, segala usaha tersebut tidak mencapai apa yang di­harap­kan.
Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan ujian kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.
(Al-Buruuj, 85:10)


Pada tahun 1990-an, Rusia telah berusaha untuk menjahanamkan Chechnya dari dalam. Apabila Rusia sedar bahawa mereka tidak mampu melakukannya, mereka telah mewujudkan polisi yang zalim dan ganas. Cara-cara yang dilakukan tidak banyak bezanya dengan apa yang pernah dilakukan Stalin dan Lenin yang telah membunuh berjuta-juta manusia.
Pendudukan Rusia ke atas Chech­nya pada 1991 telah ditamatkan oleh Dzhokar Dudayev. Kemudian satu ke­kacauan serius pada bulan November 1994 bertukar menjadi sebuah pe­pe­rangan pada 11 Disember tahun yang sama. Lebih 100,000 orang-orang Che­chen hilang tempat tinggal, dan beratus-ratus ribu yang lain terpaksa menjadi pelarian. Penggunaan senjata kimia yang diharamkan telah membawa kepada genocide. Selain itu, oleh kerana Rusia sudah memberitahu bahawa Chechnya hanyalah satu "masalah dalaman", tiada sebarang reaksi serius dari dunia luar. Tiada bantuan yang dihulurkan kepada kepada orang-orang Chechen, melainkan beberapa negara-negara Eropah.
Peperangan tersebut berakhir pada Ogos 1996 apabila Rusia mengakui kekalahannya. Kejayaan orang-orang Chechen ke atas Rusia telah memberi kesan mendalam kepada republik-republik yang lain di Caucasus. Pada tahun 1998, penduduk di utara Cacasus telah berhimpun dalam "Konvensyen Penduduk Cacasus Utara" di Grozny, ibu negara Chechnya. Kesemua negara-negara peserta bersetuju dengan posisi masing-masing untuk mengelakkan dari tercetusnya sebarang konflik yang mampu memecah-belahkan penduduk di utara Caucasus, dan saling memberi perlindungan di dalam serangan yang dilancarkan oleh Rusia. Kesatuan ini memberi mimpi ngeri kepada Rusia. Apa yang ditakuti selama ini telah menjadi kenyataan. Jika Rusia membenarkan ia berlaku, sebuah kesatuan Islam yang ditakuti akan muncul. Inilah sebabnya mengapa Rusia melakukan operasi keduanya untuk menentang Chechnya. Kali ini, cara yang lebih kejam dilakukan, dan siksaan yang tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas orang-orang yang tidak bersenjata di mata dunia. Namun atas sebab yang sama, kebuasan yang berlaku hanya dianggap sebagai "hubungan dalaman" Rusia.
Peperangan kedua sebenar yang berlaku di antara orang-orang Chechen dan Rusia bermula apabila Rusia mengepung dan mengebom beberapa perkampungan di Dagestan pada awal 1999. Lebih kurang 1,500 penduduk di perkampungan tersebut meminta bantuan daripada Chechnya, yang mana mereka menganggapnya sebagai pemimpin. Shamil Basayev, yang mula mendapat perhatian atas kejayaannya di dalam peperangan, telah memberikan bantuan kepada penduduk Dagestan pada musim panas 1999. Hanya dua buah kampung sahaja yang telah diserang oleh Rusia berjaya diselamatkan. Penyembelihan dahsyat telah berlaku di kampung-kampung tersebut, dan penduduk yang tidak bersalah telah dibunuh kejam. Peperangan yang berlaku di antara Rusia dan Chechnya, yang masih berlaku pada hari ini, telah tercetus lagi menerusi insiden ini.
Kuasa Rusia menceroboh Chechnya pada tanggal 2 Oktober 1999 dan telah melakukan siri pembunuhan yang sangat kejam kepada sesiapa sahaja yang mereka temui, tanpa mengira wanita, kanak-kanak ataupun orang tua. Mereka mula menyerang penduduk awam. Senjata-senjata kimia, peluru berpandu scud dan napalm (Pent: iaitu sejenis bahan petrol seperti agar-agar yang digunakan untuk membuat bom) telah digunakan di dalam serangan-serangan tersebut. Manakala hospital-hospital, wad-wad bersalin, kawasan membeli-belah dan kem-kem tahanan dijadikan sebagai sasaran serangan.
