Saturday, December 22, 2012

Abu Bakar Muar - Benteng pertahanan kaum tua


Ulama Nusantara
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
NAMA lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.

GURU-GURUNYA:
Semua ulama yang telah disebut dalam riwayat Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Lathif Melaka, adalah juga guru kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

Kepada ulama yang berasal dari Lingga, Riau itu beliau mendalami hadis Bukhari. Sementara Ilmu Qiraat dipelajarinya dan menerima ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu.

Seperti Abdullah Fahim, beliau juga mendalami Ilmu Falak dan menerima ijazah daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Selain itu ada dua orang ulama, gurunya yang banyak disebut dalam tulisannya, iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.

AKTIVITI:
Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan' (Bandar Maharani Muar, Mac 1925, dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah Muar 1925).

Abu Bakar al-Muari adalah pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau bukan hanya mendirikan madrasah, tetapi keterlibatannya di Bandar Muar meliputi keseluruhan aspek pembangunan di Muar, terutama sekali yang melibatkan urusan keIslaman.

MURID-MURIDNYA:
Murid-muridnya sangat ramai, bukan hanya murid di madrasah tetapi termasuk murid-murid yang menadah kitab di masjid, surau dan di rumahnya, sehingga beliau dikenali dengan nama `Haji Abu Bakar Alim'.

Di antara tokoh yang pernah mendapat pendidikan di Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah ialah saudara sepupu beliau yang bernama Tan Sri Mohamed Noah. Setelah Mohamed Noah menerima pendidikan di madrasah tersebut, Abu Bakar lalu menghantarnya belajar ke Timur Tengah. Mohamed Noah adalah ayah mertua kepada allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).

Murid Abu Bakar yang lain ialah Ustaz Muhammad Yasin. Beliaulah yang meneruskan perjuangan pendidikan madrasah yang diasaskan oleh gurunya itu. Muhammad Yasin adalah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin (sekarang Menteri Pertanian Malaysia).

Murid Abu Bakar yang lain ialah Datuk Haji Mohd. Noor. Di antara anak beliau ialah Datuk Haji Juma'at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (sekarang Bendahari) Persatuan Sejarah Malaysia. Menurut keterangan Mohammad, anak kepada Abu Bakar Muar, kedua-dua tokoh di atas sangat memuji dan mengenang jasa orang tuanya (Abu Bakar).

Mohamed Noah pernah berkata, ``Kalaulah aku tidak dididik oleh sepupuku, Abu Bakar, tiadalah aku dapat ke Timur Tengah. Barangkali aku pun hidup dalam kejahilan tiada kenal hukum-hakam Islam ... ``.

Muhammad Yasin pula pernah berkata, ``Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.''

KARYA-KARYANYA:
Abu Bakar al-Muari menghasilkan karangan dalam jumlah yang banyak. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Oleh sebab ruangan yang disediakan sangat terbatas, semua karangannya tidak dapat disenaraikan di ruangan ini.

Keterangan ringkas hanyalah sebagai berikut, bahawa beberapa karyanya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah sahabatnya yang sama-sama belajar di Mekah, namun pendapat kedua-duanya adalah berbeza.

Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah lagi karyanya di dalam bahasa Arab juga menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang sangat terkenal. Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6 Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani.

Kandungannya menyatakan tentang sunat sembahyang ba'diyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi, guru Madrasah Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah. Dan menyatakan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, rumuz-rumuz ulama fikah, tarikh Imam ar-Rafi'ie, Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-Haitami. Dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah, Muar (tanpa tarikh). Dicetak dengan perbelanjaan ahli-ahli al-khair Johor, Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kukup.

Salah satu sebab penyusunan karya ini ialah pertanyaan Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, guru agama Bandar Maharani, 14 Syaaban 1346 Hijrah. Surat dilampirkan pada halaman awal dan setelah pada halaman akhir dilampirkan surat Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, tarikh, Bandar Maharani, 18 Zulhijjah 1346 Hijrah yang menyambut baik kitab ini.

Judul selanjutnya ialah Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi. Diselesaikan 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Muar, 1351 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sebagai tanggapan atas karya yang berjudul Huraian Yang Membakar.

Di dalam Taman Persuraian Haji Bakar, yang dipersoalkan ialah mengenai sembahyang qabliyah Jumaat. Ia merupakan kelanjutan judul Taman Persuraian. Polemik dengan Hasan Bandung pula, Abu Bakar Muar menyusun risalah berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Diselesaikan 20 April 1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menjawab dan membatalkan fatwa pengarang Al-Fatwa Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh, dan mulut anjing pun belum tentu najisnya. Salah satu sebab disusun karangan ini atas permintaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar yang ditandatangani oleh ketuanya, Abdus Syukur bin Ismail bertarikh 2 April 1932. Surat tersebut dicetak pada halaman 1-2.

Mengenai sanggahan pendapat Sayid Rasyid Ridha selain dalam bahasa Arab, terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diberi judul Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid'ah. Sama ada yang dalam bahasa Arab atau pun yang dalam bahasa Melayu hingga kini belum ditemui.

Cogan Perikatan. Diselesaikan pada 3 Zulkaedah 1346 Hijrah/1928 Masihi, dalam Muar, Bandar Maharani, Johor. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 15 Syawal 1346 Hijrah/1928 Masihi. Kandungan risalah ini juga merupakan polemik kerana mempertahankan pendapat golongan Mazhab Syafie daripada serangan Kaum Muda yang menolak mengucapkan lafaz `Ushalli'.

Karya Abu Bakar Muar selain yang bercorak polemik, dilengkapi pula dengan pelbagai disiplin ilmu, di antaranya tentang Ilmu Falak, ditulis dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul, diselesaikan pada 28 Rabiuakhir 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Kandungan ilmu falakiyah merupakan syarah nazam al-Fadhil Abil Hasan Ali bin Abi ar-Rijal al-Katib al-Qairuani.

Ilmu Wafaq, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul. Diselesaikan pada 1 Zulhijjah 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Tentang faraid (cara-cara membahagi pusaka) ditulis kitab berjudul Nihayatut Taqrib fi Ma'rifatil Irtsi wat Ta'shib, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1324 Hijrah/1906 Masihi di Mekah.

