Pengambilan warga asing sebagai tenaga tentera bagi pertahanan negara
bukanlah satu pilihan yang munasabah apabila mengambilkira faktor
keselamatan dan ketaatsetiaan mereka. Namun bagi kerajaan-kerajaan di
zaman silam khasnya yang bertaraf empayar, saiz bala tentera yang besar
adalah segala-galanya hingga soal kerakyatan boleh dikesampingkan kerana
pada waktu itu teknologi persenjataan tidaklah secanggih sekarang
hingga mampu mengimbangi jumlah anggota tentera yang sedikit. Pasukan
French Foreign Legion (Legion Etrangere dalam bahasa Perancis) merupakan
kesinambungan tradisi tentera upahan warga asing yang menjadi
sebahagian dari sejarah Eropah. Namun demikian Legion Etrangere bukanlah
sebuah organisasi tentera swasta (PMC), sebaliknya sebahagian dari
tentera darat Perancis. Konsep Legion Etrangere yang menyatukan anggota
pelbagai kerakyatan, bangsa, warna kulit dan agama dalam sebuah pasukan
hampir menyamai Rejimen Renjer Diraja (RRD) dalam Tentera Darat Malaysia
(TD) cuma bezanya RRD hanya mengambil warganegara Malaysia sebagai
pegawai dan anggotanya.
Sejarah
Tentera upahan asing
bukanlah sesuatu yang baru dalam tentera darat Perancis. Setiap raja
dalam sejarah negara tersebut mempunyai unit askar upahan wargas asing
seperti pasukan pengawal bangsa Scott (Raja Charles Ke-7), pasukan
pengawal bangsa Swiss (Raja-Raja Bourbon) dan pasukan tombak (lancers)
bangsa Poland (Napoleon dan Raja Louis Philippe). Apabila warga luar
tidak lagi dibenarkan berkhidmat dengan tentera darat Perancis selepas
Revolusi Julai 1830, Legion Etrangere ditubuhkan oleh Raja Louis
Philippe pada 10 Mac 1831 sebagai rejimen warga luar yang berkhidmat
untuk Perancis. Pada masa itu ia dibarisi oleh pejuang revolusi
negara-negara Eropah yang gagal menumbangkan kerajaan masing-masing,
askar dari rejimen luar yang dibubarkan malah samseng dan orang
gelandangan dari kalangan warga asing serta warga Perancis sendiri.
Bermula dari kempen penaklukan ke atas Algeria pada tahun yang sama,
Legion Etrangere telah berjuang dalam setiap kempen ketenteraan untuk
pertahanan dan kepentingan strategik Perancis hinggalah ke hari ini.
Peranan
Legion
Etrangere melaksanakan peranan infantri (termasuk pengkhususan lintas
udara), armor dan jurutera tempur bagi pertahanan negara dan melindungi
kepentingan strategik Perancis. Oleh yang demikian pasukan ini kerap
terlibat dalam pelbagai misi tempur, pengaman dan penguatkuasa keamanan
di seluruh dunia serta salah satu elemen pasukan aturgerak cepat (PAC)
angkatan tentera Perancis. Malah Legion Etrangere dianggap pasukan elit
dalam tentera darat negara Eropah itu.
Organisasi dan Kelengkapan
Bersesuaian
dengan peranannya seperti yang dinyatakan tadi, Legion Etrangere
dibentuk sama seperti lain-lain pasukan dalam tentera darat Perancis.
Batalion-batalion Legion Etrangere juga bukanlah formasi bebas
sebaliknya sebahagian dari formasi briged dan divisyen. Keseluruhan
pasukan Legion Etrangere diperintah oleh seorang pegawai berpangkat
Brigadier Jeneral yang juga mewakili pasukan tersebut dalam tentera
darat Perancis. Di peringkat batalion, Legion Etrangere diperintah oleh
seorang pegawai berpangkat Lt Kolonel atau Kolonel. Setiap batalion
infantri mempunyai kekuatan 920 anggota, yang terdiri dari elemen
markas, empat kompeni rifel, sebuah kompeni pemerintahan dan sokongan
serta sebuah kompeni senjata berat. Setiap kompeni rifel mengandungi 4
platun dan setiap platun pula terbahagi kepada empat seksyen dengan
setiap satu dari empat seksyen berkenaan merupakan seksyen anti-kereta
kebal (AKK). Kompeni senjata berat pula terdiri dari dua platun AKK,
satu platun mortar, satu platun tinjau dan satu platun senjata
anti-pesawat. Batalion para Legion Etrangere (2e REP) pula mempunyai
jumlah keanggotaan yang lebih besar (1160 orang) dan berupaya
melaksanakan operasi khas. Pasukan ini terdiri dari sebuah kompeni
pemerintahan dan logistik, sebuah kompeni tadbir dan bantuan, sebuah
kompeni senggaraan, sebuah kompeni simpanan serta sebuah kompeni tinjau
dan sokongan. Untuk peranan tempur, 2e REP mempunyai empat kompeni di
mana setiap satu mempunyai kepakaran masing-masing; Kompeni Pertama
(peperangan bandar), Kompeni Ke-2 (peperangan pergunungan), Kompeni Ke-3
(peperangan amfibia) dan Kompeni Ke-4 (penembak hendap dan pemusnahan).