Salah satu daripada serangan-serangan tidak berperikemanusiaan Rusia terhadap penduduk awam ialah dengan meracun Sungai Argun yang merupakan sumber air kepada beberapa buah kampung di Chechen. Ramai wanita dan juga kanak-kanak yang minum air dari sungai tersebut mati, manakala beratus-ratus yang lain menderita sakit dalam tempoh yang panjang. Chechnya kehilangan tiga perempat populasinya dalam masa dua tahun sahaja. Sekarang ini pun, orang-orang Chechen masih cuba untuk terus hidup di dalam negara-negara jiran dalam keadaan yang amat menyedihkan.
Pembunuhan beramai-ramai orang-orang Chechen oleh pihak Rusia, yang mana masih kekal di dalam ruang lingkup mentaliti komunis lama, menyerupai tindakan Firaun yang dilakukan berabad-abad yang lampau. Pada zaman tersebut, Firaun juga turut menyerang golongan yang lemah dan yang tidak bersenjata (dalam kes ini, mereka ialah kaum Bani Israel), dan dengan kejam membunuh mereka semua. Allah telah menceritakan tentang kekejaman Firaun di dalam ayat-ayat yang berikut:
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu sewaktu Dia menye­lamatkan kamu dari (Firaun dan) para pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak lelakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu, dan pada yang demikian itu ada ujian yang besar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah juga) sewaktu Tuhanmu memberitahu: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih". (Ibrahim, 6-7)
Sesungguhnya Firaun telah melakukan sewenang-wenang­nya di muka bumi dan menjadikan penduduknya ber­pecah-belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan anak-anak perempuan hidup. Sesungghnya Firaun termasuk dari kalangan orang-orang yang me­lakukan kerosakan. (Al-Qashash, 4)


Kempen genocide yang dilancarkan oleh Rusia bagi menentang rakyat Chechnya yang tidak bersenjata telah dilaporkan di dalam berita-berita asing, namun Barat tidak melakukan apa-apa melainkan mengecam serangan-serangan tersebut.
Mentaliti yang membenarkan berlakunya pembunuhan kanak-kanak, membelah perut wanita-wanita mengandung, memusnahkan rumah-rumah penduduk dengan menggunakan kereta kebal, dan berbagai-bagai lagi kedahsyatan, telah lari jauh dari sebarang sensitiviti moral, perasaan perikamunusiaan, belas kasihan, cinta atau simpati. Ramai di kalangan mereka yang tidak mengetahui sebab-musabab kepada kekejaman yang dilakukan, tetapi oleh kerana ada sifat jahat yang dibawa oleh ateisme, mereka dengan mudah melakukan pelbagai jenis tindakan syaitan. Apa yang diharapkan dari Rusia ialah mereka mesti meninggalkan mentaliti hitam tersebut, yang merupakan saki-baki dari Kesatuan Soviet, yang memandu mereka kepada penggubalan polisi-polisi ke atas Chechen, kepada suatu perubahan yang membawa kepada penggubalan polisi yang lebih bersifat sederhana yang seterusnya akan membawa keamanan dan keselamatan, baik kepada Rusia mahupun orang-orang Chechen.
Orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa sebab, kecuali kerana mereka berkata: “Tuhan kami adalah Allah.” Dan jika Allah tidak menolak (keganasan) manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama-nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
(Al-Hajj, 22:40)




Askar-askar Rusia secara umumnya menjadikan penduduk awam sebagai sasaran, mengebom pasar-pasar, klinik-klinik ibu mengandung dan konvoi-konvoi pelarian...
Situasi yang Dihadapi oleh Pelarian Chechen
Sebilangan besar organisasi hak asasi manusia yang menjalankan kajian ke atas pelarian Chechen melaporkan bahawa hak-hak asasi mereka telah dilanggar dalam satu skala yang cukup besar. Kira-kira 250,000 orang-orang Chechen yang lari akibat peperangan kini berada di Ingushetia, dan bakinya boleh dijumpai di kawasan-kawasan jiran. Orang-orang Chechen sedang berhadapan dengan kebuluran, kehausan dan penyakit-penyakit berjangkit. Wanita dan kanak-kanak, orang muda dan tua yang terpaksa bermigrasi, kini sedang bergelut untuk terus hidup dalam keadaan yang sangat sejuk dan hujan, dua atau tiga keluarga berada di dalam gerabak keretapi lama yang ditinggal­kan, ataupun dalam bangsal-bangsal kuda di kampung-kampung tempat mereka berlindung.
 
Dunia memandang remeh terhadap tragedi yang berlaku. Ratusan ribu pelarian Chechen yang cuba menyelamatkan diri dari kezaliman Rusia sedang berhadapan dengan musim sejuk yang melampau, kelaparan, kehausan, dan penyakit-penyakit berjangkit.