Tentang kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., disusun risalah bernama Peringatan. Diselesaikan pada 2 Rabiulawal 1338 Hijrah/1919 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan kalimah-kalimah yang ada di dalam kitab Kisah Maulid an-Nabi bagi karangan Sayid Ja'far al-Barzanji yang harus diubah-ubahkan bacaannya, cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Bandar Maharani, Muar, 1938.

Juga tentang kelahiran Nabi s.a.w. beliau susun Mastika Ajaib. Diselesaikan pada 9 Safar 1350 Hijrah/26 Jun 1931 Masihi, dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan hukum dan kelebihan membaca Maulid an-Nabi s.a.w., cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Parit Jamil, Muar, 1350 Hijrah/1931 Masihi. Sebab disusun risalah ini memenuhi pertanyaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar.

Tentang tajwid, Abu Bakar Muar menyusun risalah Pertinjauan, Penggal Pertama. Diselesaikan pada 1 Syaaban 1342 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1342 Hijrah/1924 Masihi. Pada halaman pertama sesudah halaman kulit terdapat salinan ijazah daripada gurunya, Syeikh Abdullah bin Muhammad Qasim Senggora yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Zulhijjah 1334 Hijrah di Mekah.

Hikayat Qadhi Dengan Harami, diselesaikan pada 12 Rabiulawal 1343 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 1343 Hijrah/1924 Masihi. Kandungannya merupakan sastera Islam, menceritakan kisah seorang qadi pada zaman pemerintahan Harun ar-Rasyid

Abu Bakar juga menyusun buku-buku pengetahuan lain, seperti buku mengenai masakan yang terkumpul dalam judul Jangka Rampaian yang terdiri daripada tiga jilid. Saya simpulkan saja bahawa Abu Bakar Muar telah melakukan penulisan sejak tahun 1323 Hijrah/1905 Masihi hingga 18 Muharam 1357 Hijrah/20 Mac 1938 Masihi. Judul terakhir karyanya ialah Jadwal Tarikh Antara Nabi Adam Dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dan Lainnya.

Tok Kenali ulama peringkat wali




DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?.

Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.

Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh. Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali.

Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.

Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H

Abdullah Fahim - Ulama mahir ilmu falak




Posted
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.

Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.

Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.

Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.

Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.

Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.

Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)

Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.

Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.

Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.

Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.

Kepakaran ilmunya:
Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.

Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.

Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.

Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.

Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.

Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.

Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.

Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).

Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.

Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:

``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``

Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.

Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''

Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``

Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''.

Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.

Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.

Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, ``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''

Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''.

Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''

Keturunannya:
Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.

Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Sejarah Panglima Awang atau Henry The Black atau Enrique

http://resam-melayu.com/wp-content/uploads/2010/06/Panglima_Awang.JPG 
Tiada satu pun yang mustahil dalam dunia ini. Itu semua adalah atas kekuasaan dan kehendak Allah s.w.t jua. Dialah yang Maha Berkuasa. 
Apa tidaknya,selama ini kita didendangkan dengan lagu dan irama sejarah barat yang kononnya mengiktiraf bahawa Ferdinand Magellan yang berbangsa Portugis, adalah merupakan manusia pertama dalam sejarah berjaya mengelilingi dunia ini dan membuktikan bahawa dunia ini bulat. Peristiwa ini berlaku di abad ke 14 lagi. 
Kita pun melopong, menghafal dan seterusnya menelan fakta sejarah yang telah didendangkan menerusi para guru sejarah (dikenali sebagai "Tawarikh") masa itu. Kita juga tidak percaya bahawa di zaman itu 'mana ada orang Melayu yang boleh belayar beribu batu di lautan berbulan-bulan lamanya?' Memang tidak terfikir dek kepala kita masa itu ada orang Melayu boleh berbuat demikian.

Tetapi sesungguhnya, itu semua bukan mustahil malahan bolej berlaku bertepatan dengan cogankata ".....Kita Boleh....". Ianya bermula pada tahun 1509 apabila Portugis datang menjelajah ke timur dan seterusnya menguasai Kerajaan Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. 
 
Dalam angkatan laut Portugis yang datang menyerang dan menakluk Melaka terdapat seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai Ferdinand Magellan.

Panglima Awang atau Henry The Black atau Enrique di Malacca merupakan seorang keturunan Melayu yang turut serta dalam misi pelayaran Ferdinand Magellan untuk mengelilingi dunia. 
 
Beliau bertugas sebagai jurubahasa dan pembantu di dalam kapal Ferdinand Magellan. Beliau disebut sebagai Henrich dalam bahasa Sepanyol.

Asal usul Enrique diperdebatkan oleh ramai sejarahwan. Ada yang menyatakan beliau dari Melaka, Sumatera, Maluku dan dari Sibu, Filipina. Kisah pelayaran Ferdinand Magellan dicatat dalam diari Antinio Pigafetta, seorang sukarelawan Itali yang turut serta bersama Ferdinand Magellan. 
 
Beliau menyatakan Enrique adalah seorang Melayu yang ditangkap dan dijadikan hamba dalam kapal tersebut. Enrique dikatakan berasal dari 'Zamatra' atau Sumatera seperti fakta yang tercatat dalam dari Antionio Pegafetta.

Enrique adalah pahlawan dan pendekar Melayu yang berjuang mempertahankan Melaka dari serangan tentera Portugis pada 1511. Enrique adalah 'hamba raja' kepada Sultan Mahmud, Sultan Melaka yang terakhir. 
 
Setelah ditawan, Enrique bertugas menjadi jurubahasa dan pembantu khas Magellan dalam kapal dan seterusnya dibawa ke Lisbon, Portugis pada 1512.

Tafsiran lain menyatakan Enrique merupakan hamba  dari Sumatera yang telah dibeli di pasar Melaka. Dia telah dibaptis dan diberi nama Henrique atau Enrique atau Henry The Black. 
 
Walaubagaimanapun nama sebenarnya tidak diketahui dengan jelas. Nama Panglima Awang hanya muncul apabila Harun Aminurrashid menggunakannya dalam Novel Panglima Awang pada tahun 1958.