Keupayaan operasi khas 2e REP merangkumi penugasan penyelam tempur, tim
Ronda Kumpulan Kecil/Ronda Jarak Jauh (RKK/RJJ) dan serangan
pantas/sabotaj ke atas musuh. Batalion-batalion Legion Etrangere juga
mempunyai unit anjing perang organiknya sendiri.

Pasukan
kavalri Legion Etrangere mempunyai kekuatan 930 pegawai dan anggota
yang membentuk sebuah kompeni pemerintahan dan logistik, sebuah kompeni
tadbir dan sokongan dan empat skuadron tempur (setiap skuadron
mengandungi 4 trup lengkap dengan elemen markas masing-masing). Pasukan
ini mengoperasikan kenderaan perisai beroda AMX-10RC yang bersenjatakan
meriam 105mm. Sama seperti pasukan infantri, batalion jurutera Legion
Etrangere dibarisi 920 anggota. Ia mengandungi sebuah kompeni
pemerintahan dan logistik, sebuah kompeni latihan dan pangkalan, sebuah
kompeni bantuan dan tiga kompeni jurutera tempur. Setiap kompeni
jurutera tempur mengandungi tiga seksyen jurutera, satu seksyen markas
dan satu seksyen sokongan. Legion Etrangere menggunakan pelbagai
kelengkapan yang sama seperti semua pasukan dalam tentera darat Perancis
- dari rifel tempur 5.56mm FAMAS hingga peluru berpandu anti-armor
Milan dan Eryx, peralatan komunikasi, kenderaan, pakaian tempur, alat
pandang malam (NVD) dan peralatan kejuruteraan.
Legion Etrangere terdiri dari 10 formasi rejimental termasuk dua formasi yang berpangkalan di luar Perancis;
Dalam Negara Perancis
1er
Regiment Etranger de Cavalerie (1er REC), berpangkalan di Orange
(pasukan kereta perisai) 1er Regiment Etranger (1er RE), berpangkalan di
Aubagne (formasi markas)
2e Regiment Etranger de Infanterie (2e REI), berpangkalan di Nîmes (pasukan infantri)
4e Regiment Etranger (4e RE), berpangkalan di Castelnaudary (pasukan latihan)
1er Regiment Etranger de Genie (1er REG), berpangkalan di Laudun (pasukan jurutera)
2e Regiment Etranger de Genie (2e REG), berpangkalan di St Christol, Corsica (pasukan jurutera)
2e Regiment Etranger Parachutiste (2e REP), berpangkalan di Calvi (pasukan para)
Wilayah Seberang Laut/Wilayah Naungan Perancis
3e Regiment Entranger de Infanterie (3e REI), berpangkalan di Guyana Perancis, (pasukan infantri)
Detachment Legion Etrangere Mayotte (DLEM), berpangkalan di Mayotte, pulau kecil di utara Madagascar.Afrika
13th Demi-Brigade Legion Etrangere (13 DBLE), berpangkalan di Djibouti.