Sebagai contoh, orang-orang Chechen di kem pelarian Znamens­koye di utara Chechnya kini tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tidak memiliki baju panas. Hampir separuh di antara mereka yang mendapatkan perlindungan di situ telah jatuh sakit disebabkan oleh keadaan yang sangat menyedihkan dan kesejukan yang amat sangat.7 Penyakit-penyakit seperti tuberkulosis (batuk kering) dan hepatitis sedang merebak di kem-kem pelarian Chechen, yang tidak memiliki apa-apa yang panas untuk dimakan selama berminggu-minggu pada sesuatu masa dan badan mereka pula tidak mampu untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Angka kematian sedang meningkat.8
Mungkin perkara yang paling mengejutkan ialah majoriti bangsa Barat, yang mendakwa mereka berdiri di barisan hadapan untuk melindungi hak-hak asasi manusia, tidak berusaha untuk menolong para pelarian tersebut. Bahagian signifikan pandangan-pandangan masyarakat awam dunia ialah mereka tidak betul-betul tahu tentang penderitaan yang sedang orang-orang Chechen alami dan kadang-kala mengabaikan kekejaman yang dikenakan ke atas beratus-ribu orang-orang Chechen yang lari dari kekejaman Rusia. Bantuan dari negara-negara lain disekat, dan mereka yang sedang kelaparan, kehausan dan kesejukan yang mencengkam amat sukar untuk bertemu walau dengan kerak roti sekalipun. Kesedihan yang dialami oleh pelarian-pelarian tersebut mesti dipandang sebagai satu perkara yang memerlukan tindakan pantas.
Bagaimana Jalan Penyelesaiannya Dapat Diperoleh?
Jalan penyelesaian terletak di atas bahu Rusia dan juga para pejuang Chechen. Kedamaian yang dicari mesti berlandaskan pendekatan cintakan keamanan dan bersikap sederhana seperti yang dituntut oleh Allah. Moscow mesti mengelakkan diri dari terus beranggapan bahawa kewujudan dan aspirasi nasional umat Islam Caucasus sebagai satu ancaman, dan mereka mesti meredakan konflik dan tekanan ke paras yang minimum dengan mengambil konsep bersederhana dan polisi yang aman. Seperti yang telah kita lihat, keganasan Rusia di Chechnya tidak dapat diterima sama sekali. Walau bagaimanapun di sebaliknya, pejuang Chechen yang terlibat dalam serangan ke atas penduduk awam Rusia turut mengambil jalan yang salah. Kedua-dua pihak mesti mengelakkan diri dari terus melakukan pertumpahan darah, dan seterusnya berusaha untuk membina kedamaian.
Adalah menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam sedunia untuk menghulurkan bantuan kepada orang-orang Chechen yang sedang menderita ditindas. Cukup jelas bahawa tiada seseorang pun yang benar-benar takutkan Allah dan memiliki konsep keadilan yang digariskan oleh-Nya di dalam al-Quran untuk terus berdiri bodoh melihat kekejaman yang dilakukan terhadap mereka yang tidak bersalah. Seorang mukmin sejati selalu membantu orang-orang miskin, mereka yang memerlukan, mereka yang diusir dari rumah, dan akan bersedia berkorban apa sahaja untuk mereka. Sikap sanggup berkorban dan toleransi umat Islam ketika zaman Nabi s.a.w. yang mana mereka telah diusir dan terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka telah dicatatkan di dalam al-Quran:
(Juga) bagi para fakir yang berhijrah, yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.
Dan orang-orang yang telah mendiami kota Madinah dan telah beriman (golongan Ansar) sebelum (ketibaan) mereka (golongan Muhajirin), mereka mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak mempunyai keinginan dalam hati terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka; dan, mereka mengutamakan (golongan Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan sesiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr, 8-9)
Secara lumrahnya, penyebaran nilai-nilai moral yang agung ini hanya dapat berlaku dengan penyebaran agama. Sebab itulah, apa yang perlu dijadikan proriti utama oleh mereka yang memiliki kesedaran ialah mencari jalan terbaik untuk menyebarkan moral-moral al-Quran dan juga mengamalkan isi-isi kandungannya. Allah memberi janji yang baik kepada sesiapa yang menolong agama-Nya:
(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali hanya kerana mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah". Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama-nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah lagi Maha Perkasa. (Al-Hajj, 40)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...