Apabila Raja Portugis lemah, Magellan berkhidmat pula dengan Raja Cahrles 1 dari Sepanyol mulai tahun 1517. Enrique terus berkhidmat mengikuti Magellan. Pada masa itu, Portugis telah pun menguasai Melaka dan kepulauan rempah khususnya di Maluku. 
Magellan memberi pelan bagaimana Sepanyol boleh menguasai perdagangan rempah di Asia Tenggara menerusi penjelajahan sebelah Barat yang belum diterokai sebelum ini. 
Raja Charles 1 bersetuju dengan cadangan Magellan itu. Akhirnya, Magellan menyediakan angkatan kapal yang terdiri dari 5 buah kapal : San Antonio, Conception, Victoria, Santiago dan kapalnya sendiri, Trinidad bersama kelasi seramai 270 orang. 
Mereka meninggalkan pelabuhan Sancular di Barrameda pada 20 September 1519 dan belayar arah ke Barat menyeberangi Lautan Atlantik. Kemudian tiba di benua Amerika Latin dan menyeberangi Selat Magellan, merentasi Lautan Pasifik, Pulau Guam dan akhirnya tiba di perairan Kepualauan Pasifik.

Pada 16 Mac 1521, selepas belayar selama 18 bulan, mereka sampai di satu lokasi di Kepulauan Filipinadan yang bernama Samar. Tempat ini dikira masih jauh dari kepulauan rempah di Nusantara. 
Pemuda yang bernama Enrique bertindak sebagai jurubahasa apabila berkomunikasi dengan pemerintah tempatan dan para pedagang kerana di Filipina dan Nusantara difahami oleh Enrique. 
Sayugia diingat bahawa Bahasa Melayu menjadi lingua franca kepada mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, minuman, pertukaran barangan berhubung dengan pedagang, menghantar mesej keamanan dan berhubung dengan pemimpin dan masyarakat setempat di Nusantara. 
Para Pegawai Kerajaan Melaka termasuk Enrique sebenarnya fasih dalam berbagai bahasa di dunia.

Di Kepulauan Sibu, Filipina, Ferdinand Magellan telah berhubung dengan Raja Humabon. Raja Humabon bersama 800 orang rakyat di Sibu, Filipina berjaya dikristiankan oleh Ferdinand Magellan. 
Magellan memanggil penduduk Sibu sebagai 'Indian' kerana berkulit gelap sebagaimana penduduk selatan India dan Enrique juga tidak berkecuali.

Raja Humabon meminta bantuan Magellan untuk menghapuskan pemberontakan di perkampungan Mactan yang dipimpin oleh ketuanya bernama Lapu-Lapu. 
Pada hari Sabtu 27 April 1521, Magellan telah menyerang Pulau Mactan bersama 60 orang anggota menggunakan senapang, meriam, senjata besi dan lain-lain. 
Sementara Lapu-Lapu bersama 1,500 pahlawan hanya menggunakan buluh runcing dan panah beracun. Dalam peperangan tersebut, Magellan telah terkena panah beracun dan terbunuh. Sebahagian rakannya yang terselamat lari menyelamatkan diri balik ke kapal.

Duarte Barbosa, seorang kelahiran Portugis telah dipilih menjadi kapten kapal. Walaubagaimanapun beliau tidak menunaikan wasiat Magellan untuk membebaskan Enrique setelah kematiannya. Malahan Barbosa menghina Enrique di hadapan kelasi-kelasi lain. 
Disinilah terdapat tafsiran sesetengah penulis mengatakan Enrique merancang untuk menghapuskan Barbosa dengan pertolongan Raja Humabon. 
Dengan kebolehan berkomunikasi yang dimilikinya, Enrique telah berunding dengan Raja Humabon dan Raja Humabon bersetuju menghadiahkan batu permata dan pelbagai hadiah lain untuk Raja Sepanyol dengan mengadakan satu majlis makan sebagai perangkap. 
Semasa makan mereka telah diserang dan disembelih oleh orang-orang Humabon. Barbosa dan semua pengikutnya terbunuh kecuali Enrique seorang sahaja yang terselamat. 
Rekod rasmi Sepanyol menyatakan Enrique d Malacca bersama 27 orang yang lain telah terselamat dan kembali ke Sepanyol tetapi catatan Pegafetta menyatakan Enrique sebagai hilang.

Diari Pegafetta hanya menyatakan 18 orang yang terselamat kembali ke pelabuhan Sanlucar de Barrameda, Sepanyol. Mereka semua sampai pada 9 Jun 1522 dengan diketuai oleh Juan Sebastian Elcano dengan kapal La Victoria dari Kepualaun Maluku. Pemerintah Sepanyol mengiktiraf Elcano sebagai orang yang berjaya melengkapkan pelayaran mengelilingi dunia.


Diari Pegafetta tidak menyatakan dengan jelas sama ada Enrique pulang kembali ke Malaka, kembali ke Sumatera atau menetap di Pulau Sibu, Filipina. Tidak ada catatan dan cerita lanjut selepas itu. Para sarjana barat masih cuba menggali mistri kemanakah perginya Enrique setelah peristiwa Mactan?. 
Apakah yang terjadi setelah itu kepada beliau kerana pada masa itu umur beliau masih terlalu muda. Kalau beliau mati dimanakah kuburnya?. Mistri tersebut sehingga ke hari ini, masih dapat dirungkai.

PERSOALAN :-

  1. Adakah benar Enrique telah dikristiankan oleh Ferdinand Magellan dan menjadi orang Melayu pertama yang berjaya dimurtadkan.
  2. Dimanakah letaknya kubur Panglima Awang ini jika telah kembali ke Melaka, ke Sumatera atau kembali ke Sibu, Filipina.
  3. Mengapa nama Enrique tidak termasuk dalam senarai 18 orang yang sampai ke Sepanyol.
  4. Mengapa sejarahwan barat masih mendakwa Ferdinand Magellan sebagai orang pertama mengelilingi dunia dan bukannya ELcano adn 17 sahabat yang lain dan seorang hamba Melayu bernama Enrique d Malacca atau Henry The Black (Panglima Awang)
  5. Apakah benar beliau menjadi perancang untuk memerangkap dan membunuh Ferdinand Magellan dan juga Barbosa di Pulau Sibu, Filipina?
  6. Dari negara manakah asal Enrique? Sumatera? Melaka? atau Sibu di Filipina?


Benarkah kubur Panglima Awang bersemadi di Rembau?......