Kelayakan Masuk, Latihan, Kepakaran dan Laluan Kerjaya
Legion
Etrangere terbuka kepada semua lelaki tanpa mengira kewarganegaraan
termasuk warganegara Perancis sendiri yang berusia dari 18 hingga 40
tahun dengan kad pengenalan yang sah dan tahap kesihatan yang baik. Bagi
mereka yang berumur di bawah 18 tahun, kebenaran ibu-bapa atau mahkamah
diperlukan. Walaupun kebolehan bertutur dan menulis dalam bahasa
Perancis bagi pemohon bukan berbangsa Perancis/penutur bahasa Perancis
tidak diwajibkan kerana ia akan diajar dalam latihan dan perkhidmatan,
sekiranya dimiliki pemohon ia adalah satu bonus. Pemohon boleh memilih
untuk mendaftar dengan ‘pengenalan yang diisyiharkan’ (nama lain) bagi
melindungi pengenalan diri sebenar mereka. Bagi warga Perancis pula,
mereka boleh mengisytiharkan diri mereka rakyat negara penutur bahasa
Perancis atau Francophone (selalunya Monaco). Memandangkan kemasukan ke
dalam Legion Etrangere adalah sukarela, mereka yang dikerah menjalani
perkhidmatan negara tidak ditugaskan ke dalam pasukan ini.Untuk memohon
menyertai Legion Etrangere, bakal-bakal rekrut dikehendaki melapor di
mana-mana 17 pusat merekrut di seluruh Perancis. Proses ini akan memakan
masa 1 hingga 3 hari di mana mereka akan menjalani pemeriksaan
kesihatan awal yang asas sebelum dihantar ke Aubagne sekiranya disahkan
mempunyai tahap kesihatan asas yang dikehendaki. Setibanya di Aubagne
para pemohon akan menjalani pemeriksaan kesihatan yang lebih lengkap,
ujian IQ, ujian kecergasan, ujian personaliti, program motivasi dan juga
tapisan keselamatan yang ketat. Mereka yang mempunyai rekod jenayah
juga akan gagal pada peringkat pemilihan ini kerana tidak seperti di
awal penubuhannya, Legion Etrangere bukan lagi tempat buangan untuk
penjenayah dan bekas banduan memandangkan setiap pemohon juga perlu
lulus tapisan keselamatan oleh Polis Antarabangsa (Interpol). Setelah
selesai semuanya mereka akan menandatangani kontrak perkhidmatan selama 5
tahun. Keseluruhan proses ini memakan masa 10 hari. Saringan untuk
memasuki Legion Etrangere amat ketat hinggakan dari purata setiap 8
pemohon, hanya seorang yang akan lulus.Latihan asas ketenteraan selama 4
bulan akan dijalankan bagi para pemohon yang lulus semua peringkat
pemilihan di atas akan dijalankan di pasukan latihan (4e RE) di
Castelnaudary yang merangkumi pengenalan kepada pasukan, latihan medan,
ilmu medan perang (IMP), adat-istiadat rejimen, kawad, latihan teknikal
dan taktikal (peringkat kem dan medan), latihan pergunungan dan ujian
untuk sijil kelayakan teknikal. Selesai upacara tamat latihan, rekrut
akan menjalani pula ujian memandu kenderaan berat dan ringan termasuk
jentolak berunut bagi mencari mereka yang mampu mengendalikan kenderaan
berat khasnya. Ia berjalan selama seminggu sebelum semua rekrut kembali
ke Aubagne bagi proses pertukaran ke semua 10 formasi rejimental.
Seperti semua pasukan tentera, Legion Etrangere sentiasa berlatih dan
bersedia untuk sebarang bentuk peperangan di mana-mana juga dari kawasan
beriklim sejuk/sederhana ke gurun dan kawasan tropika.Dari segi
kepakaran, semua legionnaire (gelaran bagi anggota Legion Etrangere)
terlatih sebagai anggota infantri. Bagaimanapun mereka boleh mengikuti
latihan untuk mendapatkan kepakaran lain dari kategori tempur seperti
penembak hendap, krew kenderaan perisai, krew meriam anti-pesawat,
penerjun payung, ketua penerjunan, jurulatih penerjunan dan penyelam.