Mengikut penyelidikan dan dapatan yang telah diperolehi oleh Saudara Zainal Al Johan dari Rembau, beliau mengatakan bahawa keturunan Panglima Awang sememangnya terdapat di Rembau sehingga hari ini. Makam beliau terdapat di Kampung Padang Lekok, Rembau. 
Walaubagaimanapun, makam tersebut masih lagi belum dibersihkan atau dibaikpulih kerana ditakuti akan mencacatkan persekitaran dan struktur lainnya terutama batu nisan yang dikatakan sebagai 'Batu Nisan Acheh'. 
Hanya mereka yang berpengalaman sahaja terutamanya ahli arkiologi yang boleh membaikpulih artifak-artifak lama seperti ini bagi mengelakkan kerosakan ke atas struktur batu nisan tersebut. 
Kajian lanjut dan terperinci masih dan sedang dijalankan oleh beliau dan juga Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan bagi menentukan akan kesahihannya.

Persoalan yang masih menyelubungi para sejarahwan di seluruh dunia sehingga ke hari ini ialah kemana perginya Enrique de Malacca atau Panglima Awang setelah peristiwa Mactan? 
Tidak ada sebarang catatan mengenainya di mana-mana. Cerita dan catatan Pegafetta berkaitan dengan Enrique juga terhenti setakat peristiwa pembunuhan beramai-ramai oleh Raja Humabon di Mactan. 
Buku Panglima Awang yang terbaru yang dihasilkan oleh para sejarahwan Malaysia dan diseminarkan dalam Sejarah Melaka baru-baru ini pun hanya menceritakan peristiwa berkaitan sehingga ke Mactan di Filipina. 
Harun Aminurrashid dalam novelnya 'Panglima Awang' ada menyatakan yang Panglima Awang sempat kembali ke Tanah Melayu dan seterusnya mengahwini tunang lamanya Tun Gayah di Pahang dan berkeluarga sehingga membawa kepada penerbitan novel keduanya 'Anak Panglima Awang'. 
Walaubagaimanapun, ianya masih tidak ada titik noktah untuk menentukan biografi dan sejarah Panglima Awang itu sendiri.

Mengikut cerita Saidara Zainal Al Johan lagi, sebaik sahaja berlaku peristiwa pembunuhan di Pulau Mactan, Panglima Awang tidak balik ke kapalnya, Victoria. Sebaliknya, beliau berkelana di kalangan para saudagar yang datang berdagang ke pulau tersebut terutamanya para saudagar dari Kepulauan Melayu seperti saudagar Bugis, Siam, Jawan dan Sumatera. 
Rakan-rakan Panglima Awang di atas kapal Victoria yang telah menyedari akan muslihat pembunuhan tersebut telah belayar meninggalkan Mactan tanpa kehadirannya. 
Kapal Victoria adalah merupakan satu-satunya kapal armada Magellan yang terselamat dan berjaya tiba di pelabuhan Sanlucar di Barrameda, Sepanyol dengan membawa baki kelasi seramai 18 orang diketuai oleh Kapten Juan Sebastian Elcano seorang rakyat Sepanyol.

Diantara para pedagang yang sering Panglima Awang temui di Mactan ialah para pedagang Bugis yang sememangnya terkenal sebagai bangsa pelaut dan ahli pelayaran. 
Maka tidak hairanlah maka akhirnya beliau bertemu dan berkenalan dengan Daeng Samaluki, salah seorang keturunan Raja Bugis dan membawanya ke Linggi, Negeri Sembilan. Semasa tiba di Linggi Pannglima Awang baru berusia 30 an dan muda remaja.
Sebagai seorang pemuda yang pernah berkhidmat dengan Sultan Melaka sebelum dijajah Portugis, darah pejuang mudanya terus membara untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Kesultanann Melayu Melaka kepada tangan anak bangsanya. 
Maka tidak hairanlah maka pada 1575, beliau bersama anaknya serta angkatan dari Linggi dan Rembau menyerang Kota Melaka yang dikuasai Portugis. 
Serangan Panglima Awang ke Kota Melaka membuktikan dengan jelas bahawa beliau adalah merupakan orang yang sangat mahir dengan persekitaran kota tersebut, kerana beliau berjaya masuk jauh ke dalam Kota A Formosa dan mengalahkan pasukan Portugis. 
Kejayaan inilah yang membuktikan bahawa beliau beliau adalah salah seorang pahlawan Melayu Kerajaan Melaka yang memahami selok belok Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis.

Bagi mengelkaan identiti dirinya diketahui oleh musuh-musuhnya terutamanya tali barut Portugis, beliau telah menukar namanya kepada Dato' Laut Dalam. Hal ini samalah seperti Pahlawan Mat Kilau yang menggunakan nama Mat Siam bagi mengelakkan dikenali oleh penjajah British setelah didakwa sebagai penjenayah.


Panglima Awang atau nama barunya 'Dato' Laut Dalam' telah berkahwin dengan wanita tempatan keturunan Jawa anak kepada salah seorang pengikut Dato' Leteh dan mempunyai seorang anak lelaki yang akhirnya menjadi Undang Rembau ke 2 iaitu Dato' Lela Maharaja Dato' Ombo - Biduanda Jawa (1555-1605). Dari zaman beliaulah maka penyandang Undang Rembau digilirkan antara keturunan Biduanda Jakun dan Biduanda Jawa. 
Nama Dato' Laut Dalam itu bertepatan dengan peranan dan pengalaman Panglima Awang sebagai ahli pelayaran terkenal. Pendapat kami ini disokong kuat oleh Prof Dr. Abdullah Zakaria dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Mengikut kajian Saudara Zainal Al Johan dan catatan Pigafetta bahawa Panglima Awang memang berasal dar Sumatera dan dipercayai dari Paya Kumbuh di Minangkabau. Oleh itu  di Rembau beliau lebih dikenali Suku Paya Kumbuh. 
Datang ke Melaka semasa berumur belasan tahun dan menjadi salah seorang pahlawan Kesultanan Melaka masa itu. Maka tidak hairanlah beliau boleh menguasai beberapa bahasa yang terdapat di Melaka termasuklah bahasa Raja Humabon di Mactan yang berbahasa Tagalog.

Apakah Bukti Kehadirannya di Rembau?


Selain dari pusaranya, beberapa bahan artifak dipercayai kepunyaan Panglima Awang masih tersimpan dengan baik sehingga ke hari ini. Antaranya iakah seperti teropong yang digunakan oleh para pelaut yang tertulis 'Emirate Sapin bertarikh 1520', jam bertarik 1526 Spain dan 'Cakra Alam'. 
Sebahagiannya ada dalam simpanan galeri Saudara Zainal dan sebahagiannya masih lagi dalam simpanan penduduk Kg Padang Lekuk yang dipercayai terdiri dari keturunan belaiu yang masih hidup sehingga ke hari ini. 
Terdapat juga catatan bertulis yang masih diterokai tersimpan di beberapa perpustakaan di Eropah seperti dokumen asal Pigafetta, catatan Portugis dan Sepanyol yang masih tersimpan di Leyden, Belanda, Sepanyol dan Portugal.
Terdapat juga catatan berkaitan dengan peranan dato'-dato' lembaga Rembau seperti tercatat di dalam Terombo Rembau' termasuklah nama dan peranan Dato' Laut Dalam. Ini membuktikan bahawa jawatan 'Dato' Laut Dalam' sememangnya ada dalam hiraki pertandiran adat di Rembau masa itu.

Sesungguhnya, andainya penemuan ini memberikan hasilan yang positif, pusara dan hasil artifak disahkan sebagai kepunyaan Panglima Awang dan nama Dato' Laut Dalam adalah sebenarnya orang yang sama sebagai Panglima Awang maka bumi Rembau sangatlah bertuah menjadi penghuni kepada insan dunia dan insan Melayu pertama mengelilingi dunia, membuktikan bahawa dunia ini bulat, tidak leper seperti yang disangka. 
Rembau akan menjadi tumpuan bukan sahaja kepada sejarahwan dunia bahkan akan menukar perspektif sejarah negara dan antarabangsa bahawa 'Panglima Awang' adalah manusia pertama di dunia mengelilingi dunia dan bukannya Magellan. 
Sebab?.....Magellan tidak belayar melepasi satu bulatan dunia kerana beliau mati di Mactan Filipina, sedangkan Panglima Awang mula belayar di Melaka dan tiba semula di Melaka atau Tanah Melayu........Syabas.

Oleh : Tuan Haji Misan Mastor - Jendela Warisan

Friday, December 21, 2012

ISLAM DI UKRAINE-SIRI 2

Hampir Seribu Muslimah Ukraine Menghadiri Konferens Muslimah Di Ukraine



Kompleks National Music Academy of Ukraine di Crimea, Ukraine, sekali lagi menjadi saksi kebangkitan Islam di negara tinggalan Soviet tersebut. Pada 17 Julai 2010, hampir 840 orang muslimah Ukraine (tidak termasuk pihak media) berhimpun di kompleks tersebut untuk menghadiri Konferens Muslimah Ketiga yang mengangkat tema “Masalah Muslimah di Era Masyarakat Moden”. Bendera Liwa’ dan Rayyah menghiasi kompleks tersebut sepanjang konferens berlangsung.

Konferens ini memfokuskan isu-isu berkaitan muslimah yang berlaku hari ini, termasuklah dari aspek pemakaian. Isu yang dilihat menghantui para pejuang Sekularisme-liberalisme sehingga mereka cenderung melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap kewajiban jilbab dan hijab, khususnya menerusi sistem pendidikan negara barat. Contoh terbaru melibatkan pengharaman niqab yang berlaku di Perancis, yang kemungkinan besar akan merebak ke seluruh negara Eropah. Isu lain yang dibangkitkan adalah berkaitan serangan media yang selama ini telah membentuk citra (pandangan) negatif terhadap wanita muslimah. Jika diperhatikan sejak kebelakangan ini, muslimah tidak terlepas dari dikaitkan dengan serangan terrorisme.

Kertas kerja pertama bertajuk “Pakaian Syariah, Kewajiban Allah Ke Atas Muslimah”, disampaikan oleh Zachitany Janikowo Elvira (aktivis muslimah Hizbut Tahrir, lulusan Universiti Marmara, Istanbul). Kertas kerja kedua pula mengupas isu perlecehan dan pencitraan negatif media barat kepada muslimah, bertajuk “Peranan Media dalam Pembentukan Citra Negatif Tentang Islam dan Wanita Muslimah”, disampaikan oleh Zudieviv Lutfi (aktivis muslimah Hizbut Tahrir, lepasan Universiti Crimea).




Di Ukraine, muslimah dilarang untuk mengambil gambar dengan menutup aurat (memakai tudung). Susanna Ismailova pernah berusaha agar beliau dibenarkan bergambar dengan mengenakan tudung, namun usahanya menemui kegagalan. Akhirnya beliau membawa kes tersebut ke mahkamah tinggi. Di sini, beliau juga turut mempersoalkan ‘kebebasan peribadi’ dan ‘hak asasi manusia’ yang sering dilaungkan di dalam demokrasi Ukraine, tetapi bias di dalam soal pemakaian muslimah.

Beberapa resolusi telah diputuskan di penghujung konferens. Di antaranya, para hadirin menegaskan bahawa wanita muslimah di Crimea dan Ukraine telah menyedari bahawa satu-satunya jalan untuk membentuk dan mendidik generasi masa hadapan adalah dengan kebangkitan Islam sebagai akidah yang benar untuk melahirkan sistem kehidupan yang sempurna serta menjadi rahmat untuk sekalian alam.

Awal Julai lalu, sebuah konferens berkaitan dengan muslimah juga telah dianjurkan oleh Muslimah Hizbut Tahrir Britain di London bertujuan untuk menyuarakan pendirian dan identiti muslimah yang tidak akan mampu digugat oleh idea-idea kufur sekularisme atau tangan-tangan pemerintah yang memusuhi Islam.

Demikianlah semangat kebangkitan dan keberanian para muslimah di Eropah dalam mempertahankan identiti muslimah dan hukum-hukum syara’ yang telah diperintahkan kepada mereka. Ini seharusnya menjadi muhasabah bagi kaum muslimah yang tinggal di negara-negara di mana umat Islam menjadi kaum majoriti. Perhatikanlah tekanan dan serangan bertubi-tubi ke atas kaum muslimah di Barat. Ianya malah menjadikan mereka semakin bangkit dan berpegang teguh dengan syariat Islam.