Bagi kepakaran bantuan tempur dan bantuan perkhidmatan ia meliputi
kerani am, kerani akaun, jurusemboyan, rigger, mekanik alat komunikasi,
pemandu, operator kelengkapan kejuruteraan, juruelektrik, mekanik
kenderaan, tukang paip, tukang kayu, jurukimpal, mekanik persenjataan,
jurumasak, jurugambar, jurulatih jasmani, anggota perubatan, pemain
pancaragam dan pakar komputer.Setelah tamat kontrak 5 tahun, seseorang
legionnaire boleh menyambung kontrak perkhidmatannya selama 6 bulan,
setahun, 2 tahun, 3 tahun dan 15 tahun atau lebih lama lagi sekiranya
berminat namun ia juga bergantung pada pangkat dan rekod perkhidmatan
yang baik. Selepas 15 tahun, legionnaire terbabit berhak mendapat pencen
sekitranya beliau memutuskan untuk bersara malah berhak mendapatkan
sama ada kewarganegaraan atau taraf penduduk Perancis (taraf penduduk
boleh diperbaharui selepas 10 tahun). Hak ini bagaimanapun adalah bagi
legionnaire bukan warga Perancis yang memperoleh sijil perkhidmatan
tentera yang baik dan tidak lagi menggunakan ‘pengenalan yang
diisytiharkan’. Kenaikan pangkat pula bergantung pada keupayaan jasmani,
IQ, rekod perkhidmatan dan daya kepimpinan. Malah para legionnaire yang
berkelayakan juga akan ditauliahkan sebagai pegawai dalam rejimen. Di
penghujung kerjayanya, legionnaire akan dibantu untuk menyesuaikan diri
kembali kepada kehidupan awam.

Pengenalan dan Tradisi Rejimental
Legion Etrangere mempunyai pengenalan rejimentalnya sendiri iaitu;
Lambang
Bom (Legion Grenade): Ia berupa bom tangan kuno dengan kibaran api di
atasnya, seakan-akan lencana kolar Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD)
TD. Bezanya lencana kolar RAJD mempunyai perkataan ‘UBIQUE’ di bawahnya
manakala pada lencana Legion Etrangere, dua dari kibaran apinya menghala
ke bawah.
Topi Putih (White Kepi): Pakaian kepala yang
menjadi pengenalan serta sebahagian dari pakaian seragam Legion
Etrangere sejak 19 Julai 1939, berwarna putih, pertama kali digunakan di
Afrika dengan kain penutup di belakang kepala untuk perlindungan dari
bahang cahaya matahari.
Bengkung Biru: Asalnya dipakai sebagai perlindungan dari masalah usus, ia kini sebahagian dari pakaian seragam perbarisan.
Langkah
Berjalan Perbarisan: Pegawai dan legionnaire berjalan semasa kawad
perbarisan sebanyak 88 langkah seminit. Rentak kawad yang perlahan ini
menyebabkan Legion Etrangere menjadi kontingen terakhir berjalan dalam
mana-mana perbarisan tentera Perancis.
Rekod Tempur
Sejak
1831, 902 pegawai, 3,176 PTT dan lebih 30,000 legionnaire terkorban
untuk Perancis - 1/3 dari mereka semasa berjuang untuk pertahanan negara
Eropah Barat itu. Lahir sebagai orang luar, para legionnaire menjadi
warga Perancis sesudah menumpahkan darah dalam kempen-kempen ketenteraan
berikut;
Sepanyol:
Sebagai sokongan
terhadap tuntutan Puteri Isabella ke atas takhta kerajaan Sepanyol yang
diduduki bapa saudaranya, kerajaan Perancis menghantar pasukan Legion
Etrangere ke Sepanyol. Legion Etrangere mendarat di Tarragona pada 17
Ogos 1835 dan terlibat dalam perang perebutan takhta. Pasukan ini
kembali ke Perancis pada tahun 1838.
Perang Perancis-Mexico:
Peperangan
ini tercetus pada tahun 1862 apabila Presiden Mexico ketika itu, Benito
Juarez enggan membayar kembali hutang kewangan negaranya kepada
Perancis. Legion Etrangere menjadi legenda sejarah ketenteraan Perancis
ketika ini dengan peristiwa pertempuran antara sepasukan kecil
infantrinya dengan lebih 2,000 askar infantri dan berkuda Mexico pada 30
April 1863. Pasukan pimpinan Kapten Danjou yang berkekuatan 3 pegawai
dan 62 legionnaire ini terpaksa mengambil kedudukan bertahan di Hacienda
CamarĂ³n. Mereka bertempur hingga kehabisan peluru dan tiga legionnaire
yang masih hidup, terus melawan tentera Mexico menggunakan benet.
Sebagai menghormati keberanian pasukan tersebut, panglima Mexico
menugaskan kumpulan pengiring untuk mengembalikan mayat Kapten Danjou ke
batalionnya.
Perang Perancis-Prussia:
Undang-undang
Perancis melarang penggunaan Legion Etrangere dalam negara tersebut
namun kekurangan askar terlatih yang serius semasa penubuhan Republik
Ke-2 memaksa pasukan ini dioperasikan dalam negara Perancis bagi
menentang Jerman.