Bagaimana pula dengan keadaan muslimah di negara ini? Tidak sedikit di kalangan wanita muslimah yang menjadikan wajah, tubuh dan auratnya sebagai kebanggaan untuk didedahkan kepada umum. Malah, tidak kurang juga yang memijak-mijak maruah dirinya dengan terlibat dalam maksiat, menyamai perlakuan wanita-wanita kafir yang tidak pernah dipandu agama.

Maka, sudah tiba masanya kaum muslimah bangkit dan mempertahankan identiti mereka, teguh pada syariat sekaligus bangga memegang status muslimah. Semoga dengan itu Allah Ta’ala akan mengampunkan dan menyelamatkan mereka.

Sumber: Syabab.com

Islam di Ukraine



 Sejarah Islam di Ukraine


Pada 1676 Zaporozhian Cossack masih lagi menolak dakwaan bahawa Sultan Turki untuk suzerainty tetapi pada 1711 salah satu starshina mereka, Pylyp Orlyk, menjadi seorang Muslim.[1]
Sementara kebanyakan orang Ukraine beragama Kristian Orthodoks, orang Muslim telah pada asasnya tinggal di daerah-daerah selatan pada wilayah moden negara ini, terutamanya di Crimea.
Pada abad ke-15 sebuah negeri yang dikenali sebagai Crimean Khanate telah ditubuhkan oleh Tatar Crimea, keturunan dan bertutur-Turkic pada kedua puak Turkic dan bukan-Turkic telah menetap di Eropah Timur seawal abad ke-7.
Khanate kemudian kehilangan kepemerintahannya dan jatuh ke bawah pengaruh Empayar Uthmaniyyah bagi pihak yang ia diperintah oleh local tributary rulers dengan significant degree autonomi. Pada abad ke-15-18, Tatar Crimea sering menyerang tanah-tanah Slav Timur untuk menangkap hamba-hamba, mengabdikan kira-kiranya 3 juta orang, kebanyakan mereka adalah orang Ukraine. Pengaruh Rusia di kawasan itu, pada asasnya kecil, telah bertambah secara perlahan-lahan dan pada lewat abad ke-18 setelah beberapa Perang Rusia-Turki wilayah itu telah dikuasai oleh Empayar Rusia.
Orang Tatar Crimea ahli Sunnah Waljamaah dan Mufti dianggapkan sebagai simbol agama tertinggi. Semua masyarakat-masyarakat diketuai oleh dan diwakili sebelum lain oleh imam-imam tempatan.
Fail:Hansaray.jpg
Istana Crimea Khan di Bakhchisaray adalah pusat Islam di Ukraine selama lebih dari 300 tahun
Crimean Khanate memilih Bakhchisaray sebagai ibu negaranya. Pada abad ke-18. apabila ia ditakhluki Rusia, sekurang-kurangnya 18 buah masjid di ibu negara itu dan beberapa madrasah dibina.Empayar Rusia bermula bertapak, penduduk Muslim dan hampir 160,000 orang Tatar dipaksa untuk meninggalkan Crimea.
Untuk orang Muslim yang masih menetap, wujudnya penentangan pada ideologi di kalangan mereka yang patuh pada bentuk agama konservatif, yang sederhana, dan yang membawa kepada ideologi liberal and Barat.

 Muslim Ukraine pada abad ke-20

Pada zaman Revolusi Rusia, orang Islam adalah satu pertiga dari penduduk Crimea. Hampir semua bandar utama Crimea telah wujud sebuah masyarakat Muslim yang besar.
Orang Muslim Crimea telah ditaklukkan ke pengusiran massa pada 1944 apabila Stalin menuduh mereka untuk bekerjasama dengan pihak Nazi Jerman. Hampir 200,000 orang Tatar Crimea diusirkan ke Asia Tengah, terutamanya Uzbekistan tetapi ada juga ke Kazakhstan dan sesetengahnya ke daerah-daerah SFSR Rusia. Pengusiran ini utamanya bermuncul pada 18 Mei, 1944. Ditafsirkan bahawa kira-kiranya 45% dari kesemuanya Muslim Crimea mati pada 1944-1945 disebabkan kelaparan dan penyakit.[perlu rujukan] Harta dan wilayah yang ditinggalkan orang Tatar Crimea telah diperuntukkan oleh kebanyakannya etnik Rusia yang ditempatkan semula oleh pihak berkuasa Soviet. Ini membawa kepada pertukaran demografi pada Ukraine dengan kesan yang besar pada masa depannya. Walaupun dekri Soviet 1967 mengalihkan dakwaan terhadap orang Tatar Crimea, kerajaan Soviet tidak melakukan sebarang tindakan untuk mempermudahkan penempatan semula mereka di Crimea dan untuk membuat pampasan untuk kehilangan hidup dan rampasan harta mereka. Pemampasan orang Tatar Crimea ke tanah air mereka hanya bermula pada 1989.

 Muslim Ukrainian terkini

Sejak kemerdekaan Ukraine pada tahun (1991), lebih banyak orang Tatar Crimea telah pulang ke Crimea daripada sewaktu era Kesatuan Soviet. Orang Muslim dibahagikan ke dalam pelbagai jenis kumpulan etnik tetapi kebanyakan mereka adalah asal-usul Tatar, dari satu particular clan atau another other. Ada juga penempatan oleh pelarian Chechen di Crimea dan bahagian-bahagian Ukraine lain tetapi bilangan mereka tidak beberapa ramai .
Orang Muslim telah membentukkan tiga struktur untuk urusan hal ehwal mereka. Ini adalah:
Kebanyakan Muslim Ukraine bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan ini yang menolong mereka memasuki aliran utama Islam dan juga kehidupan seharian Ukraine. Kebanyakan orang Islam telah mencuba untuk membentuk sebuah parti untuk mengadakan sebuah suara bersatu dalam politik kononnya sebuah Congress Muslim, tetapi sehingga kini ia belum dicapai. Orang Islam telah membentuk beberapa pertubuhan kebajikan untuk menolong atau membantu masyarakat Islam dan bukan Islam. Ini pada utamanya termasuk CAAR Foundation, Al-Bushra, dan Life after Chornobyl. Ada juga Interregional Association of Public Organizations, Arraid yang sering mendapatkan perhatian dunia kerana dedikasinya.

 Statistik

Orang Muslim di Ukraine ada 391 buah masyarakat, 372 orang menteri, 151 buah masjid dengan 6 lagi masjid yang sedang dibinakan.
Menurut kajian-kajian terkini, adanya di antara 1 juta ke 1.2 juta bilangan Muslim di Ukraine. Ini membuat mereka 4% dari jumlah penduduk. Di Crimea orang Muslim terkandung pada 12% penduduk. Kurang-kurangnya 30 masyarakat Muslim Ukraine bekerja tanpa pendaftaran rasmi (adanya hampir 360 masyarakat atau pertubuhan berdaftar). Kumpulan lainnya termasuk pendatang atau peneroka Chechen atau Caucasus, dan juga sedikit orang Aghanistan. Bahasa-bahasa utama adalah Tatar, Parsi dan bahasa Caucasus atau loghat seperti loghat-loghat Chechen atau Dagestan. Tetapi semua para masyarakatnay bercakap Rusia dan banyak juga bercakap bahasa Ukraine.

Islam Makin Bersinar di Eropah


Mosque of Rome

Benua Eropah yang menjadi antara lubuk sentimen Islamfobia yang dihangatkan lagi dengan rentetan cubaan serangan terbaru di Britain, baru-baru ini, sebaliknya semakin diterangi sinar Islam menerusi projek pembinaan beratus-ratus masjid baru. Setakat ini, di Britain saja ada sebanyak 1,500 masjid.

East London Mosque

Projek pembinaan masjid baru dari Jerman ke Sepanyol dan Britain, sekaligus membuktikan keberanian masyarakat Muslim menonjolkan identiti sebenar mereka, tanpa perlu rasa takut mahupun terancam dengan perkembangan di sekeliling mereka. Lebih menarik, jika dulu mereka terpaksa secara rahsia menunaikan solat di bilik gelap di bahagian paling bawah bangunan kerana bimbang dicemuh, keadaan sekarang sebaliknya. Mereka yang kebanyakannya golongan pendatang dari Turki dan Afrika Timur, bukan setakat berani keluar masuk masjid, malah bekerjasama mengumpul dana dan bersatu hati menghadapi sebarang dugaan bagi memastikan masjid yang diingini dapat menjadi satu realiti.

Malah, seperti dilaporkan media Barat baru-baru ini, kehadiran kubah masjid terbesar di Jerman misalnya, semakin menenggelamkan menara gereja petunjuk keyakinan baru ke atas Islam ketika gereja pula semakin terbiar di negara Eropah itu.

Di Jerman saja, sehingga 184 masjid baru kini dalam proses pembinaan termasuk di daerah Kreuzberg, Berlin. Keadaan jauh berbeza jika dibandingkan bertahun-tahun lalu apabila 180 rahib kumpulan Katolik Sisters of the Divine Savior diibaratkan sebagai nadi di bandar itu. Malangnya, hari ini mereka cuma tinggal 8 orang. Setiap minggu, purata 150 penganut Roman Katolik menghadiri perhimpunan di Gereja Liebfrauen berbanding kira-kira 3,000 Muslim memenuhi Masjid Yavuz-Sultan-Selim. Sejak pembukaannya pada 1995, kehadiran kedai dan pusat belia Muslim menjadi ‘besi berani’ bagi kalangan penduduk Islam.

Di sekitar Eropah, Islam yang juga agama paling pesat berkembang, semakin ketara dan jelas kewujudannya berbanding satu ketika dulu apabila ia diamalkan secara senyap-senyap. Perubahannya bukan menyentuh aspek seni bina pada bandarnya, tetapi juga nilai sosial masyarakat setempat. Dalam apa dirujuk sebagai lambang integrasi Muslim, fenomena kemunculan ketara Islam ini turut dilihat sebagai bukti yang dunia Islam jelas mengancam budaya Kristian Eropah.

“Masyarakat Muslim sudah berani keluar menonjolkan diri mereka yang sebenarnya,” kata Claus Leggewie, pakar Sains Politik Universiti Giessen, Jerman.

Claus Leggewie

Kenyataannya itu berdasarkan kajiannya mengenai evolusi landskap dan binaan masjid di Jerman.

“Menerusi projek pembinaan masjid yang besar sedemikian, mesej yang mahu disampaikan (umat Islam) adalah kami di sini. Kami mahu menjadi sebahagian landskap simbolik Jerman. Kami ada di sini dan akan terus kekal di Jerman,” kata Leggewie.

Masjid Cologne dalam pembinaan

Pembinaan masjid besar dari Cologne, Jerman sehingga ke Amsterdam (Belanda) dan Seville, Sepanyol, berdepan bantahan keras penduduk dan pemimpin tempatan yang mendakwa ia lubuk menghasilkan pengganas. Lebih menyedihkan, apabila ada kalangan umat Islam yang meragui pembinaan masjid itu. Ini dibuktikan dengan kenyataan ahli keluarga dua suspek keganasan di Glasgow, Scotland yang mendakwa suspek itu dilatih menjadi radikal oleh kumpulan pendakwah Tabligh Jamaat (Jemaah Tabligh) kumpulan sama yang sedang hebat memperjuangkan hak bagi pembinaan kompleks Masjid Besar London di tanah seluas 18 ekar. Malah, pembinaannya berhampiran stadium Olimpik 2012, juga bakal mencatat sejarah sebagai masjid terbesar Eropah.


Kewujudan bangunan seumpamanya jelas berbeza daripada ruang bawah tanah gelap dan kecil yang menjadi tempat jemaah seperti Halif Kuzpinar menunaikan solat Jumaat, sejak 33 tahun lalu selepas dia berhijrah dari Turki ke kawasan di Frankfurt, Jerman. Siapa sangka, pergerakan Islam yang dianggotainya itu dapat membeli sebuah pasar raya di penempatan bandar Wiesbaden, di tengah Jerman.

“Di sini ada tempat letak kereta, pusat kanak-kanak dan untuk golongan belia. Kami mahu mewujudkan pusat setempat bagi membolehkan orang ramai melihat apa yang sebenarnya kami lakukan di sini,” kata Kuzpinar.