Perang Jajahan Perancis:
Semasa
tempoh pemerintahan Republik Ke-3, Legion Etrangere memainkan peranan
utama dalam perluasan tanah jajahan Perancis. Pasukan ini bertempur di
Afrika Utara, Madagascar and Indochina, di mana Legion Etrangere
terlibat dalam pengepungan Tuyen Quang di utara Vietnam pada tahun 1885.
Perang Dunia Pertama & Kedua:
Legion
Etrangere terlibat dalam kedua-dua konflik ini di Eropah dan Afrika
Utara menentang Jerman dan Itali. Sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua,
ramai lelaki Yahudi yang melarikan diri dari Eropah Timur untuk
mengelak dari dibunuh tentera Nazi, menyertai pasukan ini.
Perang Indochina Pertama (1945-1954):
Semua
rejimen Legion Etrangere terlibat dalam perang melawan kebangkitan Viet
Minh yang menuntut kemerdekaan Vietnam dari Perancis. Ketika ini ramai
peribumi Vietnam, Laos dan Kemboja termasuk suku kaum asli ketiga-tiga
negara berkenaan menyertai Legion Etrangere. Ia adalah pasukan yang
paling banyak kehilangan anggota dalam pertempuran Dien Bien Phu yang
menamatkan penguasaan Perancis di Indochina.
Kebangkitan Rakyat Algeria (1954):
Dengan
pengalaman bertempur di Vietnam, Legion Etrangere meneruskan
perkhidmatan menekan kebangkitan bersenjata rakyat Algeria pula sehingga
negara Afrika Utara itu merdeka pada tahun 1962.
Operasi Penguatkuasa Keamanan Afrika:
Sejak
1969 hingga kini, Legion Etrangere telah melaksanakan tugas pengaman
dan menyelamat warga asing dari negara-negara Afrika yang bergolak
seperti Chad, Zaire dan Rwanda.
Iraq & Afghanistan:
Legion
Etrangere terlibat dalam Operasi Desert Storm untuk membebaskan Kuwait
pada awal tahun 1991. Pada tahun 2002 pula, pasukan ini menyertai
pencerobohan AS ke atas Afghanistan.
Keanggotaan – Keunikan Legion Etrangere
Seperti
yang dinyatakan tadi, para legionnaire terdiri dari pelbagai bangsa,
agama, budaya dan kerakyatan manakala hampir sebahagian besar pegawai
bertauliah Legion Etrangere adalah berbangsa Perancis. Bagaimanapun 10%
dari pegawai Legion Etrangere adalah legionnaire yang meningkat dari
peringkat bawah. Sebilangan besar warga luar yang menyertai Legion
Etrangere adalah berbangsa Eropah dan selebihnya berasal dari Amerika
Utara/Tengah/Selatan, Afrika dan Asia, khasnya dari bekas tanah jajahan
Perancis. Apa yang menarik, ada dikalangan legionnaire tadi ada yang
berasal dari negara yang angkatan tenteranya canggih seperti Britain dan
Amerika Syarikat (AS)! Kepelbagaian bangsa, budaya, adat resam dan
agama yang begitu ketara dalam Legion Etrangere ini memberikan kelebihan
kepada tentera darat Perancis dari segi perhubungan dengan warga
tempatan semasa melakukan operasi tempur atau pengaman antarabangsa.
Misalnya semasa beroperasi sebagai sebahagian dari pasukan pengaman
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di rantau Balkan, para
legionnaire yang berbangsa Muslim Bosnia, Serb, Croat, Slovene dan
Albania merupakan nadi kepada keupayaan memenangi hati warga tempatan di
Bosnia dan Kosovo, sekaligus menjadi penyalur maklumat perisikan yang
diperlukan semasa melaksanakan tugas. Begitu juga apabila Perancis
campur tangan di negara-negara bekas tanah jajahannya di Afrika,
anggota-anggota Legion Etrangere yang berasal dari negara-negara
tersebut sudah sememangnya memahami kawasan operasi mereka serta lebih
mudah berhubung dengan warga tempatan yang seterusnya membantu banyak
penugasan rejimen.

"Legio Irus Actica" (The Legion is our Strength)
"Legio Patria Nostra" (The Legion is our Fatherland)
"Honneur et Fidélité" (Honour and Fidelity)
"Marche ou crève" (March or die, unofficial)