Berikutan kewujudan tempatnya sendiri, Mili Gorus sebuah pertubuhan hak asasi Islam Turki yang dipantau kerajaan Jerman, mahu memiliki sesuatu yang tidak pernah dikecapinya iaitu pengiktirafan rakyat di negara yang sudah menjadi tanah air mereka.

Namun, usaha murni itu berdepan bantahan keras. “Ia sepatutnya dijual sebagai sebuah pasar raya, bukannya masjid,” kata Wolfgang Kopp, pemilik pangsapuri di seberang premis itu.

Beliau bersama jiran lain, berjaya menghalang usaha menjadikan bangunan pasar raya itu kepada masjid, tetapi hanya untuk sementara waktu. Ini disebabkan, Perlembagaan Jerman jelas menyatakan semua agama boleh memiliki tempat ibadatnya sendiri. Sejak menjejakkan kaki di Jerman, golongan pendatang seperti Kuzpinar, terpaksa bersolat di bilik gelap yang menjadi simbol kegelapan masyarakat Islam yang tersepit di antara kebebasan mengamalkan agama serta budaya masyarakat setempat di negara yang menjadi tanah air mereka.

Kini, generasi ketiga yang semakin berjaya, saling berusaha dalam projek pembinaan masjid yang lengkap dengan menara. Jika 10 tahun lalu cuma wujud sebilangan kecil saja masjid, Jerman kini menyaksikan 159 masjid manakala 184 projek pembinaan masjid baru, mengikut Institut Arkib Islam Jerman.

Aachen menempatkan 25,000 penduduk Islam

Aachen, bandar Jerman yang didiami 257,000 penduduk di sempadan Belgium dan 9 peratus masyarakatnya beragama Islam, baru saja memberi kelulusan pembinaan masjid besar.

“Ia petanda yang masyarakat Muslim menjadi sebahagian anggota penting masyarakat,” kata Datuk Bandarnya, Jurgen Linden.

Kata-katanya terbukti benar apabila Islam yang ingin ditonjolkan sebagai agama pengganas, sebaliknya semakin hari semakin mendapat tempat di hati ramai anggota masyarakat tanpa perlu kempen besar-besaran mahupun mencela agama lain yang sudah bertapak kukuh di negara Eropah terbabit.

Hasil kerjasama dan kesabaran di kalangan Muslim sudah cukup menjadi bukti keagungan Islam sebagai agama keamanan dan kemunculan kubah masjid mengatasi menara gereja di Jerman hanyalah antara permulaan awal kebangkitan sinar Islam di bumi Eropah.

ISLAM DI PERANCIS..

Populasi Muslim Eropah Meningkat, Eropah Masih Mengabaikannya




Angka menunjukkan peratusan penduduk muslim di Perancis pada tahun 1985 , 2006 dan 2008

Jumlah penduduk beragama Islam di Eropah dijangkakan akan terus meningkat sehingga tahun 2050. Namun perkhabaran dan jangkaan ini telah diabaikan oleh Barat dan Eropah. Ini sekaligus menjadikan penduduk Islam sebagai rakyat kelas kedua di negara sendiri.

Akhbar Daily Telegraph London melaporkan, dijangkakan pada tahun 2050 nanti, jumlah warga muslim akan mencapai 20 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk Eropah.

Seperti yang dinyatakan akhbar terbitan Inggeris itu, kini kadar pertumbuhan  penduduk muslim di Eropah adalah sekitar 5 peratus setahun. Jika kadar pertumbuhan penduduk Muslim terus meningkat seperti keadaan sekarang ini, maka pada tahun 2050 jumlah penduduk beragama Islam akan meningkat menjadi 20 peratus.

Selama tiga dekad (30 tahun) terakhir, populasi warga Muslim di Eropah meningkat dua kali ganda. Dan penggadaan ini akan berlaku sekali lagi pada tahun 2015 nanti.

Pemandangan biasa di Eropah sejak akhir akhir ini

Akhbar cetakan London itu juga menulis, "perubahan populasi ini disebabkan migrasi yang berterusan dari penduduk negara-negara Islam dan menurunnya kadar kelahiran di kalangan penduduk bukan islam yang disertai dengan tingginya angka kelahiran masyarakat muslim." Faktor faktor lain juga seperti buruknya keadaan sosial dan keluarga di Barat dan kurangnya kehidupan beragama di kalangan penduduk Eropah. Faktor ini juga menjadi penyebab  yang mendorong masyarakat Barat untuk memeluk agama Islam.

Pertumbuhan populasi  Muslim dan pusat-pusat kebudayaan dan organisasi Islam di Eropah makin meningkat, namun negara-negara di Eropah belum bersedia menerima hakikat ini sebagai kenyataan dan menolak untuk memberikan hak hak yang sepatutnya kepada penduduk beragama Islam.

Di sebahagian besar negara-negara Eropah, Islam belum diakui secara rasmi sebagaimana agama-agama lain, seperti Kristian atau Yahudi. Selain itu, masyarakat Muslim sering menerima imej buruk dan perlakukan diskriminasi. Ini sekaligus mengehadkan peluang Muslim di dalam sektor ekonomi dan sosialnya.

Hasil kajian menunjukkan diskriminasi terhadap warga Muslim paling kerap terjadi di dalam bidang kerjaya. Perlakuan tidak adil terhadap mereka juga dilihat sangat ketara di dalam bidang pendidikan, kerjaya, keamanan, imigrasi, serta hak-hak sivil, seperti untuk memperolehi kemudahan sosial dan layanan kesihatan yang sepatutnya.

Sementara itu, media dan pemerintah yang konservatif dan radikal di Eropah juga turut banyak membantu menyuburkan sikap anti-Islam selepas tragedi 11 September 2001. Penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad, pembikinan filem filem yang memburukkan ajaran Islam, dan penerbitan pelbagai buku untuk memburukkan pemaikaian tudung dan jilbab, merupakan sejumlah isu yang membuat fenomena anti-Islam di Eropah kian panas.

Padahal selama ini masyarakat muslim di Eropah dikenali sebagai komuniti yang sentiasa menyuarakan perdamaian dan kasih sayang. Mereka juga turut berperanan besar dalam memajukan negaranya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...